02 January 2004

Ulasan Filem : Irreversible (2003)

Oleh Mahhass

Rasanya belum terlambat untuk saya membuat sedikit ulasan tentang filem Irreversible ini. Saya tertarik untuk menontonnya setelah membaca ulasannya di limau nipis. Begitu lama saya mencari DVD filem ini, baru minggu lepas saya terjumpa. Terima kasih saudara Nizam untuk info filem ini.

Menonton filem ini memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan kerana strukturnya terlalu 'berat', tetapi teknik kameranya yang berpusing-pusing serta imej yang kusam seperti menggambarkan suatu konflik peribadi yang begitu mengganggu ketenteraman penonton. Saya sendiripun hampir putus asa untuk meneruskan tontonan (untuk minit-minit awal filem ini).

Apa yang menarik tentang filem ini ialah jalan ceritanya yang terbalik. Kita akan dipertontonkan kemuncaknya (bahagian akhir) dahulu, seterusnya ke segmen-segmen sebelumnya yang dibahagikan ke beberapa bahagian sehinggalah ke titik awal ceritanya. Yang pasti, pengarah bijak menarik minat penontonnya untuk mengetahui apa yang berlaku sebelumnya. Apa tidaknya, aksi ganas yang sungguh melampau ditonjolkan awal-awal lagi dalam filem ini.

Benar, seorang lelaki dipukul bertubi-tubi sehingga terburai isi kepalanya. Realistik sekali. Saya sendiri beberapa kali mengulang-ulangkan babak tersebut semata-mata untuk memuaskan hati saya samada benar atau sebaliknya adegan tersebut. Ianya juga mengingatkan saya pada filem-filem mondo Faces of Death.

Irreversible penuh dengan keganasan ekstrem, dendam, unsur seksual dan perkauman. Perhatikan babak sewaktu Marcus dan Pierre menaiki teksi dimana mereka terang-terangan memaki hamun pemandu teksi berbangsa Asia itu. Pengarahnya, Gaspar Noe jelas seolah-olah menonjolkan unsur kebenciannya terhadap golongan homoseksual.

Adegan di kelab gay "Rectum" sekurang-kurangnya memperlihatkan kekotoran sebenar dunia homoseksual. Filem ini pasti atau sudahpun mengundang kontroversi khususnya golongan gay di serantau dunia.

Saya tidak mahu mengupas dengan lebih terperinci mengenai filem ini. Saya pasti, tidak ramai yang boleh tonton filem ini. Sedar atau tidak, Irreversible telah pun menggondol anugerah Filem Terbaik di Stockholm 2002.

Saya tidak pasti kenapa, tapi mungkin kerana corak kelainan persembahannya... atau mungkin juga para juri 'terpesona' dengan keganasan yang ditonjolkan lebih-lebih lagi keganasan terhadap wanita.


Antara sekuens "groundbreaking" yang amat sukar sekali untuk ditonton. Paparan sinematik imaginasi horror - lantas menghantui fikiran saya untuk beberapa hari.

SKRIN Rating: B (3/5)