Oleh Yeen
Selama tiga minggu berturut-turut hujung minggu saya dipenuhi dengan aktiviti lasak. Bermula dengan Berkelah Breakaway 2003 saya tidak lagi menoleh ke belakang. Saya pasti ini merupakan jalan dan peluang untuk saya melihat keindahan alam dengan lebih dekat lagi. Terlalu banyak yang hendak saya kongsi bersama anda semua namun keadaan masa yang amat terhad dan ruang yang kosong telah pun saya penuhi dengan aktiviti-aktiviti perkhemahan saya. Saya masih berhutang dua article perkhemahan saya yang terdahulu Taman Negara Freakout dan Jerangkang Mengejut.
Namun perkhemahan kali ini, Jelawang Xtreme menyimpan seribu pengalaman dan kenangan buat saya dan pengalaman inilah yang saya ingin kongsi bersama anda semua. Satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Pengalaman yang bakal saya ceritakan di hari tua saya nanti, insyallah.
Kami berkumpul di KL Central. Perkhemahan kali ini disertai oleh 10 peserta wanita dan 8 peserta lelaki. Azman bertindak sebagai Guide kerana dia agak mahir dengan selok belok ke tempat perkhemahan kami iaitu di Baha’s Camp. Kami bertolak menaiki keretapi dari KL Central ke Dabong Kelantan. Ramai di antara kami yang tidak pernah menaiki keretapi menjadikan suasana amat bising. Masing-masing sibuk bergambar dan ada juga yang melelapkan mata. Perjalanan memakan masa lebih kurang 10 jam. Satu perjalanan yang jauh, meletihkan tapi cukup menyeronokan.
11 October 2003
Kami tiba di Dabong jam 6.30 pagi. Selesai membersihkan diri, kami bersarapan di salah satu gerai berhampiran Stesen Keretapi. Semua peserta terkejut kerana sepinggan nasi berserta lauk pauk yang banyak bersama secawan kopi hanya berharga kurang dari tiga ringgit. Masing-masing tidak percaya termasuk juga saya.
Kami berjalan kaki melalui Perkampungan Dabong ke Stesen Penambang Dabong. Kami seterusnya menaiki bot kecil menyeberangi Sungai Kelantan. Van sudah menanti kami di seberang sungai untuk membawa kami ke kaki bukit. Timbul rasa takut kerana jaket keselamatan tidak disediakan. Mungkin kerana muatan yang lebih bot bergerak lebih perlahan dari yang sepatutnya.
Perjalanan dari Dabong ke Perkampungan Jelawang mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam van dengan muatan yang banyak. Dari jauh kelihatan Air Terjun Jelawang. Suasana dan udara cukup segar. Jauh dari hiruk pikuk kota yang kadangkala cukup memeningkan. Saya terlupa seketika Kuala Lumpur dan bebanan kerja yang bakal menanti pulangnya saya dari perkhemahan ini.
Pendakian kami pada awalnya kurang mencabar namun kepenatan tetap ada. Masing-masing masih lagi mencari tempo tersendiri dalam pendakian ke Air Terjun Jelawang. Saya yang pada mulanya dihadapan kini bergerak bersama kumpulan terakhir. Baru suku perjalanan, kami mendapati salah seorang peserta senior Ucop sudah terbaring keletihan. Kami yang pada mulanya menyangkakan yang dia berehat , tetapi Ucop sebenarnya pitam. Saya yang ketika itu bergerak berkumpulan bersama Aida dan Herman segera memanggil peserta yang lain. Masing-masing memberikan ruang udara yang cukup untuk Ucop bernafas. Ada yang mengipas dan ada juga yang cuba memberi minuman. Jauh di sudut hati saya berkata-kata, mampukah kami meneruskan perjalanan.
Kami terpaksa meninggalkan Ucop bersama Azman dan meneruskan perjalanan ke air terjun yang pertama. Perjalanan yang memakan masa 30 minit itu saya rasakan terlalu lama. Namun kegusaran hati sedikit terubat apabila melihat air terjun di hadapan saya. Pada mulanya saya menjangkakan yang itu adalah camp site kami tapi apabila Along memberitahu yang kami harus menyeberangi air terjun untuk ke seberang dan menyambung perjalanan bermula dari sana hati saya kembali risau. Mampukah saya sampai ke kami terutama saya. Saya sudah dapat membayangkan kepayahan dan kesulitan yang perlu saya tempuhi. Sementara menanti Ucop yang masih tidak sedarkan diri, ada di antara peserta yang sempat mandi. Hampir setengah jam kami menanti Ucop yang akhirnya muncul hanya berseluar pendek berbelang-belang. Melihatkan kemunculan Ucop kami terus mentertawakannya. Usikan-usikan nakal buat Ucop kekal sehingga ke hari ini. Kata Ucop kepada kami dia berehet secara effective dan peluang ini amat sukar untuk di cari.
Untuk menyambung perjalanan ke Air Terjun Jelawang, kami harus mendaki merentasi cerun-cerun batu yang curam. Kami harus berhati-hati kerana batu agak licin dan sedikit kesilapan boleh mengundang padah. Dengan hanya berpaut pada rantai-rantai besi yang di pasang saya memulakan pendakian. Satu pendakian yang cukup mencabar buat saya. Saya seperti peserta lain juga tidak terkecuali tergelincir ketika melalui cerunan-cerunan batu tersebut. Dengan bebanan beg di belakang kami kami terpaksa memanjat menyesuri batu-batu yang licin. Sukar saya gambarkan pemandangan ketika itu, dengan kabus yang meliputi sebahagian air terjun, dengan tumbuhan-tumbuhan hijau tumbuh melata, satu pemandangan yang cukup indah dan mengasyikkan. Alhamdullilah, halangan pertama telah berjaya kami tempuhi.
Untuk sampai ke Baha’s Camp, kami harus mendaki mengikuti track yang tersedia ada. Pendakian kali ini cukup mencabar. Dengan bebanan beg, jalan yang cukup licin, kami terpaksa mendaki sepanjang perjalanan. Saya terpaksa berhenti beberapa kali. Mengambil nafas dan meneruskan pendakian. Terus terang saya katakan tracknya sungguh mencabar dari segi fizikal dan mental kerana sepanjang jalan kami harus mendaki. Ada yang tercungap-cungap untuk meneruskan pendakian. Saya begitu terharu dengan semangat rakan-rakan yang lain dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat Herman yang begitu setia menemani saya sepanjang pendakian. Yang banyak membantu saya dalam meneruskan pendakian saya dan memberikan sokongan ketika saya begitu memerlukannya.
Perjalanan saya rasakan terlalu jauh. Sudah tidak kelihatan lagi peserta-peserta lain. Yang tinggal hanyalah beberapa kerat sahaja . Teman saya Aida kelihatan begitu letih. Mungkin peserta-peserta lain sudah sampai ke Baha’s Camp. Kami berselisih dengan dua orang campers dan saya lantas bertanyakan kepada mereka berapa jauh lagi perjalanan kami. Menurut mereka selepas tiga selekoh kami akan sampai ke Baha’s Camp. Hati saya kembali tenang mengenangkan perjalanan sudah semakin hampir. Namun, pendakian semakin sukar dan saya semakin kehilangan tenaga. Saya dan teman-teman yang lain semakin banyak berhenti dari mendaki. Herman yang masih bertenaga masih sabar menanti kami. Namun mengenangkan yang saya mungkin tidak akan sampai tepat pada waktunya dan Herman selaku Chef harus memasak, saya mencadangkan agar dia meneruskan perjalanan. Berkali-kali saya menyakinkan Herman yang kami akan menyusul kemudian. Kini yang tinggal hanya saya, Aida, Tiger, Along, Azman & Ucop. Saya hampir-hampir berputus asa namun pujukan dan semangat dari rakan-rakan lain telah banyak membantu saya.
Ketika kami hampir tiba di Baha’s Camp, Along telah mengalami kekejangan. Kami berhenti seketika sementara menanti Along. Tapi melihatkan keadaan Along yang mungkin mengambil masa agak lama untuk pulih, saya, Aida dan Azman meneruskan perjalanan. Dari jauh kedengaran bunyi air dan saya pasti kami sudah menghampiri Baha’s Camp.
Tidak dapat saya gambarkan perasaan saya ketika sampai ke Baha’s Camp. Saya seperti tidak percaya yang saya kini berada di puncak. Satu pencapaian yang cukup baik buat saya yang masih baru dalam bidang ini. Saya berkali-kali mengucapkan syukur saya pada Allah SWT kerana memberikan saya kesempatan dan peluang untuk menikmati keindahan ciptaanNYA. Hilang segala kepenatan saya apabila mengenangkan yang saya telah berjaya sampai.
12 October 2003
Kesan dari pendakian semalam kaki saya terasa sengal-sengal. Saya juga tidak mengikuti peserta-peserta lain meneruskan pendakian ke air terjun yang lain. Bagi saya cukuplah setakat apa yang saya lalui semalam. Saya ingin menyimpan segala tenaga yang ada untuk perjalanan pulang nanti pada sebelah petang.
Kami bertolak turun dari Baha’s Camp jam tiga petang. Hujan sudah mulai turun. Beberapa kali kami diingatkan agar berhati-hati kerana jalan licin. Hujan semakin lebat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Seperti semalamnya Herman masih lagi setia menemani saya. Perjalanan turun agak sukar kerana hari hujan dan track yang licin. Saya beberapa kali tergelincir dan kedengaran jerit pekik peserta-peserta lain yang tergelincir jatuh. Namun kepenatan tidak begitu terasa kerana perjalanan turun tidak terlalu mencabar kecuali kami harus berhati-hati kerana track yang licin.
Perjalanan turun hanya memakan masa 45 minit. Terlalu cepat bagi saya berbanding semalam ketika kami mendaki dimana kami mengambil masa lebih kurang tiga jam. Namun cepatnya sampai tidak bererti perjalanan kami berakhir. Di sinilah bermulanya perjalanan ‘Xtreme’ kami.
Kami tiba di cerunan air terjun dan ketika itu kami menyedari yang harapan kami untuk menyeberang keseberang tipis. Jika semalam jalan yang kami lalui kering tapi hari ini semuanya telah dipenuhi air. Hujan masih turun dan air terlalu deras. Impak dari air terjun di kiri dan kanan cukup kuat lagi. Hati kecil saya berkata-kata. Mustahil kami dapat menyeberang. Masing-masing terdiam dan sudah kelihatan resah. Perjalanan tidak jauh tapi untuk meneruni batu-batu yang curam sudah cukup untuk menggurangkan keyakinan yang ada pada diri. Sudah kedengaran suara-suara resah peserta-peserta wanita amnya.
Dalam kepayahan dan rasa berat hati kami terpaksa juga meneruni batu-batu yang curam. Dan rantai-rantai besi itu jugalah tempat kami berpaut. Mungkin kali ini lebih sukar kerana kami harus meneruni batu-batu itu. Sedikit kesilapan pasti mengundang kecelekaan. Sayup-sayup kelihatan pokok-pokok di bawah. Saya terpaksa lebih berhati-hati. Kami terpaksa menanggung risiko sendiri jika terjadi apa-apa. Saya mengambil masa yang agak lama untuk turun kerana kurang keyakinan pada diri. Tetapi saya tidak boleh melengahkan masa kerana masih ramai lagi yang menanti di belakang saya. Dengan beg sandang yang berat, kedua tangan berpaut pada rantai-rantai besi dan angin yang kuat kesan impak dari air terjun saya meneruni batu yang curam itu. Ketika dalam pendakian turun, saya tersilap langkah dan tergelincir. Ketika itu jugaklah badan saya terhuyung hayang melayang-layang. Buat seketika saya mati akal dan tidak tahu apa yang harus saya buat selain mengucap. Dalam masa yang sama saya terkial-kial mencari tempat untuk berpijak. Kedengaran suara Shaz menjerit-jerit memanggil nama saya dan meminta saya agar tidak melepaskan rantai besi itu. Tangan saya sudah mulai sakit dan terdetik dalam hati kecil ini, mampukah saya bertahan. Alhamdullilah, tindakan pantas Along berlari ke arah saya telah menyelamatkan keadaan. Along telah menarik saya ke tepi. Saya terdiam kerana terkejut. Terasa tapak tangan saya sakit kerana cengkaman saya tadi terlalu kuat.
Saya lebih berhati-hati kini. Peristiwa tadi menghantui saya. Kumpulan yang berada di hadapan saya memberikan isyarat berhenti kerana tidak ada jalan bagi kami untuk turun ke bawah. Kesimpulannya kami terkandas di antara air yang deras dan hutan yang tebal. Saya yang sudah hampir tiba di bawah memberitahu Along yang saya tidak sanggup untuk melalui cerun-cerun batu tadi semula. Yang mana sudah pun bersedia untuk turun terpaksa berpatah balik naik ke atas sementara Guide kami memikirkan jalan yang lebih selamat untuk dilalui. Kumpulan yang masih terkandas di atas diarahkan turun melalui jalan hutan sementara kami yang telah tiba di bawah di bawa melalui cerun-cerun batu. Salah seorang peserta wanita Atie telah terjatuh ke dalam air yang deras kerana tergelincir. Atie bernasib baik kerana tindakan pantas Ravi yang turut terjun untuk menyelamatkan Atie dari terus hanyut berjaya. Mereka berjaya berpaut pada batu yang menghalang mereka dari terus dibawa arus yang deras itu.
Memandangkan sudah tiada jalan lain bagi kami, kami terpaksa meniti sebatang pokok tumbang yang tua untuk meneruskan perjalanan. Gara-gara pokok tua itulah seluar salah seorang peserta telah koyak. Sehingga ke hari ini, seluar koyaknya masih menjadi topic utama bualan kami setiap kali kami bertemu. Namun buat ‘beliau’ syabas saya ucapkan kerana masih mampu tersenyum dalam saat-saat yang saya rasa mengaibkan itu. Dalam saat-saat genting itu masih ada lagi kesempatan untuk kami bergelak ketawa. Dalam masa yang sama Guide kami terpaksa memikirkan jalan lain. Hari semakin gelap dan kami masih lagi terperangkap. Kami terpaksa meredah pokok-pokok buluh yang tebal dan licin. Ketika itu apa yang tinggal pada peserta hanyalah semangat dan keyakinan. Dengan baju, kasut dan beg yang basah, kami cuba menyakinkan satu sama lain. Ketika itu yang tinggal hanyalah semangat. Kepenatan begitu terasa bekalan makanan juga tidak ada. Badan sudah terasa gatal dan masing-masing sudah mula menggaru-garu. Menurut guide kami, jika air tidak jugak surut, kami terpaksa bermalam di dalam hutan kerana sudah tidak ada jalan lain lagi kecuali berpatah balik naik ke atas, dan turun melalui jalan lain. Ketika itu saya rasa tidak ada seorang pun yang mahu berpatah balik kerana masing-masing kepenatan.
Kami cuba mencari jalan lain untuk keluar. Dengan jalan yang licin, beberapa kali saya terjatuh namun sempat berpaut pada buluh-buluh yang ada. Shaz hampir pitam kerana kepenatan. Saya dengan segala kekuatan yang tinggal cuba juga untuk mendaki dan keluar dari rimbunan pokok buluh. Kerana tiada tempat untuk berpegang, saya terpaksa merangkak sambil mencengkam tanah. Ketika itu tiada lain di fikiran saya hanya ingin keluar dari situ. Ada di antara peserta terpaksa menggunakan tali untuk naik ke atas. Simpati saya buat Adik Yon yang terpaksa menahan kesakitan kerana lututnya bengkak terhentak di batu.
Setelah melalui kepayahan keluar dari rimbunan buluh, kami diberitahu bahawa diantara jalan untuk kami menyeberang adalah tutun melalui cerun bukit laluan air terjun. Tidak mungkin kami dapat berjalan di atas cerunaan bukit yang curam itu kerana batunya licin. Ini bermakna kami terpaksa mengelongsor turun dari jalan laluan air terjun yang curam yang tingginya lebih kurang 150 meter dengan beban beg yang kini meningkat kerana basah. Tidak dapat saya gambarkan ketakutan kami kerana ini adalah perjalanan yang punya risiko yang terlalu tinggi. Kemungkinan terjatuh atau air mungkin turun secara tiba-tiba dari atas bukit boleh menyebabkan kecelakaan. Peserta lelaki cuba untuk turun dahulu bagi memastikan yang jalan ini selamat digunakan. Rasa bangga buat mereka yang berani mempertaruhkan nyawa bagi memastikan keselamatan semua.
Giliran saya tiba untuk meneruni laluan air terjun yang curam itu. Saya yang sememangnya gayat cuba memberanikan diri. Air di kiri dan kanan turun dengan lajunya. Gementar di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Di fikiran saya terfikir ini kerja gila tapi kami tidak punya banyak pilihan. Dengan menggunakan kekuatan tangan untuk menolak badan dan kaki sebagai brek, saya meneruni laluan air terjun itu perlahan-lahan sambil sesekali berpusing ke belakang. Saya risau memikirkan tentang Aida yang saya tahu memang phobia dengan ketinggian dan Shaz yang hampir-hampir pitam. Kelihatan beberapa peserta lelaki sedang menanti di bawah dalam keadaan berjaga-jaga. Saya bagaimanapun masih sempat merakamkan gambar untuk dijadikan bukti bila pulang nanti.
Kini cabaran lain pula menanti. Kami telah berjaya menuruni laluan air terjun dan sekarang kami perlu menyeberang melintasi laluan air terjun yang cukup deras dan kuat. Walaupun tidak jauh jaraknya tapi air terlalu kuat. Along memberanikan diri berenang dan mengikat tali di salah satu tunggul kayu. Tali sebagai sokongan, kami memberanikan diri merentasi air terjun yang deras dan batu yang licin. Salah seorang peserta, Ju hampir-hampir terlepas pegangan tali tapi cepat dibantu oleh Syukur. Syukur sendiri hampir jatuh dipukul air yang kuat namun sempat dipaut oleh Azman, Guide kami. Shaz pulak telah kehilangan bag cover ketika menyeberangi air terjun itu.
Jam menunjukkan hampir jam 7.00 malam, dan kami dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi jam 8.20 malam. Perjalanan kami masih jauh. Masing-masing mengeluarkan lampu suluh. Masing-masing berkata inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami memulakan perjalanan merentasi hutan berpandukan lampu suluh. Hari semakin gelap. Dengan pakaian basah, kepenatan kami terpaksa berhati-hati kerana takut tersadung kayu dan jalan yang licin. Wanna dengan sandal yang terputus talinya terpaksa berjalan meredah hutan tanpa kasut dan selipar sementara Yon yang bengkak lutut terpaksa menahan kesakitan untuk turun.
Alhamdullilah, kepayahan dan kesusahan kami terbalas apabila kami tiba di check point. Hilang segala penat dan masing-masing mengucapkan tahniah pada satu sama lain kerana telah berjaya merentasi halangan-halangan yang di luar jangkaan kami. Shaz memeluk saya kerana terlalu gembira. Terpancar kegembiraan di wajah masing-masing. Walaupun kepenatan kami masih mampu tersenyum.
Yang pasti kami sudah terlepas keretapi untuk pulang. Nasib kami baik, Cikgu Jaafar telah menawarkan bantuan penginapan kepada kami. Dengan menaiki lori kami bermalam di bilik darjah. Malam itu Syukur membaca doa selamat kerana kami selamat turun dari Air Terjun Jelawang.
13 October 2003
Seawal jam 6 pagi kami telah bangun dan bersiap-siap untuk pulang. Kami menaiki van dan seterusnya bot menyeberangi Sungai Kelantan. Kerana kami tidak punya banyak pilihan kami terpaksa menaiki keretapi ke Krai. Keretapi yang sukar kita lihat dimana-mana lagi kecuali di Kelantan. Keretapi yang cukup klasik bagi saya. Dengan kipas lama, dan makcik-makcik menjual buah-buahan mengembalikan nostalgia silam. Setiba di Krai, kami menaiki bas menuju ke Kota Bharu. Masing-masing keletihan dan tertidur sepanjang perjalanan.
Kami hanya dapat pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas express pada sebelah malam. Kata sepakat dicapai kami menyewa 3 bilik hostel untuk berehat dan dalam masa yang sama kami masih sempat membeli belah di Pasar Siti Khadijah dan berjalan-jalan sekitar bandar kota Bharu. Kesempatan mengunjungi pasar malam mereka, buat saya rasa kagum kerana harga makanan yang murah dan berbagai pilihan makanan. Kami selamat tiba di Kuala Lumpur jam 5.30 pagi. Hati dan perasaan saya ketika itu, sedih dan pilu, kerana masih terkenangkan Jelawang. Resah dan gelisah kerana otak saya secara outomatiknya terkenangkan tugasan yang pasti sudah memenuhi meja saya di pejabat yang sentiasa sedia menyambut kepulangan saya. Dan kini saya kembali kepada realiti kehidupan saya yang sebenarnya.
Air Terjun Jelawang banyak meninggalkan kenangan buat kami semua, peserta Jelawang Xtreme 2003. Semua tidak pernah menyangka dan tidak terlintas difikiran akan halangan yang kami lalui. Team work yang telah ditunjukkan dan semangat kental peserta mengatasi segalanya. Kami sama-sama membantu di antara satu sama lain. Sama-sama bermandikan hujan dan lumpur. Kini kami semakin akrab. Setiap masa yang terluang kami pasti akan habiskan bersama - sama. Kini kami seperti sebuah keluarga.
Buat semua peserta Jelawang Xtreme 2003, ribuan terima kasih di atas pertolongan dan sokongan yang telah diberikan. My personal attribute and thanks to Herman, Tiger, Syukur, Along, Azman, Hafiz, Ucop, Aida, Shaz, Yon & Wanna kerana mereka adalah semangat saya dalam meneruskan pendakian. Buat Aida & Shaz teman rapat saya, We are never too old for all this. We should do it more often.
Seperti yang saya katakan pengalaman ini bukan senang untuk saya perolehi, saya terpaksa memanjat, melompat, merangkak, menanggung kesakitan akibat jatuh, badan dipenuhi bintik-bintik merah dan hampir-hampir berputus asa. Satu pengalaman yang cukup unik dan mencabar, dalam melengkapkan diari kehidupan saya.
Oh, perkhemahan saya selepas ini? Insyallah jika masih diberi kekuatan dan jika dipanjangkan umur saya berhajat untuk menyertai perkhemahan selama 5 hari December ini. Tapi semuanya masih di peringkat perbincangan. Tapi sebelum itu marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa dan semoga puasa dan amalan kita mendapat berkat.
Saya akan berehat selama sebulan, mencerahkan semula kulit, merehatkan badan, dan akan kembali aktif selepas bulan Ramadan nanti. Saya pasti akan merindukan kehijauan hutan, bunyi air terjun tapi jangan terperanjat jika ada article dari saya dalam masa-masa rehat saya nanti. Yang pasti, saya sudah jumpa apa yang saya cari selama ini, kehijauan yang memberikan saya ketenangan, cinta hati saya buat masa ini.
Kepada semua chatters di Spiral & SM Tagboard juga buat ADB yang ketika ini berada di Abha, rakan-rakan ‘happening’ saya dan khasnya buat rakan camping saya, selamat menjalani ibadah puasa.
Berjumpa kita lagi di lembaran yang akan datang.
Yeen a.k.a Cik Kiah
*Note: Ribuan ampun dan maaf jika ada kekurangan information dalam article saya. Tidak mampu rasanya saya untuk menulis setiap inci pergerakan dan perbuatan yang tidak melampau kita di sana. Namun demikian, hanya mereka-mereka yang menyertai perkhemahan ini akan merasai pengalaman sebenar Jelawang Xtreme 2003.