Oleh Mahhass
Filem paling ganas untuk tahun 2003? Malah, mungkin juga untuk tahun 2004 di mana Vol.2 akan dikeluarkan sekitar bulan April 2004 nanti. Filem ini baru saja ditayangkan di seluruh dunia pada 10 Oktober 2003 lalu dan semalam saya bernasib baik terjumpa DVD (master copy yang gambarnya tak-berapa-bagus tapi OK) ini, tak tunggu lama dan terus membelinya.
Kill Bill merupakan filem keempat arahan Quentin Tarantino selepas filem-filem seperti Desperado, Pulp Fiction dan juga From Dusk Till Dawn, dari Penerbit Eksekutif iaitu Bob Weinsten (LOTR 1 & 2) terbitan Miramax Films. Dibintangi oleh Uma Thurman (The Bride/Black Mamba), Lucy Liu (O-Ren Ishii), Vivica A. Fox (Vernita Green) dan Daryll Hannah (Elle Driver) serta ramai lagi. Saya difahamkan penggambaran dibuat di sekitar Los Angeles, Jepun dan juga Beijing, menjadikannya lebih menarik walaupun seringkali banyak diselitkan 'skrin hitam-putih' untuk menghidupkan lagi sesuatu babak tersebut.
Filem ini dijadikan kepada 2 Volume kerana masa yang agak panjang iaitu hampir 4-5 jam jika disatukannya (filem ini bukanlah filem Matrix, jauh sekali Terminator 3!). Saya kira filem ini TIDAK mungkin akan ditayangkan di Malaysia berikutan aksi-ganas-terlampau yang banyak ditonjolkan. Namun, kita tunggu dan lihat sahaja.
Secara ringkas, filem kombinasi Jepun & Hollywood ini mengisahkan Uma Thurman yang memegang watak sebagai Black Mamba, bekas anggota Deadly Viper Assasination Squad (DiVAS), yang juga merupakan bekas teman wanita kepada watak Bill lakonan David Caraddine (yang tidak ditonjolkan dalam Vol. 1 ini), cuba dibunuh oleh anggota skuad mereka sendiri sewaktu melangsungkan upacara perkahwinannya di sebuah gereja di Texas. Walaubagaimanapun, beliau bernasib baik kerana masih lagi hidup dalam keadaan separuh koma selama lebih kurang 4 tahun walaupun telah dibelasah teruk dan juga ditembak di kepala.
4 tahun berlalu, beliau sedar dari koma, dan bangkit untuk membalas dendam khususnya atas kejadian yang menimpanya sewaktu hari perkahwinannya. Bagaimanapun, dendamnya terbalas awal-awal lagi iaitu ke atas lelaki yang bertanggungjawab 'menjual' tubuhnya sewaktu dia terlantar kaku separuh koma di katil hospital selama 4 tahun tersebut, dengan membunuhnya lantas merampas 'Pussy Wagon' iaitu kenderaan pacuan 4 roda kepunyaan lelaki tersebut, digunakannya untuk melunaskan 'hutang' terhadap Bill dan kuncu-kuncunya.
Watak-watak jahat dalam filem ini banyak diceritakan atau lebih tepat lagi di imbas kembali dalam bentuk animasi/anime, seperti watak GoGo dan O-Ren. Begitu menarik dan unik sekali saya kira. Lakonan yang saya kira cemerlang oleh Uma sebagai The Bride, namun pengarah seakan lupa untuk menerapkan emosi dalam filem ini.
Lakonan Lucy Liu yang memegang watak O-Ren saya kira gagal mewujudkan rasa benci penonton terhadapnya. Begitu juga watak Vernita Green, yang selepas 4 tahun, telahpun berkeluarga, juga gagal mewujudkan emosi, dan saya kira penonton mungkin lebih merasa kasihan terhadap anak perempuan beliau yang melihat sendiri bagaimana ibunya (Vernita) dibunuh akibat dendam oleh Black Mamba.
Filem yang banyak mendapat pujian di US & Jepun oleh pengkritik filem & media hiburan, tak kurang juga menilainya sebagai filem yang buruk, namun bagi saya, filem Kill Bill ini cukup menghiburkan dan saya tidak sabar untuk menonton kesudahannya dalam Kill Bill Vol.2 nanti!
SKRIN Rating: A- (4/5)
TERBARU : Ulasan Kill Bill Vol. 2 klik sini!