Oleh Fadz
Untuk menyimpulakan filem-filem jenis Qada' dan Qadar yang aku tonton baru-baru ini, filem ini adalah antara filem terbaik, yang mempunyai unsur-unsur yang sama seperti filem-filem di atas, yang menyoal juga soalan-soalan seperti: "Kalau aku buat begini, ia mungkin tidak terjadi, dan apa kalau aku buat begitu..Kalau aku begini, ia jadi begini".
Filem ini juga filem 'spiritual' yang tidak memperlekehkan penonton ateisnya (kerana karya Alejandro Innaritu yang terdahulu, Amores Perros, antara filem kegemaran aku dan terbaik daripadanya, dikecam para pengkritik kerana dakwah 'bible'nya yang penuh dalam filem itu. Sedarkah anda bahawa Alejandro juga menggunakan metafora bandar sebagai 'neraka hidup' buat umat manusia dalam Amores Perros). Di sini, Tuhan tidak banyak memainkan peranan yang penting (kebanyakan masalah dan pilihan, adalah atas kemahuan manusia itu sendiri, secara sedar atau tidak), persoalan Tuhan sebagai berkuasa dipermainkan (berkaitan dengan lakonan Benecio del Toro "Our hell is in here, inside the head!"), malah simpang siur 3 watak dalam filem ini bertemu dan bersua menunjukkan, walaupun Tuhan tidak ada, mereka akan lakukan perkara yang mereka sudah 'diperbuat' untuk lakukan.
Tetapi kerohanian filem ini tetap ada, lebih-lebih lagi persoalan 'mengorbankan diri' untuk kebahagiaan orang lain. Di sini, Sean Penn memegang watak seorang wali moden dalam dunia serba materialistik dan keduniaan Barat. Beliau Jesus Christ baru kerana kematiannya (dengan membunuh diri), beliau memberi 'salvation' terhadap watak Naomi Watts (lakonannya amat cemerlang, malah patut menang Best Actress untuk tahun ini) dan Benecio Del Toro (juga patut menang Best Supporting Actor tahun ini) yang goyah imannya.
Mereka sedar akhirnya, hidup jangan disia-siakan, tetapi harus diteruskan dengan seadanya, tanpa perasaan berdendam dan buruk hati (menyoal tabii manusia yang suka menuduh dan buruk sangka. Mereka sepatutnya lebih banyak mencari persoalan, 'get into other people's shoes' dan tahu memaafkan..Di sini, falsafah 'keagamaan' Innaritu jelas. Dengan 'compassion', antara ciri utama ajaran Kristian, manusia boleh hidup dengan damai antara satu sama lain di dunia ini).
Filem ini juga ada mempersoalkan tentang 'equilibrium' hakikat kehidupan. Unsur ini mempunyai persamaan dengan filem Irreversible, sebuah filem yang menggarap satu 'equilibrium' kehidupan, dari neraka-kegelapan kepada syurgawi-kecahayaan di mana anu-anu dalam formula hidup ini sudah mutlak dan tidak boleh diubah-ubah lagi. Penghayatan 'keseimbangan antara baik dan jahat, kesan dan akibat, ciptaan dan kemusnahan, kematian dan kehidupan' dalam Irreversible ini amat ateis pengolahannya, amat dekat dengan kerja-kerja yang sama dilakukan oleh Marquis De Sade (beliau menghalalkan pembunuhan secara beramai-ramai). Malah filem ini juga agak 'pretentious' dalam perlakuan teknikalnya.
Kerana itulah 21 Grams lebih jujur dan telus dalam mengolahkan rahsia alam ini. Ia memberitahu bahawa, seorang individu masih boleh menukar qada' seseorang walaupun kumpulan itu sedang dalam keadaan 'chaos' sedangkan Irreversible dengan mutlak memberitahu, lingakaran hitam-putih alam tidak akan dan boleh berubah, lebih-lebih lagi dengan tangan manusia yang lemah.
Anyaman mis-en-scene dalam 21 Grams juga amat cantik dibuat. Seperti Berlari Ke Langit, menggunakan teknik perubahan babak ke babak lain dengan cepat menonjolkan corak dan nadi seorang manusia itu sendiri, yang bertukar emosi, semangat dan penghayatannya setiap kali. 21 Grams aku berani katakan, adalah satu cerita tentang manusia dalam bentuk sebenarnya. Sememannya, ia antara filem drama manusia berhadapan dengan qada' dan qadar Tuhan paling baik pernah dibuat oleh pembikin filem Barat.
Nota : Ulasan terdahulu oleh Mahhass
No comments:
Post a Comment