17 October 2003

Ulasan Filem : Hollywood Homicide (2003)

Oleh Mahhass

Komedi dan aksi.... Begitulah yang dapat saya kategorikan untuk filem ini. Lakonan Harrison Ford (Joe Gavillan) dan Josh Hartnett (K.C. Calden), dua detektif yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan satu pembunuhan sebuah kumpulan rap popular di sebuah kelab di Hollywood. Secara ringkasnya, Joe merupakan seorang polis senior tetapi dalam masa yang sama bekerja 'part-time' sebagai agen hartanah.

Manakala, K.C. pula secara 'part-time' sebagai pelatih 'Yoga' dan bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon! Oleh yang demikian, mereka terikat dengan kehidupan peribadi masing-masing walaupun semasa dalam melakukan tugasan sebagai detektif.

Joe, yang terbelenggu dengan masalah kewangan, cuba menjual sebuah rumah, manakala, K.C. lebih banyak dilihat berlatih untuk uji-bakat sebagai pelakon teater! Dalam masa yang sama, Joe membuat hubungan sulit dengan seorang psikik (yang juga merupakan teman wanita kepada boss di jabatan beliau!) membantu beliau dalam menyiasat kes pembunuhan tersebut.

Filem ini saya kira telah menonjolkan satu kelainan daripada mana-mana filem siasatan polis khususnya keluaran hollywood. Cinematography yang menarik di sekitar Los Angeles, dan saya boleh katakan filem yang menampilkan banyak 1st class stunt-action walaupun saya hampir tertidur dalam 30 minit yang pertama filem ini.

Kita biasa menonton filem aksi yang menampilkan aksi "perfect" contohnya dalam adegan kejar mengejar. Namun dalam filem ini, banyak adegan yang tidak menjadi contohnya semasa Joe cuba mendapatkan sebuah kenderaan untuk mengejar suspect namun tidak diberi kerjasama oleh orang awam, yang memaksa Joe menggunakan basikal! Ini menghidupkan lagi filem tersebut kerana saya kira di Malaysia sekalipun, saya rasa tidak ramai yang boleh memberi 'on-the-spot' kerjasama dengan pihak polis dalam membenteras jenayah, khususnya dengan 'meminjamkan' kenderaan!

Banyak lagi diselitkan unsur lucu oleh pengarah, seperti adegan Joe yang semasa mengejar suspect, masih sempat menerima panggilan dan tawar-menawar harga rumah yang hendak dijual. Watak Joe Gallivan saya kira amat sesuai sekali dipegang oleh Harrison Ford, seperti juga filem-filem aksi lakonan beliau sebelum ini yang banyak diselitkan unsur komedi.

Filem Hollywood Homicide yang ala-ala Lethal Weapon ini diklasifikasikan PG-13 di US kerana terdapat unsur ganas, bahasa-bahasa kasar, dan juga beberapa adegan seks yang tidak keterlaluan. Di Malaysia, sudah pasti diklasifikasikan 18SG.

Apapun, filem ini menjanjikan aksi + komedi yang menghiburkan dan saya kira ia sesuai di tonton di panggung wayang berbanding di rumah.

Rating:B- (2.5/5)