Oleh Mahhass
Banyak juga filem-filem 'mesti-tonton' yang saya tertinggal sebelum ini. Salah satunya ialah filem ini, yang baru sahaja saya tontonnya minggu sudah...
Mulholland Drive merupakan sebuah genre 'noir' dari pengarah luarbiasa, David Lynch. Temanya gelap, aneh, unik atau apa-apa saja. Apabila disebut luarbiasa, barangkali ianya terlalu subjektif. Maksud saya di sini ialah sentuhan pengarah 'cult' ini sememangnya luar dari kebiasaan pengarah-pengarah mainstream serta penonton konservatifnya.
Keanehannya begitu terserlah dalam filem ini yang sememangnya bukanlah tergolong dalam filem-filem santai, jauh sekali 'feel-good movie'. Filemnya cukup 'berat'. Dua kali saya menonton filem ini. Selepas kali keduanya, barulah saya faham akan intipati yang terkandung dalam naratifnya. Itupun tidak semua falsafah yang tersembunyi dapat saya 'baca' sepenuhnya.
Menonton filem ini, seperti yang saya katakan, oleh kerana temanya sangat berat, maka setiap adegan yang dipaparkan mempunyai simbolisme, falsafah dan maksud-maksud tertentu. Lupakan saja garapan seks, nafsu, pembunuhan, kesetiaan dan kecurangan serta lesbianisme yang mencorakkan filem ini (walaupun sebenarnya ada makna yang tersirat di sebaliknya) kerana itu sememangnya mainan atau gaya Lynch (jika anda benar-benar 'kenal' dengan pengarah ini).
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menyentuh atau menceritakan setiap genap plot serta subplot filem ini, kerana ia hampir tidak dapat saya perjelaskan sebaiknya. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa filem ini mengisahkan tentang dua orang wanita misteri, yang bertemu, dengan cara yang cukup misteri, juga dalam keadaan yang serba misteri (ini sememangnya terletak pada penguasaan lakonan yang cukup cemerlang Naomi Watts dan Laura Harring). Namun, segala elemen misteri yang digarap, sebaliknya TIDAK terjawab di penghujungnya (secara visualnya).
David Lynch 'mengajak' penontonnya sama-sama bereksplorasi akan sesuatu yang pada hakikatnya tidak terlihat pada skrin visualnya. Ia berlegar-legar di minda. Seperti bermain teka-teki, hati kita meruntun-runtun berkehendakkan jawapannya. Maka mulalah kita meneka-neka.
Justeru, minda kita seakan dipaksa secukupnya untuk dijanakan. Ia seperti satu proses untuk mengenali jiwa Lynch dan watak-watak hitam manusia melalui filem, yang mana saya boleh katakan usaha beliau sememangnya 'menjadi'.
Barangkali, apa yang ada hanyalah mainan mimpi, fantasme atau halusinasi. Mungkin ramai yang berbicara tentang logikal, permainan tipu helah serta sandiwara pengarah terhadap penontonnya, kerana tiada jawapan sebenar yang dapat diperolehi dalam filem ini. Segalanya terletak pada bahu penontonnya (dan saya kira David boleh tersenyum melihat penontonnya termenung atau mungkin tergaru-garu memikirkannya).
Saya sendiri juga masih tercari-cari apa signifikasi beberapa babak terutamanya No Hay Banda (bunyi-bunyian bisu – muted instruments) di kelab Silencio tersebut. Tidak terjangkau minda saya mencari makna sebenar bagi menjustifikasikan watak kedua-dua wanita tersebut melalui babak sedih itu. Adakah ia suatu gambaran konflik jiwa mereka? Atau gambaran keresahan yang tidak mampu diluahkan (kelu) sehingga ia sengaja dibiarkan sunyi (rahsia)? Atau adakah ia gambaran jiwa Lynch sendiri? Menurut Fadz, watak David Lynch sebenarnya 'ada' dalam filem ini, dan ia adalah cowboy tersebut – yang turut sama 'berusaha' mengubah mimpi, namun takdir terlebih dahulu menetapkan segalanya.
Filem ini, sebenarnya, begitu mudah untuk (sekali lagi) menjulang nama David Lynch ke satu landasan kemasyuran, malah juga turut berupaya 'merosakkan' nama beliau sendiri. Bermakna, ia samada anda akan (sangat) suka, atau (sangat) membencinya.
Filem 'surreal' sebegini sememangnya aneh. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan yang ia setaraf dengan filem-filem terbaik untuk alaf baru ini. Mungkin hanya boleh dirasai oleh segelintir penonton dan juga pengkritiknya sahaja. Oleh sebab itu juga, hati saya juga berbelah bahagi, samada saya benar-benar menyukai atau tidak filem ini.
Walau apa sekalipun interpretasi yang wujud, jika anda seorang yang melihat filem dari pelbagai sudut, saya pasti filem ini, seperti juga saya, meletakkannya sebagai genre (noir) terbaik pernah dihasilkan (walaupun tidak semua filem yang baik menjadi kesukaan kita).
No comments:
Post a Comment