04 November 2003

Ulasan Filem : Darkness (2003)

Oleh Mahhass

Darkness bukanlah sebuah filem baru yang sedang dimainkan di wayang tatkala saya menulis ini. Filem ini dikeluarkan pada awal tahun 2003 dan merupakan sebuah filem seram/cemas arahan pengarah Sepanyol - Jaume Balaguero. Menonton filem ini mengingatkan saya kepada filem Stephen King’s The Shining dan juga terdapat sedikit unsur-unsur dalam filem Sixth Sense. Saya sendiri tidak berapa mengenali pelakon-pelakon filem ini selain Anna Paquin (Regina) yang membintangi filem X-Men & X-Men2 serta filem terbaru Buffalo Soldiers.

Mengisahkan sebuah keluarga yang baru berpindah masuk ke sebuah rumah lama di Sepanyol yang tidak diketahui pemilik asal serta latar belakang rumah tersebut. Paul, iaitu adik lelaki Regina sering diganggu dengan bayangan hitam, seterusnya dengan kemunculan beberapa orang kanak-kanak misteri yang hanya kelihatan tatkala bayangan hitam itu menjelma. Fenomena ini juga berlarutan dan pada masa yang sama, bapanya seolah-olah berubah watak menjadi lebih bengis dan kadang-kadang hilang kawalan emosi.

Akhirnya, mereka dapat membongkar sejarah pembinaan rumah itu setelah Regina sendiri berjumpa dengan arkitek rumah tersebut. Beliau diceritakan bahawa terdapat unsur pemujaan pernah dilakukan di rumah tersebut, 40 tahun lamanya dahulu yang mensyaratkan 7 kepala kanak-kanak sebagai syarat untuk melengkapkan pemujaan tersebut.

Walaubagaimanapun, usaha tersebut gagal dilaksanakan berikutan salah seorang dari mereka melarikan diri. Setelah menunggu selama 40 tahun, secara kebetulan ataupun dirancang, mereka sebenarnya berhadapan sekali lagi dengan ancaman supernatural evil tersebut.

Jalan filem yang tersangat perlahan, dialog yang saya kira sengaja diperlahankan sehingga memaksa saya meningkatkan tahap volume speaker saya (mungkin satu strategi untuk memberi rasa 'terkejut' yang tidak semena-mena). 2-3 kali saya kira telah dikejutkan oleh babak "slow-shock-slow" ini. Pengarah barangkali banyak mengambil inspirasi dari filem-filem Asia seperti Dark Water, Ring-O, Phone dsb.

Unsur atau elemen hantu yang ditonjolkan dalam Darkness tidak langsung menampakkan kelainan dari lain-lain filem seram. Perhatikan sewaktu Paul tiba-tiba terkurung di dalam biliknya dan hasilnya, lebam di muka dan di leher (sama seperti dipaparkan dalam filem Sixth Sense) dan juga sesetengah itu juga diinspirasi dari filem 7 Days to Live.

Sekali lagi, filem yang menggabungkan unsur hantu atau kebangkitan roh dengan kecenderungan untuk membunuh, dilihat gagal menyaingi kehebatan filem-filem seram Asia khususnya keluaran Jepun & Korea.

SKRIN Rating : C- (1/5)