30 September 2004

Ulasan Filem : Resident Evil – Apocalypse (2004)

Oleh Mahhass

Sebelum saya dan Fadz melangkah masuk ke panggung petang tadi, kotak minda kami sudahpun diprogram rapi – (kami faham filem kedua ini dikutuk habis-habisan oleh pengkritik barat -mereka dah tonton dahulu seminggu dua lepas – jadi bukan salah kita, salahkan pengusaha wayang Malaysia kenapa lambat). Jadi kami menontonnya kerana ini adalah antara genre kegilaan kami... (oo yes pastinya sebab zombie).

Kami juga sepakat untuk mengatakan yang filem pertamanya adalah antara genre horror yang terbaik tahun 2002. Jadi itu amat-amat mempengaruhi kami untuk menonton sambungannya.

Kita semua tahu bahawa kerja mengadaptasi sesebuah video-game ke layar lebar sememangnya diakui bukan tugas yang mudah. Seperkara penting yang setidak-tidaknya mesti ada ialah plot asalnya. Tidak kurang juga watak-watak yang terkandung di dalamnya.

Walaubagaimanapun, struktur naratif tidak semestinya disusun selaras ataupun dipindahkan bulat-bulat ke dalam filem. Kenapa? Kerana apabila dibuat sedemikian rupa, maka hasilnya akan menjadi seperti sekuel Resident Evil ini – menjadi agak luar dari jangkauan logikal minda, hambar walaupun sarat dengan non-stop action, karakter-karakternya menjadi pelik malah segalanya tampak kartunistik, slapstik ataupun istilah saya yang terbaru – terlalu CGIstik... (boleh gitu?)

Barangkali sekuel ini dibikin khas bagi tidak menghampakan pengikut atau penggemar video-gamenya, yang dahulunya bising-bising, kutuk-kutuk oleh sebab filem pertamanya agak menyimpang dari plot originalnya. Tapi tak apalah... kerana saya sendiri pun pernah merasai betapa kecewanya menonton filem House of The Dead sebelum ini (yang juga diadaptasi dari video-game) – itu tidak termasuk Tomb Raider dan juga Mortal Kombat. Bagaimanapun, Resident Evil 1 boleh sahaja berdiri dengan filemnya sekalipun tidak berlandaskan 100% video-game.

Di tangan pengarah baru Alexander Witt, adalah tidak wajar jika saya meletakkan segala kelemahan di bahunya kerana filem ini masih ditulis oleh pengarah filem pertamanya, Paul Anderson. Sudah lumrah tugas seorang pengarah yang tugasnya hanya melayarkan apa yang sudah dinaskhahkan.

Pun begitu, seperti yang saya katakan tadi, barangkali masalah plot asal yang sebenarnya membelenggui mereka walaupun kebanyakan adegan dalam filem ini sarat dengan homage ke atas trilogi "Dead" (walaupun tidaklah se'subtle') George Romero terutamanya Dawn & Day of The Dead - (tidak lupa juga Zack Snyder), Lucio Fulci (Zombie 2 & City of The Living Dead - ketika adegan mayat bangkit dari kubur – pelik juga memikirkan bagaimana mayat-mayat dalam kubur boleh dijangkiti T-Virus tersebut).

Tidak lupa juga Boyle untuk 28 Days Later – sewaktu adegan suspens di dalam gereja yang akhirnya di'rosak'kan oleh aksi Alice yang muncul 'terbang' secara tiba-tiba dengan motornya melalui tingkap lalu membunuh makhluk yang lidahnya sepanjang anaconda.


Antara watak-watak lain yang tidak dikembangkan dengan baik


Barangkali itu sahajalah yang berupaya membangkitkan nostalgia saya sewaktu menonton filem ini. Lain-lain, saya hanya layan seribu satu paparan shock serta aksi-aksinya kerana segala elemen horror seolah-olah hilang tatkala Nemesis muncul di pertengahannya.

Sayang sekali kerana ia dibiarkan hilang malah tidak lagi dirasai sehinggalah ke akhirnya. Maka yang tinggal hanyalah klise tentang perbalahan serta kejahatan manusiawi. Bukankah kita sudah mulai bosan dengan itu semua?

No comments: