17 September 2004

Ulasan Filem : Lantana (2001)

LantanaOleh Mahhass

Saya harus berlaku jujur di sini dengan mengatakan bahawa sedikit-sebanyak saya telah tertipu oleh cover dvd atau poster filem ini. Kerana sudah pastinya (dengan melihat covernya) saya teruja dan telahpun membayangkan segala paparan visual horror/misteri atau crime/pembunuhan sebelum menontonnya. Tambahan lagi dengan terpampangnya sebaris ungkapan besar "Two Big Thumbs Up" oleh pengkritik terkenal Roger Ebert.

Walaubagaimanapun, 'tertipu' TIDAK bererti saya kecewa. Malah, filem ini memberikan yang lebih baik dari yang saya jangkakan. Dan sepatutnya, saya tidak perlu merasa tertipu kerana sememangnya wujud plot misteri tentang kehilangan seorang wanita dalam filem ini. Maka, barangkali tertipu itu lebih bersifat peribadi.

Lantana ialah sebuah produksi Australia. Ini adalah kali pertama saya menonton genre misteri/suspens/jenayah (produksi Australia bertaraf antarabangsa) selain filem bertemakan drama sosial-humanisme seperti Rabbit-Proof Fence dan juga Black and White baru-baru ini. (Saya tidak mengambil kira filem zombie-horror Undead yang dikeluarkan tahun sudah).

Tirai Lantana dibuka dengan paparan visual mayat seorang wanita yang penuh misteri. Visual tersebut mengingatkan saya pada filem L'Humanite – bezanya cuma imej yang dipaparkan dalam Lantana lebih 'tertutup' berbanding imej 'keterbukaan' mayat seorang gadis bawah umur dalam filem L'Humanite. Seterusnya, filem ini kembali pada saat permulaannya, yakni mula mengkhususkan dan mengembangkan satu persatu watak-watak yang memainkan peranan dalam menggerakkan plot drama misteri ini.

Kita akan mula mengenali watak Leon, seorang anggota polis penyiasat yang berlaku curang terhadap isterinya Sonja walaupun beliau sedar yang beliau masih menyintai isterinya. Sonja pula asyik menumpukan minatnya dalam tarian Salsa. Secara kebetulan, rakan sekelasnya iaitu Jane, yang sebenarnya dicurangi suaminya.

Sonja pula (walaupun tidak pernah tahu akan hubungan suaminya dengan Jane) seringkali tertekan dengan keadaan keluarganya lantas menemui penasihat psikologi, Valeri Somers – yang juga mengalami masalah rumahtangga setelah kematian anaknya. Dalam filem ini kita akan dapati bahawa Valerie telah 'hilang' secara misteri di sebuah kawasan sunyi sewaktu keretanya rosak di tepi jalan. Dan sekali lagi secara kebetulannya, Leon merupakan orang yang bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut.

Lantana melihatkan beberapa unsur 'kebetulan' serta hubungan yang 'wujud' di antara watak-wataknya. Malah, perkaitan yang wujud itu amat unik, tidak ternafi oleh logikal minda kita. Lihat sahaja watak Jane, yang juga mengalami masalah rumahtangga – akhirnya mengambil jalan mudah melepaskan hawa nafsu dengan Leon – sedangkan suaminya masih lagi dilihat menyayanginya. Dalam masa yang sama juga, beliau seakan cuba menggoda jirannya Nik - sederhana keluarganya tetapi kasih sayang yang wujud di antara mereka amat menyentuh. Dan dalam filem ini, Nik menjadi suspek utama kehilangan Valerie berikutan ada saksi dan juga bukti yang membolehkan beliau diheret oleh pihak berkuasa.

Walaupun garapan misteri atau "whodunit" yang menjadi tema di awal pembukaannya, namun sebenarnya filem ini lebih cuba menyampaikan erti sebuah kasih sayang, cinta, kecurangan, sikap toleransi, nilai kejujuran, persahabatan, kesangsian dan yang lebih utama ialah perjuangan sesebuah keluarga itu dalam menempuh serta menangani konflik perhubungan. Saya begitu menyukai filem ini kerana emosi yang wujud di saat akhirnya benar-benar menyentuh lubuk hati.



Filem ini hampir menyapu bersih *anugerah di Australian Film Institute (AFI) untuk tahun 2001 :

1. Best Film – Jan Chapman
2. Best Direction – Ray Lawrence
3. Best Screenplay – Andrew
4. Best Actor – Anthony LaPglia (Leon)
5. Best Actress – Kerry Amstrong (Sonja)
6. Best Supporting Actor – Vince Colosimo (Nik)
7. Best Supporting Actress – Rachael Blake (Jane)

*sumber : www.imdb.com

No comments: