05 July 2004

Ulasan Telemovie (VCD) : NEON (2003)

Cover VCD NEON"Neon Bermakna Cahaya Ciptaan, Tapi Semangatnya Hakikat Yang Tak Kunjung Padam"

Oleh Fadz


Aku berani berkata, inilah tele movie vcd yang aku cari selama ini dalam sebuah filem Melayu. Malah aku boleh mengaku, tele movie ini sepatutnya mendapat kemenangan tele movie terbaik pada FFM-17 dan bukan karya Rashid Sibir itu (mungkin aku agak salah sebab belum menontonnya).

Tele movie ini mungkin 'melecehkan' orang seperti aku, kerana publisiti 'Malaysia Record'nya dan promosi (aku teringat pada Truman Show apabila melihatnya. Sama seperti Berlari Ke Langit dengan tonjolan kotak minum 'Yeos'nya dalam satu babak) tajaan minyak sapunya. Tapi Alhamdulillah, filem ini dapat menjangkau perkara-perkara itu, malah membuat filem ini menjadi filem yang tersendiri, dan unsur yang aku kata tadi menjadi unsur sampingan yang menyokong filem ini, jadi sebati dengan filem ini yang bagi aku, antara filem Melayu yang terbaik, dari segi falsafah atau kerja teknikalnya (fotografi, penataan cahaya, suntingan, latar suara, latar lagu) yang pernah aku tonton.

Seperti Berlari Ke Langit, filem ini juga boleh dilihat sebagai sebuah filem 'qada' dan qadar' di mana segelintir manusia terpilih untuk satu malam, untuk saling bertemu dan bersua, yang kemudiannya akan menukar hidup mereka, selama-lamanya. Filem ini akan terfokus pada seorang protoganis- seorang watak lelaki 20-an yang dilakonkan oleh Farid/Faizal(?) [maaf, aku amat susah hafal nama pelakon lelaki, selalunya pelakon perempuan cepat saja aku hafal] di mana Faizal akan melalui satu perjalanan yang mengajarnya 'erti hidup', budaya Kuala Lumpur, realiti sebenar dunia, untung nasib dunia, qada' dan qadar, keinginan sendiri yang sebenar, adab, kesabaran dan pencapaian kerohanian (filem ini juga bolehlah disamakan dengan perjalanan siksa Nabi Ayyub dengan ujian-ujian yang Allah turunkan terhadapnya), hanya dalam satu malam!

Gaya filem ini bolehlah di samakan dengan plot The Bicycle Theif arahan De Sica itu (di mana ia tentang 'pencarian' untuk satu hari). Tapi penulis juga pengarah filem ini telah melakukan satu garapan yang amat bijaksana dan berkesan untuk, bukan sahaja membuat aku tidak bosan tapi menyuntiknya penuh dengan makna-makna yang mendalam yang boleh dikupas dalam pelbagai sudut, pelbagai cara, buat aku tidak jemu-jemu untuk melihat filem ini sekali lagi dan sekali lagi!

Filem ini jenis filem 'satu malam' (seperti yang biasa dalam filem-filem neo-realisme Iran), di mana perjalanan yang diambil akan berlaku pada waktu malam. Yang menarik di sini, segala 'wajah sebenar Kuala Lumpur' (berbanding dengan Berlari Ke Langit, Faizal dalam filem ini sudah 'berada' dalam neraka KL, terpaksa melaluinya seperti pekerja dalam dunia pasaran bebas yang lain, diuji dan disiksa sewaktu dia hidup di dalamnya) akan keluar berkeliaran dan disaksikan oleh Faizal. Di sinilah, wajah malam KL boleh disimilikan dengan wajah siang KL, di mana, rencah, baik, jahat, penipu, si survival, si wali, si penggoda, si siuman, si majnun, si tertindas, si penindas di'pantulkan' dengan hidup dan amat bertenaga sekali. Orang kata bandar dan kota hidup waktu siangnya sahaja, dengan arus niaga dan kereta sebagai nadinya.

Tetapi kebenarannya adalah, roh bandar dan kota terletak pada malamnya, dengan manusia-manusia malamnya sebagai 'penjaga'nya, 'pekerja'nya dan 'pemimpin'nya yang sebenar. Setiap kali Faizal beradab baik, mengikut akalnya, beliau akan meningkat 'darjat'nya (sifat watak Faizal sendiri akan berkembang, dari kuat meradang, angkuh, mementingkan diri dan lembap kepada seorang insan yang bijak, sabar, berani dan penuh kasih sayang), persoalan-persoalan mula terbuka padanya. Bukan sahaja rahsia malam yang akan beliau kupasi, tetapi diri dan rohani beliau sendiri akan beliau siasati!

Lakonan Faizal ini adalah antara lakonan paling sempoi dan bertenaga pernah aku tonton! Dan dia bukan pun seorang pelakon 'seasoned' tapi seorang pelakon muda. Malah boleh dikatakan, lakonannya 'memalukan' pelakon-pelakon 'mainstream' seperti Erra Fazira, Yusry, Awie, Mustafa Kamal, Eizlan Yusof, Ziana Zain dan seangkatannya. Seorang budak kecil (yang menjadi tujuan pertama filem ini tidak berganjak ke pagi) yang melakonkan watak sebagai si pencopet dompet juga terlalu dan amat berkesan, dan 'chemistry'nya bersama Faizal amat terasa. Rita Rudani, antara pelakon muda yang berbakat tapi di'kambing hitam'kan kerana lakonannya dalam Mami Jarum juga amat berkesan sebagai 'love interest' Faizal. Malah gaya 'mengada-ngada'nya amat kena dengan wataknya yang serba ceria, 'innocent', kelakar, pandai dan 'happy go lucky'.

Sememangnya, pemilihan pelakon dalam filem ini seharusnya dipuji kerana setiap 'casting' yang berlaku dalam filem ini, walaupun ada pelakon yang di'typecast', semuanya kena pada tempatnya seperti kepingan-kepingan puzzle yang tercantum cantik. Mungkin juga ini dipertolongi dari skrip yang memang padat, bernas, kelakar, provokatif dan bijak dari pengarahnya (aku mahu lihat beliau buat sebuah filem mainstream atau big budget movies. Aku percaya beliau boleh membawanya ke tahap yang sangat baik, menandingi U-wei sendiri), juga shot-shot yang cepat dan bergaya dokumentari (hand held camera). Ini kerana barisan 'artis-artis popular' diuji bakat lakonan mereka dengan skrip baik pengarah ini, maka apa yang kita tonton akan mengejutkan kita, seakan 'tidak percaya' pelakon-pelakon ini boleh jadi se'real' watak yang mereka lakonkan.

Yang menarik untuk dikatakan di sini ialah, semua pelakon-pelakon 'popular' yang terlibat, mereka akan berlakon dalam tiga gaya, samada melakonkan secara 'real' pada watak yang mereka pegang (seperti Kartina Aziz, Azhar Sulaiman, Jit Murad, Ngasrizal Ngasri, Norman Hakim, Arasy), ber'cameo' (seperti Datuk S. M. Salim dan Normala Shamsuddin, menunjukkan dengan sengaja, dalam hidup kita, kita tidak akan sedar dengan siapa kita akan bertembung dengan) atau secara 'over the top' (seperti Fauziah Nawi, Zizie, Apek Senario, AC Mizal), filem ini tetap 'seimbang' dan 'kena' dengan acuan dan tujuan filem ini.

Beberapa babak yang menggunakan 'speed-framing' seperti yang ada dalam filem-filem baru Hollywood, aku ingatkan amat tidak kena pada babak awal filem ini. Kemudian, kita sedar, di sinilah pengarahnya (yang bukan sahaja ingin 'fast-foward'kan satu-satu babak) ingin memperlihatkan kesan dan kaitan qada' dan qadar dengan manusia antara manusia. Aku amat gembira dengan proses ini, menunjukkan, betapa perkara teknikal yang moden sebegini boleh dijadikan sebagai satu pengalaman seni (aku anggar, pengarahnya mendapat inspirasi ini dari Resevoir Dogs atau Run Lola Run yang menggunakan teknik yang sama) yang jarang-jarang dilihat dalam filem Melayu.

Akhir sekali, seperti aku syorkan Azwan & Spiral 'sangat-sangat' untuk menonton filem ini. Aku syorkan juga, pada sesiapa yang belum, ini adalah antara filem 'gem' yang tidak diketahui 'perfectness'nya tahun ini yang tidak boleh dilepaskan. Kalau Yasmin Ahmad adalah suara renaissance baru perfileman Melayu, beliau boleh tersenyum kerana seorang pembikin filem muda ini berdiri di sebelahnya.

Ulasan (terdahulu) NEON oleh sultanmuzaffar
Kredit foto : www.filemkita.com

No comments: