Kota bersejarah Athens kembali berpesta. Yang pastinya pesta-pestaan penyokong Greece itu semuanya tidak dirancang. Rata-rata menjangkakan kemaraan jentera pasukan tanahair mereka akan berakhir pagi tadi. Namun, ternyata sekali lagi keajaiban seni bolasepak terbukti lagi. Siapa sangka?
Aku tidak mahu mendengar lagi istilah 'bola itu bulat' sebab aku tahu bola itu memang bulat. Pemainlah yang sebenarnya yang bertanggungjawab ‘merencanakan’ pergerakannya. Jadi kita boleh letakkan kesalahan pada pemainnya kerana manakan boleh bola itu bergolek sendiri tanpa disepak. Maka aku harus tundingkan jari aku pada pemainnya, bukan bola.
Pertembungan antara Greece dan Republic Czech di separuh akhir kedua pagi tadi (waktu tempatan) begitu mendebarkan bagi aku. Perasaan itu tidak aku rasakan sewaktu pertemuan Portugal dan Holland. Aku tak tahu kenapa tapi perasaan itu sememangnya ada bermula sebaik tiupan wisel pertama. Aku mahu Czech menang supaya persaingan merebut piala paling berprestij dalam arena bolasepak eropah lebih getir sewaktu final menentang Portugal nanti.
Tapi, kedua-dua pasukan ini adalah favourite aku sebenarnya. Aku mesti sokong salah satu nanti. Portugal memang aku mahu mereka menang sebab memang mereka tak pernah sekalipun masuk final apatah lagi julang piala tu. Lagipun faktor tuan rumah mungkin juga antara sebabnya final nanti kita boleh tonton 'classic game', maksudnya pasukan akan saling berbalas serangan dan gol. Sekurang-kurangnya barisan Portugal kali ini dapat memberikan satu homage terhadap lagenda bolasepaknya Eusebio dan rakan seangkatannya yang satu masa dahulu pernah menjulang nama Portugal di persada dunia. Czech pula aku nak mereka tebus kekalahan pada Germany dalam final Euro 1996.
Dua-dua team ni aku anggap hero Euro 2004. Tapi mana boleh hero lawan hero final nanti. Kalau dalam filem (biasanya filem Hindi), salah satu hero mesti mati sebelum klimaksnya sebab akan hanya ada seorang heroin. Jadi anggapkanlah hero yang bernama Czech ini mati dahulu untuk beri peluang kepada hero yang bernama Portugal ini membalas dendam akan kekalahan pertama mereka untuk 'menjulang' heroin yang cuma muncul 4 tahun sekali ini. Ironisnya, perlawanan pembukaan kini menjadi perlawanan penutup 'drama-realiti' Euro 2004 ini.
Melihatkan corak permainan Greece, sebenarnya kekuatan sebenar mereka adalah di bahagian pertahanan, teamwork dan counter-attack ataupun pandai mencuri peluang. Mereka tidak punyai bintang untuk dikawal ketat sepanjang masa ataupun punyai pemain yang penuh skill untuk digeruni. Mereka tidak punyai 'seorang' Zidane atau Figo sebagai playmaker, tetapi 'kesemua' di antara mereka berperanan sebagai playmaker.
Czech bermain begitu baik sekali seawal babak pertama sehinggalah ketiadaan nakhodanya, Pavel Nedved, yang terpaksa dikeluarkan. Aku harus katakan di sini jika Nedved tidak cedera, kebarangkalian Czech menghasilkan 2 atau 3 gol agak tinggi. Jelas nampak kucar-kacir jentera serangan Czech akibat ketiadaan beliau sehingga memaksa Milan Baros dan Koller turun naik berkerja sendiri untuk mencari peluang.
Tatkala masuk masa tambahan, aku mula mengagak yang Greece pasti mencuri peluang melalui asakan bertubi-tubi Czech. Ramalan aku ternyata benar, kerana sepakan sudut dalam minit-minit akhir (15 minit masa tambahan pertama) memisahkan jauh jarak kedua-dua pasukan ini. Traianos Dellas, pemain pertahanan Greece yang sememangnya banyak bertanggungjawab dalam mengekang asakan lawan-lawan mereka sebelumnya, berjaya menyerlahkan ke'wira'annya.
Sebetulnya aku benci gol seumpama ini, di saat akhir masa tambahan, lebih perit lagi Collina meniupkan wisel sebaik sahaja gol itu diraikan. Aku bagai tak percaya gol tersebut adalah tiket yang membawa Greece ke perlawanan akhir Euro 2004.
Apapun, perlawanan akhir nanti aku berani katakan yang keajaiban Greece pasti tidak akan berulang lagi walaupun Denmark pernah membuktikan keajaiban Euro 1992 dan walaupun kata-kata 'bola itu bulat' masih terngiang-ngiang di telinga aku dari pagi tadi lagi.
Kredit foto : www.euro2004.com
No comments:
Post a Comment