29 January 2005

Ulasan Filem : The Aviator (2004)

AviatorOleh Walids

Gah. Sebuah filem yang cukup gah. Apatah lagi filem ini merupakan arahan pengarah hebat Martin Scorsese. Gandingan terbaru Di Carpio dan Scorsese selepas filem Gangs of New York, bernilai US$100 juta untuk filem yang mengisahkan riwayat hidup pengarah dan pelopor penerbangan, Howard Hughes.

The Aviator merupakan sebuah filem mengisahkan Hollywood pada tahun 1930an. Dari kacamata Scorsese, Howard Hughes ialah seorang pemuda yang meminati bidang penerbangan, seorang tycoon dalam bidang penerbangan dan seorang yang disegani di dalam bidang perfileman yang mana beliau pernah mempunyai hubungan dengan Katherine Hepburn (Cate Blanchett) dan Ava Gardner (Kate Beckinsale). Beliau juga pernah mengarahkan filem pada tahun 1930an seperti Hell's Angels yang dibintangi oleh Jean Harlow (Gwen Stefani) dan Scarface. Filem ini juga menampilkan Jude Law sebagai Errol Flynn.

Howard Hughes (Leonardo Di Carpio) merupakan seorang ikon yang terkenal di Amerika Syarikat yang juga merupakan seorang lelaki yang cukup memerlukan privacy untuk dirinya sendiri. Howard Hughes merupakan seorang pelopor. Beliau merupakan kuasa disebalik bidang perfileman Hollywood, di dalam bidang penerbangan dan juga hampir kesemua bidang yang diceburinya.

Kisah di dalam The Aviator bermula sewaktu Hughes memulakan pengambaran Hell's Angels. Kisah bagaimana seorang anak muda ingin merealisasikan ideanya di dalam bidang perfileman. Menghasilkan sebuah filem yang pada Hughes, sebuah filem yang akan menjadi titik tolak di dalam sejarah perfileman Hollywood. Untung Hughes dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berada. Harta dan peninggalan keluarganya digunakan untuk menaja semua modal perfilemannya.

AviatorPenerbitan Hell's Angels sahaja sudah menelan modal sebanyak US$4 juta. Dan Hughes diperlekehkan oleh kebanyakan penerbit – penerbit senior Hollywood. Namun, bagi rakan – rakan yang percaya dengan idea Hughes, semuanya dilakukan untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai jalan cerita The Aviator ini, selain kisah hidup Hughes, merangkumi kisah cinta beliau dengan Katherine Hepburn, naik dan turun beliau dalam bidang penerbangan, insiden kemalangan Hughes apabila membuat penerbangan percubaan bagi kapal terbang pengintip yang direkanya serta apabila Hughes di bicarakan oleh kerana dikatakan menipu cukai walaupun isu sebenarnya ialah untuk mempelopori ruang udara bagi perjalanan penerbangan Pan Am.

Juan Trippe (Alec Baldwin) dibantu Senator Ralph Owen Brewster (Alan Alda) telah menjalankan penyiasatan ke atas Hughes untuk menjatuhkan syarikat TWA milik Hughes. Juan tidak mahu Hughes menjalankan penerbangan antarabangsa dan ingin memonopoli semuanya.

Scorsese bijak dalam mengarah The Aviator (setelah filem Goodfellas) dengan teknik warna yang berevolusi dari two - tone Technicolor kepada, three – tone kepada warna moden. Cukup mengagumkan. Lakonan para pelakon yang cukup hebat. Begitu menghayati watak – watak yang dibawa terutamanya watak Katherine Hepburn dan Howard Hughes. The Aviator merupakan sebuah filem yang memaparkan kisah gigih seorang anak muda mengejar impian. Berpegang pada impian walau apa jua terjadi. Walau terpaksa mengorbankan harta peninggalan yang mungkin mengakibatkan muflis pada dirinya namun, dengan semangat dan azam yang kuat semuanya berjaya dilalui dengan jaya.