06 October 2003

Ulasan Filem: Phone Booth (2003)

Oleh Mahhass

Filem ini saya telah tonton kira-kira 2 bulan lepas. Sebuah filem keluaran & diarahkan oleh Joel Schumacher. Saya kira arahan Schumacher kali ini jauh lebih baik berbanding filem "Bad Company". Dibintangi oleh Colin Farrell (bintang filem spt. "SWAT", "Daredevil", "Minority Report", "The Recruit"), Forest Whitaker ("Panic Room", "Blown Away"), Katie Holmes ("Disturbing Behaviour", TV series "Dawson Creek") dan Kiefer Sutherland (Golden Globe® Award for Best Actor in a Drama Series).

Sesuai dengan tajuknya, 95% penggambaran filem ini hanya di satu lokasi sahaja - iaitu di sebuah pondok telefon di tengah-tengah kesibukan kota New York! Pada mulanya, saya fikir filem ini filem horror/seram, tetapi rupanya merupakan sebuah filem 'horror' hollywood kerana tajuknya mirip kepada filem-filem seram Jepun.

Mengisahkan seorang Media-Consultant yang juga seperti kebanyakan orang biasa di sekitar New York, telah terperangkap di dalam pondok telefon awam setelah menjawab satu panggilan di situ.

Ya, saya kira, siapa sahaja mungkin sekurang-kurangnya akan berhenti dan menjawab telefon awam yang tiba-tiba berdering walaupun kita sedia maklum 99% akan kesilapan nombor oleh pemanggil, tetapi oleh kerana kita mungkin sejak kecil didik rasa tanggungjawab atau mungkin juga kerana terlalu busybody!

Maka bermula saat itulah, satu suara memberi amaran kepadanya supaya jangan meletakkan gagang atau memutuskan talian telefon tersebut, kerana sekiranya dia melakukannya, satu tembakan yang entah dari mana akan dilepaskan tepat kepadanya! Ini telah dibuktikan oleh penembak sembunyi itu dengan melepaskan satu tembakan kepada seseorang di situ setelah berlaku ketegangan akibat terlalu lama di dalam pondok telefon tersebut.

Malang sekali kerana mangsa itu tidak tahu-menahu tentang konflik maut yang dialami oleh Stu (Collin) tersebut! Akibatnya, mereka termasuk yang lalu-lalang di situ menuduh Stu yang melakukan (tembakan), sedangkan dia tidak boleh menafikannya kerana penembak tersebut telahpun memberi amaran kepadanya supaya tidak memberitahu apa2 maklumat tentang kewujudannya.

Lebih malang lagi, penembak tersebut awal-awal lagi telah meletakkan sepucuk pistol di dalam pondok tersebut dan mengugutnya supaya mengeluarkan dan mempertontonkan kepada orang ramai akan pistol tersebut!

Ini menambahkan lagi keyakinan pihak polis (yang telahpun mengepung pondok telefon tersebut berikutan dari tembakan ke arah lelaki tadi) dengan menyuruhnya keluar menyerah diri dari pondok tersebut sedangkan dia tidak boleh berbuat demikian akibat dari amaran penembak 'tak-guna-sesen' tersebut.

Filem ini telah membuatkan saya duduk tanpa berganjak di depan TV dari mula dia terperangkap sehingga akhir babak kesudahannya... Persoalannya adakah Stu akhirnya akan di tembak oleh sniper tersebut? atau ditembak sendiri oleh pihak polis? atau mungkin beliau di paksa untuk melepaskan tembakan ke arah polis?

Anda kena saksikan sendiri filem ini.... saya kira filem ini cukup untuk membuat anda semua tidak berganjak juga!

Satu kelainan dari filem-filem hollywood yang lain, low-budget, namun sedikit sebanyak dapat dirumuskan bahawa sesebuah filem yang bermutu tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi terlampau, pelakon yang ramai serta lokasi penggambaran yang banyak!

Rating : B (3/5)