28 October 2003

Ulasan Filem : A Man Apart (2003)

Filem arahan F. Gary Gray (The Negotiator, Set it Off) ini menampilkan Vin Diesel (The Fast & The Furious, XXX) melakonkan watak Sean Vetter sebagai 'undercover' anti-narkotik, berganding bahu bersama Demetrius (lakonan Larenz Tate) yang juga merupakan teman baiknya.

Beliau bersama anggota skuad khas lain, berjaya menumpaskan Raja Dadah di Mexico iaitu Memo Lucero (lakonan Gino Silvo) setelah lebih 7 tahun memburu beliau.

Memo merupakan penjenayah yang paling dikehendaki oleh kedua-dua negara tersebut berikutan dari kegiatan pengedaran & penyeludupan dadah di sempadan Mexico & US. Apa yang menjadikannya begitu licik ialah "beliau tidak akan bermalam di sesuatu tempat itu lebih daripada sekali".

Walaubagaimanapun, beliau akhirnya tumpas (awal-awal lagi dalam filem ini) pada suatu malam tersebut seterusnya dipenjarakan hasil dari perancangan rapi skuad tersebut.

Tidak lama selepas meraikan kejayaan itu bersama isterinya Stacey (lakonan Jaqueline Obradors), dan juga rakan seperjuangan yang lain, Sean akhirnya terpaksa menerima akibat bahawa nyawa isterinya menjadi balasan terhadap penangkapan Raja Dadah tersebut, yang kini diketuai oleh ketua baru yang cuma dikenali sebagai Diablo.

Isterinya ditembak mati, manakala Sean sendiri hampir terbunuh, namun dia terselamat. Di sinilah titik permulaan filem ini. Sean menjejaki dalang yang bertanggungjawab ke atas kematian isterinya.

A Man Apart merupakan filem yang boleh saya kategorikan ganas berikutan daripada banyak aksi-aksi ganas yang ditonjolkan, serta terdapat bahasa yang kasar dan beberapa adegan seks yang tidak keterlaluan. Saya memuji lakonan Vin Diesel dalam filem ini berbanding filem-filem beliau sebelumnya.

Terdapat juga unsur emosi yang diwujudkan beliau setelah kehilangan isterinya namun saya fikir tidak cukup untuk mengajak penonton menghayati kesedihan beliau. Pengarah cuba sebaik mungkin mewujudkan rasa dendam dan kesedihan namun adakah aksi seorang polis membelasah sampai mati akan pembunuh upahan (yang membunuh isterinya) tersebut boleh diterima oleh sesetengah penonton?

Walaubagaimanapun, saya akui yang juga tertarik dengan babak tersebut, yang memaksa rakannya melepaskan tembakan bagi menutup kesilapan yang dilakukan oleh Sean tersebut.

Filem keluaran New Line (yang biasanya menampilkan filem-filem hebat) ini terdapat kekurangan unsur cemas, skrip yang saya kira agak lemah, plot dan kesudahan yang tidaklah sukar untuk dijangka penonton.

Sekali lagi, filem keluaran Amerika cuba menonjolkan aksi 'Hero Dunia' dengan menumpaskan penjenayah seperti Raja Dadah yang dikehendaki di seluruh dunia.

Pun begitu, saya tetap menonton filem-filem sebegini hanya atas sekadar hiburan semata-mata. Malah, tidak pernah pula saya beli DVD original sebelum ini! (semua DVD Jack Sparrow!)

Kesimpulannya, A Man Apart hanya banyak bergantung pada kekuatan pelakonnya atau lebih tepat lagi populariti Vin Diesel sendiri. Melihat akan 'cover' & 'trailer' nya, pada mulanya saya menganggap filem ini pasti hebat, namun tidaklah seperti yang saya jangkakan.

Walaubagaimanapun, saya sedikit tertarik pada babak kesudahan filem ini.... tidak pula saya menjangkakan akan penghujungnya sebegitu 'simple' sekali.

SKRIN Rating:C- (1/5)