21 December 2004

Ulasan Filem : The Manchurian Candidate (2004)

Oleh Fadz

Jonathan Demme adalah antara pengarah kegemaran aku.

Menonton filem ini yang agak panjang, dan tertidur kerana dialognya yang berjela dan berpolitik (atau mungkin sebab aku berpuasa) pada awalnya dan akan dipersoalkan peminjaman 'political correctness'nya tentang era 'korperat besar seperti kes Microsoft ingin menakluk dunia', '9/11 dan paranoia benda-benda asing (di sini, arabisasi)', 'komersialisme vs. kebenaran' dan 'perang mengundi Bush-Kerry'.

Tetapi ia semestinya satu thriller yang baik dan agak mencengkam, lebih-lebih lagi pada waktu Washington sedar akan 'konspirasi' yang sedang dan akan berlaku.

GAIA berkata pada aku bahawa dia agak seronok menonton 'twist' yang dilakukan dalam filem ini apabila 'terrorisme' bukan disalah-hitamkan tetapi kuasa-kuasa besar (di sini, korperat besar) yang disalahkan (ingat skandal Enron?). Bagi aku, ini adalah dasar biasa peneroka sci-fi (lihat Alien) yang mengatakan korperat besar pada masa depan yang akan menakluk dunia, maka persoalan filem ini yang agak realistik (lihat gaya paparan watak mendepani fokus kamera, gaya biasa filem Demme.

Ini ditinggikan tahapnya dengan penggunaan berita untuk membawa plot filem ini. Maka realiti dan fantasi berbaur seperti Independence Day) dan fantasi dibawa ke depan. Ia mungkin boleh terjadi, ia mungkin tidak. Aku tak tahu, tetapi kalau ingin membandingkan 'fantasi' konspirasi dan drama manusia filem ini dengan Farenheit 9/11, filem Micheal Moore itu lebih berjaya, dan ia juga penuh paparan watak 'sebenar' di depan kamera.

Apapun, aku masih boleh teringat tenungan mata Anthony Hopkins yang menakutkan serta mendalam dalam Silence of the Lambs, mengarah kita menjadi si 'diperhatikan' dari memerhatikan (Jonathan Demme mahu kita persoalkan fungsi menonton di sini. Adakah kita hanya menonton atau dipertontonkan?

Tenungan mata itu juga untuk kita 'berinteraksi' dengan watak di layar maka kita tidak lagi hanya menonton, tetapi bersama mengambil bahagian dalam filem itu. Tidak ada lagi istilah penonton, kerana masing-masing merenung antara satu sama lain. Masing-masing sepatutnya berkomunikasi tetapi di sini, watak filem itu mempunyai 'upper hand' dalam membuat pilihan, dan kata-kata.

Maka kita sebagai penonton 'membisu'. Kita perlu membalas sebenarnya, sekuarang-kurangnya selepas filem itu berakhir). Dan itulah agenda Demme sebenarnya dalam Manchurian Candidate, mengarah penonton Amerika untuk bertanya, persoalkan, adakah polisi politik era mereka ini semata-mata realiti atau khayalan yang dicipta oleh manusia-manusia yang terpampang memenuhi kotak bodoh mereka?

Ulasan Manchurian Candidate 1962 (versi klasik) oleh Mahhass

20 December 2004

Ulasan Filem : Ocean's Twelve (2004)

Ocean's TwelveOleh Walids

Ramai yang mengatakan bahawa filem – filem ‘sequel’ kebanyakannya menghampakan. Saya juga mempunyai tanggapan yang begitu tetapi seperti mana pepatah melayu ‘jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dan percayalah bahawa filem Ocean Twelve pastinya tidak menghampakan peminat filem ini. Tidak cukup dengan barisan pelakon yang cukup ternama, ditambah idea kreatif pengarah, Ocean Twelve mempunyai identitinya sendiri.

Adegan dimulakan dengan babak tiga bulan selepas rompakan di Las Vegas. Babak memperkenalkan watak baru dalam filem ini, Isabel Lahiri (Catherine Zeta-Jones) sebagai kekasih Rusty Ryan (Brad Pitt). Isabel merupakan seorang detektif yang ditugaskan untuk menyelesaikan masalah rompakan yang dilakukan oleh Rusty dan Frank di Amsterdam. Dan seperti biasa Rusty menghilangkan diri apabila Isabel mula mendapat klu mengenai identity perompak tersebut.

Babak seterusnya memfokuskan kepada setiap ahli Ocean Eleven didatangi Terry Benedict (Andy Garcia) yang menyimpan dendam terhadap mereka. Benedict mahu mereka membayar semula jumlah wang rompakan yang mereka lakukan dengan memberikan mereka ultimatum – bayar wang dengan bunga selama tiga tahun – dalam masa dua minggu. Ini merupakan diantara babak – babak penting di dalam filem ini dimana setiap sudut dan editing yang dibuat merupakan trademark bagi Steven Soderbergh, freeze – frame pada reaksi setiap ahli Ocean Eleven terhadap ugutan Benedict.

Ahli Ocean Eleven akhirnya bertemu untuk membincangkan jalan penyelesaian yang boleh mereka ambil. Danny Ocean (George Clooney) mencadangkan agar mereka melakukan satu lagi rompakan untuk menampung baki wang yang perlu mereka kumpulkan untuk dibayar semula kepada Benedict. Mereka akhirnya bersetuju untuk ke Amsterdam untuk satu misi. Namun, di Amsterdam, misi yang dirancang dan dilakukan dengan baik akhirnya menjadi sia – sia apabila ‘The Night Fox’ telah mendahului mereka. ‘The Night Fox’ a.k.a Francois Toulour (Vincent Cassel) merupakan pencuri yang telah mendedahkan identiti ahli Ocean Eleven kepada Andy dan dimana di dalam komuniti perompak ini merupakan satu kesalahan yang besar. ‘The Night Fox’ merupakan anak didik Caspar LeMarc (Albert Finney), merupakan seorang perompak lagenda yang sehingga hari ini menjadi buruan pihak polis antarabangsa.

Ocean Twelve'The Night Fox' memerangkap Danny dan ahli Ocean Eleven oleh kerana ingin membuktikan kepada LeMarc bahawa dia merupakan perompak yang terbaik. Setelah berjumpa dengan ‘The Night Fox’, Danny telah menerima cabaran ‘The Night Fox’ untuk mencuri ‘The Coronation Egg’ (sebuah hadiah perkahwinan dari seorang tukang emas kepada Czar Nicholas dan Alexandra pada tahun 1900’s). Dan sebagai pertaruhan jika Danny menang, ‘The Night Fox’ akan membayar semua hutang ahli Ocean Eleven kepada Benedict. Seperti biasa kelicikan dan kesempurnaan rancangan Danny mengatasi kehebatan aksi ‘capoeira’ ‘The Night Fox’.

Filem sinambungan ini tidak menghampakan pada pandangan saya. Bagi saya ianya lebih hebat dari filem sebelumnya. Dengan pemandangan yang indah sekitar Amsterdam dan Rome, teknik Soderbergh juga kena dengan kaedah penceritaan filem ini. Lebih banyak putar – belit cerita yang menarik. Ditambah juga dengan lakonan bersahaja perompak yang kadang kala seolah – seolah merupakan pelawak. Filem ini tidak semata – mata bergantung kepada barisan pelakon hebat yang juga tampak hebat dengan pemilihan pakaian oleh pemenang Oscar, Milena Canonero tetapi dengan satu plot cerita yang menarik.

Ocean TwelveSelain itu, watak Linus Caldwell (Matt Damon) juga lebih menyerlah di dalam filem ini. Caldwell yang merupakan anak murid yang dididik oleh Danny dan Rusty mula menunjukkan kebolehannya di dalam filem ini. Di mana secara tidak langsung, Caldwell merupakan salah seorang penyelamat dalam filem. Begitu juga dengan Tess Ocean (Julia Roberts) yang memegang watak sebagai isteri Danny juga menyumbangkan tenaga sebagai seorang perompak dalam filem ‘sequel’ ini. Tess perlu menyamar sebagai seorang pelakon yang terkenal iaitu Julia Roberts. Lucu. Ironik. Di dalam ‘sequel’ ini juga menampilkan Bruce Willis sebagai Bruce Willis yang secara tidak langsung ‘merosakkan’ rancangan Caldwell setelah Danny dan ahli lain yang telah ditangkap oleh Isabel.

Filem ini memaparkan diantara teknologi terbaru didalam bidang rompakan yang teratur. Bukankah ini satu faktor kenapa masalah rompakan semakin maju? Seperti mana pendapat saya mengenai iklan atau berita mengenai teknologi terbaru dalam membanteras jenayah yang disiarkan di televisyen. Ianya hanya akan memberikan idea kepada sang pencuri untuk mengatasi alat atau teknologi yang dicipta untuk menghalang mereka. ‘Perompak termaju’ bukan sahaja licik tetapi kini mempunyai ijazah sarjana untuk menampung hidup mereka dalam bidang kejuruteraan ‘perompakan’. Jadi bagaimana kita boleh mengatasi langkah perompak – perompak ini jika kita memberikan ‘the first step ahead’ kepada mereka?

Rating walids : 8.3/10

13 December 2004

Ulasan Filem : Alexander (2004)

AlexanderOleh Walids

Kisah epik seorang lelaki yang berjaya menakluk Asia dan Eropah dalam usia yang sebegitu muda memang merupakan satu kisah yang patut dicontohi. Sebagai contoh semangat dan kecekalan yang dimiliki oleh seorang lelaki. Alexander dikatakan menjadi sepertimana ada dirinya akibat dari ingin membuktikan kepada rakyat Macedonia bahawa dia lebih hebat dari bapanya, Philips. Itu merupakan cita - cita Alexander. Untuk jadi yang lebih hebat dan lebih baik dari semua orang. Cuma ada seorang lelaki yang boleh mengalahkan Alexander. Hephaistion.

Siapa Hephaistion? Teman sejak kecil Alexander. Mereka berguru bersama Aristotle. Tempat Alexander meluahkan perasaan marah, sedih dan takutnya. Sejauh mana persahabatan ini diantara Alexander dan Hephaistion? Kekasihnya? Yang boleh dikatakan ialah mereka adalah 'satu'. Pernah berlaku insiden apabila Puteri Persia melutut kepada Hephaistion kerana menyangka beliau ialah Alexander, dan Alexander cuma tergelak dan berkata "Tidak mengapa, dia juga Alexander". Penyelidikan telah dibuat dan tiada bukti di dalam catatan sejarah Alexander dan Hephaistion merupakan pasangan kekasih. Tiada rekod mengatakan mereka pernah melakukan hubungan yang lebih dari sekadar kawan. Tapi itu apa yang mereka nampak dan mereka catat, selebihnya? Kenapa Alexander berkahwin dengan seorang wanita yang tidak mempunyai kedudukan? Apa motif disebalik perkahwinan tersebut? Sekadar untuk mendapatkan zuriat dah pewaris?

Dari apa yang dilihat di dalam Discovery Channel, Alexander dan semua lelaki di Macedonia pada zamannya merupakan golongan biseksual. Mereka mempunyai isteri dan juga kekasih lelaki. Mungkin ini menyebabkan mereka mengatakan bahawa Alexander merupakan kekasih Hephaistion. Cara Alexander dibunuh juga dikatakan bukan merupakan satu cara Macedonia yang sebenar. Dia diracun atau meracun dirinya sendiri. Tidak seperti Philips, yang mati dibunuh. Seperti yang diperkatakan bahawa jika Alexander tidak mati sewaktu kempennya ke Tanah Arab, dunia mungkin bukan seperti yang ada sekarang.

AlexanderOliver Stone sekali lagi menimbulkan kontroversi setelah filem "JFK" dan "Natural Born Killers". Stone yang mengarahkan filem epik bernilai USD 150 juta ini lebih memaparkan Alexander (Collin Farrell) dan lelaki di zaman tersebut sebagai lelaki gay. Dari lakonan Alexander dan Hephaistion (Jared Leto) sudah cukup untuk memberikan gambaran kehidupan lelaki pada zaman mereka. Alexander cuma berkahwin setelah hujung pisau berada dilehernya. Dan perkahwinan tersebut mendapat tentangan dari rakan - rakannya. Pelakon kanak - kanak yang melakonkan watak Alexander sewaktu kecil berjaya melakonkan 'semangat' Alexander yang ingin dilihat hebat dimata bapanya Philips (Val Kilmer).

Alexander yang sebelum ini dijaga dan dibesarkan oleh Olympias (Angelina Jolie) tidak mahu Alexander mengikut jejak langkah ayahnya. Malah Olympias sendiri tidak mengaku bahawa Philips merupakan ayah kepada Alexander. Olympias mahu membesarkan Alexander mengikut acuannya sendiri. Alexander berjaya mengambil perhatian ayahnya, sewaktu Alexander menjinakkan seekor kuda, Bucephalos. Kuda yang menjadi tunggangan beliau sewaktu menakluk sebahagian besar jajahannya sehingga ke India apabila kuda tersebut mati sewaktu mempertahankan Alexander. Dan Alexander berjaya mendapat tahkta ayahnya hanya kerana dia disokong oleh teman - teman ayahnya.

Collin Farrell telah dipersediakan untuk watak Alexander lebih lama sebelum Stone memulakan pengambaran. Farrell di latih untuk menunggang kuda tanpa pelana, berlatih taktik peperangan untuk memimpin pasukan, penggunaan pedang dan seni mempertahankan diri. Farrell dipersediakan dari segi fizikal dan mental. Untuk dia menjadi Alexander. Cuma mungkin satu kesilapan Stone. Dia tidak cuba untuk menukar slanga Farrell. Atau memang orang - orang di Macedonia berbahasa Irish?

AlexanderDua pertempuran besar yang berlaku di Gaugemala dan India merupakan 'highlight' dalam filem ini. Pertempuran di Gaugemala lebih merupakan sebagai satu pertempuran untuk membalas dendam terhadap kematian ayahnya, Philips. Di katakan bahawa pembunuh Philips merupakan pembunuh upahan yang diupah oleh Raja Darius. Dan Alexander telah nekad untuk membunuh sendiri Darius. Walaupun jika dibandingkan bilangan tentera, Alexander cuma membawa lebih kurang 30,000 tentera dan Darius 250,000 orang. Jelas dari segi kuantiti Darius mempunyai kelebihan. Tetapi disebakan taktik peperangan yang bijak Alexander berjaya mengalahkan Darius. Formasi 'phalanx' yang masih menjadi ikutan tentera adalah merupakan ciptaan Alexander. Formasi yang dikatakan amat teguh dan sukar untuk dicerobohi.

Stone tidak mengupas bagaimana Alexander menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mungkin bagi yang tidak tahu sejarah Alexander perkara ini perlu diperjelaskan agar tidak menyebabkan sejarah yang direka sendiri tertulis. Mengikut sejarah mengatakan Alexander diracun. Diracun setelah Alexander berada dalam keadaan yang paling lemah. Alexander berada di dalam keadaan yang paling lemah setelah Hephaistion mati akibat malaria. Alexander seperti kehilangan sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Namun, ada juga yang mengatakan bahawa Alexander sendiri yang meracun dirinya. Dalam erti kata lain memaksa dirinya untuk meneruskan kempen penaklukannya. Tanpa menghiraukan kesihatannya sendiri.

Duduk di panggung selama 3 jam untuk menonton filem yang tidak kita ketahui sejarahnya mungkin berbaloi. Tapi bagi yang sudah mengetahui sejarah (dari pembacaan atau dokumentari) filem ini mungkin mengecewakan sedikit. Banyak fakta yang tidak diceritakan. Namun, sebagai sebuah filem epik yang difilemkan, usaha Stone perlu diberi kredit.

Rating walids : 8.0/10

07 December 2004

Ulasan Filem : The Forgotten (2004)

The ForgottenOleh Walids

Filem dari genre thriller, sci - fi dan drama arahan Joseph Ruben ini merupakan filem yang anti - klimaks. Semangat untuk menonton luntur apabila sampai ke babak pada waktu - waktu akhir filem. Pada mulanya, dengan berbekalkan sedutan - sedutan yang disaksikan sewaktu iklan sebelum filem - filem lain ditayangkan memaparkan The Forgotten sebagai sebuah filem yang perlu ditonton kerana babak - babak suspen yang cukup ramuannya.
Jika dibandingkan filem The Forgotten dengan filem - filem suspen atau thriller arahan M. Night Shayamalan, pengarah yang cukup terkenal dengan penyudah cerita yang tidak dapat dijangka, The Forgotten mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Terutama sekali pada permulaan cerita yang cukup kuat jalan penceritaannya.

The Forgotten mengisahkan mengenai kisah seorang wanita, Telly Paretta (Julianne Moore) yang mengalami 'dilusi' sepertimana yang ditegaskan oleh pakar psikiatrinya. 'Dilusi' tentang seorang kanak - kanak lelaki yang menurut Telly merupakan anak beliau, Sam Paretta (Christopher Kovaleski). Menurut Dr. Jack Munce (Gary Sinise), Sam cuma merupakan khayalan Telly. Individu yang cuma diwujudkan di dalam diri Telly akibat trauma yang dialaminya. Tetapi menurut Telly, Sam wujud. Dia wujud dalam dirinya. Dia yang mengandungkan Telly. Semua memori Sam wujud dalam dirinya. Namun, hari demi hari Telly menyedari gambar - gambar dan rakaman video Sam mula hilang. Suspek utama tuduhan Telly ialah suaminya sendiri, Jim Paretta (Anthony Edwards). Jim dan Dr. Munce cuba menerangkan kepada Telly bahawa Sam cuma satu ilusi akibat trauma yang beliau alami selepas keguguran.

Telly tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Telly tahu bahawa Sam mati dalam kemalangan yang melibatkan kapal terbang yang membawa sekumpulan kanak - kanak untuk ke sebuah kem waktu cuti. Telly cuba untuk meyakinkan dirinya bahawa dia tidak gila. Namun, semua teman - temannya juga tidak pernah tahu dia mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Sam. Namun, setelah bertemu Ash Cornell (Dominic West) secara tidak sengaja di taman permainan rumahnya, Telly tahu bahawa Ash merupakan ayah kepada Elliot teman Sam yang juga menaiki pesawat yang sama. Namun, Ash menafikan yang beliau pernah mempunyai seorang anak perempuan dan tidak pernah berkahwin.

The ForgottenTelly mula mendekati Ash kerana Telly tahu apa yang berlaku pada dirinya berlaku pada diri Ash cuma yang berbeza Ash menggunakan arak untuk menghilangkan ingatannya terhadap anak perempuannya. Setelah Telly menunjukkan bukti kewujudan bilik anak perempuannya, Telly telah ditahan oleh polis setelah Ash rasa Telly benar - benar mengalami tekanan. Dan sewaktu dalam tahanan ini, pihak polis kerajaan mengambil alih dan menahan Telly. Dan pada masa yang sama, Ash yang masuk semula ke bilik tersebut mula mendapat kembali ingatan beliau terhadap anak perempuannya Elliot dan bergegas untuk mendapatkan Telly. Setelah bergelut dengan polis - polis kerajaan dan melepaskan Telly, Ash dan Telly sekarang dalam buruan polis kerajaan.

Apa kena mengena polis kerajaan dalam kes Telly? Telly cuma ingin tahu apa yang terjadi pada anaknya. Ash dan Telly kini dalam misi untuk mengetahui apa yang terjadi pada anak mereka. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga menambat minat polis kerajaan untuk turut dalam kes mereka. Sehingga melarut kepada sebuah syarikat penerbangan yang membawa kanak - kanak tersebut. Kapal yang dikatan terhempas dan kanak - kanak tersebut hilang. Konspirasi atau sesuatu yang dirancang? Beberapa perkara yang tidak dapat diterangkan oleh logik akal juga berlaku sewaktu dalam pelarian Telly dan Ash. Dimana mereka juga dikejar atau didatangi oleh seorang lelaki yang mereka tidak kenali.

The ForgottenMenonton The Forgotten seolah - olah menonton salah satu dari siri The X - Files. Ending yang cukup boleh dijangka. Merupakan satu kelemahan yang jelas untuk satu filem yang kuat dari segi jalan ceritanya. The Forgotten pada permulaanya memaksa penonton untuk berfikir mengapa atau kenapa memori mengenai anak Telly dipadam. Namun, sampai dipertengahan filem, penonton sekali lagi dipaksa untuk merubah anggapan mereka. Benarkah kanak - kanak tersebut merupakan plot utama cerita? Atau ada plot lain? Adakah ianya berkaitan dengan makhluk asing? Bagi walid sendiri, setelah menonton sedutan apabila Telly dan Ash menyoal seorang polis kerajaan yang dapat ditangkap oleh mereka, dan polis tersebut secara tiba - tiba 'disedut' dari entah mana, secara otomatik telah tertanam di dalam set pikiran walid bahawa filem ini merupakan sebuah filem yang ada kaitannya dengan makhluk asing! Dan ternyata tekaan walid selalunya tidak salah.

Namun, jangan jadikan ulasan walid ini sebagai satu alasan untuk tidak menonton filem ini. Secara keseluruhan filem ini cukup bagus untuk peminat - peminat filem dari genre thriller. Mungkin, ending yang agak mengecewakan but still worth the ticket that you paid for. Emosi dan persekitaran Telly membuatkan filem ini seolah hidup. Perasaan kasih dan sayang seorang ibu dan anak. Satu jalinan yang cukup suci. Lebih hebat dari jalinan broadband!

Rating walids : 7.5/10

02 December 2004

Ulasan Filem : Shutter (2004)

ShutterOleh Walids

Setiap gambar yang diambil menceritakan kisah yang tersendiri. Banyak yang boleh diceritakan. Ianya juga boleh ditafsirkan mengikut fahaman penilai sendiri. Dan ianya mungkin berbeza. Masalah 'impose picture' adalah masalah yang biasa di dalam bidang ini. Mungkin mata kasar seperti kita tidak dapat membezakan kesahihannya. Tapi dengan teknologi masa kini, masalah seperti itu dapat dikesan dengan mudah. Kebiasaannya, foto yang diambil oleh seorang jurugambar professional memang cukup mengasyikkan.

Tapi apa yang berlaku jika terdapat detail atau gambaran yang tidak dapat diterangkan oleh jurugambar sendiri. Dan ianya bukan melibatkan masalah kamera itu sendiri. Ini yang cuba dibentangkan oleh Pakpoom Wongpoom dalam filem 'Shutter'. Beliau menggunakan medium ini untuk menceritakan sebuah kisah seram yang amat menarik. 'Shutter' bermula dengan adegan kemalangan yang melibatkan seorang jurugambar, Thun (Ananda Everingham) dan kekasihnya Jane (Natthaweeranuch Thongmee) yang melanggar 'seorang perempuan'. Dan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan perempuan itu ditempat kejadian. Jane mengalami mimpi - mimpi ngeri sejak peristiwa tersebut.

Manakala Thun pula pelik melihat gambar - gambar yang diambil sewaktu majlis graduasi Jane. Ada yang tidak kena dengan gambar - gambar tersebut. Jane mula rasa bersalah dan telah cuba mencari perempuan tersebut. Namun, tiada pesakit yang dimasukkan ke mana - mana hospital pada hari kejadian tersebut. Jane dan Thun mula dihantui dengan imej - imej yang muncul dalam hidup mereka.

Jane mula mencari pertolongan dengan berjumpa dengan seorang jurugambar yang telah menerbitkan majalah - majalah yang berkaitan foto yang mengandungi imej - imej roh. Dan seperti biasa jurugambar tersebut menerangkan bahawa kebanyakan gambar - gambar yang beliau terbitkan merupakan gambar yang diubah semula. Semuanya untuk melariskan majalah beliau.

Pembaca inginkan sesuatu yang seram dan ngeri. Namun, jurugambar tersebut menunjukkan koleksi beliau sendiri. Foto imej ibunya yang telah meninggal dunia dan ada di dalam gambar beliau dan anaknya. Dan menurut jurugambar tersebut itu merupakan gambar yang asli. Tapi bagaimana ianya dapat dibuktikan? Salah satu cara untuk tidak memastikan gambar yang diambil ialah gambar yang asli ialah dengan menggunakan kamera poleriod. Di mana bila ianya ditekan, gambar akan keluar secara otomatik dan tiada proses lain. Tanpa pengetahuan Thun, dua orang rakannya telah pun mati akibat terjun dari bangunan. Thun cuma mengetahui perkara ini setelah salah seorang rakannya datang ke rumah meminta gambar darinya. Dalam keadaan yang tergesa - gesa meminta gambar. Dan apabila Thun pergi ke rumahnya untuk bertanyakan mengenai gambar yang diminta, Thun melihat sendiri rakannya membunuh diri.

Setelah peristiwa itu, Thun baru menyedari, perempuan yang menghantui Thun dan Jane bukan disebabkan oleh pelanggaran tersebut tetapi disebabkan apa yang dilakukan oleh Thun dan tiga orang rakannya. Perempuan tersebut merupakan teman sekolej Thun dan rakan - rakannya yang telah diperkosa dan dimalukan oleh mereka. Perempuan tersebut telah membunuh diri dan kini menuntut dendam di atas kematiannya.

Thun dan Jane telah mencari rumah perempuan tersebut dan mendapati mayat perempuan itu masih wujud diawet oleh ibunya. Thun dan Jane mendesak ibu perempuan tersebut untuk membakar mayatnya agar rohnya tenang namun setelah proses pembakaran dilakukan, Thun masih dihantui roh perempuan tersebut. Terlalu banyak adegan - adegan seram yang cukup untuk mengejutkan penonton.

Pada saya, garapan terakhir untuk filem ini cukup simbolik. Akhirnya Thun tahu mengapa beliau mengalami sakit - sakit leher yang teruk. Dan bagaimana hidup Thun akhirnya. "Orang yang disayang akan tinggal dengan orang yang disayangi tak kira di mana anda berada". Amaran Kerajaan Malaysia: Pastikan anda tidak mengalami atau mempunyai sejarah sakit jantung. Pastikan anda menonton filem ini dengan seseorang yang telah lulus untuk prosedur CPR yang betul.


Rating walids : 7.9/10

24 November 2004

The Incredibles (2004)

The IncrediblesOleh Elya

Se'incredible' namanya, begitulah jua animasi ini. Animasi keluaran Pixar ini lebih baik daripada keluaran animasi sebelumnya. Sebelum ini, animasi terbaik saya yelah Finding Nemo, tetapi juara carta telah dirampas oleh The Incredibles! Bravo!

Pada awalnya, sewaktu melihat trailer cerita ini, saya tidaklah begitu tertarik untuk menonton keseluruhan ceritanya. Mungkin gaya Superhero (Mr Incredible) yang kurang kiut, perut gendut dan dagu panjang membantutkan keinginan saya untuk menonton animasi ini. Agak 'goofy' dan bodoh-bodoh alang gitu.

Menontonnya secara tidak sengaja di rumah ibu ketika berhari raya , telah membuatkan saya terpaku di depan tv sehingga filem selesai! Iya, bicidi che' non kepunyaan Abang Ngah membuatkan saya tertengok cerita ini secara tidak sengaja.

Kisahnya mudah sahaja, kisah seorang super hero yang bernama Mr Incredible yang setelah beberapa lama menjalankan tugas harian sebagai hero terpaksa memendamkan kebolehan heronya dan hidup seperti rakyat jelata yang lain. Semua ini bermula dengan saman oleh seorang rakyat biasa yang tidak rela deselamatkan oleh Mr Incredibles ini.

Bermula itu, saman demi saman Mr Incredibles terima dan dia telah naik turun mahkamah, dan Mejistret telah menjatuhkan hukuman tiga tahun kerja berat! Huhuhu. Bukan kepada dia saja, tetapi juga kawannya, Superhero Frozone. Dia telah diarahkan agar tidak memprektiskan lagi keheroannya dan hidup dalam satu program perlindungan yang mana jika dia atau keluarganya terkantoi menggunakan kebolehan heronya, mereka akan dipindahkan ke tempat lain. Keluarganya? Oh ya, Mr Incredibles telahpun berkahwin dengan Elastigirl, seorang lagi superhero yang boleh memplastik-surgerykan badannya menjadi elastik dan tahan lasak, dan dikurniakan tiga orang cahaya mata yang juga mempunyai kebolehan luarbiasa.

Violet, anak yang tua. Dash, anak yang tengah. Dan Jack, anak yang bungsu. (Ikut style macam citer Tiga Abdul) Violet mempunyai kebolehan menghaibkan diri dan menghasilkan satu perisai medan kuasa. Dia seorang anak gadis yang sangat pemalu , selalu menyembunyikan diri di balik rambut 'goth'nya. Dash, (watak fevret saya) berupaya untuk memecut lebih laju dari cahaya gamaknya, anak nakal yang sering mendengki cikgu kelasnya tetapi tidak pernah kantoi walaupun cikgu nya telah merakamkan perbuatannya didalam kamera. Pergh punya laju, sampai kemre pun tak dapat tangkap kelajuannya. Jack, yang disangka tiada kebolehan luarbiasa pun rupanya ada juga.. Tak dapat dipastikan apa dia, mungkin terer mengubah diri menjadi monster kot.

Hidup sebagai rakyat biasa memang susah, dan keluarga ini sebenarnya tengah 'struggling' daripada masalah rumahtangga dan kewangan mereka. Mr Incredible sebagai rakyat biasa, menggunakan nama Bob Parr. (Sesuailah tu dengan keadaannya yang memang jadi 'par' atau dalam bahasa tagalognya 'average'), seorang pegawai insurans yang masih tak dapat melawan dirinya daripada menolong pelanggannya claim duit insurans sehinggakan kerjayanya sendiri terancam.

Tetapi hero tetap berjiwa hero, Mr Incredibles telah menerima panggilan rahsia untuk menyelamatkan dunia dari cengkaman Robot Jahat. Tetapi, malangnya, itu hanya tipu helah semata penjahat, Syndrome yang mempunyai dendam kesumat yang mendalam dan terpendam sejak 15 tahun yg lalu.

Inilah detik terbest cerita ini, yang mana ketika inilah kesemua anak beranak super hero ini, (kecuali baby Jack Jack, sebab dia baby lagi) telah cuba menyelamatkan ayah / suami mereka. Time ini jugakla mak diaorang (Elastigirl) menunjukkan ketererannya, Violet dan Dash pula dapat discover sejauh mana kebolehan mereka. Yang saya suka tentang jalan cerita ini yelah, tak seperti kisah hero lain yang selalunya terlupa akan apa yang diorang ada, menyebabkan diaorang tertangkap,dan sebagainya. (Contoh : Hero ni boleh tengok tembus dinding, kenapa tak tengok ada penjahat datang, dan last last dia kena tangkap)

Tapi, dalam cerita ini, kebolehannya dimaksimumkan, malah ada yang nak didiscover lagi! Dash contohnya tak tau dia boleh berlari atas air, tak tau dia boleh lari sepantas itu, dan boleh tumbuk penjahat, dsb. Begitu juga dengan Violet, yang tak tau betapa kuat dia punya 'force field'. Semua kebolehan digunakan dengan sebaik-baiknya dan semaksimumnya.

Saya tak dapat komen banyak tentang kecanggihan teknik animasi kerna bicidi che'non abang ngahku tidaklah mempunyai gambar yang cukup terang untuk dipuji-puji. Akan kutonton wayangnya nanti untuk melihat kecanggihan teknik animasi yang di gembar-gemburkan sebagai terbaik setakat ini dek kerna penggunaan teknik pencahayaan, pergerakan rambut dan pakaian yang sangat bagus katanya. Saya percaya dengan dakwaan itu, kerna ketika Finding Nemo dahulupun, saya terpegun dengan teknik pencahayaan yang dibuat yang berjaya memperlihatkan variasi kedalaman lautan, liuk lentuk ikan dan sotong, sungguh menakjubkan.

Writer/Tuan Direktor Brad Bird yang pernah mengarahkan Iron Giant (iron what?) sebelum ini, diberi kepercayaan untuk mendirektorkan animasi ini . Beliau benar-benar terer menjadikan cerita ini sungguh sungguh sungguh menghiburkan sehinggakan saya sendiri rasa 2 jam macam tak cukup. Penuh dengan aksi lasak, lawak sinis, lawak yang tak boleh ditangkap oleh kanak-kanak, hanya orang dewasa sahaja dapat tangkap pun ada, kekeluargaan, orang jahat, baik, 'real world' ; yelah, kat mana lagi ada berlaku orang buat baik dibalas jahat? (Yg Mr incredible kena sue tu la sebab buat baik) Pendek kata, ada Ria ada Raya...

Holly Hunter sesuaila dengan karekter Elastigirl/Helen Parr , ibu @ supermom , Craig T Nelson cukup berkebolehan menjadi suara Superhero Mr Incredible / Bob Parr yang terpaksa rela menjadi rakyat biasa, Sarah Vowell sebagai Violet (Siapa dia ni, oo.. dia ni dari National Public Radios : This American Life; entah kehapanya itu ntah..huhuhu), Dash, suara comel Spencer Fox (anak kecil umur 11 tawun), Samuel L Jackson (tak perlu diperkenalkan lagi) sebagai Frozone, lagi sorang superhero yang 'cool' 'ice ice baby' dan Jason Lee sebagai penjahat, Syndrome. Tuan Direktor Burung (Bird) pula sebagai Edna Mode, pereka baju superhero yang genius. Kesemua mereka menjayakan watak masing2 dengan penuh cemerlang, gemilang, terbilang. Huhuhu..

Cuma ada terfikir di batu jemala patik, Edna Mode ni, ( dia ni pereka pakaian canggih yang akan dipakai oleh superhero ni) ,adalah pereka paling professional, brilliant, bijak, cerdik pandai, tapi, buat baju Mr Incredibles pun tak saiz jugak. Kalau betul terer, kenapa tali pinggang Mr Incredibles tak muat? Mungkin saiz dia ukur masa sebelum perutnya menjadi gendut gamaknya. Huhuhu. (Yang ni bukan spoiler a, ini ada dalam trailer, alah, yang dia nak pakai tali pinggang tu , bertungkus lumus, bila dah pakai, buckle dia tercabut dan terpelanting pulak) Itujelah yang saya nampak tak logik sangatnya. Walaupun cerita tu memang le tak logik. Hehe...

Apapun, walaupun hanya menonton bicidi che’ non abang ngahku, dapat kurasakan kehebatan The Incredibles ini. Apatah lagi jika nontonin wayangnya. Setakat ini, inilah filem animasi terbaik pernah kutonton. Dan juga kawan-kawan, untuk pengetahuan selanjutnya jangan lupa melawat www.theincredibles.com, site ni canggih o..

Untuk filem ini, saya beri 5 bintang.

13 November 2004

02 November 2004

Ulasan Filem : The Stepford Wives (2004)

Stepford WivesOleh Fadz

Ira Levin (penulis Rosemary's Baby dan Sliver) membuatkan segala sentuhannya sangat biasa dan bisa apabila memperkatakan tentang realiti masyarakatnya. Termasuklah filem kecil tetapi besar ini. Antara filem 'black comedy' dari seorang pengarah black comedy yang baik, Frank Oz.

Pada 70-an, filem ini telahpun difilemkan, tetapi lebih dekat dengan 'seram' buku Ira Levin tentang feminiti, machoisme dan bagaimana dua pihak berlainan seks ini mengidentitikan diri mereka dan bagaimana mereka mengidentitikan lawanan seks mereka. Frank Oz dengan menyentuh realiti abad ke-21 dengan gaya ala Sex and The City, yang mana wanita yang berkuasa dilihat sebagai manusia berpelir (dan juga kelakar).

Filem ini cuba 'memotong pelir' wanita-wanita individualistik, berkuasa, tangkas dan moden ini yang mana pengakhirannya, dengan sangat sinis dan geli hati, 'pelir-pelir' si lelaki yang dicantas dengan gerun dan mutlak. Paling menarik, tona thriller dan kadang-kala seram (seperti waktu Nicole Kidman dihentikan kerja) masih terasa dalam filem ini, merojakkan keriangan dan gula-gula ini dengan cuka masam dan sedikit lada hitam.

Tema terpenting filem ini adalah, seperti mana setiap stereotaip filem-filem romantik dan komedi Hollywood (tapi tidak bermakna formulaik ini tidak berjaya dalam filem ini) bahawa cinta sepatutnya dirasai kerana kehebatan dan kelemahan insan masing-masing dalam mengalaminya, dan bukan mengubahnya. Dengan kelincahan Nicole Kidman yang terkawal, dan emosinya yang sangat berkesan pada satu-satu babak, filem ini berjaya dibawa olehnya (juga satu kutukan terhadap Tom Cruise, sebagai 'si suami yang lebih rendah dari bininya'... No wonder Matt Borderick plays the husband in this feature!).

Ini ditolong oleh ketidaktentuan yang juga terkawal Bette Midler. Kata-katanya yang spontan ("They grow up so fast, i think im gonna have more") sungguh lucu dan mencuit. Paling mengejutkan, kerana lakonan-lakonan kerasnya sebagai wanita berpelir (Fatal Attraction terutamanya), Glenn Close menandingi ketetapan stereotaipnya dengan melakukan sesuatu yang dia tidak pernah lakukan, melakonkan watak seorang isteri yang koservatif ala 50-an. Lakonannya sangat menjadi dan juga sungguh lucu (kalau dibandingkan dengan Fatal Attraction). Wataknya memang dibuat untuknya, malah hanya Close sahaja boleh melakukan apa yang beliau lakukan dalam filem ini.

Selain itu, filem ini masih mempersoalkan apa fungsi wanita sebenarnya dalam dunia lelaki dan juga sebaliknya. Sebenarnya, persoalan itu sudah dijawab walaupun situasi sebenar masih eklihatan kompleks.

Tetapi kespontanan pelakon-pelakon dalam filem ini membuat filem ini bukan sahaja sarat dengan mesej fenisimenya, tetapi seronok dan terhibur untuk ditonton.

23 October 2004

Perth & Cuti

Oleh kerana kesibukan yang melampau, aku terpaksa tangguhkan ulasan filem di SKRIN untuk beberapa bulan sehingga bulan Januari 2005. Kalau ada kelapangan, aku akan menulis. (Fadz, DVD kat sini semurah 4.99 dollar - tapi yang lama2). Banyak lagi yang akan aku ceritakan - Insyaallah kalau ada masa nanti.

Aku sekarang berada di Perth, Victoria Park, membantu sedikit sebanyak perniagaan cafe "Makan2" kepunyaan abang aku. Bagi pembaca yang berada di Perth, silalah berkunjung ke sana. (kira promosi la ni haha).

Sehingga berjumpa lagi, Selamat Berpuasa & Eid Mubarak.

Mahhass

05 October 2004

Ulasan Filem : CARANDIRU (2003)

Oleh Mahhass

Carandiru adalah nama sebuah penjara yang menempatkan penjenayah-penjenayah di Sao Paolo, Brazil, khususnya bagi kesalahan berat seperti membunuh. Namun, penjara ini agak luarbiasa keadaannya.

Kawalannya tidaklah terlalu ketat kerana para penghuninya masih lagi dilihat bebas ke sana ke mari, bersosial seolah mereka hidup dalam sebuah sub-komuniti bebas, biarpun masih dihadkan dalam lingkungan kawasannya. Para penghuninya juga boleh melakukan apa jua tugas seperti memasak, dengan hanya diawasi oleh pengawal yang bertugas.

Selain itu, mereka juga dibenarkan membawa bahan hiburan berbentuk televisyen atau radio dan sebagainya ke kurungan masing-masing

Malah wujud juga satu polisi, yang mempermitkan ahli keluarga melawat pada hari yang ditetapkan iaitu "Visitor's Day". Ahli keluarga seperti anak bini misalnya boleh berjumpa dan beramah-mesra sambil melepaskan kerinduan, malah mereka bebas untuk melepaskan nafsu asmara di kamar penjara masing-masing, tanpa menghiraukan ancaman penjenayah lain yang mungkin mereka hadapi.

Suasana yang digambarkan agak harmoni, kerana mereka sedar bahawa itulah satu-satunya peluang atau keistimewaan yang diberikan pihak berkuasa terhadap penghuninya.

Bagaimanapun, itu semua bukanlah fokus utama filem ini. Apa yang dilayarkan oleh Hector Bebenco ialah kisah Dr. Varella, iaitu seorang doktor yang baru sahaja tiba untuk menjalankan rawatan serta pemeriksaan kesihatan penghuni penjara tersebut.

Satu-persatu beliau memeriksa penghuni yang datang untuk mendapatkan rawatan. Hampir sebahagian besar daripada mereka dipercayai telahpun dijangkiti HIV akibat perilaku seks-anal yang berleluasa di kalangan mereka. Dan oleh kerana amalan tersebut hampir tidak boleh dibendung lagi, maka Dr. Varella hanya mampu menasihati mereka agar menggunakan kondom sebagai satu method alternatif.

Apa yang lebih menarik ialah sejarah latar belakang pesakit-pesakitnya dilayarkan kepada kita tentang bagaimana titik asal penglibatan mereka dalam kancah jenayah, dan akhirnya dipenjarakan di Carandiru. Secara tidak langsung, di sinilah kesan emosi bakal wujud yang boleh kita rasai terhadap watak-watak gelapnya, biarpun mereka sebenarnya masih bergelar penjenayah.

Pun begitu, filem ini juga masih memberi fokus secara berselang-seli terhadap keadaan sosial penjara tersebut, yang membuatkan kita tidak berganjak menontonnya. Perhatikan watak seorang "nyah" iaitu Lady Di yang mengaku telah meniduri seramai 2000 orang, akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan buah hatinya, No Way atas dasar saling mencintai. Lihat juga watak Dagger, penjenayah kejam yang akhirnya menangis menginsafi dosa-dosa lalunya. Ia digambarkan penuh poignant dalam suasana penuh subtle.

Filem ini amat berkesan apabila tiada kontras watak hitam dan putih yang wujud secara terus menerus dalamnya, kerana segala-galanya menjadi seakan kelabu. Dan filem ini juga berpegang pada watak-wataknya, bukan sekadar plot yang hebat.

Seperti juga mana-mana filem lain yang bertemakan penjara, konflik, dendam dan pergaduhan juga menjadi titik tolak filem ini, yang mana di kemuncaknya kita dapat saksikan satu rusuhan besar tercetus di bahagian akhirnya. Bunyinya seakan stereotaip, namun, ia digambarkan dengan penuh tragis lagi provokatif. Maka ia menjadikannya antara filem penjara paling "depressing" sekaligus paling cemerlang pernah saya tonton.



Nota : CARANDIRU telah dinominasikan di Cannes Film Festival 2003 kategori Golden Palm (Filem Terbaik). Bagaimanapun, filem yang memenangi anugerah tersebut ialah Elephant.

04 October 2004

Ulasan Filem : The Toolbox Murders (2003)

Oleh Mahhass

Hanya selepas habis menonton, barulah saya tahu bahawa filem ini sebenarnya adalah sebuah remake tahun 1978 di bawah arahan Dennis Donelly. Saya langsung tidak pernah tahu kewujudannya sebelum ini. Filem orginal 1978 ini khabarnya menemui seribu kegagalan. Maka usaha Tobe Hooper memberi nafas baru kepada filem ini dikira amat baik.

Sebenarnya filem remake ini sudahpun dikeluar dan ditayangkan pada akhir tahun lepas di barat, cuma ia (entah kenapa) baru sahaja memasuki panggung kita. Hasilnya, remake ini seolah-olah menjadi ketinggalan dari segala sudut klise ceritanya kerana sudah tentu kita akan membandingkannya dengan genre horror/slasher lain seperti Texas Chainsaw 2003, Freddy vs. Jason, House of 1000 Corpses, Wrong Turn dan sebagainya walhal ia dibikin serentak pada tahun yang sama. Maka untuk itu, Toolbox Murders saya boleh maafkan.

Hampir keseluruhan plot Toolbox Murders diimiginasikan semula oleh Tobe Hooper sambil mengekalkan homage terhadap watak seorang pembunuh menggunakan alatan pertukangan. Pun begitu, beliau cuma dilihat menggunakan watak pembunuh tersebut, sebuah apartmen dan sudah tentu ada mangsanya - yang terlalu berusaha untuk menyiasat misteri kehilangan seorang demi seorang di dalam bangunan tersebut.

Seperkara yang mencacatkan filem ini (selain klise), iaitu penggunaan subplot "supernatural". Elemen ini sepatutnya tidak diwujudkan langsung oleh Hooper. Memanglah ia bertujuan untuk menyelesaikan misteri bangunan tersebut, namun secara peribadinya, ia langsung tidak memikat. Saya kira, filem ini lebih efektif jika bertunjangkan realiti. Perhatikan juga watak Nell, yang menjadi sungguh berani menyiasat tempat persembunyian pembunuh tersebut berseorangan diri, sedangkan sebelum itu kita sama-sama berkongsi ketakukan dengannya.

Apa yang dilihat menarik tentang filem ini ialah pembentukan retro 70an yang dibangkitkan semula oleh Hooper, dicerna dengan baik biarpun segala asasnya berunsur kontemporari. Seolah-olah kita dapat merasai semula kepulangan watak Leatherface (Texas Chainsaw Massacre) ke layar perak dalam versi baru.

Tema "body count", gaya serta teknik membunuh adalah saling tak tumpah malah benar-benar homage terhadap filem-filem beliau era 70an. Perhatikan juga watak seorang maintenance hotel yang penuh misteri, jelas mengingatkan saya kepada filem Eaten Alive serta filem-filem karya Dario Argento seperti Phenomena, Suspiria dan juga Trauma.

Setidak-tidaknya, filem ini berupaya membangkitkan nostalgia bagi peminat slasher 70an, dan bagi mereka yang tidak, maka filem ini boleh sahaja meyakinkan mereka untuk mula membuka mata, mengenal (mencari semula untuk koleksi - di mana lagi kalau bukan di "sekolah filem") seterusnya menghargainya.

Saya sendiri pun akan mencari DVD The Toolbox Murders versi 1978. Maka tidakkah itu tujuan homage?

Nota : Mutu penapisan filem ini di sinema kita sungguh mengecewakan. Adegan yang sepatutnya menjadi bloody, gore, gruesome, ganas dan getir tampak bodoh sekali akibat di'cincang 16' oleh 'mereka-mereka' yang kononnya menjalankan 'tugas'nya.

Tidakkah kalian sedar bahawa filem hanyalah sekadar rekaan bagi tujuan apresiasi? Sedih apabila mengenangkan masih ada lagi yang buta akan definisi F.I.L.E.M. Saranan saya agar mereka belajar membezakan antara filem dan realiti, apa yang asli dan apa yang palsu.

Maka ini akan menguatkan lagi sebab kenapa saya lebih cenderung memilih DVD cetak-rompak (yakni "sekolah filem" kami) berbanding menonton di panggung, kerana paparannya lebih bundar serta jujur.

30 September 2004

Ulasan Filem : Resident Evil – Apocalypse (2004)

Oleh Mahhass

Sebelum saya dan Fadz melangkah masuk ke panggung petang tadi, kotak minda kami sudahpun diprogram rapi – (kami faham filem kedua ini dikutuk habis-habisan oleh pengkritik barat -mereka dah tonton dahulu seminggu dua lepas – jadi bukan salah kita, salahkan pengusaha wayang Malaysia kenapa lambat). Jadi kami menontonnya kerana ini adalah antara genre kegilaan kami... (oo yes pastinya sebab zombie).

Kami juga sepakat untuk mengatakan yang filem pertamanya adalah antara genre horror yang terbaik tahun 2002. Jadi itu amat-amat mempengaruhi kami untuk menonton sambungannya.

Kita semua tahu bahawa kerja mengadaptasi sesebuah video-game ke layar lebar sememangnya diakui bukan tugas yang mudah. Seperkara penting yang setidak-tidaknya mesti ada ialah plot asalnya. Tidak kurang juga watak-watak yang terkandung di dalamnya.

Walaubagaimanapun, struktur naratif tidak semestinya disusun selaras ataupun dipindahkan bulat-bulat ke dalam filem. Kenapa? Kerana apabila dibuat sedemikian rupa, maka hasilnya akan menjadi seperti sekuel Resident Evil ini – menjadi agak luar dari jangkauan logikal minda, hambar walaupun sarat dengan non-stop action, karakter-karakternya menjadi pelik malah segalanya tampak kartunistik, slapstik ataupun istilah saya yang terbaru – terlalu CGIstik... (boleh gitu?)

Barangkali sekuel ini dibikin khas bagi tidak menghampakan pengikut atau penggemar video-gamenya, yang dahulunya bising-bising, kutuk-kutuk oleh sebab filem pertamanya agak menyimpang dari plot originalnya. Tapi tak apalah... kerana saya sendiri pun pernah merasai betapa kecewanya menonton filem House of The Dead sebelum ini (yang juga diadaptasi dari video-game) – itu tidak termasuk Tomb Raider dan juga Mortal Kombat. Bagaimanapun, Resident Evil 1 boleh sahaja berdiri dengan filemnya sekalipun tidak berlandaskan 100% video-game.

Di tangan pengarah baru Alexander Witt, adalah tidak wajar jika saya meletakkan segala kelemahan di bahunya kerana filem ini masih ditulis oleh pengarah filem pertamanya, Paul Anderson. Sudah lumrah tugas seorang pengarah yang tugasnya hanya melayarkan apa yang sudah dinaskhahkan.

Pun begitu, seperti yang saya katakan tadi, barangkali masalah plot asal yang sebenarnya membelenggui mereka walaupun kebanyakan adegan dalam filem ini sarat dengan homage ke atas trilogi "Dead" (walaupun tidaklah se'subtle') George Romero terutamanya Dawn & Day of The Dead - (tidak lupa juga Zack Snyder), Lucio Fulci (Zombie 2 & City of The Living Dead - ketika adegan mayat bangkit dari kubur – pelik juga memikirkan bagaimana mayat-mayat dalam kubur boleh dijangkiti T-Virus tersebut).

Tidak lupa juga Boyle untuk 28 Days Later – sewaktu adegan suspens di dalam gereja yang akhirnya di'rosak'kan oleh aksi Alice yang muncul 'terbang' secara tiba-tiba dengan motornya melalui tingkap lalu membunuh makhluk yang lidahnya sepanjang anaconda.


Antara watak-watak lain yang tidak dikembangkan dengan baik


Barangkali itu sahajalah yang berupaya membangkitkan nostalgia saya sewaktu menonton filem ini. Lain-lain, saya hanya layan seribu satu paparan shock serta aksi-aksinya kerana segala elemen horror seolah-olah hilang tatkala Nemesis muncul di pertengahannya.

Sayang sekali kerana ia dibiarkan hilang malah tidak lagi dirasai sehinggalah ke akhirnya. Maka yang tinggal hanyalah klise tentang perbalahan serta kejahatan manusiawi. Bukankah kita sudah mulai bosan dengan itu semua?

29 September 2004

Ulasan Filem : SUPER SIZE ME (2004)

Oleh Mahhass

Fast-food barangkali boleh dianggap sebagai budaya pemakanan baru Malaysia bermula sejak akhir dekad 80an. Bukan setakat di kota, bahkan ia kini sudah mula dilihat menular ke sub-bandar seluruh Malaysia. Satu ketika dahulu, ia dianggap sebagai 'makanan mewah' atau makanan orang kota, tetapi anggapan sedemikian tidak lagi relevan di masa sekarang. Buktinya, kita boleh lihat percambahan francais-francais syarikat gergasi ini dengan begitu pesat sekali di luar bandar.

Adalah tidak menjadi satu kemustahilan jika di masa 20 tahun akan datang, fast-food (McDonalds misalnya) akan menjadi sebahagian menu seharian kita - sebagai makanan asasi masyarakat menggantikan nasi dan sebagainya andainya generasi baru (anak-anak) 'dididik' dari masa sekarang. Tidak mustahil juga jika menu nasi akan diperlekehkan oleh generasi ini suatu hari nanti. Maka timbul persoalan tentang sejauh mana budaya fast-food ini memberi kesan terhadap kita khususnya dari aspek kesihatan. Adakah budaya pemakanan ini sihat lagi menyihatkan?

Lantaran itu seorang warga amerika, Morgan Spurlock, telah berminat untuk membikin sebuah filem dokumentari bagi menyingkap jawapan kepada persoalan ini. Beliau melakukan eksperimen terhadap dirinya sendiri, iaitu menjadikan hanya makanan segera McDonalds sebagai menu hariannya tanpa menyentuh sebarang makanan lain. Eksperimen yang bercorak RealiTV ini mengambil masa selama 30 hari. Meskipun hanya 30 hari, namun kesannya benar-benar menakutkan!

Bagi menyokong segala usahanya, beliau mendapatkan khidmat beberapa orang pakar nutrisionis, kardiologis serta pakar-pakar lain yang terlibat secara tidak langsung, sebagai bukti sokongan eksperimen yang dijalankannya.

Filem dokurealiti terbitan produksi indie di bawah arahan Morgan Spurlock yang juga selaku bahan utama eksperimen ini berjaya menggegarkan syarikat gergasi McDonalds. Lihat saja bagaimana drastiknya perubahan kesihatannya sejurus selepas memasuki minggu pertama lagi. Selain peningkatan berat badan, kadar kolestrol juga menunjukkannya berada di tahap bahaya sehinggakan beliau dinasihatkan agar tidak meneruskan kerja yang dianggap gila tersebut.

Jika sebelum ini, Michael Moore telah berjaya mendedahkan teori konspirasi politikal dalam Fahrenheit 9/11 serta realiti tabiat buruk masyarakat amerika dalam Bowling For Columbine. Pun begitu, impak serangan yang ditimbulkan barangkali hanya ke atas Amerika, kehangatannya tidak terlalu di rasai di luar Amerika.

Tidak kurang juga dengan program RealiTV yang bersilih-ganti di kaca televisyen – yang memperjuangkan siapa bakal juara, siapa yang patut dikeluarkan, juga menonton sekumpulan manusia di sebuah pulau berbalah-balahan, yang lebih teruk lagi apabila melihat pesertanya menangis kita pun turut sama menangis. Itu semua hanya sekadar hiburan, non-educational malah tidak mampu merubah kehidupan penontonnya (barangkali mengubah dari segi kewangan).

Namun, Super Size Me dilihat begitu berbeza sekali kerana ia bukan setakat dirasai, malah sebuah satira yang menguja lagi menggetarkan. Ia sarat dengan ilmu (seolah-olah menonton saluran Discovery Channel) malah tidak mustahil untuk merubah persepsi masyarakat kita terhadap budaya fast-food ini. Ia juga boleh dinilai sebagai sebuah pendistorsian budaya yang benar-benar berkesan.

Dan saya percaya, dokurealiti ini pasti akan menjadi igauan ngeri pemilik syarikat gergasi McDonalds serta yang seangkatannya di Malaysia. Maka benarlah kata orang bahawa realiti sememangnya pahit.


Morgan Spurlock melakukannya 3 kali sehari 30 hari berturut-turut. Sanggupkah kita?


Nota : Filem ini telahpun menggondol anugerah Sutradara Terbaik dalam Sundance Film Festival 2004 serta memasuki beberapa festival filem antarabangsa.

24 September 2004

Ulasan Filem : Cinema Paradiso (1989)

Oleh Mahhass

Asalnya bangunan itu, meskipun usang pada zahirnya, namun ia tesergam megah di tengah-tengah komuniti masyarakat sekitarnya. Ia menjadi satu-satunya mata punca hiburan penduduknya, tanpa mengira tua muda, asal keturunan, pangkat atau darjat, yang berada mahupun yang daif.

Di sana, adakalanya kedengaran mereka ketawa, gema sorak-sorai riuh rendah, adakalanya mereka naik berang lantas mengamuk dan adakalanya mereka bersedih - menangis semahu-mahunya tanpa mempedulikan sesiapa jua.

Ia juga, telah menjadi sebati dalam kehidupan, malah kebanggaan masyarakatnya. Sehinggalah pada suatu malam yang penuh celaka, mengecewakan mereka untuk terus berhibur lagi kerana bangunan itu hangus dijilat api. Namun akhirnya ia dibangunkan semula, lantaran kembali menceriakan mereka.

Suasana yang saya gambarkan itu sebenarnya merupakan sebuah panggung wayang yang diberi nama "Cinema Paradiso". Ia menjadi tempat yang menjadi simbol keagungan sebuah ikatan persahabatan di antara Salvatore dan Alfredo serta cinta mereka terhadap sinema.

Kisah ini dilayarkan secara imbas kembali, di saat Salvatore (atau Toto - nama gelarannya sejak kecil) sudahpun berjaya sebagai pembikin filem terkenal, setelah pergi membawa diri 30 tahun meninggalkan tempat di mana beliau mula mengenali keunggulan sinema. Berita kematian Alfredo mengundang beliau semula ke sana sambil kita menyelami nostalgia bermula saat beliau masih kecil hingga mula mengenali alam dewasa.

Entah berapa kali saya menangis sewaktu menonton filem ini. Barangkali kerana kekuatan hubungan sentimentalis yang terjalin di antara seorang lelaki tua (Alfredo) dengan Toto, seorang budak yang sangat menggemari filem (sehinggakan sanggup menggunakan wang ibunya yang sepatutnya dibeli susu, tetapi dibelinya tiket wayang!) itu menjadikannya menyentuh sekaligus menceriakan.

Sewaktu melangkah ke alam remaja, Salvatore telah jatuh hati dengan seorang gadis bernama Elena. Kisah cinta yang digarap penuh suka-duka ini sebenarnya melengkapkan lagi sebuah naskhah hebat karya penulis/pengarah Giuseppe Tornatore ini. Seawal perkenalannya digambarkan penuh romantis – hampir saban malam Salvatore menunggu agar Elena membuka jendela kamarnya, bagi menandakan cintanya diterima. Meskipun, akhirnya diterima, namun percintaan mereka menemui jalan buntu berikutan tentangan dari keluarga Elena.

Alfredo & Toto
Saat ceria mereka berdua tatkala projektor dipancarkan ke luar panggung


Pun begitu, kekuatan filem ini bukanlah tertunjang pada plot cintanya semata-mata. Ia masih tertumpu halus pada kisah sinema serta konflik antara cinta dan kerjayanya sebagai projeksionis. Lebih tragis apabila di akhir filem ini, Salvatore tidak sempat menemui Alfredo buat kali terakhir – hanya sempat berada di upacara pengkebumiannya. Bagaimanapun, sebelum pemergiannya, beliau ada meninggalkan sesuatu buat Salvatore – iaitu segulung filem yang mengandungi paparan "Screen Kiss" yang sebelum ini telah dieditkan beliau.

Ia satu peninggalan yang amat menyentuh lagi menghibakan. Dan sekali lagi, membuatkan saya menangis di saat akhir filem ini.

SKRIN Rating : 4.5/5
"Wajib-tonton bagi semua peminat filem"

22 September 2004

100 Greatest Films - Bonnie & Clyde (1967)

Oleh Mahhass

Saya belum boleh menganggap diri saya "film-buff", selagi saya belum (habis) menonton filem-filem klasik hebat era 50an, 60an, serta 70an atau mana-mana filem yang dianggap para pengkritik sebagai "100 Greatest Films". Dan oleh kerana itu, saya hanya mampu mengaut 57 mata dalam "Film-Buff Test" yang saya cuba-cuba melalui internet baru-baru ini.

Malu untuk saya katakan yang saya baru sahaja menonton filem Bonnie & Clyde (1967). Saya malu kerana filem ini dianggap 'ikon' kepada segala filem yang bertema gangster/jenayah seluruh dunia. Ia juga ditakrifkan sebagai "filem revolusi" atau landmark di saat produksi Hollywood di ambang kemunduran atau kejatuhan. Malah filem ini menjadi "influential film" bagi sub-genre crime/gangster-romantik sehingga kini.

"They’re young...They’re in Love... and they kill people." Itu adalah tagline penuh waja untuk filem ini.

Sebenarnya filem ini, sewaktu awal diputarkan telah mendapat kritikan yang hebat oleh sebahagian besar pengkritik filem waktu itu (bukan sahaja di kalangan mainstream). Memaksa filem ini ditutup awal dengan seribu kontroversi. Agak lama juga sehingga ada di kalangan pengkritik mengakui kesilapan mereka mengkritik filem tersebut. Bagaimanapun, Bonnie & Clyde akhirnya dinominasi dan merangkul dua anugerah di Academy Awards tahun 1968 (dan beberapa anugerah di festival lain).

Berlatarbelakangkan era 1930an, filem ini tampak hebat. Dari skrip, arahan, kostum, set, sinematografi, lokasi, dialog, casting malah semuanya hebat. Memanglah tidak adil untuk saya bandingkan segalanya di masa sekarang, cuma kita perlu bayangkan satu situasi baru yang diwujud dan diketengahkan oleh penulis skrip dan lakonlayarnya iaitu David Newman dan Robert Benton, di bawah arahan Arthur Penn ketika itu – yang menguja. Pastinya ia sebuah revolusi perfileman biarpun pada awalnya rata-rata membenci, akhirnya mereka julang juga. Ini yang sepatutnya berlaku di Malaysia.

Filem ini diinspirasikan dari separa-biografi dua penjenayah Bonnie Parker dan Clyde Farrow. Apa yang menarik, kisah ini dilayarkan bermula saat perkenalan mereka berdua, iaitu ketika Clyde cuba mencuri kereta milik ibu Bonnie. Saat itu digambarkan Bonnie berada dalam kemuncak depresi (telanjang secara fizikal), seolah-olah kebosanan hidup dan ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya. Perkenalan beliau dengan Clyde sungguh cantik dan amat menjadi. Dan ini merupakan saat pertemuan yang paling jujur, realis, simplicity, humoristik dan romantis pernah difilemkan.

Begitu juga ketika Bonnie kecewa/merajuk dan lari ke sebuah lading, lantas dikejar Clyde. Perhatikan wide-shot yang digunakan, dan dalam masa yang sama perhatikan juga awan mendung yang berarak (barangkali 'kebetulan') – menggambarkan 'klimaks' depresi kedua-dua antagonis tersebut. Adegan tersebut paling terserlah kecantikannya dan merupakan salah satu 'adegan-paling'-diingati' untuk filem ini.

Antara line menarik : "This here's Miss Bonnie Parker. I'm Clyde Barrow...We rob banks"! Kata-kata jenaka itu sebenarnya sangat serius sekaligus meletakkannya antara line yang seringkali diungkap-sebut oleh anak-anak muda ketika itu.

Bonnie & Clyde sebenarnya merupakan filem satira terhadap sektor kewangan khususnya institusi bank yang dilihat sering membelenggu serta menindas para peminjamnya. Satu adegan yang jelas memberi kutukan besar ialah ketika Clyde menyuruh seorang petani miskin (membawa bersama anak-anaknya meninjau untuk kali terakhir rumah mereka) menembak notis 'rampasan' bank dipasang di luar rumahnya. Adegan tersebut sebenarnya sangat mengharukan.

B & C juga dianggap sebagai filem paling realistik dari sudut keganasan waktu itu. (Sepertimana kita tonton filem-filem getir dan ganas masakini). Saya boleh membayangkan reaksi 'shock' yang dialami penontonnya sewaktu adegan Clyde menembak tepat ke muka salah seorang polis yang cuba mengejar mereka! Ironi kerana kita masih boleh memaafkannya.

Bagaimanapun, sudah menjadi "hukum-cerita" - kedua-dua watak ini berakhir dengan keadilan sosial (Bonnie dan Clyde diperangkap dan ditembak bertalu-talu), namun apa yang menjadikannya istimewa ialah pendistorsian karakter serta perasaan emosi dan empati yang berjaya diwujudkan dalam filem ini. Adegan tragis di saat akhir tersebut berjaya menambat jiwa kita – dan saya percaya barangkali ada insan yang akan menangisi adegan ini.

Seperti yang saya katakan tadi, Bonnie & Clyde semestinya akan kekal sebagai ikon Hollywood, berikutan tercetusnya filem-filem hebat era 70an seperti The French Connection (1971) (juga mengambil Gene Hackman), trilogi Godfather dan seterusnya untuk sinema alaf baru.

Nota : Ucapan terima kasih untuk saudara Fadz, kerana sudi meminjamkan saya filem-filem hebat ini. Selepas ini saya akan cuba coretkan kata hati saya untuk filem The Graduate (1967) pula.

20 September 2004

Ulasan Filem : Cronos (1994)

Oleh Mahhass

Kembali ber'horror'. Kali ini bukan sembarangan, kerana filem ini telahpun berjaya membolot 9 anugerah di Mexican Film Awards 1993 (Ariel Awards) – termasuk Filem Terbaik. Bukan itu sahaja, filem ini juga mendapat Critics' Prize (Merc-Benz Awards) di Cannes Film Festival 1993. Ya, Cronos adalah filem horror. Kenapa? Filem horror tak boleh menang award filem terbaik?

Apabila saya sebut nama Guillermo Del Toro, barangkali ramai yang menggeleng tak kenal, lainlah jika saya sebutkan filem-filem seperti Mimic, Devil's Backbone, Blade (2) atau yang terbaru Hellboy. Maka boleh jadi juga di kalangan mainstream, mereka lebih kenal filem berbanding pengarahnya. Malah bukan setakat tak kenal, mereka taknak ambil tahu pun.

Buktinya, apabila saya pernah mengesyorkan rakan saya sendiri untuk menonton filem Sepet yang akan ditayangkan di Singapura nanti. Saya memberitahunya filem itu arahan Yasmin Ahmad. (Sambil menggeleng) dia tanya saya siapa Yasmin Ahmad. Saya jawab yang bikin cerekarama Rabun. Sekali lagi dia geleng tanda tak tahu. Lalu saya jelaskan lagi yang Yasmin Ahmad adalah penulis/pengarah yang bikin iklan-iklan Petronas kat dalam TV tu. Ketika itu barulah terdengar "Oooo..." dari mulutnya seraya tersenyum. "Eh.. dia bikin iklan best-best, kalau bikin filem mesti lagi best kan?" - Saya jawab : "..sebab tu la aku suruh kau pergi S'pore, filem tu takkan ditayang sini." Dia jawab balik : "Pulak dah...?"

Sebenarnya, Guillermo Del Toro (pengarah kelahiran Mexico) ini mula bergiat dalam bidang perfileman sewaktu beliau dalam usia 21 tahun lagi. Sehinggalah beliau berjaya pada usia 29 tahun, sesudah meraih gelaran pengarah terbaik untuk filem Cronos ini. Jadi dalam usia semuda itu, bukan hanya berjaya, malah boleh dikatakan cemerlang khususnya untuk genre tersebut. Bukan mudah untuk membikin filem horror, memenangi anugerah lagilah teramat sukar. Tetapi beliau telah merealisasikannya.

Cronos ialah filem yang berkisarkan tentang 'immortaliti'. Ia juga boleh dianggap sebuah homage kepada filem-filem yang diadaptasi dari karya Bram Stoker : Nosferatu, Blood for Dracula (1974), Dracula (Ford Coppola), Vampire, Van Helsing serta filem-filem vampirisme lain. Meskipun homage, namun beliau masih memberikan sebuah karya 100% asli, tanpa perlu mengaitkan nama Bram Stoker atau mana-mana versi lain (vampire/Dracula) sebelum ini.

Di pembukaannya, Cronos membawa kita kembali pada abad ke 14, iaitu seorang alchemist berbangsa Sepanyol yang mencipta sebuah "alat" kecil sebesar tapak tangan dan berbentuk seperti kumbang berwarna emas. Alat tersebut apabila diletakkan di telapak tangan, akan mengeluarkan jarum kecil seterusnya merembeskan kandungannya. Seterusnya menjadikan pemiliknya 'immortaliti' atau tidak akan mati mahupun dimamah usia.

Beberapa abad kemudian, (untuk dijadikan ceritanya) alchemist tersebut telah mati di bawah runtuhan bangunan selepas kejadian gempa bumi besar. (Oh ya, pemakai alat tersebut boleh mati dengan syarat jantungnya ditikam atau ditusuk). Akhirnya kini, alat tersebut (yang tersorok dalam sebuah patung) jatuh ke tangan seorang peniaga (tua) kedai barangan antik bernama Jesus Gris (lakonan Federico Luppi). Di kedai, beliau ditemani cucu perempuannya, Aurora yang sentiasa dilihat membisu seribu bahasa.

Kekuatan kisah seram klasik ini sebenarnya tidak terletak pada ceritanya (barangkali klise), tetapi pada emosi yang dijanakan dalam karakternya yang begitu menyentuh sekali. Persis hubungan seorang datuk dan cucu yang terjalin begitu kuat – lihat sahaja ketika cucunya menyambut kepulangan datuknya, walhal dia tahu bahawa datuknya itu sepatutnya sudah mati. Dan ini menjadikan Cronos sebenarnya sebuah filem horror yang bertemakan kasih sayang. Maka kerana itu filem ini amat cantik lagi menghibakan. Ia diadun dengan sentuhan latarbelakang muziknya yang membentuk dan menggabungkan suasana seram-hiba tersebut.

Filem ini sebenarnya mengutuk immortaliti, malah penyangkalan hukum-ajal itu merupakan satu hukuman terhadap dosa yang pastinya ditanggung – maka dunia itu 'neraka' mereka. Ironinya, kasih sayang masih lagi terjalin di antara mereka sekeluarga. Perhatikan keadaan Jesus – yang tidak lagi 'hidup' secara fizikal dan akhirnya beliau hanya mampu terlantar. Barangkali menantikan sebuah lagi gempa bumi yang dahsyat (sekali lagi) datang mengambil nyawanya untuk selama-lamanya.

17 September 2004

Ulasan Filem : Lantana (2001)

LantanaOleh Mahhass

Saya harus berlaku jujur di sini dengan mengatakan bahawa sedikit-sebanyak saya telah tertipu oleh cover dvd atau poster filem ini. Kerana sudah pastinya (dengan melihat covernya) saya teruja dan telahpun membayangkan segala paparan visual horror/misteri atau crime/pembunuhan sebelum menontonnya. Tambahan lagi dengan terpampangnya sebaris ungkapan besar "Two Big Thumbs Up" oleh pengkritik terkenal Roger Ebert.

Walaubagaimanapun, 'tertipu' TIDAK bererti saya kecewa. Malah, filem ini memberikan yang lebih baik dari yang saya jangkakan. Dan sepatutnya, saya tidak perlu merasa tertipu kerana sememangnya wujud plot misteri tentang kehilangan seorang wanita dalam filem ini. Maka, barangkali tertipu itu lebih bersifat peribadi.

Lantana ialah sebuah produksi Australia. Ini adalah kali pertama saya menonton genre misteri/suspens/jenayah (produksi Australia bertaraf antarabangsa) selain filem bertemakan drama sosial-humanisme seperti Rabbit-Proof Fence dan juga Black and White baru-baru ini. (Saya tidak mengambil kira filem zombie-horror Undead yang dikeluarkan tahun sudah).

Tirai Lantana dibuka dengan paparan visual mayat seorang wanita yang penuh misteri. Visual tersebut mengingatkan saya pada filem L'Humanite – bezanya cuma imej yang dipaparkan dalam Lantana lebih 'tertutup' berbanding imej 'keterbukaan' mayat seorang gadis bawah umur dalam filem L'Humanite. Seterusnya, filem ini kembali pada saat permulaannya, yakni mula mengkhususkan dan mengembangkan satu persatu watak-watak yang memainkan peranan dalam menggerakkan plot drama misteri ini.

Kita akan mula mengenali watak Leon, seorang anggota polis penyiasat yang berlaku curang terhadap isterinya Sonja walaupun beliau sedar yang beliau masih menyintai isterinya. Sonja pula asyik menumpukan minatnya dalam tarian Salsa. Secara kebetulan, rakan sekelasnya iaitu Jane, yang sebenarnya dicurangi suaminya.

Sonja pula (walaupun tidak pernah tahu akan hubungan suaminya dengan Jane) seringkali tertekan dengan keadaan keluarganya lantas menemui penasihat psikologi, Valeri Somers – yang juga mengalami masalah rumahtangga setelah kematian anaknya. Dalam filem ini kita akan dapati bahawa Valerie telah 'hilang' secara misteri di sebuah kawasan sunyi sewaktu keretanya rosak di tepi jalan. Dan sekali lagi secara kebetulannya, Leon merupakan orang yang bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut.

Lantana melihatkan beberapa unsur 'kebetulan' serta hubungan yang 'wujud' di antara watak-wataknya. Malah, perkaitan yang wujud itu amat unik, tidak ternafi oleh logikal minda kita. Lihat sahaja watak Jane, yang juga mengalami masalah rumahtangga – akhirnya mengambil jalan mudah melepaskan hawa nafsu dengan Leon – sedangkan suaminya masih lagi dilihat menyayanginya. Dalam masa yang sama juga, beliau seakan cuba menggoda jirannya Nik - sederhana keluarganya tetapi kasih sayang yang wujud di antara mereka amat menyentuh. Dan dalam filem ini, Nik menjadi suspek utama kehilangan Valerie berikutan ada saksi dan juga bukti yang membolehkan beliau diheret oleh pihak berkuasa.

Walaupun garapan misteri atau "whodunit" yang menjadi tema di awal pembukaannya, namun sebenarnya filem ini lebih cuba menyampaikan erti sebuah kasih sayang, cinta, kecurangan, sikap toleransi, nilai kejujuran, persahabatan, kesangsian dan yang lebih utama ialah perjuangan sesebuah keluarga itu dalam menempuh serta menangani konflik perhubungan. Saya begitu menyukai filem ini kerana emosi yang wujud di saat akhirnya benar-benar menyentuh lubuk hati.



Filem ini hampir menyapu bersih *anugerah di Australian Film Institute (AFI) untuk tahun 2001 :

1. Best Film – Jan Chapman
2. Best Direction – Ray Lawrence
3. Best Screenplay – Andrew
4. Best Actor – Anthony LaPglia (Leon)
5. Best Actress – Kerry Amstrong (Sonja)
6. Best Supporting Actor – Vince Colosimo (Nik)
7. Best Supporting Actress – Rachael Blake (Jane)

*sumber : www.imdb.com

15 September 2004

Ulasan Filem : La Belle Noiseuse (1991)

The Beautiful TroublemakerOleh Mahhass

La Belle Noiseuse jika diterjemahkan bermaksud "The Beautiful Troublemaker", adalah sebuah filem, yang bukan sahaja artistik dari segi teknik, malah filem ini benar-benar menceritakan tentang seorang 'artist' atau pelukis tua, yang melakarkan ekspresionis minda beliau dalam mencari sesuatu intimasi serta mengolah sesebuah rahsia dari metafizikal ketelanjangan tubuh badan wanita.

Secara peribadinya, La Belle Noiseuse telah mencipta sejarah tersendiri buat saya, iaitu kerana durasinya yang mencecah 4 jam. Belum pernah lagi saya menonton sebuah filem yang sepanjang ini untuk sebuah filem. Walaupun 4 jam, filem 'art' ini sebenarnya cantik dari segi olahan visualnya, kisahnya agak 'compelling' (kecuali di bahagian 1 jam pertamanya). Maka, untuk menonton filem-filem sebegini harus dibekalkan dengan kesabaran yang tinggi. Tambahan lagi dengan penggunaan dialog yang agak minimalis.

Walaupun filem ini memaparkan secara zahir serta beberapa bentuk ilustratif keranjangan wanita (sewaktu proses pelukis tersebut mempotretkan modelnya), namun tiada satupun adegan seks mahupun sensual-erotik yang berlaku dalam filem ini. Dinamiknya, bukan keranjangan fizikal yang cuba dipersembahkan dalam filem ini tetapi emosi yang terbentuk di antara Frenhofer (lakonan Michel Piccoli), iaitu pelukis dan modelnya Marianne (lakonan Emmanuelle Béart).

Apa yang menariknya lagi tentang filem ini ialah kita dapat melihat secara 'simplicity' atau terus-menerus, bagaimana proses ilustrasi lukisan tersebut dilakarkan dengan teknik 'sketch' yang sungguh memberangsangkan, sekaligus kita dapat menyelami perasaan gementar, kesabaran serta keresahan yang wujud di antara dua protagonis filem ini. Keplatonikan antara kedua-duanya memberi ruang penontonnya untuk terus 'mengejar' satu-persatu perjalanan plotnya meskipun filem ini memakan masa yang banyak.

Filem ini juga, hampir langsung tidak berlatarbelakangkan muzik, hanya kedengaran dengusan nafas serta bunyi-bunyian yang terhasil ketika potret tersebut dilakarkan. Itu menambahkan lagi kecantikan asli filem ini.

Saya tidak akan menolak sebarang kemungkinan apabila sesetengah penontonnya tidak dapat menghayati sepenuhnya filem ini (atau mungkin separuh jalan) berikutan struktur perjalanannya yang barangkali begitu lembab dan membosankan.

Tetapi itulah sebenarnya yang 'sengaja' disampaikan oleh dua orang penulis skripnya, Pascal Bonitzer dan Christine Laurent, seterusnya dilayarkan ke skrin oleh sutradara terkenal Jacques Rivette. Ia seakan sebuah gambaran refleksi kehidupan sebenar serta jiwa, kesukaran seorang pelukis (dan modelnya) yang memerlukan komitmen besar serta kesabaran yang jitu dalam melakukan kerja-kerja seni mereka. Maka secara keseluruhannya, filem ini amat sesuai sekali bagi mereka yang berjiwa seni khususnya dalam aliran lukisan dan juga ekspresionisme.



Filem keluaran negara Perancis ini telah merangkul anugerah Grand Prize of the Jury, Prize of the Ecumenical Jury - Special Mention (termasuk nominasi Golden Palm) di Cannes Film Festival 1991.

14 September 2004

Ulasan Filem : Audition (2001)

Oleh Mahhass

Bagi para pembaca budiman yang telahpun mengunjungi laman SKRIN ini sejak dari dulu lagi, pastinya sedia maklum bahawa lazimnya, filem-filem yang diulas oleh saya lebih menjurus kepada yang bercorak seram atau berunsurkan keganasan. Tidak bermakna saya seorang yang ganas mahupun pengganas. Entah kenapa saya sendiri kurang pasti.

Barangkali saya sukakan deruan adrenalin atau debaran, keterujaan serta perasaan klaustrofobia tatkala menonton sesebuah filem tersebut.

Pernah salah seorang sahabat saya Vad, menulis 'testimoni' untuk saya di awal perkenalan kami. Saya benar-benar menghargai penulisan beliau malah saya jadikannya sebagai dorongan untuk saya terus menulis lagi.

Saya juga percaya bahawa TIDAK semua pengunjung laman ini mempunyai minat yang sama seperti saya. Tidak kurang juga yang membenci penulisan saya. Tetapi tidak mengapalah. Saya berpegang pada prinsip – "sesuatu penulisan itu tidak akan sempurna jika semua orang mengiyakannya".

Berbalik semula kepada topik seram-ganas, minggu sudah saya menonton sebuah filem arahan sutradara Jepun terkenal Takeshi Miike berjudul AUDITION atau "Odishin" dalam istilah Jepun. (Sebelum ini saya juga ada mengulas filem terbaru beliau berjudul Visitor Q). Sudah sekian lama saya memerhatikan kulit DVDnya. Cuma kali ini baru saya terbuka hati untuk menelaah isinya.

Memang benar, saya ada terbaca serba sedikit ulasan filem ini di rottentomatoes, namun ia belum berjaya mempengaruhi saya kerana saya agak skeptikal tentangnya. Barangkali saya terlalu 'sombong' – beranggapan bahawa sinema Asia tidak setanding dengan sinema barat khususnya dalam konsep keganasan yang ditonjolkan.

Ternyata saya silap kerana segala paparan keganasan yang divisualkan oleh pengarah muda Jepun dalam filem AUDITION ini berjaya meranapkan segala rasa sangsi saya terhadapnya sekaligus menghantui saya hingga ke saat ini. Saya benar-benar maksudkannya sebagai keganasan ekstrem.

Saya juga berani katakan bahawa pengarah Asia ini boleh saja diletakkan sebaris dengan nama-nama besar seperti George A. Romero, Sam Raimi, Mario Bava, David Lynch, Tobe Hooper, David Crononberg, Dario Argento, Lucio Fulci, Peter Jackson (di awal pembabitan perfilemannya), Quentin Tarantino serta Rob Zombie. Bahkan, AUDITION seolah-olah menjadikan karya Tarantino (Kill Bill) dan Gaspar Noe (Irreversible) boleh diklasifikasikan "PG-13"!

AUDITION mengisahkan Auyoma (lakonan Ryo Ishibashi) yang setelah 7 tahun hidup menduda, mula berkeinginan untuk mencari pengganti isterinya. Perkara ini disedari oleh rakan sekerjanya Yasuhisa Yoshikawa (lakonan Jun Kunimura) yang kebetulan berkerja sebagai produser filem. Seterusnya, mereka mengadakan satu uji bakat 'olok-olok' bagi pencarian seorang pelakon wanita sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan calon isteri Auyoma.

Akhirnya, Auyoma telah terpaut hati dengan salah seorang peserta iaitu Asami - walaupun rakannya ada menyuarakan kesangsian terhadap pemilihan wanita yang penuh misteri tersebut.

Segala-galanya berjalan seperti biasa – strukturnya bergerak perlahan dan mendatar – agak melodrama di bahagian awalnya hinggalah di bahagian pertengahannya. Namun, apabila filem ini mencecah ke 30 minit terakhirnya, barulah kemuncak sebenar dapat kita rasai. Dan kemuncak itu adalah jawapan kepada segala elemen misteri, suspen, surreal, dark-side, psiko, halusinasi, paranoia yang terkandung dalam filem ini.



Corak keganasan dan seksaan (penuh subtle, halus penuh berseni – "deeper... deeper") yang dipaparkan sungguh realistik, menguja, menakutkan, 'eerie', bloody, meloyakan, mengilukan, menyeriaukan, menggelitik, mengerikan malah lebih menyeksakan dari Texas Chainsaw Massacre, House of 1000 Corpses dan filem-filem yang seangkatannya. Barangkali ia setanding Passion of The Christ namun intepretasi seksaan (Passion) tersebut berbeza sama sekali.

Saya tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk 'mempra-tontonkan' filem ini untuk kalian. Bagi mereka yang 'sanggup tahan' akan segala paparan "extreme-violence-extravaganza" - NAH, ini dia filemnya... yang terbaik antara yang terbaik pernah dihasilkan!

SKRIN Rating : A+ (5/5)

13 September 2004

Ulasan Filem : Buai Laju-Laju (2004)

Oleh Mahhass

Filem 'noir' terbaru U-Wei Hj. Saari (yang boleh sahaja saya katakan pengarah berstatus 'cult' tanahair) sekali lagi membawa homej filem terdahulu beliau iaitu Perempuan, Isteri dan Jalang (PIJ) - saya benci dengan perkataan dot-dot-dot yang diberikan.

Namun, kali ini U-Wei terlebih dahulu menyatakan bahawa cetusan idea filem ini ialah berdasarkan dari filem arahan Bob Rafelson (yang ditulis lakon layarnya oleh David Mamet) iaitu Postman Always Rings Twice (1981) – filem remake tahun 1946. Bagi yang pernah menonton filem ini, pastinya tahu bahawa filem ini menggambarkan wanita menggunakan daya tarikan seksualnya untuk kepentingan peribadi. Tambahan lagi, Bob Rafelson sebenarnya seorang penulis dan sutradara yang cukup terkenal menghasilkan filem-filem porno.

Filem ini berbeza sekali dengan PIJ walaupun masih kelihatan formula yang sama disuntik ke dalam BLL. Barangkali, itulah gaya atau 'cult' U-Wei yang saya perkatakan tadi. Tersendiri. Beliau bijak menghidupkan suasana realisme dalam filemnya. Imej budaya serta sosialisme kampung tidak pernah lekang dari karyanya. Dan filem ini sekali lagi membawa 'dark-side' budaya kita yang menguja, menggetar lagi mengghairahkan!

Segala-galanya bermula dengan 7 ringgit 50 sen. Harga makanan yang tidak mampu terbayar oleh Amran (lakonan 'come-back' Eman Manan) sewaktu singgah di warung milik Ibrahim (lakonan 'penuh manusia' - Khalid Salleh) dan isterinya Eton (lakonan Betty Benafe). Oleh kerana Amran tidak mampu, lalu menawarkan diri untuk membuat apa-apa kerja bagi melangsaikan hutang RM7.50 tersebut. Ironi apabila Ibrahim dengan hati terbukanya menawarkan Amran bekerja di warungnya. Maka di sinilah bermula titik-tolak hubungan 'implicit' seksual di antara Amran dan Eton sehingga kedua-duanya merancang untuk membunuh Ibrahim setelah Eton (kononnya) telah mengandungkan anak Amran.

Tema 'gelap' yang digarap juga mengingatkan saya pada filem Dr. Rushdi arahan P. Ramlee suatu ketika dahulu yang (secara peribadinya) mendahului senarai filem 'noir' terbaik pernah dihasilkan setakat ini. Dan filem ini sekali lagi membuktikan bahawa nafsu, seks, kecantikan dan materialisme lebih mengatasi cinta dan oleh kerana itu, manusia dilihat sanggup tunduk dan menyembahnya.

Amran dan EtonKekuatan filem ini terletak sepenuhnya di bahu ketiga-tiga antagonisnya. Eman Manan dan Khalid berjaya memberi kesempurnaan serta nyawa filem ini. Lakonan Benny Benafe saya kira lebih 'daring' dari Sofea Jane dalam PIJ – 'kelabu' dan lebih ghairah tetapi tidaklah menggegarkan sebagaimana watak Zaleha berjaya menggegarkan satu kampung. Tetapi itu cerita lain. Barangkali improvisasi Benny sahaja yang patut diperbaiki. (mengingatkan saya pada improvisasi Nasir Bilal Khan yang sungguh unik dan memukau dalam PIJ!)

Sepertimana Alfred Hitchcock (malah Tinto Brass!) muncul dalam filem-filem mereka, U-Wei juga muncul sewaktu babak kejar-mengejar yang dimuatkan dalam filem ini. Kemunculannya (seingat saya dua kali dalam satu babak) sungguh melucukan. Apatah lagi, dalam babak tersebut beliau ditanya oleh polis (lakonan Adlin Aman Ramli) ke mana arah Amran melarikan diri – beliau menunjukkan arah yang bertentangan. Sungguh sinikal!

Buai Laju-laju telah memasuki Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-17, Cinemanila Film Festival 2004 (Filipina) dinominasikan dalam kategori Lino Brocka Award serta Festival Filem Malaysia ke-17 baru-baru ini. Eman Manan telah menggondol anugerah pelakon lelaki terbaik untuk filem ini.

Seperkara yang memusykilkan saya tentang filem ini ialah rating atau klasifikasi "U" yang diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara. Saya perasan akan perkara ini di skrin jadual tayangannya yang saya perhatikan ketika beratur panjang untuk membeli tiket di TGV KLCC semalam. Jika kita rujuk pada sinopsis dan juga intipatinya, jelas sekali Buai Laju-Laju bertemakan wanita, seks dan pembunuhan. Yang lebih menghairankan lagi apabila filem ini diklasifikasikan "PG" di Singapura. Adakah ini membawa maksud filem ini telahpun 'dicincang habis-habisan' sebelum ia dibuka tayangannya di Malaysia?

kredit foto : kamal @ filemkita.com
ulasan rakan : sultanmuzaffar

10 September 2004

Ulasan Filem : The Ladykillers (2004)

LadykillersOleh Mahhass

Sebetulnya, kali pertama yang saya tonton filem ini, saya tertidur di suku pertamanya. Bosan? Barangkali… Tetapi apabila saya dimaklumkan oleh rakan saya GAIA, bahawa filem ini (yang diterbitkan semula dari versi originalnya tahun 1955) telahpun memasuki Cannes Film Festival 2004 - kategori Golden Palm, saya cuba gagahi untuk menontonnya buat kali kedua - sampai habis.

Maka ternyata filem arahan Coen Brothers ini memikat hati sebenarnya. Walaupun plotnya agak sedikit mendatar pada mulanya, ia cuma memerlukan sedikit kesabaran dalam penghayatan dan pemahamannya. Hanya apabila kita 'nampak' akan muslihat antagonis dalam filem ini, maka barulah kita faham kenapa tutur dialognya terlalu tinggi dan berfalsafah (yang boleh saja mematikan 'mood' menonton di awal bahagian).

Saya meletakkan kekuatan filem ini dibahu Tom Hanks yang membawa watak Professor G.H Dorr. Wataknya 'kelabu', sinikal, humanis dan amat melucukan sekali. Beliau jugalah yang menjadi ketua dalam pakatan menyamun sebuah "Casino" melalui terowong yang dibina bermula dari sebuah rumah milik seorang perempuan tua, Madam Munson (lakonan Irma P. Hall) – yang disewa Prof. Dorr. Beliau dan kuncu-kuncunya menyamar sebagai pemuzik amatur sambil melakukan kerja penggalian terowong tersebut.

Pun begitu, apa yang agak kurang menariknya dalam filem ini, ialah kerana penulis skrip terlalu banyak memberi fokus terhadap subplotnya (kisah kuncu-kuncunya) dari memfokuskan plot utamanya. Biarpun temanya adalah komedi, namun aspek ini perlu diambil kira tambahan lagi pemilihan pelakonnya yang saya kira agak kurang bersesuaian (kecuali Hanks dan Irma Hall). Mungkin niat penulisnya terlalu tinggi, dengan cuba menarik golongan muda menonton filem ini. Saya kira itulah kesilapan besarnya. Dan barangkali juga inilah faktor yang menjadikan filem ini dikritik oleh sebilangan besar pengkritik filem.

Tetapi filem ini sebenarnya menarik, unik serta feel-good, yang boleh membuatkan kita lupa akan beberapa aspek kelemahannya. Dalam filem ini kita dapat perhatikan sebuah utopia atau sosialisasi masyarakat yang begitu sempurna, sehingga digambarkan penjara-penjara sudahpun berdebu, usang tidak berpenghuni sejak sekian lama. Polis-polis yang bertugas di balai boleh disindir sebagai 'makan gaji buta'. Juga digambarkan gereja-gereja yang sentiasa meriah, dipenuhi pengunjungnya serta tatabudaya yang mesra ditonjolkan.

Juga yang menariknya tentang filem ini, ialah apabila sebuah 'pulau' dibina khas sebagai tempat pelupusan sampah-sarap, jauh dari komuniti tersebut. "Pulau sampah" itu sebagai ekspresionis penulisnya, menyimbolkan betapa segarnya suasana komuniti yang terhindar dari segala macam sisa-sisa kotoran (anasir jahat), juga simbolisme 'gelap' membayangi watak 5 orang penyamun tersebut.

Disebalik lakon layar yang agak sedikit longgar (kecuali garapan komedinya), teknik fotografi serta sinematografi yang dipaparkan amat menarik sekali. Walaupun kadang-kadang tampak luar dari jangkauan logikal minda (CGI juga memainkan peranan), namun ia amat kena dengan konsep filem ini. Cantik dan menarik.

Kisah 5 Penyamun


Saya tidak boleh membandingkan versi awal Ladykillers (keluaran British) yang diputarkan pada tahun 1955 oleh sebab saya belum berpeluang menontonnya lagi. Pun begitu, secara peribadinya, saya berani mengatakan bahawa filem ini boleh saja dianggap sebagai sebuah filem remake yang baik dan 'menjadi'. Tetapi dalam masa yang sama juga (yang lebih penting sebenarnya) – membuktikan bahawa karyawan Hollywood semakin ketandusan idea.

09 September 2004

Ulasan Filem : 11'09"01 September 11 (2002)

11 minutes 9 seconds 1 frameOleh Fadz

Semalam malam aku di Institut Asia Eropah Universiti Malaya untuk menonton filem 11'9"01- September 11. Filem ini adalah kumpulan 11 filem pendek yang diterbitkan oleh Alain Brigand dari 11 sutradara di seluruh dunia yang ingin memperkatakan sesuatu tentang 11/9/01 di World Trade Centre New York.

Filem-filemnya mungkin tidak memperkatakan secara menerus tentang tragedi 11/9 sepertimana dokumentari 11/9 yang ditayangkan sebelumnya, tetapi ia sebenar-benarnya adalah rasa hati (tanpa pengaruh Amerika), fikiran, intelektual, dan mata pengarah-pengarahnya tentang rasa, takut, soal, sedih, polemik dan sindiran pada tragedi 'yang patut dirasai oleh seluruh dunia ini', mengatakan bukan sahaja masyarakat New York sahaja yang berhak bertalqin tentang tragedi ini, bukan sahaja USA boleh merintih seperti ibu yang melihat keranda anaknya pergi.

Filem-filem ini adalah filem-filem telus tentang permintaan pengarah-pengarah ini yang 'berjaya' mewakili dunia, tentang apa itu 11/9 pada mereka. Filem ini juga memperkatakan tentang kedatangan satu alaf baru, dan bagaimana manusia perlu mendepaninya. Ia juga agak menakutkan kerana dengan menonton segmen-segmen filem ini, aku merasa 'hari akhirat' seakan sudah kian dekat. Armageddon seakan di sebelah rumah. Maka filem ini menguja penontonnya, apa yang kita perlu buat jika hari akhir sudah terlalu dekat.

Makhmalbaf-Iran

AfghanistanFilem pertama yang bermula adalah filem daripada Samira Makhmalbaf (pengarah Blackboard). Ia adalah filem yang paling senang ditontoni, juga yang paling menyeleruh, merumuskan dan menjadi muqadimah pada setiap kefahaman pengarah filem yang akan menyusur selepasnya tentang tragedi 11/9. Terdapat empati di dalamnya. Terdapat juga sindiran tentang 'perlukah kita peduli tentang tragedi ini?'. Filem ini menggunakan kanak-kanak dunia ketiga untuk menceritakan filemnya. Kata kanak-kanak itu sungguh tulus, kelakar dan sekaligus menyinggung minda. Tuhan dipersoalkan ("Tuhan cipta manusia dan Tuhan musnah manusia", "Tuhan takde kapalterbang!"), kepeludian rakyat dunia ketiga dipersoalkan, juga secara separa sedar, 'musuh-musuh' Amerika sendiri dipersoalkan (pada waktu itu, Iraq, Afghanistan, Iran, dll.) jika mereka perlu bertanggungjawab dengan kejatuhan WTC New York. Ada satu line yang sangat memikat, mengajak kita menonton filem ini dengan hati terbuka, empati tanpa menghakimi dan emosi; sewaktu cikgu kanak-kanak itu berkata: "Keep your innocence O Children." Filem ini diakhiri dengan cikgu kanak-kanak itu mengajak pelajarnya berdiri di bawah cerobong tinggi yang berasap. "Ini menara, gambarkan manusia-manusia di dalamnya". Ia sekaligus kelakar dan poignant. Pada orang New York, akhir filem ini sangat menyentuh dan mengharukan. Pada orang-orang yang masih tidak memahami perlunya bersedih ke atasnya, walaupun tidak bersalah kerana tidak, akan melihat menara itu hanya seperti cerobong yang tinggi dan berasap.

Lelouch-Peranchis

Filem kedua adalah daripada Claude Lelouch. Ia adalah antara segmen paling cantik dibuat, antara 'personal favourite' aku. Segalanya drama manusia, sifat manusia dan kemanusiaan yang dimainkan. Ia cuba menceritakan, sebalik satu-satu tregedi, ada juga hikmahnya, mungkin besar atau kecil tapi penting untuk seseorang itu merasainya dan mencari nilai disebaliknya. Filem ini menceritakan perhubungan yang kian berakhir antara seorang perempuan bisu dengan seorang lelaki yang tiada cacat fizikalnya. Lelaki itu adalah simbol Amerika- angkuh, sedar kemerdekaannya, bebas, bersemangat tinggi, sentiasa tahu bahawa dia boleh berdiri dengan sendiri tanpa pertolongan orang lain. Perempuan itu adalah 'the rest of the world', yang senitasa inginkan intim dan penerimaan Amerika, sehingga diakhir-akhir masa, dia/kita sudah hilang kepercayaan kepadanya, merasa terkilan akannya. Para masyarakat New York tentu marah dengan akhir filem ini kerana ia menimbulkan optimisme pada detik berlakunya bencana itu. Tetapi itulah persoalan yang ingin dihidangkan oleh Lelouch, mencari harapan dalam satu-satu malapetaka, walaupun mungkin untuk seorang individu sahaja. Sangat mengharukan.

Chahine-Mesir

Filem Youssef Chahine pula agak berfalsafah. Pendekatannya mengikut gaya filem-filem Mesir/Arab di mana filemnya disandarkan dengan alunan biola yang menggertak dan suara-suara manusia yang meluah tanpa batas (kita akan sedar bila menonton filem-filem Mesir, ia mempunyai unsur yang sama dengan filem-filem Tamil, Telegu, Punjab dan Hindi, cakap-cakapan terus dan berkias, watak-wataknya terlalu kasar dan terus-terang, unsur dramatiknya dan deringan gesek biolanya yang asyik). Luahan ini adalah 'kata hati' pengarahnya yang sangat berfalsafah, kritis dan sekaligus analitik tentang kebaikan dan keburukan kesan tragedi 11/9. Satu babak yang sungguh klise dalam filem-filem Arab dibuat dalam babak pemuda Palestin yang bersedia untuk berjuang, di mana penggunaan klise itu berjaya menaruh mesej pengarah bahawa drama tetap ada di mana-mana, dan drama di Palestin ini tidak akan berakhir dengan jatuhnya WTC. Ada satu babak yang mencuitkan dan mengharu, bila si pelakon yang membawa watak pengarah itu memusing ke belakang klip kejatuhan Menara Kembar New York ("Aku boleh buat ini"), dan si askar Amerika berkata, "Tapi ia tetap tidak boleh membawa balik nyawa yang tiada lagi". Filem mungkin tidak dapat berbuat apa-apa dan mengubah pendirian manusia, sepertimana kehancuran yang berlaku di Afghanistan dan Iraq sekarang kerana tragedi 11/9. Orang Amerika rasa perlu darah-darah mangsa itu ditebusi. Amat menyedihkan.

Loach-UK

Kerana itu, filem polemik dan sekaligus berkuasa dari Ken Loach seharusnya membuka pekung di dada rakyat Amerika tentang rasionalisasi keinginan mereka untuk berperang kerana tragedi ini. Filem ini sangat kuat dalam mempersoalkan tentang kehibaan orang Amerika (tanpa terlalu menghakimi, kerana watak filem ini yang sebenar, Vladimir Vega memberitahu, "aku berharap kau (USA) juga mengingati kami waktu 11/9 ini") tentang tragedi 11/9. Kerana gaya dokumentari filem ini menjelaskan peristiwa berdarah di Chile waktu 11/9/1973, waktu yang sama di mana Amerika sendiri yang menyerang secara 'terrorist' bandar Chile, Santiago. Aku boleh mengaku bahawa, kekuatan filem dokumentari ini lebih berkesan dari Farenheit 9/11 Micheal Moore.

Tanovic-Croatia

Isi filem daripada Danis Tanovic (pengarah No Man's Land) pula agak sama dengan Makhmalbaf dan Loach. Ia mengjustifikasikan dunia di luar Amerika juga ada hak untuk berhiba waktu 11/9, mengingatinya kerana New York, mengingatinya kerana kemanusiaan atau mengingatinya kerana kita juga mempunyai pengalaman kita sendiri tentang kemusnahan dan kehilangan jiwa. Kita ada hak untuk berhiba dengan cara kita sendiri, tidak tertakluk pada permintaan dan pengaruh Amerika.

Ouerdrago-Afrika Barat

Filem daripada Idrissa Ouedraogo adalah yang paling kelakar dan penuh sindiran. Ia membawa persoalan yang memikat bahawa orang dunia ketiga tidak ada masa untuk bersedih dengan Amerika si negara kaya, tetapi dunia ketiga boleh mendapat keuntungan daripada kesan kesedihan itu. Mungkin ia 'cahaya baru' untuk negara-negara miskin, sekaligus amat pedas kerana menunjukkan kesiksaan di sekeliling dunia sebenarnya lebih penting dari berita-berita dari Negara Barat, yang sepatutnya diselesaikan oleh orang Barat sendiri dengan rasional dan hati terbuka dan bukan mengheret dunia ketiga untuk sama-sama beremosi. Filem ini adalah tentang bagaimana sekumpulan budak sekolah (unsur yang sama dengan Makhmalbaf) cuba menangkap Osama Laden yang dilihat berpeleser di tengah kota, dan bagaimana orang sekeliling 'buta' dengan kehadirannya dan bukan budak-budak itu (simbol separa sedar, orang Islam sebenarnya dibelakang perjuangan Osama). Adakah Osama juga satu ciptaan imej budak-budak itu, sebagai harapan hidup mereka boleh berubah kerana Helang Amerika patah sayapnya dan perlukan pertolongan? Mereka tidak pedulipun Osama itu sama Islam dengan mereka. Mereka hanya tahu, Osama adalah dalang 11/9 dan dalang yang boleh membawa keuntungan. Aku ketawa berdekah sewaktu Adama menjerit dan menangis hiba: "Osama, datanglah balik ke sini sekali lagi."

Gitai-Israel

AfghanistanFilem Amos Gitai juga cuba menjadi filem yang menyentuh sekaligus kelakar. Tetapi ia tidak dapat menandingi filem Ouerdrago walaupun ia mempunyai mesej yang tersendiri. Ini adalah mungkin (seperti filem Mesir tadi) kerana kecalangan watak-wataknya yang terlalu, dan sebenarnya disengajakan kerana ia tidak mahu menimbulkan simpati tetapi perasaan hiba yang meronta (budaya ini amat sinonim dengan masyarakat Ibrani. Juga seperti Iran, meratap adalah satu 'pahala besar' dalam mengingati satu-satu kesedihan dalam hidup orang Yahudi). Menonton filem ini sebenarnya menggegarkan, dan sedar bahawa orang Yahudi masih mahu memperkatakan dengan terus-terang, kedatangan zaman perubahan sudah datang, armageddon sudah sungguh dekat. Manusia secara takdir, sudah mempunyai tarikh keramat di mana segala perubahan akan berlaku. Tuhan juga akan selalu menurunkan bencana setiap tahun, menguji manusia (dengan perbezaan tahap kesusahan mengikut zamannya), seperti mana Asyura pada Yahudi dan Islam (tanda hari gemilang dan kadangkala penuh ujian untuk manusia agama wahyu. Orang Islam disunatkan untuk berpuasa dan banyak beramal pada hari itu kerana kebanyakan peristiwa besar dalam kalendar Yahudi dan Islam tentang rasul-rasul dan wali-wali mereka berlaku pada hari itu), begitulah juga 11/9. Filem ini juga menyeramkan bila kita sedar, pada setiap kali bencana yang berlaku pada zaman ini, chaos yang datang tidak membuat manusia menjauhinya tapi datang kepadanya (seperti mana fokus kamera dan watak-watak yang inginkan tempat dalam fokus kamera filem ini) seperti semut berjumpa gula (dalam tradisi Islam, tempat-tempat bencana seharusnya cepat-cepat dijauhi dan dibaca, "innalillah wa inna hi rajiun" supaya badi bencana itu tidak mendekati orangnya. Sungguh menakutkan apabila orang zaman ini, laut masin di Jordan sudah dijadikan tempat perlancongan). Filem ini menggunakan satu shot tanpa suntingan, menginginkan ia menjadi revelasi tragedi 11/9 ala Israel. Filem ini cuba mengatakan, inilah roh (the heart) 11 filem yang lainnya. Tetapi filem Inarritu dari Mexico adalah roh sebenar filem-filem ini.

Iñárritu-Mexico

Alejandro González Iñárritu dalam segmennya telah menciptakan satu tayangan hiba-seram dan sekaligus menjadi filem yang paling baik antara 10 filem lain dalam mengungkapkan tragedi 11/9. Filem ini adalah filem yang paling aku gemari antara 11 filem yang ditayangkan. Ia memulakan segalanya dengan 'black screen', dan kita dengar bagaimana suara-suara manusia (yang mana, setiap bahasa dalam dunia ini dipotong dan di satukan menjadi satu alunan mentera) Tuhan berkumat, dan kemudiannya lagu yang menghayun perasaan, kemudiannya suara-suara manusia yang mengalami tragedi 11/9 (Spiral memberitahu, Farenheit 9/11 telah mencuri idea ini dari Inarritu). Imaginasi penonton yang diperlukan, menggambarkan seram dalam hati mereka apabila melihat kegelapan skrin dan suara-suara jeritan, hentakan di tanah dari manusia yang terjun dari Menara Kembar. Dan kegelapan ini diselang-selikan dengan manusia-manusia yang terjun dari Menara Kembar. Horror. Untuk orang yang baru mengetahui tentang tragedi ini, segmen ini sahaja sudah sungguh menginsafkan. Dalam tahap rohani pula, pengarahnya (yang memang terkenal membawa elemen 'bible', metafizik dan keTuhanan dalam filem-filemnya) seakan-akan memberitahu, Tuhan sedang 'buta', malah membasuh tangannya dari bencana ini (Tuhan hanya mendengar suara-suara manusianya, dan tiba-tiba sedar tragedi ini sedang berlaku 'di depan matanya'). Tuhan walaupun mungkin 'buta', turut hiba bila ciptaan-ciptaannya (manusia) musnah begitu (Innaritu juga ingin menyatakan, yang penting di sini adalah manusia, dan bukan situasinya). Maka Tuhan (juga Innaritu) mengarah satu mesej yang sungguh berkesan (dengan suara latar mentera manusia anak-anak Tuhan yang mula menguat), menyoal diri kita, "Adakah manusia buta atau sedar dengan cahaya Tuhan?"

Nair-India

Filem Mira Nair dimulakan dengan bacaan seorang perempuan Islam, ayat doa Nabi Yunus sewaktu dalam perut Ikan Nun (untuk menghilangkan kesusahan yang melandanya, juga separa sedar untuk Orang Islam seluruhnya tentang kesan tragedi ini) dan kemudiannya zikir pada Tuhan (Yang MeRahmati, Yang Selamat). Ia adalah testimoni yang mewakili seluruh Umat Islam. Aku sedar juga bagaimana dunia zaman ini sudah begitu kompleks, satu-satu budaya mula bergesel dengan budaya yang lain, dan bagaimana dengan geselan itu sudah tentu berlakunya inersia yang membawa pada ledakan (juga armageddon). Suara Mira Nair adalah satu suara yang sungguh jujur dan datang dari hati, bagaimana penghakiman tidak perlu ada dalam manusia bila kita tidak faham akannya. Ini adalah antara filem yang senang tetapi kuat impaknya pada aku. Itulah filem sepatutnya.

USAPenn-USA

Filem daripada Sean Penn ini sama tarafnya dengan filem Lelouch. Bila tragedi 11/9 adalah 'miracle' untuk sekumpulan yang lain. Tetapi Penn agak pedas bila ingin memberitahu (kerana Lelouch mengambil watak orang Peranchis dalam segmennya) orang-orang itu adalah rakyat Amerika sendiri. Ernest Borgnine berlakon sebagai lelaki tua yang nyanyuk dan bercakap sendiri. Ia adalah sindiran halus pengarahnya pada Amerika itu sendiri, bagaimana tuanya ia, dan bagaimana impian-impiannya sudah lama meninggalkannya tapi tidak pun disedari. Dengan runtuhnya Menara Kembar, Amerika baru sedar tentang kehilangan 'American Dream' itu. Mereka hiba, walaupun satu dari impian itu tercapai (bunga yang memekar), mereka tidak akan faham dengan proses itu.

Imamura-Jepun

Filem ini ditutup dengan filem daripada Shohei Imamura. Filemnya juga agak menyentuh dengan sindirannya tentang kebenaran sifat manusia. Seorang askar dari pos Perang Dunia Kedua telah 'disumpah' menjadi ular. Imamura seakan memberitahu, pos 11/9 menunjukkan manusia tidak patut jadi manusia jika peperangan dan pembunuhan yang diingini dalam membela 11/9. Ia juga menyatakan, perang jihad adalah peperangan mengikut kepentingan satu-satu kumpulan, tidak pernah untuk manusia sebenarnya. Imamura juga menonjolkan, bagaimana peperangan menyebabkan kesusahan dan sial baru pada masyarakat setempat (manusia yang hilang sifat manusianya, manusia jadi penipu, isteri membelakangi suaminya, keriuhan) dan ia bersambung tanpa penghujung. Imamura juga dengan agak berani menguatkan ke'dayus'annya (atau semangat berdiri atas pagar dan berpeluk tubuh) bahawa masyarakat tidak perlu berbuat apa-apa dengan permintaan pos 9/11. Masing-masing mempunyai rumah masing-masing, tidak perlu jaga tepi kain orang. Ini yang menyebabkan, ramai pengkritik Amerka dan Barat amat membenci segmen ini.

11/9/01- Omnimbus Wasiat Untuk Masa Depan

Keseluruhannya, untuk satu duduk, filem ini agak 'streching' untuk ditonton. Bukan kerana ia tidak bagus tetapi keseluruhan 11 filem ini, semuanya bertemakan tema-tema yang berat dan besar, memerlukan konsentrasi yang penuh walaupun dalam 11 minit dan 9 saat. Tidak ada satu pun yang berjiwa kecil. Malah ia sungguh menggerak, ia berjaya menjadi wasiat untuk ditenungi penonton dunia tentang nilai dan pengertian satu-satu peristiwa yang berlaku berjuta batu dari tempatnya. Aku sedari, dalam setiap filem pendek yang ditayangkan, semuanya mempunyai rantaian mesej yang sangat jelas iaitu; pengharapan. Harapan sesuatu yang baik pada masa akan datang dan boleh dicapai oleh manusia, walaupun disekeliling masih dalam kucar kacir. Ini yang menyedihkan kerana Amerika yang patut mencari pengertian ini, masih juga menyerang negara merdeka yang lain semata-mata 11/9. Sangat menyedihkan kerana filem ini tidak berjaya memunggah hati mereka untuk lebih berfikiran empati, seperti yang diingini oleh pengarah-pengarah filem omnibus ini.