Oleh Mahhass
Freaky Friday merupakan sebuah 'remake' dari versi originalnya tahun 1976 (tahun saya dilahirkan) lakonan Jodie Foster pada masa itu, dan kini dilakonkan oleh Jamie Lee Curtis dan Lindsay Lohan serta beberapa lagi pelakon lain.
Filem keluaran Walt Disney arahan Mark Waters ini saya terpaksa akui yang jangkaan awal saya terhadap filem ini ialah 'membosankan', namun amat memeranjatkan juga kerana Freaky Friday berjaya membawa saya dari awal hingga ke akhir babak filem ini! Freaky Friday boleh dikategorikan antara filem yang paling bermutu tahun 2003 ini khususnya bagi filem-filem bercorak komedi.
Secara ringkasnya, mengisahkan kehidupan biasa seorang psychiatrist iaitu Dr. Tess Coleman, yang juga merupakan ibu tunggal lakonan Jamie Lee Curtis dalam menangani masalah anak remajanya, Anna lakonan Lindsay Lohan yang dilihat seringkali tidak bersefahaman diantara satu sama lain. Ibunya tidak mahu memahami kemahuan dan minat Anna yang lebih cenderung terhadap muzik.
Manakala Anna pula masih tidak boleh menerima kehadiran bapa tirinya yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan ibunya, di tambah pula dengan 'rehearsal' perkahwinan ibunya jatuh pada hari yang sama dengan hari pertunjukan band muziknya. Sehinggalah pada suatu pagi jumaat tersebut, setelah bangun dari tidur mereka menyedari yang mereka telah mengalami 'body-switching' berikutan dari jampi ‘fortune’ yang ditujukan pada mereka di sebuah restoran cina sehari sebelum itu. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka berdua terpaksa 'berpura-pura' menjadi satu sama lain. Si ibu terpaksa ke sekolah, si anak ke pejabat sebagai doktor. Di sinilah suasana komedi berjaya di wujudkan oleh pengarah.
Saya masih ingat lagi filem Hot Chick (2002) yang juga berkonsepkan 'body-switching' ini namun saya kira Freaky Friday mempunyai mesej yang lebih luas dan lebih matang. Saya memuji lakonan cemerlang Jamie Lee Curtis, lebih-lebih lagi dalam membawa watak 'Anna' dengan cukup berkesan sekali. Namun bagi Lindsay pula, watak ibunya yang dibawanya sebenarnya boleh dihidupkan lagi. Saya kira lakonan Lindsay masih diperingkat awal (seperti mana lakonan Reese Whiterspoon pada peringkat awal pembabitannya dalam lakonan dilihat semakin hari menampakkan peningkatan).
Apapun, Freaky Friday memberi pengajaran khususnya untuk kaum ibu bapa dalam menangani sesuatu masalah dengan anak-anak remaja samada dari segi persekolahan, minat, hubungan dan sebagainya. Begitu juga bagi anak-anak remaja dalam memahami tugas ibu-bapa itu sendiri.
Sebuah filem komedi keluarga yang menghiburkan!
Rating : B (3/5)