Oleh Nazim Masnawi
Hidup filem kecil!
Apabila kau dengar ...Dalam Botol berkisar tentang seorang transeksual yang setelah tersekat di persimpangan pulang ke kampung lalu menemui harapan baru, kau pasti membayangkan ia penuh dengan adegan melodrama. Namun Khir Rahman, yang pertama kali mengarahkan filem - dengan skrip bersama penerbit Raja Azmi, tahu benar bahawasanya hidup adalah rentetan momen kecil, dan ia tidak memerlukan tragedi hebat atau pengalaman telan Panadol untuk membuatkan kau rebah. Ia terletak pada kemapanan beban yang dipikul itu; pada mulanya boleh sahaja kau berjalan jauh dengan beban tersebut di bahu, namun lama-kelamaan ia menjadi tidak tertanggung. Terlalu menderita.
Fokus utama filem ini adalah Bidin@Ruby, seorang transeksual yang menjadi begitu semata-mata kerana kasihnya pada Ghaus, seorang gay yang self-righteous. Ruby hidup dengan penuh tekanan*; Ghaus tidak menghargainya malah tenang berhedonis menghabiskan hartanya setiap hari (ya, dia ada alasan sendiri berbuat begitu). Kita boleh rasa keseksaan Ruby, dan kegagalannya. Dia tidak berduit, tinggal sendiri di apartmen kelam, dan hanya menunggu masa untuk gantung diri di bilik air. Kemudian, kematian seorang ahli keluarga membuatkannya pulang ke kampung - sebagai seorang jantan - dan ironinya, menemukannya dengan harapan baru dalam bentuk seorang gadis.
Sekali lagi, segalanya dipersembahkan pada skala kecil. Filem ini tidak terlepas dari klise-klise filem Melayu, namun tiada satu pun digalak bak produksi Yusof Haslam. Biarpun kadar urgensi pada klimaks cerita amat mengigit, ia kekal benar, berpijak di bumi nyata dan masuk dek akal. Dan filem ini cukup bijak dengan tidak memilih jalan mudah - Ghaus yang bangsat bertambah bangsat pada akhirnya dan tidak dijatuhkan sebarang hukuman. Dan Dina, gadis kampung tersebut, bukanlah seorang dewi atau Kara Zor-El atau seorang yang sama jahanam (namun dia mempunyai pengalaman lalu yang tersimpan, memudahkannya berhubung dengan Ruby). Semua orang dirasakan benar. Semua benda dirasakan tulus.
Dari pelbagai aspek, ini adalah satu kejayaan. Sukar aku kira menghasilkan filem yang rasa seperti membiaskan kehidupan sebenar tanpa menjadi murung, tapi Khir kadang kala mencipta situasi yang cukup halus jenakanya. Dan dia mengambil tespian hebat-hebat untuk melakonkannya. Arja Lee wajib memenangi bukan sekadar Bintang Harapan, malah Pelakon Terbaik sebagai Ruby@Bidin. Ia adalah peranan yang benar-benar dihidupkan, dan bukan berlakon cuma. Berpusar sekitar dunia realiti, Ruby dirasakan jujur; seperti karakter yang sudah pun hidup sebelum kamera berputar dan terus bernafas setelah imej terakhir diberkas. Ruby adalah seorang individu, dan nyata Arja memerah setiap inci bakat yang dimiliki ke dalam setiap adegan. Bergebang dengan saudara Adnan Abdul Rahman sesudah tayangan, jelasnya antara tugas paling sukar sewaktu pembikinan adalah melembutkan Arja yang maskulin. Semasa menonton, aku bertakat-takat versi Bidinlah yang merupakan sebuah lakonan**. Nah, jika Festival Filem Malaysia boleh menganugerahkan Lisa Surihani untuk watak yang tidak habis dalam Legenda Budak Setan (2010), tidak menjadi masalah mereka mengiktiraf Arja yang melakukan transformasi sebegini menakjubkan - langsung tiada self-preservation.
Bagaimanapun, aku kurang berkenan dengan Diana Danielle sebagai Dina, gadis kampung yang mula menkonkritkan batin Bidin. Biarpun dia memberi lakonan sensitif ke dalam watak yang sejak awal kita tahu akan berakhir dengan malang, terdapat suatu energi konon selamba pada Diana yang menjengkelkanku. Hingga kini aku tertanya-tanya mungkin suka aku pada filem ini jauh lebih tinggi jika watak itu dibawa oleh orang lain.
Para pelakon selebihnya, bagaimanapun, kekal hebat. Masing-masing menyuntik kebenaran tanpa terlalu berusaha. Normah Damanhuri banyak memainkan reaksi wajah yang bukan sahaja menggambarkan perasaan ibu Ruby pada saat-saat tertentu, malah keseluruhan hayat dan cara hidupnya sekali gus. Begitu juga Jalil Hamid dengan monolognya. Fauziah Ahmad Daud memberi gravitas yang diperlukan pada katarsis cerita. Dan Wan Raja, sebagai Ghaus, sekali lagi cukup berkarisma dan cukup menawan untuk membuat aku tidak jadi campak apa-apa ke skrin kerana kesialan wataknya.
Sinematografi Azri Izhar pula evokatif dan sering kali menjadi karakter yang satu lagi. Dia merakam adegan perkampungan di Banting (ya, betul-betul di kawasan Sosilawati dibunuh) dan keindahannya kadang kala dilebih-lebihkan namun tidaklah juga ke tahap jelik. Dia bijak mencari tekstur kusam sana sini, membezakan suasana gelap lagi klaustrofobik Kuala Lumpur***. Dan lokasi digunakan sebaik mungkin, mencerminkan atau mengkontrakan aspek-aspek jiwa Ruby yang menggelodak.
Sehari selepas tayangannya untuk para blogger, terdapat sedikit kritikan di luar sana bahawa ...Dalam Botol adalah sebuah filem yang benar-benar anti gay. Kalau mengikut konteks queer cinema, memang ada betulnya. Namun aku tidak tahu jika istilah "benar-benar" boleh digunakan. Aku kira filem ini hanya menunjukkan akibat jika kau membiarkan nyali seksual kau dieksploitasi. Ini bukan sahaja terkena pada golongan homoseksual, malah golongan heteroseksual - seperti cinta Aunty Sherry pada lelaki Mat Salleh dan Dina pada kekasihnya dahulu. Jika hendak diperdebatkan, watak yang paling terurus dan stabil di dalam filem ini adalah seorang gay iaitu Jem (Rosnan Rahman), rakan karib Ruby. Nyata ia menjelaskan golongan homoseksual juga mempunyai peluang cerah untuk kehidupan normal, cuma barang kali langkah yang diambil perlu lebih berhati-hati agar tidak mudah terpesong seperti... well, segala aspek dalam kehidupan ini.
Yang lebih menggusarkan aku sebenarnya adalah ...Dalam Botol tidak membawa ide baru tentang dunia homoseksual. Segala persoalan, segala perbahasan pernah diilham dari filem-filem terdahulu. Ini tidak menjadi masalah kerana audiens kita lebih senang dengan hidangan yang telah dipra hadam, tapi bagi mereka yang mempunyai kaca mata lebih luas - yang sudah bersimpati atau berempati dengan golongan ini - timbul tanda tanya tentang poin kewujudan filem ini. Bagaimanapun, bak kata Roger Ebert, filem bukan mengenai apa yang diceritakan tetapi bagaimana ia diceritakan. Mungkin Khir dari awal tidak mempunyai wawasan yang begitu jauh (yakni, tidak mahu mengubah tanggapan dunia), namun aku percaya dia juga tidak pernah berniat hendak memberikan resonans yang sebegini lazim dan mudah.
Apa-apa pun, ...Dalam Botol adalah sebuah filem kecil, tapi itulah yang aku suka tu. Internet selalu sangat menjadi medan yang menarik minat kita hanya pada wacana sangat hebat (seperti filem-filem P. Ramlee, Yasmin Ahmad) atau yang sangat bobrok (2 Alam); semakin hari semakin kecil ruang untuk kita berdialog tentang filem yang berada tengah-tengah, filem yang baik, filem yang menyeluruhi kau sedikit demi sedikit, filem yang bercakap dengan nuansa. ...Dalam Botol adalah salah sebuah filem sebegitu, filem yang tidak pernah cuba membuatkan mulut kau ternganga tapi berjaya membuatkan kau pulang dengan perasaan kau telah mengenali seseorang, yang kau baharu saja menghabiskan masa bersama ketika momen penting dalam hidup mereka berlangsung. Bagi aku, bak kata orang putih, that's world building.
*Aku berharap hal ini diimbangi dengan keglamoran hidup mak nyah - berpesta dan dijulang sana sini - yang membuatkan orang seperti Ruby kekal berpaut dalam dunia tersebut. Malang sekali tidak, dan ini membuatkan babak pertama filem ini hampir-hampir kasi aku mengamuk.
**Di luar konteks maksud aku. Maaflah Arja kalau aku ingat kau pondan betul. Tapi ni kira komplimen apa, kan?
***Dan syukur, buat pertama kali dalam filem Melayu tidak ditunjuk pun bayang KLCC. Mungkin Khir insaf setelah terlibat dengan Cuci (2008) dahulu.
1 comment:
Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero
Post a Comment