Perlumbaan Formula 1 United States Grand Prix (USGP) baru saja berakhir. Teka-teki tentang siapakah yang bakal bergelar juara kategori pemandu yang begitu sengit sebelum ini sudah semakin terlerai. Kini hanya tinggal satu pusingan lagi iaitu di Suzuka, Jepun yang bakal menyaksikan siapakah yang akhirnya berhak menerima gelaran juara, baik dari kategori pelumba, mahupun pengeluar.
Persaingan di Indianapolis menyaksikan saingan lebih terbuka di antara 3 pemandu tumpuan iaitu Michael Schumacher, Juan Pablo Montoya dan Kimi Raikkonen. Cuaca yang tidak menentu di Amerika Syarikat ketika ini sedikit sebanyak mengganggu persiapan awal pasukan-pasukan yang bertanding. Sesi-sesi ujian pada hari Jumaat dan Sabtu yang sedikit terjejas akibat hujan terpaksa digunakan sepenuhnya bagi mengoptimumkan penyediaan kereta. Akhirnya, pada sesi kelayakan terakhir pada hari Sabtu, Raikkonen berjaya menduduki petak pertama, manakala pesaingnya yang terdekat iaitu Schumacher hanya menduduki petak ke 7, dan Montoya di petak ke 4. Permulaan perlumbaan menyaksikan Raikkonen meluru pantas meninggalkan pelumba-pelumba lain. Beliau mula menjarakkan dirinya daripada pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Schumacher dan Montoya.
Pada pusingan ke-3, ketika membuat percubaan untuk memintas Barrichello, Montoya telah melanggar bahagian tepi kereta F2003GA Barrichello menyebabkannya berpusing dan terbabas ke run-off area di tepi litar dan tersekat di situ. Ia akhirnya membawa padah yang besar kepada Montoya apabila pegawai perlumbaan mengesahkan beliau telah melakukan kesalahan dan Montoya didenda dengan drive-through penalty(dikenakan pada pusingan ke-22) yang mengakibatkan beliau kerugian masa yang banyak dan tidak dapat memberi saingan kepada Raikkonen dan Schumacher.
Pada pusingan ke-4, hujan telah mulai turun di litar Indianapolis. Keadaan litar yang agak licin tetapi tidak lagi basah sepenuhnya menyaksikan penguasaan kereta-kereta yang menggunakan tayar Michelin. Ternyata tayar slick(dry weather tyre) Michelin mampu beroperasi dengan baik dalam keadaan tersebut. Situasi ini seterusnya menyebabkan Schumacher yang menggunakan tayar Bridgestone dipintas dengan begitu mudah oleh pelumba-pelumba Michelin yang lain. Namun begitu, pada pusingan ke-21 hujan mulai turun dengan lebat selepas hampir semua pelumba membuat pit-stop pertama. Mereka terpaksa masuk semula ke pit untuk menukar semula tayar mereka kepada sama ada wet/intermediate tyre. Pada ketika inilah pengguna tayar Bridgestone akhirnya tersenyum lebar. Tayar Michelin ternyata tidak mempunyai jawapan untuk menyaingi tayar Bridgestone dalam keadaan litar yang basah sepenuhnya kerana hujan yang berterusan. Schumacher yang menggunakan tayar intermediate Bridgestone akhirnya mula mengejar dengan pantas. Perbezaan di antara tayar Michelin dan Bridgestone pada ketika itu amat ketara iaitu lebih kurang 3 saat setiap pusingan.
Kedudukan top-6 sebelum scheduled pit-stop yang ke-2 adalah: Schumacher, Button, Frentzen, Raikkonen, Heidfeld, Trulli. Hanya 2 pelumba Michelin iaitu Raikkonen (McLaren) dan Trulli (Renault) berada dalam top-6. Ini mencerminkan betapa dominannya tayar intermediate Bridgestone berbanding Michelin. Setelah pit-stop yang ke-2, kedudukan sedikit berubah setelah Button terkeluar. Raikkonen(kedudukan ke-4) pada ketika itu harus sekurang-kurangnya memintas Heidfeld (kedudukan ke-3) dan Frentzen(kedudukan ke-2) bagi menghalang Schumacher (kedudukan pertama) untuk terus menjadi juara keseluruhan kategori pelumba berdasarkan kutipan mata. Keadaan ketika itu sungguh mendebarkan kerana itulah satu-satunya peluang Raikkonen untuk menghidupkan cabarannya bagi mencabar Schumacher hingga ke pusingan seterusnya yang juga terakhir di Suzuka.
Setelah Heidfeld membuat pit-stop pada pusingan ke 50, Raikkonen berjaya menduduki tempat ke-3 dan pada pusingan seterusnya, dia berjaya memintas Frentzen untuk merebut tempat ke-2 hingga tamat perlumbaan. Schumacher menang dengan jarak lebih 18 saat di hadapan Raikkonen diikuti dengan Frentzen dari pasukan Sauber Petronas di tempat ke-3.
Seorang lagi pesaing terdekat Schumacher dan Raikkonen, Montoya, hanya menduduki tempat ke-6 sekaligus memadamkan harapannya untuk terus bersaing hingga ke Suzuka bagi merebut trofi kategori pelumba.
Secara keseluruhannya, faktor cuaca nyata memberikan (sekali lagi) tuah kepada Ferrari dan Michael Schumacher khususnya apabila keadaan hujan menyebabkan pesaing-pesaing terdekatnya tidak lagi boleh bersaing secara kompetitif. Schumacher juga mungkin orang paling bertuah di dunia kerana selain cuaca menyebelahinya, dia juga dikatakan ada menghimpit Coulthard tetapi terlepas dari sebarang denda.
Dia juga ada memintas ketika Double Waved Yellows iaitu amaran bahaya(perlahankan kereta dan bersedia untuk kemungkinan berhenti) namun masih tidak diberikan sebarang denda. Kimi Raikkonen ternyata adalah driver of the day pada USGP yang lalu. Hanya berusia 23 tahun, dan pada ketika tayarnya tidak kompetitif dan pelumba-pelumba lain bergilir-gilir tergelincir dek kerana litar yang basah, dia tidak melakukan sebarang kesilapan sebaliknya terus bersaing hingga berjaya menjadi satu-satunya pelumba Michelin di podium dengan berada di tempat ke-2.
Namun begitu, dengan kedudukan mata sekarang, apa yang menghalang Schumacher daripada menjadi Juara Dunia pada tahun ini ialah jika beliau tidak mendapat sebarang mata di Suzuka DAN Raikkonen pada masa yang sama wajib menduduki tangga teratas podium iaitu di tempat pertama. Raikkonen mungkin mampu untuk menyahut cabaran menjadi juara GP di Suzuka, Jepun tetapi kemungkinan untuk M.Schumacher tidak mendapat sebarang mata adalah terlalu kecil.
Bolehlah dikatakan bahawa M.Schumacher sudah sebelah kaki berada di kedudukan tertinggi gelaran perlumbaan kereta paling berprestij pada tahun ini iaitu Juara Dunia Formula 1 Kategori Pelumba. Gelaran yang bakal menjadikan beliau pelumba pertama dalam sejarah permotoran Formula 1 menjadi juara dunia sebanyak 6 kali.
Ulasan oleh Azlan
02 October 2003
Ulasan F1 : Indy, US (2003)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment