08 October 2003

Ulasan Filem : The Italian Job (2003)

Oleh Mahhass

The Italian Job merupakan sebuah filem 'remake' British, yang dikeluarkan pada tahun 1969, yang rata-rata saya kira ramai yang tidak pernah menonton atau tidak pernah tahu akan kewujudan versi original filem ini. Saya difahamkan bahawa versi originalnya lebih kepada sebuah filem berunsur komedi.

Dibintangi oleh Mark Wahlberg ("The Yards", "The Corruptor", "Big Hit"), Charlize Theron ("Reindeer Games", "Trapped"), Jason Statham ("The Transporter").

Mengisahkan Charlie Croker (Wahlberg), John Bridger (Donald Sutherland), bersama-sama dengan kumpulan pencuri profesionalnya berjaya mencuri sebuah peti besi yang penuh dengan jongkong emas yang bernilai lebih 30 juta di Venice, Italy. Namun, dengan tidak disangka-sangka, salah seorang daripadanya telah belot dan melarikan emas-emas tersebut serta menganggap mereka (rakan sepencurian) semua telah mati akibat dari tembakan yang dilepaskan bertalu-talu. Walaubagaimanapun, mereka bernasib baik kerana terselamat.

Setahun berlalu, mereka memulakan rancangan untuk mendapatkan atau merampas kembali emas-emas tersebut. Walaubagaimanapun, mereka kekurangan khidmat "pakar pembuka peti besi". Ini berikutan dari kematian John Bridges akibat ditembak oleh Steve (lakonan Edward Norton yang belot tersebut). Akhirnya, Charlie berjaya memujuk Stella (Charlize) untuk bersama-sama menyertai kumpulan mereka yang mana Stella merupakan anak kepada John Bridger. Dan mereka seterusnya menjalankan tugas mereka... .

Filem ini penuh dengan aksi kejar-mengejar, plot yang susah dijangka penonton, perancangan yang canggih dan sofistikated serta sedikit unsur komedi oleh pelakon Seth Green yang memegang watak sebagai Lyle (pakar komputer). Walaubagaimanapun, apa yang saya lihat kurang dalam filem ini ialah dari aspek emosi, kekurangan penonjolan watak khususnya watak Rob (lakonan Jason Statham), Left Ear dan juga John Bridger itu sendiri.

Saya kira aksi stunt kereta BMW dalam filem "The Transporter" lebih menarik dan tampak lebih 'real' berbanding filem ini walaupun terdapat lebih 3 buah Mini Cooper. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan yang sesetengah aksi boleh dikatakan menarik contohnya adegan di dalam terowong tetapi tidak di kaki lima!

Saya hairan mengapa pengarah hollywood masih lagi terikat dengan menonjolkan aksi kejar-mengejar dari atas jalan raya ke kaki lima! Kosong benarkah jalan kaki lima di kota besar seperti L.A tersebut sehingga mereka boleh memandu sebegitu laju? Mungkin satu hari nanti, pengarah filem di Malaysia boleh mencuba melakukan aksi sebegitu rupa.. hmmm di mana ya? Bintang Walk? Kita nantikan... mungkin 10-20 tahun lagi saya kira!

Tidak banyak aksi ganas (selain dari adegan bunuh-membunuh) dan terdapat hanya sedikit bahasa-bahasa kasar kedengaran. Filem ini seolah-olah memberitahu kita bahawa menjadi seorang pencuri (profesional) itu 'boleh' dan tidak menjadi masalah selagi kita tahu bagaimana cara melepaskan diri!

Tiada apa pengajaran yang baik yang boleh diambil daripada filem ini.

SKRIN Rating:C+ (2/5)