06 November 2003

Ulasan Filem : A Tale of Two Sisters (2003)

Oleh Mahhass

Saya difahamkan bahawa filem A Tale of Two Sisters ini diilhamkan dari lagenda Korea sendiri iaitu dari lagenda Janghwa dan Hongryun.

Ia sebuah filem seram yang betul-betul membuatkan saya turut sama diam dan kelu tatkala menontonnya berikutan dari corak 'slow-moving', babak seram yang sengaja di'senyap'kan dan tidak di latarbelakangkan apa jua muzik, 'shock' yang tidak semena-mena tetapi sesuai pada tempat dan masanya, elemen hantu yang mampu memberi igauan penonton serta babak suspen yang melampau.

Apa yang paling menarik dan memang menjadi kegemaran saya ialah filem ini mengajak penonton sendiri berfikir untuk membezakan yang mana satu realiti & fantasi, yang mana benar & khayalan. Apa lagi yang boleh saya katakan?

Seperti filem The Ring, A Tale of Two Sisters telahpun dibeli oleh pengeluar filem Dreamworks dengan harga sekitar US$2 juta, apalagi kalau tidak untuk di'Mat Saleh'kan dan dijangka akan dikeluarkan sekitar tahun 2005 nanti. Walaubagaimanapun, tidak perlulah rasanya saya menunggu versi tersebut, kerana saya yakin versi Korea asli serta tulen ini sudah cukup membuatkan saya menonton sambil menggigit jari.

Keseluruhan penggambaran filem ini dibuat di sebuah rumah kayu klasik yang cantik serta kawasan persekitarannya. Banyak filem kebelakangan ini menonjolkan kisah kepincangan hubungan kekeluargaan, konflik dalaman dan yang nyata sekali, A Tale of Two Sisters ini juga mengisahkan konflik 2 beradik, iaitu Su-Mi dan Su-Yeon ini dalam penerimaan ibu tiri mereka setelah kematian ibu mereka akibat bunuh diri.

Mereka berdua terpaksa di masukkan ke hospital mental berikutan daripada kejadian tersebut, dan sekembalinya mereka ke rumah tersebut, mereka dilihat mengalami perubahan mental yang drastik. Sebenarnya, saya sendiri tidak dapat mengagak dengan tepat yang mana satu realiti yang cuba di sampaikan oleh pengarah walaupun saya tahu kesudahan filem ini.

Mungkin juga kerana saya sendiri terlalu banyak membuat andaian berikutan daripada flashback yang berbeza-beza. Satu arahan yang cemerlang oleh pengarah. Pendapat saya, jika sesuatu filem seram/psiko-twist itu berupaya menimbulkan kesan ke atas penonton hinggakan tatkala melangkah keluar panggung ataupun pada waktu-waktu lain, penonton masih lagi seolah-olah 'pening' memikirkan, adalah filem yang cemerlang bagi saya. Sesetengah itu pula, membuat penilaian buruk akibat ketidak-fahaman mereka. Ada pula, selepas menonton DVD khususnya, mematikan suis, tidur dan keesokan pagi sudahpun lupa filem apa yang ditontonnya malam tadi.

Apapun, khayalan itu sebenarnya terletak pada diri penonton itu sendiri. Pengarah ternyata berjaya membawa penonton sama-sama menyelami emosi serta isi hati 2 adik beradik tersebut. Bagi saya, A Tale of Two Sisters merupakan sebuah filem kategori seram yang cukup baik pembikinan dan arahan serta menampilkan lakonan yang pasti membuatkan penonton rasa serba tak kena.

SKRIN Rating: A- (4/5)