05 October 2010

Tetamu (2010) - Aktiviti Separanormal

Oleh Nazim Masnawi

Lazimnya aku tidak gemar berkata begini, tapi Tetamu amat berbaloi ditonton. Aku kira menyatakan keberbaloian sesebuah tontonan itu adalah satu bentuk kekerekan skala kecil (seolah-olah masa emas engkau hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya dari hasil produksi yang menelan sejumlah wang besar ini), tapi di sini ia dirasakan tepat sekali. Tetamu mempunyai premis biasa, dilaksanakan dengan sederhana, tetapi pengarah MP Roslin dan penulis Ellyna Ahmad dan Ajami Hashim tidak mempunyai sebarang delusi bahawa mereka sedang menghasilkan sebuah karya bergrada depan yang bakal ditayangkan di festival filem antara bangsa. Hatta, sebagai telefilem seram yang ditayangkan di Astro Prima tatkala malam minggu, Tetamu agak berbaloi dilayan.

Ceritanya mudah, seolah-olah ada motherfucker tiba-tiba terfikir, "Eh, apa kata kita buat Paranormal Activity (2009) versi Melayu nak?" Sepasang suami isteri bercuti di Port Dickson sebagai langkah untuk memulihkan perkahwinan mereka yang kini di ambang kemusnahan. Menginap di sebuah banglo milik seorang rakan, suasana libur mereka lantas bertukar sebaliknya apabila pasangan muda ini mula mengalami peristiwa aneh di rumah tersebut. Dan berbekalkan sebuah kamera video, si suami mula mendokumentasi peri berkenaan sekali gus merungkai rahsia di sebaliknya. Tidak seperti Paranormal Activity, telefilem ini tidak dirakam dari POV kamera video semata-mata; ia diselang-selikan dengan futej konvensional. Dan tidak seperti Paranormal Activity, telefilem ini lebih terarah kepada drama psikologi - sekurang-kurangnya pada babak ketiga - dari kisah mengenai kuasa ghaib.

Bagaimanapun, yang paling jelas perbezaannya dengan Paranormal Activity adalah telefilem ini tidak seram. Langsung. Aku kira kekurangan ini terletak pada kemahiran pengarah dan bukan para penulisnya. Di atas kertas, Tetamu sepatutnya jauh lebih menggerunkan kerana tidak seperti kisah seram lain dewasa ini**, ia menggunakan helah paling lazim dalam cerita rumah seram - bunyi pelik sana sini, lampu buka tutup, pintu tertutup sendiri - tapi perlaksanaannya amatlah gagal. Terdapat beberapa adegan mengejutkan yang langsung tidak memberi impak. Kita tahu produksi Malaysia tidak mempunyai bajet besar untuk melunaskan kesan khas hebat, maka MP seharusnya menutup kekurangan ini dengan timing dan atmosfera. Itu sahaja. Malangnya, dia gagal dalam kedua-dua faktor ini.

Faktor lain, walau bagaimanapun, harus dipuji. MP barang kali baru pertama kali menghasilkan kisah seram, tapi ini bukan arahannya yang pertama, dan tugasnya jelas dilakukan dengan baik. Satu perkara, MP faham benar akan makna pacing, dan dia tahu bagaimana hendak membina intrig dan memeliharanya hingga ke akhir cerita. Sebelum lokasinya hanya terbatas di banglo tersebut, dia tidak men-travelogue-kan Port Dickson lebih-lebih lantas membuatkan Tetamu kekal kemas dan klaustrofobik. Dan apabila penceritaannya terkongkong di tempat yang sama, dia berjaya mengekalkan geografinya seraya mempelbagaikan syot. Mungkin secuil kritikan harus dilempar apabila ia tiba di klimaks yang kekurangan tenaga dan tidak diseluruhi dengan, bak kata orang putih, a proper sense of doom; tapi aku bersyukur sekurang-kurangnya ia masih terkawal dan tidak disudahi dengan ekstravaganza aksi sana sini***.

Pun begitu, skop yang kecil juga mengehadkan kisahnya. Separuh dari keseluruhan durasi ditujukan khas buat "masalah" rumahtangga pasangan ini. Aku tidak kisah jika ia bergerak selari dengan unsur seramnya. Tapi MP mengantarakan kedua-dua elemen ini seolah-olah ia berasal dari dua telefilem berbeza. Ini kerana banyak bayangan dan nuansanya telah disunting keluar. Akibatnya, si suami Zaid, tidak likable langsung (ditambah lagi dengan lakonan Zulhuzaimi yang tidak konsisten). Dalam skrip asal, kita boleh faham dari mana datang sisi OCD dalam dirinya - untuk merakam setiap masa - tapi di sini, kerana tiada pembinaan sebaik-baiknya, dia tiada lain kelihatan seperti techie douche semata-mata. Faten si isteri (lakonan boleh tahan Hanez Suraya) yang sepatutnya menjadi si bangsat yang skeptikal terhadap benda-benda ghaib sebaliknya menjadi lebih simpatetik. Ini sayang kerana pada akhir cerita apabila segalanya tersimpul - apabila ia bertukar menjadi sebuah drama karakter tentang fitrah kejahatan, kebersalahan, ketidakyakinan dan bahaya obsesif - terasa benar seperti ada yang tidak cukup.

Namun itu bukan hal dominan kerana Tetamu hanyalah sebuah kisah minor. Kita kini hidup dalam mentaliti internet yang percaya bahawa spektrum sesebuah benda hanya terdiri dari dua: BEST dan TAK BEST. Tetamu adalah sebuah kisah yang betul-betul terletak di tengah. Secara asasnya, ia dikraf dengan baik dan objektifnya kecil sahaja. Tidak semua kisah visual perlu diceritakan dengan ambisi bak produk Hollywood, dan kadang kala yang diperlukan hanyalah cerita menarik. Untuk sesetengah orang, masa mereka yang konon berharga sangat itu seharusnya diisi dengan blockbuster hebat dan tuturan yang mengubah tanggapan mereka terhadap dunia ini setiap waktu. Tetamu jauh sekali begitu, tetapi ia adalah sebuah kisah biasa yang berjaya mencapai matlamatnya - mengisi slot waktu perdana televisyen - dan bagi aku itu sudah lebih dari memadai.

*Yang hanya reti buat cerita kena rasuk sana sini.

**Cuma coda endingnya - aku kira apabila kredit penutup terurai lebih banyak penonton jadi suspek (sebab tak faham) dari suspens.