08 September 2004

Ulasan Filem : Sunshine (1999)

SunshineOleh Mahhass

Meminjam kata-kata seorang penulis, Noor Azam Shairi yang berbunyi : "Sebuah filem tidak harus bergantung kepada catatan sinopsis untuk penonton menangkap maknanya dan berkongsi rasa dengan watak-wataknya", ...maka sebelum menonton filem ini, saya cuba 'menjauhkan diri' dari membaca sinopsis apatah lagi ulasan-ulasan sebelumnya hanya untuk merasai sendiri kekuatan yang dilayarkan serta bagaimana filem ini boleh berdiri dengan sendiri.

Filem ini sudah agak lama dikeluarkan iaitu tahun 1999 di eropah, tahun 2000 ke seluruh dunia. Meskipun sudah memasuki empat tahun ia diedarkan (kurang pasti samada ia pernah memasuki pawagam Malaysia atau tidak), dan juga atas alasan masih banyak lagi filem-filem hebat yang saya rasakan perlu ditonton, maka saya juga tidak mahu ketinggalan menontonnya. Hanya berbekalkan sedikit informasi -- beberapa label "awards-achievement" di kulit DVDnya, saya menjadi teruja untuk menelaah intipatinya.

Sunshine membariskan nama-nama besar seperti Ralph Fiennes (Schindler's List, The English Patient), Rosemary Harris (yang kita kenalnya dalam Spider-Man 2 sebagai Auntie May) Rachel Weisz (The Mummy/Mummy Returns, Runaway Jury) serta Jennifer Ehle (pelakon yang banyak membintangi mini-series). Jika saya sebutkan nama Istvan Szabo, barangkali tidaklah begitu dikenali di sini, kerana beliau yang merupakan penulis merangkap sutradara filem ini, lebih banyak memproduksikan filem-filem eropah sebelum ini (filem terkenalnya ialah Mephisto - yang memenangi Oscar 1981 dalam kategori Best Foreign Language Film). Bagaimanapun itu semua tidak penting sebenarnya. Nama sutradara hebat dan terkenal BUKAN boleh dijadikan kayu pengukur bagi meramalkan kehebatan sesebuah filem itu.

Sunshine menyorot sejarah 3 generasi (dari seorang datuk, ayah hinggalah ke cucunya). Filem ini bermula dari penghujung abad ke-18 sehinggalah ke tahun 1960an. Dan ia menyingkap kronologi sebuah keluarga berketurunan Yahudi. Ya, ia cerita tentang orang yahudi. Sekali lagi, itu bukan persoalan sebenarnya. Kerana yang penting sejauhmana filem ini dapat memaparkan kisahnya dengan cemerlang. Persoalannya, adakah ia cemerlang? Jawapan saya ialah YA.

Istilah Sunshine itu sebenarnya merujuk kepada minuman tonik herbal Sonnenschein, yang juga bersempena dengan nama keluarga Yahudi tersebut yang menetap di Hungary. Tetapi bukan kisah tonik itu yang dilayarkan. Nama itu sekadar metafora ‘kekuatan’ serta maruah keluarga tersebut. Apa yang dilayarkan ialah kisah di antara semangat kecekalan dan putus asa, antara cinta dan kecurangan, perjuangan dan penafian, peradaban dan keagamaan, kejahilan dan kecerdikan, kejujuran dan kejahatan, penindasan dan juga penentangan - yang dihadapi setiap generasi keluarga itu.

Keseluruhan plot filem ini bergerak melalui suara penceritaan Ivan (voice-over narration). Ia memberi fokus dan mengembangkan satu persatu watak-wataknya bermula dengan Ignatz (iaitu datuknya lakonan Ralph Fiennes) –hakim yang digambarkan sebagai seorang yang 'lurus' – sentiasa berpegang kepada ajaran agama Yahudinya serta menjadikan kata-kata bapanya sebagai perangsang dalam apa jua hal yang dilakukan. Bagaimanapun, beliau seringkali dihimpit dengan permasalahan di antara keluarga dan tugasnya. Oleh kerana desakan dari pihak atasan, beliau menukar nama "Sonnenschein" (nama Yahudi) kepada "Sors" yang bunyinya tidaklah terlalu keyahudian.



Seterusnya, Ivan menyorot sejarah bapanya Adam (juga dilakonkan oleh Ralph Fiennes) - seorang jaguh lawan pedang olimpik sewaktu era pemerintahan fascisme Nazi waktu pra-perang dunia ke 2, serta anti-semitisme yang memuncak di eropah ketika itu. Walaupun proses asimilasi Yahudi-Katolik telahpun dilakukan beliau, malangnya identiti asalnya dikenal pasti jua oleh tentera Nazi ketika itu. Beliau diseksa (dan siksaan ini agak menyentuh) sehingga mati dihadapan anaknya, iaitu Ivan sendiri.

Sejurus selepas itu, barulah filem ini memfokuskan kisah Ivan (sekali lagi lakonan Ralph Fiennes), iaitu sesudah berakhirnya perang dunia ke-2, dan sewaktu era komunisme pula muncul. Ivan memilih untuk menyertai pemerintahan komunisme serta melibatkan diri dalam bidang politik.

Seperkara yang menarik tentang filem ini ialah ketiga-tiga watak yang didukung begitu cemerlang, 'electrifying', penuh 'manusia' dan bernyawa oleh Ralph Fiennes. Kisah suka duka, pahit getir, perjalanan hidup tiga generasi yahudi selama hampir 70 tahun, digarap selama 3 jam oleh Szabo dengan baik sekali. Jika dinilai dari sudut humanisme dan dari perspektif demokrasi, filem ini boleh dianggap hebat malah bermutu berikutan dari kekuatan struktur plotnya, lakonan, skrip, serta lakonlayarnya. Buktinya, filem ini telah menggondol anugerah Pelakon Terbaik, Lakonlayar Terbaik dan juga Sinematografi Terbaik serta dinominasikan dalam kategori Filem Terbaik di European Film Festival 1999. Dan hampir kesemua kategori dinominasikan di Genie Awards (National Film Awards Canada).

Saya tidak tahu sejauh mana filem ini berjaya melenyapkan gelombang anti-semitisme dunia. Saya menonton filem ini hanya sekadar apresiasi semata-mata. Memang benar, gambaran sebuah keluarga yahudi yang ditindas sejak turun temurun seolah-olah cuba menafikan segala sentimen kebencian terhadap mereka khususnya dari golongan katolik dan anti-semitisme. Pun begitu, seperti yang saya katakan tadi, humanis yang dilayarkan boleh saja menyentuh kita. Tetapi apabila mengenangkan pendajalan kaum ini terhadap umat Islam di Palestin, agak mudah untuk kita melupakan semuanya - yang digambarkan penuh emosi dalam filem Sunshine ini.

No comments: