29 November 2010

Winter's Bone (2010) - Sonata Musim Seram Sejuk

Oleh Nazim Masnawi

Kau mungkin tak percaya benda ni tapi aku ni kadang-kadang bodoh juga. Sedang asyik menonton Winter's Bone, aku tiba-tiba tertanya: Hei, naratif filem ini macam stail noir, kan? Dengan karakter yang tak patut menerima padah menerima padah; pelbagai insiden jadi sebelum keadilan dicapai; sekalian kegelapan semakin terasa; ilusi habis berkecai; tak ada siapa akan terlepas begitu sahaja. Hero kita yang picik dari segi zahir, sosial dan ekonomi nak tak nak terpaksa mengharapkan ketangkasan akal dan semangat semata-mata; menerima setiap ancaman, setiap sepak terajang sebagai tanda dia berada di trek yang betul.

Kemudian baharu aku sedar: Hei, ini bukan setakat macam, ini memang pun filem noir!

Sebab utama aku tidak kenal pasti dari awal adalah kerana lokasinya. Bukan lorong-lorong gelap di kota besar, sebaliknya sebuah kampung yang sangat-sangat-sangat-sangat pedalaman, yang bikin Kampung Gajah kelihatan bak bandar megalopolis. Ketamadunan yang kita boleh lihat hanyalah sebuah sekolah yang muncul dalam dua adegan, kehadiran seorang askar dalam satu adegan dan balai polis yang tak ada fungsi apa sangat pun. Penduduknya pula menyara hidup dengan mengharapkan daging binatang liar yang berkeliaran dan dadah. Tak ada TV (hei, bagus juga), radio atau pawagam; buku yang ada pun jenis kau kaler sendiri. Semua orang ambil dadah, semua orang ada senjata, semua orang berkait rapat dengan darah daging namun berjauhan dari teratak masing-masing (disempadankan lagi dengan laluan penuh lecah dan resah), dan undang-undang yang ada tidak banyak membantu jika kau ditimpa masalah.


Dari minit pertama kita tahu ini bukanlah tempat paling best di dunia, apatah lagi paling selamat. Sinematografinya banyak mencirikan perwatakan ini. Ya, komposisinya bagus; ya, suntingannya tajam; tapi aku bercakap tentang warnanya. Majoriti rupa filem ini seakan telah di-Cloroxkan, ditapis dengan rona kusam lagi dingin. Ia banyak membantu menyuntik unsur bahaya dan tidak selesa ke dalam filem ini dan efeknya - barang kali kita tidak begitu sedar sewaktu menontonnya - tidak boleh dinafikan. Benar kata Roger Ebert, ia bagaikan dunia pasca apokalips, relik sebuah tempat yang dahulunya pernah dibanggakan.

Lagi satu faktor yang membuatkan aku tidak memberkas cap noir filem ini adalah kerana protagonisnya yang tidak diungguli oleh individu yang ke-Bogart-an - kaki rokok, kaki kopi, seksis dan sebagainya. Sebaliknya, ia diterajui oleh seorang perempuan, Ree Dolly lakonan Jennifer Lawrence. Serius, aku terkejut jika Lawrence tidak menjadi bintang besar selepas ini*. Dari syot pertama, Lawrence sudah memancarkan intensiti yang boleh membuatkan patung Oscar sendiri terpancut. Filem ini memanggil Ree untuk menjadi seorang mangsa yang lemah, seorang pejuang, seorang "ibu" yang kuat, seorang anak yang gelabah, seorang musuh yang bahaya, seorang sahabat, seorang gadis yang dalam ketakutan dan seorang wanita yang boleh sahaja projek kegerunan. Dengan berusia baru 18 tahun, kompleksiti yang melampau ini lazimnya akan membawa kepada lakonan tidak konsisten. Tidak di sini. Lawrence dengan selamba mempamerkan setiap satu aspek itu dari minit ke minit. Kadang kala, dalam satu-satu masa sekali gus.


Dan faktor terakhir yang membuatkan aku tidak menyedari kenoirannya adalah objektif protagonis kita. Biasanya usaha hero filem noir ada sedikit, bak kata orang putih, self-important. Hasil penyiasatannya tidak begitu mustahak bagi mana-mana pihak, namun ia tetap dilakukan kerana dia perlu tahu. Nilai kekeluargaan pula jauh sekali ada. Ree di sini sebaliknya mempunyai dua orang adik yang perlu dijaga, dibebankan lagi dengan emaknya yang tidak lagi siuman dan ayahnya yang tunggu masa dihumban ke dalam penjara dek kerja memproses dadah. Hero noir biasanya berada dalam perjalanan untuk mengenal hidup (tak kisahlah baik atau buruk) tapi Ree sudah ada kehidupannya sendiri (tak kisahlah senang atau susah), dia cuma perlu bertungkus-lumus untuk mengekalkannya.

Gentle cakap, para pelakon yang lain pun hebat-hebat belaka. Salah seorang pelakon karakter kegemaran aku Garret Dillahunt juga tidak terkecuali, namun aku rasa dia tidak digunakan sebaiknya sebagai sherif yang lebih banyak menyusahkan Ree secara tidak langsung dari membantunya. Tabik spring kepada John Hawkes sebagai pak long Ree, Teardrop. Teardrop kadang-kadang menjadi musuh Ree paling akrab dan kadang-kadang kawannya paling ketat. Namun ketidakstabilan karakter ini - kita tertanya-tanya tentang niatnya di sepanjang cerita - membuatkan dia cukup seronok diamati. Ini adalah sebuah filem kecil, maka barisan pelakonnya pun kecillah. Tapi ini tidak menjadi masalah kerana kesemua karakter dibawa, dikembangkan dengan cukup sajak. Setiap seorang berpeluang berkacak sendiri. Bagaimanapun, tiada siapa benar-benar mengambil alih tampuk perhatian kerana ini adalah filem mengenai Ree dan Ree sahaja.


Fokus tunggal filem ini amat jelas apabila kita mengimbau kembali kisah penyiasatannya. See, konflik utama cerita ini berkisar tentang ayah Ree, Jessup Dolly yang telah menggunakan rumah familinya sebagai ikat jamin sebelum dia memboloskan diri dari mahkamah. Ini bermakna Ree perlu cari dan heret ayahnya ke hadapan hakim atau buktikan yang dia telah mati dengan secepat mungkin. Jika tidak, rumah tersebut - barang kali satu-satunya harta keluarga yang masih ada - akan dirampas. Now, terdapat klu sana sini yang diberi tentang nasib Jessup, dan satu karakter pada akhir cerita mengaku dia telah mendapat kesimpulan - bagaimanapun, dia tidak pernah berkongsi maklumat ini. Malah, filem ini seolah-olah sengaja mengelak aspek misterinya, memilih jalan untuk membiarkan audiens mencapai konklusi sendiri (tu pun kalau kau tak fucking malas sangatlah). Ree tak peduli pun apa jadi pada ayahnya, dia cuma nak tahu orang tua tu hidup ke tak. Filem ini juga bersikap begitu, hatta secara dasarnya menjadikan takdir Jessup bukanlah isu besar; dan ini sekali gus membuatkan Winter's Bone sebaik-baik noir yang ada di luar sana.

Jika terdapat sebarang kritikan tentang filem ini, ia adalah berkenaan lakon layarnya yang diadaptasi dari novel tulisan Daniel Woodrell. Secara spesifik, aku paling menyampah exposition dalam skrip di mana karakter dan naratifnya berhenti bergerak secara harfiah demi menyampaikan poin-poin tertentu kepada audiens takut mereka tak faham. Filem ini seolah-olah terlalu berhaluan kiri dalam hal ini sehingga langsung tidak ada penerangan yang disengajakan. Dari satu aspek, aku memang respek; dari aspek lain, memang sukar untuk kau tahu pertalian sesetengah watak, motivasi sesetengah tindakan dan dendam sesetengah pihak. Ini menjadikan filem ini amat mustahil untuk ditonton secara pasif. Di pawagam barang kali tidak ada masalah, tapi di rumah dengan jiran tak habis-habis drill sana sini, susah sungguh nak beri tumpuan yang didamba.

Ini bukan nak kata Winter's Bone adalah sebuah filem berat. Ya, ia amatlah gelap, namun terdapat banyak momen penuh listrik yang mengelakkan kita dari mula mengimpikan bantal peluk. Aku tidak tahulah jika ia adalah filem bertaraf Oscar seperti yang dicanang orang, namun lakonan Jennifer Lawrence sedikit sebanyak perlu diberi pengiktirafan. Kalau tidak minat filem noir, kau tonton lakonannya sahaja sudah cukup. Kalau tidak minat filem secara umum, well, kau anak haram. Tapi tidak mengapa, video di bawah pun ada.

12 November 2010

...Dalam Botol (2011) - Anu Kecil yang Sederhana Besar

Oleh Nazim Masnawi

Hidup filem kecil!

Apabila kau dengar ...Dalam Botol berkisar tentang seorang transeksual yang setelah tersekat di persimpangan pulang ke kampung lalu menemui harapan baru, kau pasti membayangkan ia penuh dengan adegan melodrama. Namun Khir Rahman, yang pertama kali mengarahkan filem - dengan skrip bersama penerbit Raja Azmi, tahu benar bahawasanya hidup adalah rentetan momen kecil, dan ia tidak memerlukan tragedi hebat atau pengalaman telan Panadol untuk membuatkan kau rebah. Ia terletak pada kemapanan beban yang dipikul itu; pada mulanya boleh sahaja kau berjalan jauh dengan beban tersebut di bahu, namun lama-kelamaan ia menjadi tidak tertanggung. Terlalu menderita.

Fokus utama filem ini adalah Bidin@Ruby, seorang transeksual yang menjadi begitu semata-mata kerana kasihnya pada Ghaus, seorang gay yang self-righteous. Ruby hidup dengan penuh tekanan*; Ghaus tidak menghargainya malah tenang berhedonis menghabiskan hartanya setiap hari (ya, dia ada alasan sendiri berbuat begitu). Kita boleh rasa keseksaan Ruby, dan kegagalannya. Dia tidak berduit, tinggal sendiri di apartmen kelam, dan hanya menunggu masa untuk gantung diri di bilik air. Kemudian, kematian seorang ahli keluarga membuatkannya pulang ke kampung - sebagai seorang jantan - dan ironinya, menemukannya dengan harapan baru dalam bentuk seorang gadis.

Sekali lagi, segalanya dipersembahkan pada skala kecil. Filem ini tidak terlepas dari klise-klise filem Melayu, namun tiada satu pun digalak bak produksi Yusof Haslam. Biarpun kadar urgensi pada klimaks cerita amat mengigit, ia kekal benar, berpijak di bumi nyata dan masuk dek akal. Dan filem ini cukup bijak dengan tidak memilih jalan mudah - Ghaus yang bangsat bertambah bangsat pada akhirnya dan tidak dijatuhkan sebarang hukuman. Dan Dina, gadis kampung tersebut, bukanlah seorang dewi atau Kara Zor-El atau seorang yang sama jahanam (namun dia mempunyai pengalaman lalu yang tersimpan, memudahkannya berhubung dengan Ruby). Semua orang dirasakan benar. Semua benda dirasakan tulus.


Dari pelbagai aspek, ini adalah satu kejayaan. Sukar aku kira menghasilkan filem yang rasa seperti membiaskan kehidupan sebenar tanpa menjadi murung, tapi Khir kadang kala mencipta situasi yang cukup halus jenakanya. Dan dia mengambil tespian hebat-hebat untuk melakonkannya. Arja Lee wajib memenangi bukan sekadar Bintang Harapan, malah Pelakon Terbaik sebagai Ruby@Bidin. Ia adalah peranan yang benar-benar dihidupkan, dan bukan berlakon cuma. Berpusar sekitar dunia realiti, Ruby dirasakan jujur; seperti karakter yang sudah pun hidup sebelum kamera berputar dan terus bernafas setelah imej terakhir diberkas. Ruby adalah seorang individu, dan nyata Arja memerah setiap inci bakat yang dimiliki ke dalam setiap adegan. Bergebang dengan saudara Adnan Abdul Rahman sesudah tayangan, jelasnya antara tugas paling sukar sewaktu pembikinan adalah melembutkan Arja yang maskulin. Semasa menonton, aku bertakat-takat versi Bidinlah yang merupakan sebuah lakonan**. Nah, jika Festival Filem Malaysia boleh menganugerahkan Lisa Surihani untuk watak yang tidak habis dalam Legenda Budak Setan (2010), tidak menjadi masalah mereka mengiktiraf Arja yang melakukan transformasi sebegini menakjubkan - langsung tiada self-preservation.

Bagaimanapun, aku kurang berkenan dengan Diana Danielle sebagai Dina, gadis kampung yang mula menkonkritkan batin Bidin. Biarpun dia memberi lakonan sensitif ke dalam watak yang sejak awal kita tahu akan berakhir dengan malang, terdapat suatu energi konon selamba pada Diana yang menjengkelkanku. Hingga kini aku tertanya-tanya mungkin suka aku pada filem ini jauh lebih tinggi jika watak itu dibawa oleh orang lain.

Para pelakon selebihnya, bagaimanapun, kekal hebat. Masing-masing menyuntik kebenaran tanpa terlalu berusaha. Normah Damanhuri banyak memainkan reaksi wajah yang bukan sahaja menggambarkan perasaan ibu Ruby pada saat-saat tertentu, malah keseluruhan hayat dan cara hidupnya sekali gus. Begitu juga Jalil Hamid dengan monolognya. Fauziah Ahmad Daud memberi gravitas yang diperlukan pada katarsis cerita. Dan Wan Raja, sebagai Ghaus, sekali lagi cukup berkarisma dan cukup menawan untuk membuat aku tidak jadi campak apa-apa ke skrin kerana kesialan wataknya.


Sinematografi Azri Izhar pula evokatif dan sering kali menjadi karakter yang satu lagi. Dia merakam adegan perkampungan di Banting (ya, betul-betul di kawasan Sosilawati dibunuh) dan keindahannya kadang kala dilebih-lebihkan namun tidaklah juga ke tahap jelik. Dia bijak mencari tekstur kusam sana sini, membezakan suasana gelap lagi klaustrofobik Kuala Lumpur***. Dan lokasi digunakan sebaik mungkin, mencerminkan atau mengkontrakan aspek-aspek jiwa Ruby yang menggelodak.

Sehari selepas tayangannya untuk para blogger, terdapat sedikit kritikan di luar sana bahawa ...Dalam Botol adalah sebuah filem yang benar-benar anti gay. Kalau mengikut konteks queer cinema, memang ada betulnya. Namun aku tidak tahu jika istilah "benar-benar" boleh digunakan. Aku kira filem ini hanya menunjukkan akibat jika kau membiarkan nyali seksual kau dieksploitasi. Ini bukan sahaja terkena pada golongan homoseksual, malah golongan heteroseksual - seperti cinta Aunty Sherry pada lelaki Mat Salleh dan Dina pada kekasihnya dahulu. Jika hendak diperdebatkan, watak yang paling terurus dan stabil di dalam filem ini adalah seorang gay iaitu Jem (Rosnan Rahman), rakan karib Ruby. Nyata ia menjelaskan golongan homoseksual juga mempunyai peluang cerah untuk kehidupan normal, cuma barang kali langkah yang diambil perlu lebih berhati-hati agar tidak mudah terpesong seperti... well, segala aspek dalam kehidupan ini.


Yang lebih menggusarkan aku sebenarnya adalah ...Dalam Botol tidak membawa ide baru tentang dunia homoseksual. Segala persoalan, segala perbahasan pernah diilham dari filem-filem terdahulu. Ini tidak menjadi masalah kerana audiens kita lebih senang dengan hidangan yang telah dipra hadam, tapi bagi mereka yang mempunyai kaca mata lebih luas - yang sudah bersimpati atau berempati dengan golongan ini - timbul tanda tanya tentang poin kewujudan filem ini. Bagaimanapun, bak kata Roger Ebert, filem bukan mengenai apa yang diceritakan tetapi bagaimana ia diceritakan. Mungkin Khir dari awal tidak mempunyai wawasan yang begitu jauh (yakni, tidak mahu mengubah tanggapan dunia), namun aku percaya dia juga tidak pernah berniat hendak memberikan resonans yang sebegini lazim dan mudah.

Apa-apa pun, ...Dalam Botol adalah sebuah filem kecil, tapi itulah yang aku suka tu. Internet selalu sangat menjadi medan yang menarik minat kita hanya pada wacana sangat hebat (seperti filem-filem P. Ramlee, Yasmin Ahmad) atau yang sangat bobrok (2 Alam); semakin hari semakin kecil ruang untuk kita berdialog tentang filem yang berada tengah-tengah, filem yang baik, filem yang menyeluruhi kau sedikit demi sedikit, filem yang bercakap dengan nuansa. ...Dalam Botol adalah salah sebuah filem sebegitu, filem yang tidak pernah cuba membuatkan mulut kau ternganga tapi berjaya membuatkan kau pulang dengan perasaan kau telah mengenali seseorang, yang kau baharu saja menghabiskan masa bersama ketika momen penting dalam hidup mereka berlangsung. Bagi aku, bak kata orang putih, that's world building.

*Aku berharap hal ini diimbangi dengan keglamoran hidup mak nyah - berpesta dan dijulang sana sini - yang membuatkan orang seperti Ruby kekal berpaut dalam dunia tersebut. Malang sekali tidak, dan ini membuatkan babak pertama filem ini hampir-hampir kasi aku mengamuk.

**Di luar konteks maksud aku. Maaflah Arja kalau aku ingat kau pondan betul. Tapi ni kira komplimen apa, kan?

***Dan syukur, buat pertama kali dalam filem Melayu tidak ditunjuk pun bayang KLCC. Mungkin Khir insaf setelah terlibat dengan Cuci (2008) dahulu.