Oleh Mahhass
Rata-rata kini seakan sudah menjadi satu 'trend' pembikinan skrip sesebuah filem yang memaksa penonton membuat berbagai-bagai andaian, dan sesetengahnya pula dilihat sengaja mewujudkan kekeliruan dan kebingungan penonton. Saya akui yang saya memang meminati filem-filem seumpamanya.
Namun, filem Basic sebenarnya bukanlah seperti yang saya sangkakan walaupun dari mula hingga ke penghujung filem ini dipenuhi dengan unsur cemas dan suspen serta membuatkan saya memberi berbagai-bagai andaian akan bagaimana kesudahannya? Siapa? bagaimana dan yang paling penting - mengapa...
Pengarah (John McTiernan) dilihat bijak mewujudkan unsur-unsur cemas serta perasaan ingin tahu saya dengan berlatar-belakangkan ‘imbas-kembali’ bagaimana 6 anggota ranjer atau komando elit yang menjalankan latihan hutan yang lasak dibawah pimpinan Sgt. West, (sekali lagi lakonan 'sombong' Samuel L. Jackson) di sebuah hutan yang menyaksikan hanya 2 orang dapat diselamatkan akibat ‘berperang’ sesama sendiri. Walaubagaimanapun, kedua-dua ranjer yang telah diselamatkan tersebut enggan memberikan apa-apa penjelasan akan apa yang berlaku serta nasib 4 anggota ranjer yang lain, yang dianggap telah terbunuh walaupun tiada mayat dijumpai.
Soal siasat terpaksa dilakukan oleh Tom Hardy, lakonan baik John Travolta yang juga merupakan bekas ranjer dengan dibantu oleh penyiasat tentera, Lt. Osborne. Akhirnya, kedua-dua ranjer (yang diselamatkan) tersebut mula bercakap serta menjelaskan keadaan sebenar serta apa yang berlaku sewaktu latihan tersebut. Walaubagaimanapun, terdapat percanggahan yang amat ketara dalam kedua-dua penjelasan mereka. Masing-masing menuduh anggota yang berlainan yang melakukan pembunuhan serta motif yang berbeza-beza. Basic berupaya mengajak penonton ke penghujung filem ini kerana realiti disebalik kejadian yang berlaku hanya dapat diketahui atau dirumuskan diakhir babak filem ini.
Basic sebenarnya memperlihatkan idea yang menarik dan kredit sepatutnya diberikan kepada penulis skrip dan juga pengarahnya, namun, penyelesaian terhadap kekeliruan yang diwujudkan tersebut tidak di'perjelas'kan ataupun di'pertonton'kan, malah, hanya berasaskan dialog semata-mata.
Walaupun saya akui bahawa kesudahan filem ini dilihat menarik dan merupakan satu kelainan dari mana-mana filem khususnya ‘twisted-film’, jauh dari jangkaan minda saya, namun saya masih lagi melihat ketiadaan penyelesaian yang 'nyata' (lebih realistik dan diterima akal) terhadap kekeliruan yang melampau sebenarnya tidak boleh diterima oleh rata-rata penonton dan juga majoriti penganalisa filem.
Sayang sekali kerana ia telah sedikit sebanyak mencacatkan filem Basic ini atau mungkin untuk keseluruhan filem ini.
SKRIN Rating : C+ (2.5/5)