In Hell a.k.a The S.H.U (Security Housing Unit) dibintangi oleh Jean Claude Van Damme, nama yang tidak asing lagi khususnya bagi filem 'fighting-action'.
Bekas juara karate peringkat eropah ini menerbitkan sendiri filem ini melalui syarikat perfileman beliau, 777 Films Corp. bergabung bersama Millenium Films serta diletakkan di bawah arahan pengarah Hong Kong terkenal, Ringo Lam. Saya difahamkan bahawa filem ini hanya dikeluarkan dalam bentuk 'Home Video' - VHS, VCD dan DVD.
Van Damme membawa watak sebagai Kyle LeBlanc, seorang warga Amerika yang bekerja di Russia, terpaksa meringkuk di sebuah penjara yang cukup kejam yang juga dikawal ketat oleh tentera Russia. Beliau di jatuhkan hukuman penjara seumur hidup akibat membunuh seorang lelaki yang telah membunuh serta merogol isterinya.
Ini berikutan kerana pembunuh tersebut telah terlepas dari hukuman mahkamah (rasuah) dan memaksa Kyle bertindak sendiri. Tidak menunggu lama, selepas perbicaraan kes dan di mahkamah itu juga, beliau nekad merampas pistol salah seorang pegawai polis di situ dan melepaskan 5-6 das tembakan terhadap pembunuh isterinya itu. Satu tindakan yang saya kira… disokong oleh saya sendiri dan juga majoriti penonton filem ini!
Banyak menonjolkan aksi-aksi ganas dari segi corak pergaduhan, pembunuhan, persengketaan diantara 2 kumpulan, rasuah yang berleluasa di penjara tersebut dan seperti biasa, 'hero' adalah di pihak berkecuali yang sentiasa di tindas dan diseksa. Lakonan cemerlang Van Damme jelas mewujudkan emosi tatkala beliau di belasah dan diseksa serta dikurung di sebuah bilik kotor yang cukup memualkan saya.
Apa tidaknya, bilik tersebut kelihatan seperti bilik takungan najis yakni tandas yang dipam entah dari mana akan disalurkan ke bilik tersebut! Terpulang kepada masing-masing samada hendak menonton sebelum atau selepas makan! Tidak seperti salah satu filem berkisarkan penjara kegemaran saya, Blood In Blood Out, pengarah juga secara berani, mengenengahkan jenayah rogol liwat di penjara tersebut, dimana yang lemah pasti menjadi mangsa kerakusan nafsu seks membabi-buta tahanan khususnya yang paling berkuasa di situ.
Saya meminati Van Damme sejak filem Bloodsport lagi. Namun, amat berbeza sekali penampilan Van Damme kali ini kerana tiada aksi tendangan kaki yang tangkas beliau ditonjolkan dalam filem ini malah corak berlawan dilihat lebih mirip kepada gusti, tinju, judo dan sebagainya dan yang kalah biasanya berakhir dengan kematian.
In Hell secara keseluruhannya menceritakan perjuangan hidup Kyle di penjara tersebut serta menggambarkan realiti kehidupan sebenar di sesebuah penjara khususnya yang dikuasai oleh rejim republikan. Filem yang diklasifikasikan "R" ini, saya kira merupakan filem lakonan Van Damme terbaik pernah saya tonton.
SKRIN Rating : B+