13 October 2003

Ulasan Filem : Wrong Turn (2003)

Oleh Mahhass

"Wrong Turn"
merupakan sebuah filem genre 'horror/slasher' arahan Rob Schmidt, dikeluarkan pada bulan Jun tahun ini. Saya akui yang saya amat meminati filem horror. Biasanya, sebelum menonton sesebuah filem, saya akan membaca sepintas lalu ulasan-ulasan di internet. Namun, bagi filem ini, saya tertarik untuk menontonnya walau banyak kritikan yang diberikan.

Saya mendefinisikan filem seram kepada dua:- pertama iaitu seram, gore, bloody, slasher, ganas & 'shocking' (seperti pembunuhan kejam, monster atau makhluk aneh dan sebagainya tetapi BUKAN alien atau makhluk asing!); dan kedua iaitu filem seram yang tidak menampilkan aksi ganas tetapi lebih kepada ketakutan kepada sesuatu (seperti sihir, mistikal, hantu, devilism, poltergism, excorsisme dsb.) Maka, filem Wrong Turn boleh saya kategorikan definisi pertama tadi.

Rata-rata, kebanyakan peminat filem seram masakini saya kira lebih enjoy menonton filem seram ganas. Ini mungkin kerana terlalu bosan menonton filem yang lebih kepada unsur-unsur mistikal. Tidak dinafikan juga kebanyakan filem menggabungkan dua unsur tersebut nyata lebih mendapat sambutan (di pawagam berbanding film buffs!)

Wrong Turn mengisahkan bagaimana seorang pemuda iaitu Chris Finn (lakonan Desmond Harrington) telah terperangkap disebuah lebuhraya. Beliau akhirnya terpaksa berpatah balik memandangkan kesuntukan masa untuk menghadiri temuduga, akhirnya melalui sebuah jalan pintas yang sunyi.

Malangnya, dia telah terlibat dengan sebuah kemalangan di jalan tersebut dengan sebuah kenderaan sekumpulan remaja yang rosak di situ, yang turut sama melalui jalan tersebut. Mereka terpaksa mencari bantuan dengan meredah sebuah hutan untuk mencari pertolongan. Akhirnya, mereka terjumpa sebuah rumah, lantas memasuki rumah tersebut dengan harapan untuk mendapatkan pertolongan.

Namun, mereka tersilap yang akhirnya menyaksikan mereka terpaksa menyelamatkan diri dari 3 pembunuh yang saya kira bersifat 'mutant' tersebut. Tidak pasti pula kenapa mereka bersifat demikian, namun saya fikir mereka mungkin mengalami gangguan genetik yang menjadikan mereka kebal, kanibal dan sehingga berkeadaan sebegitu rupa (disiarkan pada awal babak filem ini).

Sekiranya anda meminati filem House of 1000 Corpses iaitu seperti menetak, memotong leher, menyiang daging manusia, seterusnya dijadikan hidangan makan tak kira malam atau siang, anda akan menyukai filem ini.

Sayang sekali, pengarah mungkin boleh membuatkan filem ini lebih menyeramkan lagi dari segi lakonan, dan jalan cerita itu sendiri. Saya pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa pihak polis hanya muncul di akhir cerita sedangkan sudah berpuluh-puluh malah beratus kenderaan telah dilaporkan hilang di kawasan tersebut? Tidak seperti dalam filem House of 1000 Corpses, polis yang datang meninjau telah dibunuh.

Apa-apapun, filem ini saya kira mampu memberikan rasa cemas/thrill kepada penonton walaupun plot atau storyline nya tidaklah sebagus yang diharapkan kerana filem yang baik bagi saya ialah filem yang sukar dijangkakan penonton akan jalan cerita tersebut ataupun kesudahannya.

Banyak filem yang dikeluarkan, rata-rata menjanjikan aksi seram/ganas semata-mata tanpa mempedulikan aspek jalan cerita tersebut. Atau, mungkin penonton itu sendiri lebih mengharapkan 'happy-ending' yang ternyata langsung tidak memberi kesan selepas menonton sesebuah filem itu kerana jarang sekali kita lihat hero/heroine sesebuah filem itu mati atau kemenangan 'berpihak' kepada watak jahat. Rata-rata, kebanyakan babak kesudahan filem lebih banyak 'tergantung'.. mengajak penonton membuat andaian sendiri.

Rating : C+ (2/5)