13 September 2004

Ulasan Filem : Buai Laju-Laju (2004)

Oleh Mahhass

Filem 'noir' terbaru U-Wei Hj. Saari (yang boleh sahaja saya katakan pengarah berstatus 'cult' tanahair) sekali lagi membawa homej filem terdahulu beliau iaitu Perempuan, Isteri dan Jalang (PIJ) - saya benci dengan perkataan dot-dot-dot yang diberikan.

Namun, kali ini U-Wei terlebih dahulu menyatakan bahawa cetusan idea filem ini ialah berdasarkan dari filem arahan Bob Rafelson (yang ditulis lakon layarnya oleh David Mamet) iaitu Postman Always Rings Twice (1981) – filem remake tahun 1946. Bagi yang pernah menonton filem ini, pastinya tahu bahawa filem ini menggambarkan wanita menggunakan daya tarikan seksualnya untuk kepentingan peribadi. Tambahan lagi, Bob Rafelson sebenarnya seorang penulis dan sutradara yang cukup terkenal menghasilkan filem-filem porno.

Filem ini berbeza sekali dengan PIJ walaupun masih kelihatan formula yang sama disuntik ke dalam BLL. Barangkali, itulah gaya atau 'cult' U-Wei yang saya perkatakan tadi. Tersendiri. Beliau bijak menghidupkan suasana realisme dalam filemnya. Imej budaya serta sosialisme kampung tidak pernah lekang dari karyanya. Dan filem ini sekali lagi membawa 'dark-side' budaya kita yang menguja, menggetar lagi mengghairahkan!

Segala-galanya bermula dengan 7 ringgit 50 sen. Harga makanan yang tidak mampu terbayar oleh Amran (lakonan 'come-back' Eman Manan) sewaktu singgah di warung milik Ibrahim (lakonan 'penuh manusia' - Khalid Salleh) dan isterinya Eton (lakonan Betty Benafe). Oleh kerana Amran tidak mampu, lalu menawarkan diri untuk membuat apa-apa kerja bagi melangsaikan hutang RM7.50 tersebut. Ironi apabila Ibrahim dengan hati terbukanya menawarkan Amran bekerja di warungnya. Maka di sinilah bermula titik-tolak hubungan 'implicit' seksual di antara Amran dan Eton sehingga kedua-duanya merancang untuk membunuh Ibrahim setelah Eton (kononnya) telah mengandungkan anak Amran.

Tema 'gelap' yang digarap juga mengingatkan saya pada filem Dr. Rushdi arahan P. Ramlee suatu ketika dahulu yang (secara peribadinya) mendahului senarai filem 'noir' terbaik pernah dihasilkan setakat ini. Dan filem ini sekali lagi membuktikan bahawa nafsu, seks, kecantikan dan materialisme lebih mengatasi cinta dan oleh kerana itu, manusia dilihat sanggup tunduk dan menyembahnya.

Amran dan EtonKekuatan filem ini terletak sepenuhnya di bahu ketiga-tiga antagonisnya. Eman Manan dan Khalid berjaya memberi kesempurnaan serta nyawa filem ini. Lakonan Benny Benafe saya kira lebih 'daring' dari Sofea Jane dalam PIJ – 'kelabu' dan lebih ghairah tetapi tidaklah menggegarkan sebagaimana watak Zaleha berjaya menggegarkan satu kampung. Tetapi itu cerita lain. Barangkali improvisasi Benny sahaja yang patut diperbaiki. (mengingatkan saya pada improvisasi Nasir Bilal Khan yang sungguh unik dan memukau dalam PIJ!)

Sepertimana Alfred Hitchcock (malah Tinto Brass!) muncul dalam filem-filem mereka, U-Wei juga muncul sewaktu babak kejar-mengejar yang dimuatkan dalam filem ini. Kemunculannya (seingat saya dua kali dalam satu babak) sungguh melucukan. Apatah lagi, dalam babak tersebut beliau ditanya oleh polis (lakonan Adlin Aman Ramli) ke mana arah Amran melarikan diri – beliau menunjukkan arah yang bertentangan. Sungguh sinikal!

Buai Laju-laju telah memasuki Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-17, Cinemanila Film Festival 2004 (Filipina) dinominasikan dalam kategori Lino Brocka Award serta Festival Filem Malaysia ke-17 baru-baru ini. Eman Manan telah menggondol anugerah pelakon lelaki terbaik untuk filem ini.

Seperkara yang memusykilkan saya tentang filem ini ialah rating atau klasifikasi "U" yang diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara. Saya perasan akan perkara ini di skrin jadual tayangannya yang saya perhatikan ketika beratur panjang untuk membeli tiket di TGV KLCC semalam. Jika kita rujuk pada sinopsis dan juga intipatinya, jelas sekali Buai Laju-Laju bertemakan wanita, seks dan pembunuhan. Yang lebih menghairankan lagi apabila filem ini diklasifikasikan "PG" di Singapura. Adakah ini membawa maksud filem ini telahpun 'dicincang habis-habisan' sebelum ia dibuka tayangannya di Malaysia?

kredit foto : kamal @ filemkita.com
ulasan rakan : sultanmuzaffar

No comments: