29 July 2004

Ulasan Filem : 13 Going on 30 (2004)

13 Going On 30Oleh Mahhass

Menonton filem-filem 'berat' memang meletihkan. Jadi, saya beralih seketika merehatkan minda dengan menonton komedi pula. Kali ini, genre komedi romantik yang dibintangi heroin siri tv Alias menjadi pilihan saya.

Menonton trailernya, ternyata begitu mudah sekali untuk kita meramalkan ceritanya. Ia adalah cerita tentang si gadis 13 tahun yang bertukar sekelip mata menjadi wanita 30 tahun. Bunyi seakan klise Tom Hanks dalam Big tetapi filem ini ada jiwanya tersendiri.

Si gadis 13 tahun tersebut ialah Jenna Rink (lakonan Christa B. Allen), yang juga seperti kebanyakan anak gadis tipikal lain, suka berangan-angan, memakai mekap untuk kelihatan menarik, ingin digelar 'cool' dalam usaha memikat Chris (remaja popular sekolahnya).

Tahun 1987, sewaktu menyambut hari jadinya yang ke 13, Matt (rakannya yang sedikit 'chubby') yang juga menaruh hati terhadapnya, menghadiahkan sebuah rumah mainan (buatannya sendiri) berbekalkan harapan tinggi agar disukai Jenna. Bagaimanapun, Jenna lebih berminat menantikan kehadiran lelaki popular idamannya di majlis harijadinya. Malangnya, beliau dipermainkan rakan-rakannya yang lain –matanya ditutup dan dikurung di dalam stor (sambil menantikan lelaki idamannya dalam permainanan "Seven Minutes in Heaven"). Sewaktu di dalam stor itulah, setelah tahu beliau dipedayakan, 'doa'nya agar menjadi seorang dewasa (30), bebas dan berjaya dan berkarier, menjadi kenyataan. Maka 17 tahun terlangkau dalam sekelip mata.

Jenna yang baru sebentar dalam usia 13 tahun, kini menjadi seorang wanita 30 tahun (lakonan Jeniffer Garner), seorang editor di majalah Poise (majalah kegemarannya 17 tahun lepas) dan mempunyai teman lelaki yang tinggal bersamanya di sebuah apartmen moden. Transformasi ini membuatkan beliau terpinga-pinga dan keliru akan segala kejutan yang berlaku.

Situasi ini sama keadaannya seperti filem Freaky Friday sewaktu Lindsay Lohan terperanjat menyedari yang beliau telah bertukar menjadi emaknya (Jamie Lee Curtis). Terfikir juga saya akan kenapa setiap kali filem-filem transformasi sebegini (body switching dsb) mesti hanya disedari di waktu pagi (rujuk Freaky Friday, Hot Chicks).

Jeniffer Garner yang cukup-cukup serius dalam Alias, kali ini begitu berbeza sekali untuk 13 Going on 30. Wataknya sungguh riang, romantis, gopoh, lucu tetapi kadang-kadang agak slapstik. Saya sukakan ekspresi wajahnya (walaupun ada kemungkinan peminat fanatik Alias atau Daredevil tidak menyukai lakonannya dalam filem ini).

Apapun, yang lebih mencuri perhatian saya ialah watak Matt dewasa lakonan Mark Ruffalo. Tanpanya, filem romantik komedi ini pasti kosong. Lakonan penuh 'cool' beliau begitu cemerlang, lantaran terbit kekesalan di hati Jenna terhadap perkara yang sudahpun berlalu beberapa tahun sebelum beliau 'menjumpai' semula Matt. Ini ditambah lagi dengan hubungan platonik yang penuh kejujuran terjalin di antara kedua-dua protagonis ini.

Begitu juga dengan watak Richard, majikan Jenna lakonan Andy Serkis (masih ingat Smeagol dalam Lord Of The Rings?). Maka, saya katakan beberapa kelemahan dalam plot filem ini berjaya ditutupi oleh lakonan-lakonan bernyawa watak-wataknya.

Matt & JennaElemen romantis 13 Going on 30, walaupun tidaklah seindah kalau dibandingkan dengan filem-filem cult romantik seperti Love Story (1970), Gone With The Wind, An Affair to Remember, Forever Young atau Ghost, termasuk (genre komedi-romantik) Pretty Woman, There’s Something About Mary, When Harry Met Sally dan juga Sleepless in Seattle, namun keberkesanan (mesej) moralnya tetap ada, dan yang penting, ia 'sampai' pada penontonnya tidak kira apa generasi sekalipun.

SKRIN Rating : B+ (3.5/5)

Ulasan Filem : Beautiful Boxer (2004)

Beautiful BoxerOleh Fadz

"Si Perawan Peninju"

"Lebih tebal mekap aku, lebih kuat terajang tumbuk lawan aku pada aku. Dan kerana itu, aku jadi lebih kuat membalas tumbukan mereka". - Nong Toom

Tiba-tiba filem begini masuk ke pawagam Malaysia. Malaysia mungkin sudah mula mahu membuka pintunya. Kill Bill 2 yang aku akan tontoni esok malam (haha, camne nak ulangkaji ni) adalah sebuah contoh. Tetapi dengan kemasukan filem ini (tidak bermakna kemasukan Iron Ladies untuk tahun lepas tidak dikira), aku agak gembira kerana kita sudah faham dan sedar, filem adalah filem, filem adalah pelbagai budaya dan kita harus terbuka dengan kepelbagaian ini, walaupun ia sebuah cerita seorang lelaki yang ingin menukar jantina pemberian Tuhannya.

Beautiful Boxer adalah cerita tentang riwayat sebenar seorang jaguh peninju tomoi di Thailand, seorang mak nyah yang ingin menukar dirinya menjadi seorang wanita 'sejati' dengan terpaksa bertomoi untuk mendapatkan cita-cita itu. Walaupun filem ini 'simple' dan beberapa detik filem ini agak lembap dan elemen melodrama dimainkan dalam babak-babak tertentu, filem ini bukan sebarang filem yang sama seperti Rocky atau Karate Kid. Filem ini lebih dekat pada Raging Bulls (penonjolan budaya tomoi dan orang Siam, persoalan psikologi Toom dan kecelaruan kemahuannya) dan semangat 'kalau Tootsie benar-benar mahu jadi seorang perempuan'.

Permulaan filem ini agak pantas dan bertenaga (juga pertunjukan 'girl power') apabila seorang wartawan dibuli di sebuah pasar seakan Petaling Street ditolong oleh Toom (si jaguh itu, lakonan amat berkesan oleh pelakon siamnya..amat-amat mengejutkan kerana dia boleh bertindak lembut pada satu ketika dan tiba-tiba jantan habis di tengah gelanggang!) dengan tendang dan terjang yang membuat filem-filem aksi Hong Kong pun kalah (sememangnya aku sedar, dengan Nang Nak, Suryothai, Moonkrit, 69, Ong Bak, filem-filem Thai lebih hebat dari filem-filem Malaysia).

Ini adalah semangat filem ini, seorang watak yang mungkin bukan mudah untuk didekati tapi mencuba untuk mendekati kita agar mengenalinya dan menyayanginya. Ini dibuat secara beransur dengan temuramah yang berlaku antara wartawan yang ditolong itu dengan Toom, yang mana Toom menceritakan riwayat hidupnya, dari mula dia berasa 'cantik' hinggalah perlawanannya di Tokyo (yang membuat sesetengah rakyat Thailand membencinya kerna membuat malu. Tomoi seakan Sumo Jepun, ia adalah sukan 'sacred' bagi orang Thailand yang mana 'hanya lelaki' yang dibenarkan bertanding).

Filem ini penuh peluh, darah dan lip gloss. Juktaposisi ini menggegarkan, menyentuh sekaligus menyeronokkan. Filem ini juga agak dekat dengan mak nyah di Malaysia dan Asia (yang mana Bukak Api juga telah melakukannya) yang mana ia menonjolkan taboo dalam konsensus masyarakat Asia pada budaya mak nyah (walaupun di Thailand) dan bagaimana golongan-golongan ini berdepan dengan taboo-taboo ini. Toom yang mulanya pemalu, selalu rasa berdosa (dia berasa dia 'ingin' begitu kerana karmanya; mengikut ajaran Buddha, dia melakukan sesuatu yang sangat berdosa dalam kehidupan sebelumnya) dan tiada semangat tiba-tiba menjadi tekun, tegas, 'lelaki' dan akhirnya berdepan dengan dirinya yang sudah lama mempersoal : apa keinginan sebenar dalam dirinya. Ini dibuat dengan penuh teliti oleh pengarahnya, dengan suntingan yang mantap, laju dan cepat bertukar babak. Tak sedar filem ini berjalan dua jam lamanya. Akhirnya juga amat penuh dengan elemen pathos dan kemartabatan.

Ada satu babak yang amat menyentuh perasaan aku. Walaupun ia kecil, ia amat bermakna. Ini adalah sewaktu Toom mencium dengan bibir lipstiknya pada para lawannya yang sudah tumbang. Maka ditonjolkan di sini bagaimana orang melihat perkara ini sebagai satu 'sindiran' pada lelaki biasa. Yang sebenarnya dalam jiwa Toom (yang disuarakan dalam Voice Over), Toom ingin meminta maaf terhadap si lawan, kerana dia tidak pernah mahu menyakitkan sesiapa.

Filem ini mungkin tidak sesuai untuk sebilangan penonton, juga boleh membuat mereka mempersoalkan kenapa filem ini berani ditayangkan (kerana filem ini berani berdiri dan berkata bangga: saya ada hak untuk hidup sebagai seorang mak nyah) berdasarkan semangat dan pekikan yang filem ini ingin laungkan. Mungkin Toom yang mempunyai jawapan terbaik apabila dia memberitahu di akhir filem ini: "Mahu jadi seorang lelaki memang susah, seorang perempuan pun susah. Hanya jangan kau lupa asal usulmu."

Antara filem 'gem' yang patut ditonton tahun ini. Mata anda akan 'terbuka luas' selepas menontonnya.

28 July 2004

Ulasan Filem : Visitor Q (2001)

Oleh Mahhass

Visitor Q adalah filem kontroversi Jepun. Ia hasil garapan penuh provokatif pengarah muda, Takeshi Miike. Namanya mungkin terlalu asing di Malaysia, (tidak sepopular Takeshi Kitano) tetapi beliau cukup-cukup popular di kalangan peminat filem-filem khususnya filem 'cult' Jepun. Filem-filem kontroversi beliau sebelumnya adalah Dead or Alive, Audition dan yang terbaru Fudoh.

Visitor Q (atau "Bizita Q" dalam istilah Jepunnya) menceritakan tentang keluarga disfungsi (dysfunctional family). Paparan awal (yang memeranjatkan) : Si Ayah melakukan hubungan seks dengan anak perempuannya di sebuah hotel. (sebelum itu, Miike bertanyakan penontonnya di skrin : "Pernahkah anda menjalinkan hubungan seks dengan ayah?"). Maka, saya faham kenapa ia dibuat sebegitu rupa kerana jelas sekali Miike sangat-sangat inginkan filemnya dikontroversikan.

Sejurus kemudian, persoalan kedua terpampang di skrin : "Pernahkah anda memukul ibu?" Lantas paparan Si Ibu dibelasah oleh anak lelakinya pula. Si ibu pengsan seketika. Habis adegan si ibu dipukul, kemudian giliran si anak pula dibuli rakan-rakannya dengan dilemparkan mercun bertalu-talu ke biliknya. Si anak menyorok ketakutan seolah-olah sudah biasa atau sudah menjangka (bersiap sedia) yang beliau akan diperlakukan (diserang dengan mercun) sebegitu rupa. Selepas tersedar dari pengsan, si ibu kembali ke biliknya, lantas membakar, menyedut lalu menyuntik heroin di celah kelangkang pahanya. Perasaan tenang tergambar seketika. Itu sebahagian dari gambaran awal keluarga ini yang boleh saya ringkaskan.

Bermula dari paparan awal, Miike mula menyerapkan elemen surrealisme ke dalamnya. Ini dikuatkan lagi dengan misteri tetamu yang mengunjungi rumah mereka. Tetamu itu membawa seketul batu. Batu itu jugalah pada mulanya dihentakkan ke kepala si Ayah sewaktu beliau menunggu di stesen keretapi. Hentakkan batu di kepala Si ayah tersebut adalah sebagai metafora pembalasan atau 'hukuman' terhadap kejahilannya, dalam usaha 'menyedarkan'nya.

Keadaan Si Ayah semakin menggila. Anak lelakinya dibuli rakan-rakan semakin menjadi-jadi. Oleh kerana beliau adalah seorang wartawan, maka pembulian anaknya itu cuba dijadikan satu bahan untuk disensasikan. Si Ayah melihat 'kecantikan' di sebalik siksaan anaknya dibuli. Sebenarnya, beliau juga dibuli oleh rakan-rakan sekerjanya. Maka inilah sebenarnya titik tolak gangguan emosinya tambahan lagi beliau seringkali diejek 'cepat tewas' dalam hubungan seks (apatah lagi ejekan itu datang dari anaknya sendiri!)

Emosi beliau semakin tertekan sehingga sanggup membunuh teman wanitanya (perempuan simpanan). Bukan itu sahaja, mayatnya dirogol (necrophilia) seterusnya dikerat-kerat. Apabilan keadaan semakin tidak terkawal, maka si tetamu itu memilih pendekatan kasih sayang. Tetamu itu memeluk Si Ibu lalu memerah susu di dadanya. Si Ibu 'keasyikan' (dalam kehairanan) melihat begitu banyak susu yang terhasil akibat perahan tersebut.

Akhirnya, Si Ibu mula 'mencuba' (memerah) sendiri. Filem ini, oleh kerana mengandungi elemen surreal maka ia sebenarnya sarat dengan maksud. Perhatikan sahaja perahan susu ibu yang membanjiri ruangan dapur, yang menggambarkan alangkah baiknya jika rumah itu dilimpahi dengan kasih sayang ibu bapa sejak dari dulu lagi. Ini dilihat sewaktu anak lelakinya mula 'menikmati' susu ibunya dengan penuh rasa istimewanya. Si Anak perempuan pelacur jalanan itu juga akhirnya pulang malah turut sama menikmati susu ibunya itu.

Saya melihat filem ini bukan dari sudut keganasan atau juga paparan explicitnya, (walaupun filem ini tergolong dalam filem paling disturbing Jepun pernah saya tonton). Tetapi kerana keberanian serta kesungguhan lakonannya. Filem dan watak-wataknya sememangnya boleh diletakkan sebaris dengan filem-filem 'cult' alaf baru Asia.

Menyentuh dari segi teknikal, kebanyakan teknik fotografinya menggunakan hand-held camera bagi menampakkan realiti tv. Suntingannya yang cukup teliti dan berhati-hati juga memberikan kekemasan yang sempurna dalam struktur perjalanan plotnya (yang penting tidak memeningkan kepala!).

Jika dinilai secara kasar, filem ini boleh senang-senang dibawa masuk ke festival filem antarabangsa (sepertimana filem-filem dark-violence-explicit eropah khususnya Perancis, Sepanyol dan Itali). Barangkali juga filem ini lebih sesuai jika diberikan genre surreal alaf baru, menyusul selepas filem-filem surrealist David Lynch, Robert Downey Sr., Jacques Rivette, Barry Shils, Jodorowsky (The Holy Mountain – nota : siapa ada boleh pinjam?). Maka dengan keberanian itu, saya turut merasa bangga kerana pengarah Asia sudah boleh membuka mata dunia melalui unsur surrealisme ke dalam filem.

Jika Kinji Fukasaku begitu bijak menampilkan idea pelik 'menghapuskan' remaja bermasalah dalam Battle Royale, dendam keluarga disfungsi (hantu) terhadap masyarakat sekitar dalam Ju On, Korea pula dengan kisah keluarga 'Neraka' untuk A Tale of Two Sisters, maka Miike juga menampilkan satira yang sama terhadap sosial Jepun. Pun begitu, seperti yang saya katakan, oleh sebab filem ini tampak 'terlalu berusaha' untuk dikontroversikan, menjadikan ia sedikit 'tersasar' dari mesej yang cuba disampaikan.

Sedang negara lain sibuk 'membuka pekung' keruntuhan sosial mereka, maka persoalannya, bilakah lagi agaknya pengarah kita akan tampil dengan beraninya, memaparkan kisah keluarga disfungsi dalam kehidupan sosial kita pula? (kisah "haruan makan anak", dadah, gejala seks atau apa saja). Adakah kita terlalu malu ataupun masyarakat kita terlalu sempurna untuk itu?

Terdahulu : Visitor Q review by Ash.Ox

Ulasan Filem : Hingga Hujung Nyawa (2004)

Hingga Hujung NyawaOleh Fadz

Mati, mati dan mati sekali lagi

"Ia sebuah cerita Si Tanggang Moden...sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat" - Profesor Madya Razak Mohideen tentang Hingga Hujung Nyawa.

Orang selalu anggap filem sedu sedan atau 'weepies' selalunya akan ditakdirkan dengan mati. Kematian selalunya bermakna akhir dalam hidup (dan kadang-kadang akhir filem tu)- waktu itu, selalunya watak hidup yang disamping si mati [juga penonton] akan melalui satu perubahan psikologi, dari segi penyesalan, kesedihan, dan tafakur terhadap diri, maka dari situlah, elemen 'sedu sedan' akan dicernakan oleh watak yang mengiring si mati..in other words, it's uncool to be dead or waiting for death).

Rahsia sebuah genre weepies atau mengimbuhkan elemen 'weepy' dalam filem-filem sebegini (Razak Mohideen memanggilnya melodrama-tragis) sebenarnya bukan terletak pada merayakan nihilistik (atau proses ke arah mati itu) tetapi lebih pada merayakan kehidupan (walaupun dalam takat menuju kematian).

Aku masih ingat waktu bapak aku bawa aku menonton (selain Star Wars, haha, aku dari generasi ini) filem pertama aku di Malaysia, E.T., aku menangis tak habis apabila E.T. "Be good" meninggalkan Elliot pada akhir filem itu.

Dalam Titanic, waktu Jack memegang Rose, kata-kata Rose, "I'll never let go" adalah perayaan hidup 'cinta' antara Jack dan Rose. Dalam Not One Less arahan Zhang Yimou, si budak yang dulunya nakal dan dijumpai kembali oleh si gadis, telah mencoret "CIKGU" di papan hitam untuk si gadis. Dalam sebuah filem Melayu 70-an yang aku lupa namanya, Aziz M. Osman yang menjumpai balik adik beradiknya dibawa bekas tuan arwahnya, Yusof Haslam lalu mereka tersenyum riang kerana mendapat pengganti ayah mereka.

Dalam The Elephant Man, sewaktu John Merrick menyusun bantal-bantalnya di akhir babak filem itu, kebanyakan penonton terkecai hatinya. Dalam Cinema Paradiso, si pengarah berlumuran air mata bila montaj 'ciuman' pelbagai filem lama di'suap'kan padanya. Dalam Braveheart, Mel Gibson tidak mahu mengalah walaupun dibedah perutnya, menjerit lantang, "Freedom!". Dalam Under The Moonlight, si qadi memeluk si budak pencopet di sebuah bangku lalu dia tersenyum tenang dan budak itu terus menerus menangis.

Malah dalam filem hindustan Khabi Khushie Khabi Gham (i don't know how to spell it right, i've never watch it actually, haha), ramai yang menangis bila si ibu menyatukan kembali Shah Rukh Khan bersama si ayah dan si adik dan si itu dan si ini. Ini semua adalah 'rai' kehidupan sebagai manusia.

Razak Mohideen telah melakukan perkara yang sama dalam satu babak yang amat efektif dalam Hingga Hujung Nyawa apabila Nora tua (lakonan Erra Fazira pertengahan muda) mendapati Yusry KRU adalah anaknya dan bukan suaminya (apabila potret suaminya dilihat). Mereka berpelukan dan saling melepaskan kerinduan.

Satu lagi adalah waktu Khatijah Tan tersendeng ke tepi, dengan mata sayu, menadah tangannya, lalu berdoa "Ampunkanlah anak aku, berilah dia petunjuk" (At last, they got this one right right. Aku selalu percaya seorang ibu akan sentiasa mendoakan yang baik untuk anaknya. Waktu ini, Ina yang bersama aku menonton sama teringat akan filem Dia Ibuku lakonan Sarimah yang mana motivasi plot di sini agak sama..aku dapat lihat memang filem ini ada elemen-elemen Si Tanggang, Ibu, Ibu Mertuaku dan Dia Ibuku). Maka filem ini adalah tentang kemaafan dan pencarian kemaafan dalam hidup. Razak berjaya dalam itu.

Razak banyak menggunakan 'deep focus' dalam penggambarannya, yang mana perkara ini memang biasa dengan filem-filem Melayu. Ada satu babak yang agak 'berfungsi' apabila kita lihat secara 'detail' perkara-perkara yang berlaku di sekitar watak-watak utama sedang berlakon (budak-budak tengah terjun contohnya). Tetapi kerana 'durasi' penggambaran itu agak malas, ia kelihatan lembap (ini biasa dalam filem Melayu).

Ini semacam disengajakan oleh Razak kerana kebanyakan elemen weepynya (kita tahu ini bila gendang tiba-tiba berdentum, hasil kerja Edry KRU...masalahnya filem ini masih menggunakan 'soundtrack' filem-filem Hollywood untuk menghidupkan suara latarnya..well, at least it's not synchonized sounds) bergerak dengan suntingan pantas, dan kamera kadang-kadang tiba-tiba boom ke atas. Gaya ini ada dalam filem-filem Hindustan dan filem-filem lama Ampas. Arahan seni dalam filem ini juga baik dan terkawal.

Satu lagi elemen lama yang masih digunakan untuk filem ini adalah hujan iaitu elemen kehibaan (yang aku agak serik, sebab aku selalu lihat hujan sebagai rahmat Tuhan dan keceriaan. Ini pernah ditonjolkan dengan cantik dalam The City Of Joy, Monsoon Wedding, Magnolia dan Three Colors:Red) yang agak biasa dalam filem Melayu lama (Anakku Sazali, Dia Ibuku, Azura, Berlari Ke Langit).

Filem ini juga (mungkin ia akan sentiasa mempengaruhi Razak) mempunyai unsur romantis ala hindustan (maknanya dibuat-buat dan terlalu-lalu, ini biasa dalam filem hindustan kerana menonjolkan rasa seseorang dengan penuh mekar dan tanpa batasan), lebih-lebih lagi di satu babak waktu Yati (Yati kelihatan seperti aktres hindustan, lakonan Zanita) melihat gambar-gambar Yusry dilekatkan di seluruh bilik tidur Erra. Erra dipertonjolkan mempunyai 'semangat' ini (yang agak kabur jika dilihat, dan agak pelik), maka perjalanan hidupnya juga berkenaan dengan 'hidup dan mati hanya untukmu' ini (seperti tidak warasnya Majnun mencari Layla).

Ramai penonton yang ketawa juga bila Nora tua berjumpa dengan Yusry pertengahan umur (yang amat teruk bentuk perut 'belon'nya. Macam badut sarkas, serius! Dah tu, kaki, pinggul dan punggung dia mampat pulak, apa ke jadah tu?), bukan kerana line filem itu janggal (yang sebenarnya agak poignant dalam 'kemanjaan'nya) tetapi kerana mereka sedar ini lakonan suami isteri dan bagaimana Nora boleh marah "Apa ni, kenapa panggil makcik?" tiba-tiba dan manja tiba-tiba berserta Yusry sebelum dia tahu 'rahsia'nya.

Agak menarik perkara ini digunakan, Konsep si Tanggang yang digunakan juga 'agak' menarik. Aku teringat dengan satu persembahan drama masyarakat yang dibuat oleh kawan-kawan aku pada malam orentasi. Mereka mementaskan cerita Tanggang Moden. Pementasannya teruk, tetapi maknanya ada sesuatu yang baru. Kawan aku, Azlan cuba menggambarkan bahawa Tanggang zaman moden adalah manusia korprat yang cuba menyelesaikan masalah bersama generasi lamanya kerana dia mungkin sudah 'melupakan' generasi akarnya kerana kemodenan (dalam dalam pementasan itu, segala stereotaip yang anda tahu tentang 'budak bandar' ada diluahkan). Maka Hingga Hujung Nyawa juga adalah tentang ini, dan agak dekat dengan kesan transfomasi yang berlaku pada orang Melayu.

Filem ini dipecah-pecahkan, selang-seli zaman kini ke zaman dulu (proses 'hitam putih-bleach-warna' untuk gambaran masa silam agak menarik dan lebih menjadi dari Paloh, dan kita sedar juga ini 'gambaran' Nora pada kita, si tua yang pernah gila dan pernah mengecapi kebahagiaan dan kesusahan. Patutlah sampai negara Mat Salleh nampak macam Bukit Fraser dan Mat Salleh nampak macam Mat Salleh celup) sekaan sebuah novel Faisal Tehrani.

Kita sedar bagaimana 'siksa' untuk orang Melayu melalui proses perubahan ini (dari ekonomi agraria pada ekonomi baru), dan bagaimana ada orang-orang Melayu (simbol watak Nora) yang cuba 'menghilangkan' identiti akarnya dan gopoh untuk diasimilasi menjadi Melayu Baru. Ini menjadi lebih menarik apabila dipertonjolkan watak Cina dan India yang mana, mereka menjadi faktor sampingan yang tidak menukar apa-apa jiwa dan tindakan orang Melayu tapi orang Melayulah yang menyebabkan diri mereka sendiri disiksa atau dimajui.

Razak juga sinis apabila menonjolkan (walaupun Erra nampak bodoh dalam lakonan gilanya, hanya babak anak di tepi stesen keretapi itu agak menyentuh) si Nora yang gila yang 'hilang' dalam dunianya (kerana diwasiatkan 'binatang' oleh ayahnya) apabila proses transfomasi ini menemui paradoks, dan mengejutkan kita bila, orang seperti Nora juga diberi peluang kali kedua.

Aku teringat sebuah novel yang aku baca, Hatimu Aisyah terbitan DBP yang mempunyai elemen transfomasi yang sama seperti dalam Hingga Hujung Nyawa. Kalaulah buku ini dapat difilemkan, alangkah baiknya kerana buku ini adalah antara buku 'coming of age' yang terbaik yang pernah aku baca dalam Melayu. Di dalam buku ini, Aisyah diriwayatkan pada zaman mudanya, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitarnya, waktu dia kahwin, berkeluarga sendiri dan menjadi antara Melayu Baru di Malaysia, lalu melihat anak-anaknya membesar dan dibawa oleh arus kemodenan dan perubahan zaman. Dan waktu tuanya Aisyahlah mana novel ini benar-benar menjadi. Aisyah mula mempersoalkan, apakah semua perubahan yang dilihat di depan matanya menyenangkan hatinya sebagai ibu, perempuan dan manusia? Aisyah akhirnya sedar bila dia hanya dapat mendidik dan memerhati, maka ia terletak pada generasi anak-anaknya untuk meneruskan didikan, penjagaan budi dan 'mencari hidup'.

Walaupun babak akhir filem ini dirasakan perlu, aku agak tidak menyukainya, mungkin kerana ia merayakan nihilism yang terlalu (filem ini ada tiga orang ditunjuk mati di depan mata kita, dengan penuh tragis yang amat sangat. Nasib baik kematian kedua watak sebelum itu dilakonkan dengan cemerlang oleh Khatijah Tan dan Abu Bakar Osman.

Vadina Imran juga bagus dalam satu babak di mana di 'memerap' emosi cemburunya apabila Yusry memberitahu dia mempunyai banyak 'peminat'. Erra agak baik dalam babak-babak Nora tuanya, berlakon penuh sayu, siksa dan terganggu. Ini dipertolongi dengan baik apabila kita sedar [mungkin kerana muka 'prosthethic'nya juga] wanita-wanita tua di rumah warga tua dilukiskan agak muda sedikit dari Nora sedangkan Nora dilukiskan sebagai tua yang amat tua, seakan sudah kehilangan segalanya yang dia tahu dan pernah rasa dan bersama).

Kenapakah Love Story dilupakan sekarang walaupun menang Best Picture? Kenapa tidak ada sesiapa yang menangis bila melihat Nicole Kidman mati dalam Moulin Rogue? Aku selalu percaya, "There is more to life". Kalaulah watak-watak filem Melayu cuba berhenti berpesimis kerana tindakan mereka sendiri dan melihat ke cahaya baru (seperti dalam Berlari Ke Langit), insyaAllah, tempurung "Inikah nasib kita Amran?" akan senang dirodoki.

Lagi satu, bila lagi kita nak letak sari kata?

Kredit poster : filemkita.com

26 July 2004

Ulasan Filem : The Meaning of Life (1983)

The Meaning of LifeOleh Mahhass

Ini merupakan filem klasik Monty Python pertama yang saya tonton (dipinjamkan oleh saudara Fadz). Apa yang saya dapati, filem genre komedi muzikal ini sarat dengan kiasan, kutukan malah merupakan filem paling sinikal pernah saya tonton. Satirist ini jelas ingin membawa penontonnya 'berhibur dan bergelak ketawa' sambil mendalami erti sebenar kehidupan yang 'kononnya' penuh dengan falsafah ini.

Filem ini menyorot proses kejadian manusiawi dari saat dilahirkan hinggalah ke saat kematiannya. Ia merupakan pandangan 'bebas' penulis skripnya, terhadap realisme kehidupan di mata mereka. Maksudnya, filem ini, walaupun mungkin ada berbaur politikal mahupun keagamaan, namun mesej yang cuba disampaikan jelas : (dan saya melihatnya dari konteks Islam) bahawa "Setiap yang hidup pasti akan mati kelak, dan apa jua 'falsafah duniawi' yang cuba dibawakan ke alam sesudah mati itu sebenarnya, langsung tidak berguna. Hanya dosa dan pahala (amalan) dikira".

Maka, filem ini dari awal hingga ke akhir, tidak habis-habis mengutuk surrealisme, falsafah, profitisme, konsumerisme, keadilan sosial, signifikasi seni dan logikalnya serta mempersoalkan di manakah terletaknya estetikal seni sesebuah filem.

Ia bermula seawal babak pertama, "The Miracle of Birth". Era teknologi canggih perubatan dikontraskan penuh sinikal dengan fahaman 'family planning' katholik. Pendeknya, satirist ini mengutuk fahaman katholik, dengan mengistilahkan "Every Sperm is Sacred" (Setiap sperma (mani) itu adalah anugerah Tuhan, maksudnya jangan sia-siakan!). Babak ini sememangnya menimbulkan kontroversi terutama bagi penganut katolik.

Pembelajaran seks di sekolah di antara guru dan pelajar-pelajar yang begitu terang-terangan tanpa batas digambarkan dalam babak "Sex Education". Adakah ini menunjukkan bahawa sikap terbuka itu penting, dan kita tidak perlu terlalu berselindung dalam membicarakan soal seks dan permasalahannya bagi memupuk generasi yang lebih arif tentang seks?

Paling melucukan ialah dalam babak "Mr. Cresote Sketch" (aksi seorang gemuk yang tidak henti-henti muntah di sebuah restoran ala carte perancis). Babak ini memang memualkan, tetapi ‘muntah’ membuak-buak itu merupakan satu metafora yang begitu sinis meng'satira'kan sikap kesombongan, keangkuhan konsumerisme barat dalam melaungkan keistimewaan makanan mereka.

Dalam babak "Fighting Each Other" memperlihatkan aksi-aksi bodoh beberapa askar di medan perang. Adegan ini jelas mengutuk apa jua peperangan yang berlaku di atas muka bumi. Persoalannya, adakah kita ditakdirkan lahir ke dunia ini semata-mata untuk dibonekakan, diseragamkan lalu dijadikan 'benteng' pemimpin-pemimpin besar dunia untuk mempertahankan kekuasaan mereka sambil berbunuhan sesama manusia?

Juga, babak yang diberi judul "Find The Fish". Babak ini sebenarnya paling lucu (walaupun pada mulanya saya kurang faham maksudnya, sehingga dijelaskan oleh Fadz). Ini merupakan satu tamparan terhadap pengkarya seni khususnya pembikin filem (malah juga pelukis). Penonton diajak 'mencari' atau menghuraikan metafizikal 'ikan' yang tersembunyi. Hakikatnya, memang tiada kelihatan seekor ikan pun sebenarnya. Persis maksudnya sungguh jelas di sini bahawa, tidak perlu kita bersusah payah memerah otak untuk mencari sesuatu yang dianggap 'seni' dalam sesebuah filem mahupun lukisan-lukisan abstrak. Kerana, seni itu, tidak akan wujud jika dicari atau diteliti bersungguh-sungguh, ia akan hanya terbit secara semulajadi (atau kadangkalanya dalam ketidaksengajaan). Maka, dengan itu lebih mudah untuk kita menghayati seni semulajadi ciptaan Tuhan, berbanding kesombongan (prententiousness) manusia dalam memperjuangkan seni mereka. Tidak begitu?

Keseronokan menonton filem ini 'menjadi-jadi' apabila setiap dialog-dialog sinikalnya dimelodikan dan diberi sentuhan muzikal. Ini merupakan elemen penting untuk filem ini dalam membentuk keseluruhan suasana komedinya.

24 July 2004

Ulasan Filem : House of 1000 Corpses (2003)

Oleh Fadz

Rumah 1000 Mayat Hidup-hidup Mati

"Universal tried to backpedal and somewhat unconvincingly claim that the problems they had with the film were nothing to do with violent content but rather because it had too downbeat an ending."

Sudah lama di Amerika tak keluar sebuah filem yang kontreversi (di negara kita banyak untuk sebab-sebab yang sangat kelakar). Filem The House of 1000 Corpses adalah satu contoh terbaru.

Filem-filem begini hanya berlaku pada zaman 70-an dengan Texas Chainsaw Massacre, The Exorcist, House On the Left, The Hills Have Eyes. Selain The Exorcist, filem-filem lain yang disenaraikan tadi menonjolkan 'orang kampung jinjang' yang membunuh tanpa ada motif yang sah. Dan kerana itu filem-filem itu di 'X-rated' atau 'NC-17' kan. Filem-filem yang disenaraikan itu juga (juga beberapa filem 'budget horror' 70-an hanya dapat ditayangkan di beberapa panggung dan 'drive-in theater' sahaja) dikatakan zaman 'keemasan filem seram' kerana konteks filem-filem itu lari dari kebiasaan filem-filem seram (syaitan harus mati), dan juga lebih pada elemen 'macabre' dan 'carnage' terhadap mangsa dan protoganis filem.

Aku dapat DVD ini dari Spiral, semangat betul nak menontonnya. Dan aku dapati, Rob Zombie, pengarah dan penulis filem ini memang seorang peminat filem seram yang sejati.

Ada watak pelawak yang sungguh seronok (watak cult dari B-movie Sid Haig), si Spaulding yang membenci golongan kelas menengah Amerika. Pembukaan filem ini sungguh 'seronok' dalam 'dark undertone'nya. Kita sedar, filem ini ingin kembali dari membuat filem-filem seram 70-an yang secara tidak sedar menyentuh komentari sosial, dan lari dari filem-filem 90-an pos-modenis ala Scream (yang mempermainkan ironi filem-filem 70-an). Itu sendiri sudah menyeronokkan.

Pembukaan filem ini juga sangat memikat. "Murder Ride" yang 4 orang wartawan itu naiki menaikkan semangat kita untuk ketahui rahsia filem ini (juga satu gambaran perbezaan yang akan dilalui oleh seorang dari watak wartawan itu). Perkara yang menarik dibuat Rob Zombie adalah dengan mencampuri perkara yang sangat teliti, seperti si pekerja Spaulding yang memakai baju "Love" kuning, sedangkan dia baru membanting seseorang di kepala.

Tetapi tiba-tiba harapan aku terkecai, bila pertengahan filem ini, dengan gaya Rob Zombie yang 'bukan biasa', tanpa membawa kita menyukai watak mangsanya tetapi cuba membawa kita menyayangi watak 'orang-orang jinjang'nya yang terlalu 'asing' buat kita menyebabkan filem ini hilang imbangannya. Ia semacam satu permainan oleh Rob. Memang ia 'lain' (perspektif kita menghala pada penjahat) dan menarik kerana kita semacam menyokong penjahat-penjahat itu melakukan jenayahnya (elemen membunuh tanpa makna sama dengan Texas Chainsaw tetapi situasinya tidak sama.

Rob Zombie juga ingin mengatakan, satu-satu keluarga nukleus boleh menjadi 'sexual and violence excessive' bila dihidangkan dengan bahan lucah, ganas dan seram yang berlebihan) yang secara tidak langsung mengkritik golongan pertengahan Amerika yang banyak membuang masa mereka, pelembap, penakut, tidak boleh berfikir untuk diri sendiri, lemah dan senang di'brainwash'. Tetapi 'dakwah' yang dilakukan oleh penjahatnya, terutama si Otis tersangatlah 'mengarut' dengan falsafah 'mumbo jumbo'nya menyebabkan setiap apa yang dia kata semacam kita dalam keadaan sureal, parodi dan terkeluar dari filem ini.

Rob Zombie memang banyak meminjam dialog, efek suara dan teknik dari filem-filem seram 70-an ke 80-an. Ada babak dari Evil Dead, Deliverance, filem John Smith, filem Lucio Fulci, filem Wes Craven dan terutamanya Texas Chainsaw Massacre dalam filem ini.

Idea tentang Dr. Satan dan 'rumah 1000 mayatnya' sangat menarik (imej neraka yang sebenar, di mana neraka berlaku apabila kita sebagai manusia tidak tahu memilih jalan yang kita ingini tetapi hanya mengikut apa yang orang atas inginkan), malah detik si perempuan 'mengunjungi' rumah Dr. Satan sangat menakutkan dan ton seramnya sampai ke tahap yang tinggi dalam filem ini.

Tetapi mengakhirkan filem ini dengan gaya yang dilakukan oleh Rob Zombie, filem ini jadi semacam hanya satu filem eksplotasi yang biasa dilakukan oleh pembikin filem budget zaman 70-an. Ia menyeramkan tetapi tidak akan diperbualkan pada masa akan datang.

21 July 2004

Ulasan Filem : Humanité (1999)

Oleh Mahhass

Pada saya, sesebuah filem yang boleh ditakrifkan sebagai hebat (sangat bagus atau apa-apa saja), perlu ada 'balance' dari segenap sudutnya. Ia perlu ada kesinambungan skripnya (cerita), keunikan arahan, teknik fotografi, keunggulan sinematografi, CGI (jika ada) yang tampak lebih realistik, lakonan serta penghayatan watak-wataknya.

Jika ini semua sudah cantik atau seimbang, barulah boleh rasanya untuk kita sekurang-kurangnya melihat lebih jauh ke dasar filem tersebut, dan mula berbicara tentang metafizikal, philosophical, metafora, realisme atau mungkin kesan-kesan (samada positif mahupun negatif) yang mungkin timbul dari filem tersebut.

Jadi saya tidak faham kenapa filem yang diberi judul L’Humanite, yang ternyata 'kosong', lembab malah sangat-sangat membosankan ini berjaya dijulang pengkritik-pengkritik filem seterusnya menambat hati para juri di Cannes Film Festival 1999 sehingga dianugerahkan Grand Prize of The Jury.

Banyak juga filem-filem Perancis saya telah tonton sebelum ini, dan sememangnya saya boleh katakan filem mereka hebat (walaupun agak 'pretentious'). Tetapi untuk filem ini, bayangkan hampir dua jam setengah filem ini 'menyiksa', tanpa ada sebarang elemen 'gritty' dalam plotnya, yang sekurang-kurangnya boleh meningkatkan keterujaan kita.

Memanglah filem sebegini sebenarnya mengkhususkan watak-wataknya semata-mata, seperti watak The Butcher dalam I Stand Alone, 'character-development' filem tersebut berjaya memberikan 'nyawa' keseluruhannya.

Begitu juga kedinamikkan watak Sarah Morton, seorang penulis novel yang berjaya mengundang simpati malah juga 'kebencian' dalam Swimming Pool. Konsep yang agak similar juga untuk filem Man on The Train, yang juga berfokuskan watak-watak gelapnya.

Malangnya, kompleksiti watak Si Polis 'melankolik' dalam Humanite nyata tidak berupaya memberikan apa-apa makna untuk keseluruhan filem ini.

Adakah kerana semata-mata 'keberanian' filem ini memaparkan imej shocking mayat seorang gadis yang dirogol dan dibunuh kejam, menjadikannya terlalu istimewa? Memang agak memeranjatkan kerana imej genital mangsa yang 'berdarahan' akibat dirogol ada dipaparkan, tetapi ini tidak sepatutnya menjadikan filem ini boleh dianggap unik dan hebat.

Sebenarnya banyak yang boleh kita bicarakan tentang filem ini, lebih-lebih lagi dari segi metafizikal serta simbolisme yang terkandung dalamnya, seperti latar belakang dua buah gunung yang seringkali menjadi tatapan sehariannya.

Juga, deruan ombak di pantai dan yang paling melucukan sekali ialah sewaktu beliau berkayuh basikal (agak lama shot ini), sejurus kemudian beliau menoleh ke belakang, melihat begitu jauh sekali beliau telah berkayuh. Ia seolah-olah menggambarkan kesungguhan beliau dalam menangani konflik jiwa serta gelora nafsunya. Cubaan yang baik, namun tidak berkesan pada saya.

Walaupun protagonis ini ada unsur 'humanistik' dalam filem ini, sehingga dinobatkan sebagai pelakon lelaki terbaik di festival Cannes berkenaan, namun filem ini tetap lesu.....selesu hubungan platoniknya dengan Domino. Watak 'kotor' Domino, yang tiada yang lain selain melakonkan beberapa adegan seks bersama teman lelakinya, Joseph, juga dianugerahkan sebagai pelakon wanita terbaik di festival yang sama. Apa sebenarnya yang mempengaruhi juri, saya sendiripun tidak tahu.



Sutradara, Skrip & Lakon layar : Bruno Dumont
Genre : Drama, Jenayah, Art
Durasi : 2 jam 28 minit
Pelakon : Emmanuel Schotté, Séverine Caneele, Philippe Tullier
Bahasa : Perancis

SKRIN Rating : 2/5

20 July 2004

King Arthur - Tanpa magik dan spektakular

King ArthurOleh A. Wahab Hamzah

Hollywood mempunyai kecenderungan baru. Menghasilkan filem-filem epik yang bertolak daripada kisah tokoh silam atau dari kisah zaman silam. Baru sahaja berlalu ialah kisah epik dan lagendaris Troy. Dan kini ialah kisah lagenda King Arthur.

Kisah pahlawan meja bulat atau misteri pedang terpacak di kuburan telah menjadi sebahagian daripada kisah lagenda Raja Arthur, raja British yang paling terkenal. Maka apabila kisah seseorang tokoh itu terlalu dimitoskan atau dilagendakan sudah pasti cerita sebenar berdasarkan ketepatan sejarah sukar untuk dibuktikan. Siapa sebenarnya Raja Arthur yang menjadi raja dan seterusnya menukar terus sejarah negara Britain? Ahli sejarah mempunyai pelbagai pendapat dan teori tentang kebenaran Raja Arthur dan segala misteri dan mitos yang melingkarinya. Kisah Raja Arthur telah ditulis dalam berbagai buku dan telah begitu banyak difilemkan yang kebanyakkannya tertumpu kepada elemen kehebatan dan misterinya.

Antara filem Raja Arthur yang dianggap paling berhasil ialah Excalibur arahan John Boorman (1981). Berdasarkan daripada berbagai sumber buku sejarah yang digali, penulis skrip filem ini David Franzoni dan pengarah filem ini Antoine Fuqua cuba membuat tafsiran bebas tentang siapa sebenarnya manusia Raja Arthur ini dan kisah kepahlawanannya yang menyatukan Britain selepas tentera Roman berundur dari Britain. Tentu sahaja tafsiran ini cuba menggali kebenaran Raja Arthur secara realistik jauh daripada elemen spektakular dan lagenda misteri yang menyaluti lelaki bakal raja Britain ini. Tentu sahaja David dan Antoine Fuqua perlu menyaring dan memotong berbagai kisah yang tidak munasabah yang sejak sekian lama melingkari Raja Arthur ini.

Apa yang cuba ditunjukkan ialah pendekatan realistik bagaimana Arthur (dilakonkan oleh Clive Owen) mengetuai pahlawan-pahlwan meja bulatnya di dalam misi terakhir berhadapan dengan kaum Woads (yang berasal daripada kawasan tanah tinggi yang mewarnakan tubuh mereka dengan warna biru yang diambil daripada pokok Woads) untuk bersatu menentang Saxons. Untuk itu kita dibawa kembali ke abad kelima ketika Britain berada di zaman kegelapan. Arthur bersama kumpulan pahlawannya yang berasal dari Samartia berhampiran dengan Iran menjalankan usaha lebih daripada 15 tahun untuk mengusir tentera penakluk Rom di Britain. Bersatu bersama kumpulan Arthur ialah kumpulan pemberontak Woads yang diketuai oleh Merlin (Stephen Dilane) yang dikatakan juga seorang pagan yang mempunyai kuasa sakti dan anaknya Guinerve (Keira Knightley).

Arthur, Guinerve dan LancelotFilem ini tidak memberikan unsur romantis yang pastinya tentang hubungan Guinerve dengan Lancelot pahlawan dari kumpulan Arthur yang bertanggungjawab menyelamatnya, tidak ada juga kisah Holy Grail (mangkuk yang dimitoskan sebagai mangkok menadah darah Jesus yang disalib), tidak ada kehebatan magis pada Merlin dan juga kisah pedang keluarga Arthur tercacak di atas kubur. Malah kisah meja bulat yang bertanggungjawab memberikan testament Arthur sebagai raja Britain juga tidak ada. Yang ada ialah kumpulan musuh Saxon dan tentera penakluk Rom. Yang pastinya tentera dan empayar Rom ketika ini telah berada di zaman merosotnya.

Di tangan Antaoine Fuqua (Training Day) dan produser Jerry Bruckheimer (Pirates of the Carribean), yang dikenali sebagai pembikin filem yang tidak menggemari naratif yang kompleks tetapi menghasilkan filem-filem yang mengutamakan kesan ledakan dan efek visual sepertimana filem Black Hawk Down, maka King Arthur juga mempermudahkan aspek naratifnya. Aspek perwatakan tidak diberi perincian sepenuhnya, watak Arthur tidak lebih daripada ketua tentera yang memberikan pelbagai arahan tanpa memberikan justifikasi perwatakannya yang sebenar, Guinerve kelihatan lebih seksi dengan kostumnya yang lebih sesuai dengan imej wanita hari ini dan watak-watak pahlawan dan tentera yang terlibat dalam pertempuran tidak jauh berbeza dengan perlukisan dan adegan-adegan dalam komik.

Yang menjadi tumpuan Antoine Fuqua adalah adegan pertempuran dan adegan perlawanan pedang yang mana dengan bantuan kamera dan efek ICG kita dipersembahkan dengan pertempuran yang hebat melibatkan ribuan tentera dan kemudian kemusnahan kepada tentera yang terkorban. Memang dari aspek visual filem ini cemerlang terutama yang melibatkan adegan kemusnahan selepas pertempuran dan juga ketika pasukan tentera berada di atas lapisan air batu yang merekah dan pecah. Bagaimanapun disebabkan aspek naratif filem ini tidak memberikan keseimbangan, dialog-dialog sebaris yang tidak diberikan kekuatan dan autentiks dan memperincikan watak-wataknya, kita akhirnya melihat filem King Arthur ini tidak jauh bezanya dengan filem-filem aksi pertempuran yang biasa dengan aksi peperangan yang hebat serta kesan visual dan kemudian dilupakan. Itu sahaja.

19 July 2004

Ulasan Filem : Mulholland Drive (2001)

Oleh Mahhass

Banyak juga filem-filem 'mesti-tonton' yang saya tertinggal sebelum ini. Salah satunya ialah filem ini, yang baru sahaja saya tontonnya minggu sudah...

Mulholland Drive merupakan sebuah genre 'noir' dari pengarah luarbiasa, David Lynch. Temanya gelap, aneh, unik atau apa-apa saja. Apabila disebut luarbiasa, barangkali ianya terlalu subjektif. Maksud saya di sini ialah sentuhan pengarah 'cult' ini sememangnya luar dari kebiasaan pengarah-pengarah mainstream serta penonton konservatifnya.

Keanehannya begitu terserlah dalam filem ini yang sememangnya bukanlah tergolong dalam filem-filem santai, jauh sekali 'feel-good movie'. Filemnya cukup 'berat'. Dua kali saya menonton filem ini. Selepas kali keduanya, barulah saya faham akan intipati yang terkandung dalam naratifnya. Itupun tidak semua falsafah yang tersembunyi dapat saya 'baca' sepenuhnya.

Menonton filem ini, seperti yang saya katakan, oleh kerana temanya sangat berat, maka setiap adegan yang dipaparkan mempunyai simbolisme, falsafah dan maksud-maksud tertentu. Lupakan saja garapan seks, nafsu, pembunuhan, kesetiaan dan kecurangan serta lesbianisme yang mencorakkan filem ini (walaupun sebenarnya ada makna yang tersirat di sebaliknya) kerana itu sememangnya mainan atau gaya Lynch (jika anda benar-benar 'kenal' dengan pengarah ini).

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menyentuh atau menceritakan setiap genap plot serta subplot filem ini, kerana ia hampir tidak dapat saya perjelaskan sebaiknya. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa filem ini mengisahkan tentang dua orang wanita misteri, yang bertemu, dengan cara yang cukup misteri, juga dalam keadaan yang serba misteri (ini sememangnya terletak pada penguasaan lakonan yang cukup cemerlang Naomi Watts dan Laura Harring). Namun, segala elemen misteri yang digarap, sebaliknya TIDAK terjawab di penghujungnya (secara visualnya).

David Lynch 'mengajak' penontonnya sama-sama bereksplorasi akan sesuatu yang pada hakikatnya tidak terlihat pada skrin visualnya. Ia berlegar-legar di minda. Seperti bermain teka-teki, hati kita meruntun-runtun berkehendakkan jawapannya. Maka mulalah kita meneka-neka.

Justeru, minda kita seakan dipaksa secukupnya untuk dijanakan. Ia seperti satu proses untuk mengenali jiwa Lynch dan watak-watak hitam manusia melalui filem, yang mana saya boleh katakan usaha beliau sememangnya 'menjadi'.

Barangkali, apa yang ada hanyalah mainan mimpi, fantasme atau halusinasi. Mungkin ramai yang berbicara tentang logikal, permainan tipu helah serta sandiwara pengarah terhadap penontonnya, kerana tiada jawapan sebenar yang dapat diperolehi dalam filem ini. Segalanya terletak pada bahu penontonnya (dan saya kira David boleh tersenyum melihat penontonnya termenung atau mungkin tergaru-garu memikirkannya).

Saya sendiri juga masih tercari-cari apa signifikasi beberapa babak terutamanya No Hay Banda (bunyi-bunyian bisu – muted instruments) di kelab Silencio tersebut. Tidak terjangkau minda saya mencari makna sebenar bagi menjustifikasikan watak kedua-dua wanita tersebut melalui babak sedih itu. Adakah ia suatu gambaran konflik jiwa mereka? Atau gambaran keresahan yang tidak mampu diluahkan (kelu) sehingga ia sengaja dibiarkan sunyi (rahsia)? Atau adakah ia gambaran jiwa Lynch sendiri? Menurut Fadz, watak David Lynch sebenarnya 'ada' dalam filem ini, dan ia adalah cowboy tersebut – yang turut sama 'berusaha' mengubah mimpi, namun takdir terlebih dahulu menetapkan segalanya.

Filem ini, sebenarnya, begitu mudah untuk (sekali lagi) menjulang nama David Lynch ke satu landasan kemasyuran, malah juga turut berupaya 'merosakkan' nama beliau sendiri. Bermakna, ia samada anda akan (sangat) suka, atau (sangat) membencinya.

Filem 'surreal' sebegini sememangnya aneh. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan yang ia setaraf dengan filem-filem terbaik untuk alaf baru ini. Mungkin hanya boleh dirasai oleh segelintir penonton dan juga pengkritiknya sahaja. Oleh sebab itu juga, hati saya juga berbelah bahagi, samada saya benar-benar menyukai atau tidak filem ini.

Walau apa sekalipun interpretasi yang wujud, jika anda seorang yang melihat filem dari pelbagai sudut, saya pasti filem ini, seperti juga saya, meletakkannya sebagai genre (noir) terbaik pernah dihasilkan (walaupun tidak semua filem yang baik menjadi kesukaan kita).

PGL anjakan baru filem Melayu

Puteri Gunung LedangOleh Suraiya Mohd Nor

PUTERI Gunung Ledang (PGL) bakal menganjak paradigma industri perfileman tempatan ke satu tahap membanggakan apabila ia disebut-sebut sebagai sebuah filem epik berwajah Malaysia yang mampu membuka mata ramai pihak.

Dengan memilih tema cinta yang bersifat sejagat, filem yang dijangka berjaya menambat hati penonton negara ini, bakal menyaingi filem box-office antarabangsa dengan keunikan lagenda kisah cinta antara seorang puteri dan seorang pahlawan Melayu.

Kisah berdasarkan cerita rakyat sememangnya lestari yang akan dikenang dan diceritakan kembali daripada satu generasi ke satu generasi. Begitu juga dengan PGL yang mengisahkan percintaan Puteri Jawa yang jelita dengan pahlawan Melaka, Hang Tuah yang berlatarkan kurun ke-15.

PGL mengungkap cinta terlarang antara dua insan. Ia berjaya dihidupkan menerusi set latar zaman berkenaan dengan menggabung jalinkan kisah sejarah, lagenda rakyat, diwarnai pula dengan unsur mistik untuk memperlihatkan kesucian cinta seorang puteri raja.

Kerana cinta dia sanggup meninggalkan negara kelahirannya untuk bersama lelaki dicintai. Tarikan filem sebegini memang tidak disangkal kerana unsur cinta adalah faktor global yang berjaya menarik penonton ke pawagam.

PGL agak dramatik kerana ia kisah yang dekat dengan rakyat negara ini berikutan elemennya adalah dari rantau sebelah sini. Namun ceritanya berbentuk sejagat.

Emosi yang cuba dibangkitkan PGL bermain dalam lingkungan bingkai sejarah dibandingkan dengan filem cinta blockbuster klasik seperti Titanic, The English Patient ataupun Romeo dan Juliet.

Dibandingkan dengan filem box-office antarabangsa lain, PGL menyerlahkan kelainan dengan kisah cintanya yang berbaur khianat dan tragedi, namun cinta itu terus kekal sehingga kini.

Cinta mendalam Puteri Gunung Ledang pada Hang Tuah diperlihatkan menerusi pengorbanan dan sumpahnya yang sekiranya Hang Tuah tidak kembali, dia akan datang padanya; berjalan di atas tanah yang dilaluinya dan menghirup udara yang disedutnya.

Sebagaimana cinta seorang artis, Jack Dawson (Leonardo DiCarpio) dan gadis ternama, Rose DeWitt (Kate Winslet) dalam Titanic, begitu juga cinta Puteri Gunung Ledang yang dibawakan Tiara Jacquelina dan Hang Tuah (M Nasir ) yang tidak dapat membebaskan diri setelah terjerat dalam perangkap cinta.

Meskipun tidak dapat bersama, kenangan cinta mereka terus segar dan diingat sehingga ke hari ini.

Dalam English Patient pula, kisah epik zaman perang ini memperlihatkan cinta tragik antara Count Almasy (Ralph Fiennes), seorang pelukis peta dan Katherine Clifton (Kisten Scott Thomas), wanita yang sudah bersuami. Hubungan cinta mereka memaksa Almasy mengkhianati orang yang mereka sayangi dan berakhir dengan tragedi.

PGL dapat disamakan dengan kisah cinta malar hijau, Romeo dan Juliet, nukilan Shakespeare yang sudah pun difilemkan beberapa kali sejak awal tahun 1900.

Percintaan yang amat mendalam ini cuba digarap pengarahnya Saw Teong Hing, biarpun hanya menerusi gerak laku dan sorot pandangan Hang Tuah dan puterinya.

Sekalipun, ia memaparkan kisah cinta, PGL mempunyai nilai sejarah yang berakar umbi sejak kurun ke-15 lagi. Ia kisah lagenda yang dekat di hati rakyat. Sebagai sebuah filem yang dibuat berdasarkan kisah sejarah, ia wajar menjadi bahan tontonan seluruh rakyat Malaysia.

Terkini : Ulasan Puteri Gunung Ledang oleh Mahhass

17 July 2004

Spiderman 2 Menyengat

Oleh Fadz

Memang silap kalau mau lepaskan peluang menonton filem ini. Pada mulanya aku memang skeptikal, tak mau menontonnya sampai 'demam'nya reda. Tetapi GAIA menceritakan aku 'highlight' filem ini yang buat aku 'gatal' nak menontonnya. Seorang lagi kawan serumah aku pula membencinya: "Bodoh betul. Apa punya isu si Spider-man tu. Buat perangai 'pathethic'. Bodoh."

Kenapa? Sebab Spider-man ini adalah 'average joe' anda yang diberi kuasa 'superhuman' (untuk filem pertama, kita diperkenalkan dengan kuasa ini dan mengikuti Peter Parker memahaminya. Filem kedua, persoalan ini diperkembangkan).

Maka terletak krisis prinsip di sini, samada Peter parker menggunakan 'superhuman strength' untuk dirinya, untuk kebaikan, kejahatan atau langsung tidak menggunakannya. Itu mesej filem ini yang 'lari' dari gaya biasa sebuah filem superheroes yang biasa (hinggakan Leonard Maltin memberitahu, kalau adalah lagi jenis filem sebegini yang mengikut paksi Spider-man, genre ini akan ber'daulat' dan tentu dinaik taraf dari hanya sebuah filem fantasi kepada sebuah filem berisi).

Aku takkan menceceh panjang tentang senarai "oh, pelakon itu bagus, lagu latarnya baik, efek khas lebih canggih dan hidup (walaupun beberapa watak CGI nampak sangat kartun, seperti waktu Kristen Dunst diangkat Doc Ock), bla-bla-bla", sebab aku tahu, kita semua akan katakan perkara yang sama (sebab memang ia bagus!). Apa yang menarik bagi aku ialah cara Sam Raimi mendekati filem blockbuster ini dengan cara yang lain, lain dari Spider-man 1:

1. Kurangnya melodrama yang meleret yang ada dalam Spider-man 1. Didapati, penulis layar filem ini adalah Alvin Sargent yang menulis skrip Ordinary People (menang Best Picture 1980), antara filem drama terbaik tentang keluarga disfungsi yang pernah aku tonton. Semua watak dalam filem punya motif, hantu dan krisis tersendiri. Juga dialog dalam filem ini agak kelakar dan mengikuti semangat komik Spider-man sendiri (saudara aku sendiri yang minat dan pakar komik mengatakan cara Spider-man melayang, melawan sangat sama dengan grafik dalam komik).

2. Babak Doc Ock akan dipotong di wad pebedahan. Babak ini babak 'gem', lebih-lebih lagi peminat Evil Dead Sam Raimi. Di sini kita akan kenal, siapa Sam Raimi yang sebenarnya (lagi-lagi aku yang inginkan dia kembali membuat filem-filem seram). Teknik yang beliau guna dalam Evil Dead ada dalam babak ini (guna 'chainsaw' untuk memotong 'tangan', kamera sebagai mata menuju mangsa, mata mangsa difokus). Ada juga beberapa 'homage' dilakukan oleh Sam Raimi: muka mangsa dicekup semacam 'facehugger' dari Alien, wanita Asia mencengkam kuku ke lantai semacam 'homage' pada filem-filem seram Asia, Doc Ock yang keluar dari hospital semacam watak keluar dari chaos Suspiria. Saat-saat dalam babak ini sungguh 'scary' dan menjadi.

3. Ada ramai perempuan yang menjerit 'tak tentu hala' dalam filem ini. Ini juga elemen Evil Dead Sam Raimi (wanita di luar bank, Aunt Mae, dalam hospital, wanita luar restoran) dan juga 'homage'nya pada filem-filem seram 'budget' 50-an.

4. Penduduk NY jadi lebih majmuk. Mangsa 'suci' terkini adalah wajah-wajah orang Asia (dua kali digunakan dalam filem ini..Oh, adakah bapa pada anak kecil Cina itu adalah Ang Lee? Aku tak suka waktu budak itu selepas diselamatkan, terus boleh tersenyum tengok ibunya. Mungkin ini 'ritma' mainan Sam Raimi dalam memanipulasi emosi penontonnya menyukai anak kecil itu) dan watak kulit hitam masih hanya setakat memberi 'one-liners'.

5. Babak keretapi laju yang mana Spider-Man cuba menghentikan keretapi itu dengan sedaya upayanya. Waktu itu aku tersedar Spider-Man digambarkan sebagai 'Jesus Christ' baru (simbolisme 'salib'nya) kerana 'sacrifice'nya terhadap penumpang dalam keretapi itu. Maka yang menariknya apabila beliau dibawa masuk, dijunjung seperti seorang wira "Oh, he is just a boy" sejati. Menariknya, ini petanda 'pra sedar' yang menaik tarafkan filem ini dari 'hanya sebuah filem wira kepada filem keagamaan'. Agama yang diperkatakan di sini adalah meng"glorify" perwiraan (kerana Amerika memerlukannya waktu ini, ia juga berkenaan prinsip kebaikan dan amal yang dilakukan Spider-Man). Tetapi ironinya, watak 'wira Amerika' di sini adalah wira 'main-mainan', ia tidak wujud. Spider-man juga semacam simbol Hollywood itu sendiri, ia satu ciptaan yang tersiksa untuk penontonnya, maka rakyat Amerika mesti membelanya (tapi dengan kedatangan Doc Ock, tiada siapa dapat menahan..hahaha..Ada satu babak yang agak kelakar, seorang penumpang menjerit tanpa rasa takut, "Keretapi dah makin pelan"..sangat 'awkward').

Spider-Man setentunya menjadi 'benchmark' untuk filem-filem genre sebegini yang seterusnya. Tetapi 'jiwa' sebenar filem ini masih tidak dapat menandingi X-Men, kerana untuk aku, X-Men langsung tidak mempunyai moral 'perjuangan untuk membela manusia' dan lebih pada 'survival' dalam dunia manusia semata-mata. Dan itu sesuatu yang amat susah untuk disentuh.

16 July 2004

Life as a House (2001)

Life as a HouseOleh Asni Asdi
 
Filem ini mengisahkan George Monroe (Kevin Kline), seorang arkitek berumur 45 tahun yang hidup berseorangan, telah ditimpa malang dan kejutan, dipecat dari kerja dan didiagnosis menghidap barah.  Beliau hanya ada masa untuk hidup selama 4 bulan sahaja.  Bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya, beliau bertekad membina 'rumah impian' dan disamping ingin bersama dengan anak beliau yang telah diabaikan bertahun lamanya, Sam (Hyden Christensen) 16, yang liar, terabai dan memberontak.
 
Dengan pembinaan 'rumah impian' ini, George telah mendapat kembali kasih sayang anaknya dan cinta bekas isterinya dan yang paling penting ialah kebahagiaannya sebelum menghembus nafas terakhir.
 
Lakonan hebat Kevin Kline dan lakonan superb Hyden telah meletakan filem ini begitu istimewa sekali di kaca filem Hollywood, yang mana amat berbeza sekali dalam filem-filem Hollywood yang biasa dihidangkan kebelakangan ini.
 
Keindahan filem ini bukan sahaja daripada kekuatan lakonan Kevin, Hyden dan Kristin semata-mata, tetapi garapan yang cantik serta sinematografinya yang indah dan semuanya menjadikannya suatu yang istimewa bagi saya.
 
Babak yang paling menyayat hati, ialah ketika Sam mengetahui akan penyakit serta tempoh jangka hayat ayahnya.  Keindahan cerita ini juga terletak pada kegigihan sang Ayah dalam mendekati anaknya, bagi membina 'rumah impian' tersebut.  Adalah begitu sinonimnya akan sebuah 'rumah dengan kehidupan'.
 
Setelah menonton filem arahan Irin Winkler ini, betapa sejahat mana anak ataupun ayahanda kita sekalipun, kasih sayang yang terjalin di antaranya memang tak dapat dinafikan.  Sebab selepas pertama kali aku menonton filem ni, aku terus bersetuju dengan ayah aku untuk membiayai semula pembinaan rumah di kampung.  Sampai sekarang, aku sungguh rapat dengan ayah aku walaupun sebelum itu (hubungan) hanyalah atas sekadar nama. 

Keringat Ayahlah aku di lahirkan,
Keringatnya jualah Melindungiku,
Keringatmu Jualah Membahagiakan ku,
Keringatku hanya untuk mu ayah


"Kekaburan dari Kutut"

Email penulis : belingkutut@yahoo.co.uk

15 July 2004

Ulasan Filem : BULLY (2001)

Oleh Mahhass

Larry Clark, pengarah yang pernah melayarkan kisah realisme keruntuhan moral remaja sekolah dalam filem KIDS, selepas Another Day In Paradise, sekali lagi tampil dengan konsep yang sama. Kali ini, filem yang bertajuk BULLY ini lebih 'voyeuristic', sarat dengan paparan 'explicit sex', homografik, penyalahgunaan dadah dan barangkali, kerana itulah filem ini tidak diklasifikasikan (unrated). Jika diklasifikasikan sekalipun, filem ini sudah pastinya akan dilabel NC-17 (rating yang sangat-sangat 'ditakuti' oleh pengeluar-pengeluar filem!).

Bully adalah kisah yang diadaptasikan dari penulisan Jim Shutze : "A True Story of High School Revenge". Ia diinspirasikan dari kejadian sebenar yang berlaku sekitar tahun 1993 di Florida, ke atas seorang remaja yang bernama Bobby Kent (lakonan Nick Stahl), yang dibunuh oleh sekumpulan 6 remaja yang juga terdiri dari kenalan dan rakan karibnya sendiri, Marty Puccio. Motif pembunuhan? Persoalan ini sebenarnya terjawab melalui tajuk filem ini sendiri – "Bully". (Bukan 'BULI' Afdlin Shauki - yang 'dibuli', tetapi kisah 'pembuli' dan kesan ke atas mereka yang 'membuli')

Bobby Kent (mangsa) digambarkan sebagai seorang yang 'sadis' dikalangan rakannya. Seringkali membuli sahabatnya, Marty, baik dari segi fizikal, mahupun mental, sejak mereka berdua masih kecil lagi. Oleh sebab sifat homoseksual yang ada pada dirinya, Marty tertekan dan akhirnya bertindak merancang untuk membunuh Bobby, juga setelah 'dihasut' teman wanitanya Lisa.

Akhirnya, Bobby dibunuh dengan kejam sekali di penghujung filem ini oleh Marty dan lima rakannya. Spoiler? Maafkan saya, kerana jika anda membaca sinopsisnya, inilah yang terlakar. Tetapi bukan 'kematian' Bobby yang menjadi sebuah 'pengakhiran' filem ini. Sama juga halnya dengan riwayat Aileen Wuornos dalam Monster, watak-watak tragis Gus Vant Sant dalam Elephant dan juga kecekalan wartawan malang Veronica Guerin – kita tahu watak-watak (real life) ini sebenarnya sudahpun 'mati' sebelum filem di'tribute'kan. Maka sekali lagi, bukan itu persoalannya.

Apa yang diutarakan ialah keruntuhan akhlak remaja amerika serta begitu kosong dan ceteknya mentaliti mereka, sehinggakan sanggup bertindak apa saja mengikut kata hati (walaupun Clark sebenarnya cuba membuka mata masyarakat tentang kesan dan akibat pengaruh dadah, arak dan seks liar ke atas remaja).

Larry Clark seolah (sekali lagi) menuding jari ke arah ibu bapa yang terlalu alpa, leka malah langsung tidak peka terhadap persekitaran mereka. Untuk itu, filem ini sebenarnya amat 'cantik' untuk ditonton oleh masyarakat khususnya golongan dewasa Malaysia. Sekurang-kurangnya, kesedaran 'awal' (saya benar-benar maksudkannya 'sebelum terlambat') akan mulai timbul berikutan gejala-gejala negatif yang semakin menular kini (dalam diam-diam). Dengan itu, pengharaman kemasukan filem-filem sebegini sebenar-benarnya perlulah dikaji dan diteliti sebaik mungkin. Jangan kerana ada sedikit elemen seks dan dadah – terus saja "BANNED". Fikirkanlah... wahai 'kalian' yang berkenaan itu.

Mesej dan interpretasi Bully masih seoptimis KIDS. Clark sekali lagi mahu 'bermain' dengan 'indictment' sosial melalui naratifnya, kerana dalam KIDS, kesannya ialah AIDS, manakala untuk Bully – 'Mati'.

Filem ini, barangkali, boleh memperjelaskan sebab-musabab, kenapa terlalu tinggi kadar jenayah keganasan seksual, rogol, hamil luar nikah, pembunuhan di kalangan remaja amerika, sebagaimana tingginya juga harapan kita agar 'penyakit' ini tidak menjangkiti 'adik-adik atau anak cucu' kita.

13 July 2004

Ulasan DVD : The Texas Chainsaw Massacre (1974)

Oleh Mahhass

Ini adalah salah satu di antara koleksi klasik 'cult' mesti tonton/dimiliki oleh peminat genre 'horror/slasher'.

Bagi saya, filem ini merupakan 'IBU' kepada segala filem-filem 'slasher' yang muncul dewasa ini, seperti watak tenang, bertopeng (juga), penuh gelap Jason yang bermula pada tanggal 'sial 13' - hari Jumaat, dendam Freddy Krueger di Springwood, 'psychopathic killer' yang menggusarkan dalam Silence of The Lambs, trilogi Scream yang sarat dengan jerit-jeritan, igauan ngeri Halloween, 3 'mutant' yang cukup 'liat' dalam Wrong Turn, klise Rob Zombie untuk House of 1000 Corpses yang terangan berkiblatkan Tobe Hooper, serta tidak ketinggalan juga 'reincarnation' Leatherface oleh Marcus Snipel (yang 'menjual' tagline - Inspired by a True Story) dikeluarkan di penghujung tahun 2003, yang dikritik hebat pengkritik filem Hollywood.

Walaupun saya menonton versi remake terlebih dahulu, namun setelah menonton versi original, maka memang ketara sekali perbezaannya, dan juga kenapa versi remake dianggap gagal oleh sesetengah pengkritik (walaupun sebenarnya versi 2003 juga saya minati).

Apa yang dapat saya perhati atau bandingkan, versi 1974 lebih sarat dengan unsur artistik dari segala aspek lebih-lebih lagi sinematografinya (walaupun masih di tangan Daniel Pearl). Perjalanan remaja-remaja tersebut yang berlatarbelakangkan sebuah pekan Texas yang sunyi, penuh misteri lantaran dari traumatisme penduduk sekitarnya cukup membuatkan kita turut sama resah.

Penggunaan teknik wide-shot angle (perhatikan sewaktu van mereka berhenti setelah ditahan hitchhiker), adegan kejar-mengejar yang saya kira lebih 'frankness', straight-forward, cemas, walaupun versi baru lebih 'gory' namun ia penuh 'jiwa ketakutan' yang lebih asli. Berbanding versi remake yang terlalu bergantung kepada efek CGI serta banyak mengenepikan sentuhan sebenar Hooper. Barangkali, juga tanpa sentuhan (mendiang) Robert Burns (art director), merupakan salah faktor kenapa versi baru di tangan Marcus Snipel dikritik hebat.

Watak Leatherface, walaupun jika dibandingkan (dengan versi remake), ia agak 'kartunistik', tetapi segala-galanya seakan masih 'segar' malah masih berjaya menimbulkan rasa trauma penontonnya.

Apa yang menarik tentang DVDnya adalah adunan audio DTS dan Dolby Digital yang seolah-olah 'menafikan' bahawa ia sebenarnya difilemkan hampir 3 dekad lalu. Juga dimuatkan beberapa deleted scenes, alternate footage – antaranya sewaktu opening scene, yang idea asalnya merupakan paparan seekor (bangkai) anjing, dan bukannya bangkai tenggiling )serta banyak lagi paparan 'bloody & gory').

Keseluruhannya, antara kedua-dua versi, secara peribadinya tidaklah ketara bezanya. Versi remake saya anggap masih memberi homej versi aslinya. Cuma, memanglah, seperti juga saya (sebagai penggemar Romero) menidakkan versi Zack Snyder untuk Dawn of The Dead (walaupun bagus), begitu jugalah kiranya bagi peminat-peminat Tobe Hooper yang gigih 'menafikan' segala macam remake filem (Texas)nya.

Nota : Fadz, terima kasih

Sebelum : Ulasan Texas Chainsaw Massacre (2003)

12 July 2004

Ulasan Filem : Godsend (2004)

GodsendOleh Mahhass

Sinopsis

Godsend menceritakan tentang pasangan suami isteri yang kehilangan anak lelakinya, Adam akibat kemalangan ngeri sewaktu berumur 8 tahun. Di upacara pengkebumian, mereka didatangi oleh seorang doktor (saintis), yang menawarkan untuk 'mengembalikan' semula anak mereka yang telah mati itu melalui kaedah pengklonan. Oleh kerana terlalu sayangkan anak mereka itu, mereka yang pada mulanya membantah, akhirnya bersetuju. Sel DNA anaknya (yang telah mati itu) diambil seterusnya disemadikan melalui kaedah genetik ke atas si ibu yang akan mula mengandungkan anak keduanya itu.

Setelah tiba masanya, maka si anak 'klon' yang juga dinamakan sebagai Adam itu lahirlah ke bumi. Dan seperti yang dijangka, memang sahlah rupa paras si anak 'baru' tersebut saling tak tumpah dengan yang telah mati suatu ketika dahulu. Kegembiraan pasangan tersebut tidaklah terperi, dan seolah-olah meraih kembali cahaya yang satu ketika dahulu pudar dalam kehidupan mereka.

Namun segala-galanya tidak seperti yang diharapkan. Malang sekali, si anak klon nyata tidak mempunyai persamaan berbanding Adam yang asal. Si klon seolah-olah dikembalikan semula 'memori' lama yang menukarkannya menjadi seorang pembunuh. Kebahagiaan pasangan ini akhirnya bertukar menjadi igauan ngeri.

GodsendUlasan keseluruhan

Membaca sinopsisnya barangkali, boleh mendorong kita untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang berlaku dalam plotnya. Bagaimanapun, ia tidaklah sehebat apa yang dilayarkan ke skrin, kerana filem ini, secara keseluruhannya begitu mengecewakan. Dari segi arahan, lakonan (kecuali watak Adam), elemen cemas serta garapan emosi yang direncanakan begitu lemah sekali.

3 kali saya menonton filem ini, 3 kali jugalah saya tertidur. Struktur plot yang 'merangkak' (bukan lagi bergerak) perlahan, jelas menghasilkan satu 'beban' menontonnya. Barangkali usaha Nick Hamm untuk meletakkan filem ini sebaris (atau cuba mem'parody'kan) filem-filem seperti The Sixth Sense, Darkness atau The Shining bagi mewujudkan suatu distopia baru era klonisme. Malangnya, tema 'noir' yang digambarkan, jauh tersasar dari apa yang kita harapkan dari sebuah genre yang sebenarnya cuba mengutuk kejadian atau fahaman klonisme ini.

Robert De Niro yang memegang watak saintis yang bertanggungjawab sepenuhnya mengklonkan Adam, mungkin memberikan sedikit 'sinar' ke dalam filem ini. Pun begitu, penghayatan watak 'gelap'nya itu saya kira gagal memberikan sebarang makna ke atas filem ini. Barangkali, kemunculan aktor ini hanyalah sebagai satu 'hiasan' untuk cuba menutup seribu kegagalan skripnya.

Pernah saya katakan dahulu bahawa sesebuah filem yang baik, sebenarnya memudahkan kita menulis (ulasan)nya. Jadi, filem ini agak 'susah' untuk saya mengulasnya, ditambah lagi dengan kehambaran mood saya pagi isnin ini. Jadi, saya tutup ulasan (filem) ini dengan menyarankan agar anda menjauhi hasrat untuk menontonnya. Bagi mereka yang mengalami masalah kesukaran untuk tidur (insomnia dsb), filem ini mungkin boleh menjadi penyelesaiannya!

Sutradara : Nick Hamm
Lakon layar : Mark Bomback
Genre : Drama, Fantasi, Seram, Cemas
Tagline : Adam Duncan. Born: December 11, 1987. Died: December 12, 1995. Born September 23, 1996.
Durasi : 1 jam 42 minit
Pelakon : Greg Kinnear, Rebecca Romijn-Stamos, Robert De Niro, Cameron Bright
SKRIN Rating : D+ (0.5/5)

07 July 2004

Filem 'Sepet' & tontonfilem

tontonfilem.blog-city.comMinggu ini saya agak kurang menonton filem, jadinya, tidak banyak ulasan yang boleh saya terbitkan selain menerbitkan ulasan-ulasan filem yang ditulis oleh sahabat saya, Fadz.

Nota : tontonfilem.blog-city.com ada 'disebut atau diiklankan' di majalah KLUE terbitan 1-15 July 2004 - di ruangan Boleh Blogs). Saya turut berasa bangga atas penghargaan ini apatah lagi kebanyakan karya-karyanya turut diterbitkan di blog ini.

Awal bulan Mac tahun ini, saya bersama-sama rakan weblog lain iaitu Ted (dan rakannya), sultanmuzaffar, fairulnizam, vovin, Oca dan juga Nazim Masnawi telah dijemput oleh saudara Nizam Zakaria untuk menonton 'rough-cut' sebuah filem karya serta arahan Yasmin Ahmad (untuk itu saya harus merakamkan ucapan terima kasih untuk Nizam).

Agak malang kerana saya tidak berkesempatan untuk memberikan 'gambaran' tentang filem ini dalam bentuk ulasan sejurus selepas menontonnya. Pun begitu, salah seorang rakan weblog saya, Ted, yang turut sama dijemput untuk menontonnya sempat mencoretkan sesuatu tentang filem Sepet ini melalui ungkapannya : "Jujur Sejujurnya". - Klik sini untuk baca ulasan 'Sepet' oleh Ted atau juga boleh dibaca di sini (ulasan Ted yang juga diterbitkan di weblog ini).

Kini, setelah filem ini melalui berbagai proses editing, di tapis di sana sini, sekali lagi ia dipertontonkan (juga dalam bentuk rough-cut) namun katanya ia tidak seperti versi asal. Saya benar-benar berharap agar 'nyawa', keaslian serta kejujuran yang sememangnya menjadi tunjang besar untuk filem ini tidak dipersia-siakan. Bagi menguatkan lagi kata-kata ini, saya terbitkan ulasan filem Sepet oleh saudara Fadz.

Bagaimanapun, harus saya katakan bahawa ulasan ini mungkin mengandungi 'spoilers'. Untuk itu saya sarankan anda membacanya sejurus selepas menontonnya.

Sepet akan dikeluarkan sekitar bulan September 2004 nanti. Sekali lagi, jika anda teruja (untuk menontonnya), saya juga pasti teruja untuk menonton untuk kesekian kalinya, sebuah filem yang memberi 'nafas baru' industri perfileman tanahair. Tahniah Yasmin Ahmad!

.....................................................................................

Sepet oleh Yasmin AhmadSepet- Filem Cinta Yang Bukan Cinta Biasa

Oleh Fadz

Pertama kali- Yasmin seorang 'romantis'.

Kedua. Seperti yang aku sudah beritahu, filem ini akan ditayangkan dahulu di Singapura bulan September ini. Aku sangat-sangat menginginkan orang kita pergi, secara rombongan bas atau kapal terbang atau kereta ("macam rombongan cik kiah lah"-Bintang Hati, hahah..aku teringat satu komik Lat menggambarkan Persatuan Para Ibu Kampung Xx Johor pergi melawat Singapura untuk membeli belah") untuk menonton 'the full version' filem ini di sana. Kerana filem ini, walaupun mungkin sarwajagat pendekatannya, filem ini sebenarnya adalah 'kita'. Dibuat untuk kita sebenarnya.

Menonton filem ini, dengan secara tidak sedar, ada sesuatu yang 'peribadi' yang anda akan rasa menggarap diri anda. Dan 'peribadi' ini, hanya anda sahaja yang tahu ada dan rasa. Filem ini juga 'lebih senang' ditonton dari Rabun (Yasmin sendiri mengaku, Rabun memang 'demanding' untuk menontonnya. Beliau menyimpulkan kata-kata Noor Azam Shairi yang bagi beliau amat benar tentang perbezaan kuasa 'grasping the audience', "Rabun mempunyai watak-watak yang kebanykannya dipinggirkan, dan lebih mengfokuskan pada Mak Inom dan Pak Tam, sedangkan Sepet, semua wataknya 'bulat' dan di'rasai' kewujudannya".

Yasmin sendiri memberitahu, Rabun dibuat secara tergesa-gesa kerana ia dibuat untuk ayahnya sebelum pulang ke Rahmatullah sedangkan Sepet mempunyai lebih banyak masa dan ditatang dengan lebih baik oleh Yasmin. Tetapi bagi aku, baik Rabun atau Sepet, filem-filem itu sendiri berlainan pembawaannya dan semangatnya. Maka bagi aku tidak salah 'supporting cast' dalam Rabun, kerna filem masih filem, ia tidak berkuasa dan tidak seharusnya perlu seperti satu novel) tetapi tidak pula meminggir kaum 'film buff' seperti aku (such freaks we are).

Ketiga. Filem ini juga sebenarnya ada kuasa meenggoyah penontonnya (lebih-lebih lagi kita orang Malaysia). Filem ini agak provokatif (dan bagi aku, lebih merbahaya dari The Big Durian. Mak aku sendiri, aku percaya, kerana isu-isu 'sensitif' yang diujakan dalam Sepet, akan meng'haram'kan filem ini), sama tahap seperti filem Farenheit 9/11 atau Passion of Christ, di mana anda akan sedar- "You'll love it, or you'll hate it". Aku berani berkata, dengan filem ini, kita akan sedar (kebenaran) diri kita sebagai seorang Malaysia (atau manusia) dengan apa yang kita percaya selama ini (hehe, boleh siap buat pilihanraya), atau kita berani menukar kepercayaan kita itu, atau ia lebih menguatkan semangat kepercayaan yang kita ada itu.

Filem ini bermula dengan frasa Basmallah "Dengan Nama Allah Yang Maha Kasihi Lagi Maha Mengasihani" sepertimana filem-filem Iran, memberitahu kita, kita bermula sesuatu selalunya bersama Tuhan (sangat Islam elemen ini, ia lagipun satu ibadah untuk apa-apa yang kita lakukan untuk mulakan dengan Basmallah, maka secara tidak langsung Yasmin seakan memberitahu menonton juga harus secara beribadah, kita ambil perjalanan mengenali itu dengan hati dan fikiran dan bukan hanya untuk mainan. Frasa ini juga memberi makna kejujuran, keikhlasan dan 'sayang' Yasmin ingin taburkan pada penontonnya) dan juga akhir bersama Tuhan (di akhir filem ini, sesuatu yang 'divinity' akan berlaku, bagi aku ia seakan Tuhan amat dekat dengan kita saat itu).

Sememangnya filem ini juga satu 'perjalanan' minda, rasa dan roh. Aku boleh katakan, aku menangis beberapa kali menonton filem ini (Yasmin, i hate u for this), bukan kerana genre 'weepies' atau 'tearjerker' yang diutarakan (memang ada melodramatiknya) tetapi penonjolan manusia-manusia yang melalui permasalahan mereka dengan penuh senyap, biasa dan kasih sayang yang tidak pernah aku tonton selama ini. Sepertimana waktu Jason menangkup mukanya waktu ibu peranakannya membelainya, memberi dia pengharapan dan kebenaran. Hati aku benar-benar 'berkecai' waktu itu.

Sepet bolehlah dikategorikan sebagai sebuah filem cinta seperti yang kita tonton dalam Ada Apa Dengan Cinta (ada orang mungkin akan samakan, kerna plot akhir filem ini juga unsur romantisme Jason seakan Rangga..kalau kau orang sedar, memang kebanyakan filem romantik ada berkenaan 'pemergian', satu entiti itu pergi meninggalkan, ikut darat, udara, air ataupun mati, dan si kekasihnya selalunya perlu mencarinya sebelum dia terlambat) di mana ia cerita cinta dua budaya (seperti Sejoli, Hujan Pagi, Talumpok, Paloh) yang berlainan (Jason seorang Cina, Orked seorang Melayu) maka plot dan motifnya beransur dan berkembang dari situ.

Kalau filem pertama dalam 'siri filem mata' Yasmin, Rabun boleh kita namakan, filem 'Mata Kesedaran', filem kedua ini bolehlah dinamakan filem 'Mata Pengenalan'. Ada pepatah mengatakan, "Tak kenal maka tak cinta" (sama seperti falsafah filem Central Station). Tetapi dalam filem ini, falsafah Yasmin menukarnya. Yasmin mengajak kita kenal bahawa "Cinta tak perlu kenal, tapi rasa kewujudannya" (dengan kita merasai cinta, kita juga merasai kewujudan Tuhan yang Memberinya. Apakah kita perlu kenal bagaimana dan apa Tuhan itu? Yang penting kita rasa Tuhan ada dan rasa cintaNya).

Ini dilihat dalam babak-babak filem ini waktu ibu Jason (yang dilakonkan dengan sangat baik sekali, penuh ketelitian, derita, pathos dan tenteram oleh seorang pelakon yang aku tidak kenal) menyukai puisi mandarin yang dibacakan padanya, tetapi diberitahu Jason, ia diterjemahkan dari puisi India (aku tak tahu siapa) sebenarnya. Dan lain seperti ibu Orked (yang dilakonkan dengan segar, bijaksana, seronok dan empati oleh Ida Nerina) yang menyindir suaminya (dilakonkan dengan bersahaja dan juga empati oleh Harith Iskandar) yang tidak memahami kaum wanita, "You don't have to undertand us, you just have to love us".

Maka filem ini juga menyuruh kita, meletak prejudis dan stereotaip kita terhadap budaya lain (di sini, Cina dan Melayu) ke tepi dan membuka mata kita seluas-luasnya dan mula merasa cinta terhadap insan lain, walau bagaimana lain kepercayaan, tingkah laku dan perasaan mereka.

Keadaan ini lebih dirasai apabila kita lihat, bagaimana 'harmoni'nya dunia keluarga Orked menerima Jason sebagai kekasih Orked. Walaupun di akhir filem ini, ayahnya berkata "Dia membuat seseorang mengandung luar nikah, terlibat dalam gangsterisme, dia tidak sesuai dengan kau" (Jason seorang penjual VCD haram yang dijaga oleh satu 'keluarga' atau kongsi gelap), kita sedar, bukan perbalahan agama, budaya, darjat (unsur biasa dalam filem sebegini untuk filem Melayu dan Hindustan) dan bahasa yang berlaku di sini (walaupun sebenarnya Orked agak pandai berbahasa Cina.. di sinilah filem Love Actually lebih seronok, kerana watak seorang Inggeris perlu 'mengenali' bahasa Portugis untuk melamar wanita Portugal yang dia sayangi) tetapi hanya 'tingkah laku' yang tidak betul dipersoalkan oleh ayah Orked.

Yasmin telah kembali mencipta (atau mengharapkan) satu 'dunia' untuk kita sedar, ada dan boleh wujud (yang sebenarnya kita sedar, ada di Malaysia)- polarisasi kaum dan bagaimana manusia boleh benar-benar hidup 'bersama' di bawah satu bumbung. Dengan unsur ini sahaja, aku berani kata Yasmin 'dare to go to the edge'.

Kerana lukisan perkauman yang Yasmin lukiskan amat 'real' garapannya. Masing-masing Cina dan Melayu saling tidak mengenali (tapi di sinilah persoalannya, perlukah kita kenali dan baru menyintai?), tetapi masih dapat bersegel bahu di tepi jalan yang sesak. Maka si buta dalam satu babak filem ini sahaja yang ber'contemplate' dan sedar bahawa kita sebenarnya semua serupa dan tidak berbeza sebenarnya, masing-masing boleh mencurigai, merasa cinta dan membuat segala tingkah seorang manusia ditabalkan untuknya (dengan ironi, ini dapat dibezakan dengan kata-kata si buta dalam Minority Report, "In the world of the blind, the one-eyed man sees all"). Maka di sini, aku menjumpai satu perumpamaan, sebenarnya tidak ada bezanya antara kulit kita, seksualiti, perkataan-perkataan yang kita guna. Masing-masing boleh memilikinya dan mengatakan, itu kepunyaan mereka juga. Hingga tidak perlu bezakan makna filem Malaysia dengan filem Melayu (atau Bahasa Malaysia dengan Bahasa Melayu) kerana yang penting, kita menggunakannya, menyayanginya dan 'menyimpannya' dengan penuh kesedaran.

Sepet juga adalah bukti kenapa Yasmin seorang auteur. Menjadi seorang auteur, perlu 'tandatangan' pengarahnya pada filemnya. Kalau Alfred Hitchcock, beliau akan menyelinap menjadi 'orang lalu lalang' dalam satu babak filemnya (yang dibuat juga oleh Peter Jackson dan kini Aziz M. Osman tetapi Aziz 'masuk campur' dalam filemnya). Steven Spielberg pula akan bermain dengan cahaya yang melimpah satu-satu ruang gelap dan tertutup sebelumnya. Wim Wenders selalunya menyukai tema 'road movie' dalam filemnya. Bagi Yasmin, kita dapati (adakah ini secara kebetulan?) dalam kedua-dua filemnya, seorang watak baru sahaja habis sembahyang, seorang watak bernama Orked (diri pengarah dalam filem) dengan ayah dan ibu yang agak 'eccentric', 'open-minded' dan penuh gelak ketawa, watak bernama Yam yang dekat dengan keluarga itu, shot yang tidak berganjak (GAIA memberitahu aku, filem-filem belah Timur Asia banyak menggunakan gaya ini), bulan penuh yang mengambang (GAIA bersembang dengan menarik bersama aku tentang ini. Bulan bagi orang Itali adalah 'Lunar' yang secara 'literal' juga bermakna 'gila'.

Lagenda Serigala Jadian banyak bersangkut pada bulan penuh kerna mereka dianggap 'orang-orang gila', malah ada peristiwa yang berlaku di Peranchis pada abad 17 tentang seorang 'gila' yang mengaku dia seekor serigala. Dalam filem Moonstruck, juga bersangkut dengan budaya Itali, bulan penuh dianggap 'waktu bercanda' di mana persaan manusia menjadi tidak tentu dan berkecamuk waktu itu. Bulan penuh juga mempunyai simbol romantik dalam filem-filem barat dan juga filem Pendekar Bujang Lapuk P. Ramlee) dan ciri 'pengharapan' dalam filemnya.

Sepet juga banyak bermain dengan ritma filem. Unsur-unsur penyambungan minda kita terhadap objek dalam mis-en-scene yang terdahulu dan kemudiannya berlaku dan wujud pada mis-en-scene selanjutnya, seperti yang selalu dilakukan oleh Stanley Kubrick dan Krysztof Kieslowski ataupun yang dilakukan oleh 'orang lama' seperti Griffith dan Wiene, wujud dalam Sepet. Seperti bagaimana patung mainan yang kaku mula bernari-nari (rentak cinta bermula, berputik), titi dua pasangan duduk dan di babak lain seorang sahaja, dan handphone yang berdering. Simbol handphone di sini sangat 'subtle' (dan bukan sahaja menyindir penonton kita), ia menandakan satu perhubungan 'intimacy' secara 'within the innerself' atau dengan seseorang. Unsur ini akan berlaku dengan banyak kali dan paling efektif pada akhir filem ini.

Lakonan, seperti biasa, filem Yasmin berjaya sekali lagi menemukan satu kumpulan pelakon yang sangat berbakat dan hidup lakonan-lakonan mereka (dari kedua-dua bangsa yang digambarkan dalam filem ini), terutamanya yang melakonkan watak Orked (aku diberitahu, dia adik Syarifah Aleya, betul ke?). Adibah Noor yang berlakon sebagai 'kakak dan kawan' ibu Orked "Yam suka dengar lagu Siam" juga sungguh bersahaja dan 'shine' dalam filem ini (a bit scene stealer too).

Aku suka babak Ida Nerina dan Harith di katil, lalu mereka betukar-tukar kata tentang Orked dan bagaimana Ida ketahui tentang 'cinta' anaknya melalui Kak Yam tetapi masih bersahaja saja. Satu babak klasik dalam sebuah filem Melayu. Jason yang dilakonkan oleh seorang yang aku tak kenal juga, walaupun agak kaku dalam beberapa babak, sangat baik pembawaan wataknya. Kawannya Keong juga agak lancar melakonkan wataknya. Kawan pada Orked juga agak baik sebagai 'side kick' Orked.

Penggambaran dan pemilihan lagu filem ini juga berada ditahap yang cemerlang (aku tidak boleh berkata apa-apa tentang suara dan 'grating' filem ini kerana ia masih dalam tahap rough-cut), mengikut benar ritma suntingan dan emosi babak yang diperlukan. Hanya mungkin beberapa babak sahaja, kalau kita tidak teliti, kita mungkin akan menganggap filem ini membosankan.

Hanya satu saja 'rosak' filem ini (ini memang 'hobi' aku kalau menonton filem Melayu), dalam penggambaran orang lalu-lalang, terdapat anak kecil memerhati terus kanta kamera filem ini. Memang inilah budaya filem Melayu, mesti ada, antara satu (seperti Berlari Ke Langit baru-baru ini. Perkara ini sangat pandai dipusingkan dalam Buli) 'pak pacak' yang tidak melakukan tugas 'memacak'nya. Tapi aku rasa, itu memang sudah sebati dalam mana-mana filem Melayu. We are never tired of looking at ourself I guess.

Sepet akhirnya, seperti yang aku kata, secara tidak langsung sebuah filem untuk kita, dan juga untuk kita 'menentukannya'. Di sini, anda akan lihat pelbagai persepsi yang berlaku apabila kita tonton klimaks akhir filem ini. Penutup filem ini menentukan segalanya. Mungkin ada orang akan kata, ia semacam tergantung, tetapi sebenarnya Sepet mengajak kita melepasi sempadan ruang dan masa, sepertimana yang 'mungkin' dilalui Orked, untuk mencari inti filem ini (unsur mainan ruang dan masa ini juga berlaku dalam Three Colours: Red dan The Exorcist). Kalau perkataan "rosebud" dalam Citizan Kane mengarah kita mencari 'misteri' ini dalam lipatan cahaya filem itu, akhir kata Orked di Handphone pada Jason (mis-en-sene sebelumnya, Jason ditunjukkan terlantar di jalan, berlumuran darah dan handphonenya terpelanting) pula mengarah kita menjawab kesimpulan tentang apa yang kita sudah lihat dalam sejam lebih filem ini.

Babak sebegini pernah dilakukan dalam filem Talk To Her (si lelaki dan perempuan saling bertemu mata dan tersenyum sepi di antara barisan penonton), Indochine (Catherine meninggalkan anak angkatnya lalu melihat ke tebing sungai), dan Tsu Feh Sofiah (Rahim Razali melihat pantai dan lalu pergi, matahari masih mekar belum terbenam di belakangnya).

Menarik apabila Yasmin menanya penontonnya, apa yang mereka 'dapati' dari babak akhir Sepet. Pelbagai jawapan yang diberi, termasuk aku. Di sinilah, kita sedar, jika kita benar-benar mahu perubahan, atau sangsi dengan perubahan ini atau mahu biarkan 'cinta' ini tanpa perubahan. Kita sedar bahawa, yang bercakap sekarang bukan kita lagi, tapi ketidaksedaran kita mengambil tempat, maka segala norma dan kemahuan kita akan terpancar dalam persepsi kita itu:-

1. Orked kerana ingin benar mendengar suara Jason, dia menciptakan ilusi Jason supaya dia dapat berhubung dengannya- penyedaran bahawa 'cinta' hanya orang-orang seperti Orked sahaja yang faham. Psyche kita tidak dapat menerimanya. Di sini kita percaya 'romantisme' sudah mati. Ini boleh disamakan dengan filem Dr. Rushdi P. Ramlee yang mana filem itu menggambarkan 'kelupusan' romantisme (dari watak-wataknya yang mempercayai isme ini) dan juga satu makna 'subtle' dari P. Ramlee bahawa unsur filem Melayu lama 'berakhir' di situ atau kerjanya sendiri akan 'berakhir' dalam ketidaktentuan.

2. Keong yang menjawab handphone Jason, berlakon sebagai Jason bila bercakap dengan Orked- 'Cinta' tetap ada bila ada orang-orang yang disampingnya masih mempercayainya. Psyche kita masih berdolak dalik tentang 'penyatuan' ini tetapi masih inginkan ia berlaku, tetapi kebenarnnya tetap menerangkan 'cinta itu hanya ilusi'.

3. Orked mendengar 'suara roh' Jason- 'Cinta' ini akan hanya berlaku di luar fizikal manusia (di sini, alam roh) kerana cinta itu terlalu suci, ia melangkaui dimensi dunia, maka roh dan alam disatukan untuk satu kali terakhir. Ini jawapan aku, malah ada beberapa pengkritik luar negara memberitahu Yasmin perkara yang sama. Ini adalah jawapan seorang romantis, yang inginkan dan percaya pada perubahan itu, 'cinta' itu yang disampaikan dan mahu ia berputik tapi masih tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku. Maka psyche kita sanggup 'melangkaui' logik ruang dan masa untuk menyatukan 'cinta' ini.

4. Jason tidak mati. Untuk kali terakhir bercakap dengan Orked yang mula menangis, dia bercakap dengan tenang, tidak mahu menggoyah perasaan Orked, memberi Orked harapan yang sepenuhnya- Pendirian tentang 'cinta' ini yang paling optimistik. Bukan sahaja psyche kita gagal menerima Jason sudah mati, dia bercakap dengan tenang pula, seakan tidak ada apa-apa yang akan berlaku, menyatakan realiti ini dipercayai memang berlaku.

Bayangkan apa yang telah filem ini buat pada aku, dan aku juga ingin menanti saat ia menggoyah penonton lain (dan kita akan lihat, korang ingin mempercayai 'cinta' itu atau tidak). Seperti yang Nizam Zakaria katakan pada aku, apabila beliau bertemu dengan sebuah filem kita yang sempurna pembuatannya, terbaik antara yang terbaik, Sepet adalah jawapannya. Aku juga mengatakan yang sama sepertinya.