05 January 2004

Ulasan Filem : Underworld (2003)

Underworld Saya hairan kenapa filem Underworld ini digam tayangannya di Malaysia. Jika karakter Vampire dan Werewolf yang ditampilkan dikatakan ganas, tahyul, memesongkan, kenapa tidak haramkan sahaja filem genre lain contohnya Matrix, X-Men, The Crow, Blade, Siri TV Dark Angel, Mutant-X dan juga Witchblade? Apalah sangat bezanya? Kesemuanya jika dikaji, sememangnya terdapat unsur ganas, gore, darah, pembunuhan, kekejaman... apa lagi?

Saya tidak hairan sekiranya filem seperti A Man Apart, Kill Bill atau Irreversible digam, tetapi tidak Underworld. Apapun, terima kasih kepada taukey DVD yang secara tak rasmi telah berjaya 'release'kan filem ini.

Sebenarnya, jika diteliti betul-betul, filem ini tidaklah seganas yang difikirkan. Ia mengisahkan peperangan di antara puak Vampires dan Werewolves (Lycan). Ya, memang ada darah sana-sini ditonjolkan, tetapi rakyat Malaysia bukanlah terlau bodoh untuk membezakan mana satu realiti atau fantasi. Kalau watak 'nakal' Power Rangers atau Ultraman misalnya jelas sekali menjadi ikutan kanak-kanak.

Saya katakan 'nakal' kerana ramai kanak-kanak lelaki khususnya menjadi 'nakal tak tentu arah' gara-gara aksi gaduh, lawan dalam rancangan tersebut.... itu tak apa pula? Sedar tak sedar, konsep keganasan sebenarnya menjadi sebati dalam jiwa kanak-kanak apatah lagi kesannya kini dilihat di sekolah-sekolah dimana gejala samseng tidak mampu dibendung lagi.

Berbalik kepada filem ini, teraju utama dipegang oleh Kate Beckinsale yang membawa watak seorang Vampire bernama Selene. Beliau berpenampilan serba hitam, bersesuaian dengan imej Vampire namun bukanlah tipikal kerana beliau banyak menggunakan senjata berbanding tangan kosong seperti menggunakan kuku tajam, terbang, transformasi dan sebagainya. Tidak seperti karakter Werewolf yang dilihat lebih menyerlah dari segi penampilan ganasnya setelah melalui transformasi.

Sebenarnya, sukar untuk saya mengklasifikasikan yang mana satu watak hitam dalam filem ini. Jika diawal filem, sudah pasti kita mengatakan watak hitam ialah puak Lycan, namun seakan-akan di 'twist' diakhir cerita.

Babak-babak aksi dilatar-belakangkan dengan muzik heavy metal menjadikannya lebih padat walaupun aksi yang ditonjolkan tidaklah hebat sangat. Cuma visual efek serta CGI yang agak menarik serta up-to-date. Saya pasti anda akan membanding-bandingkannya dengan filem Matrix atau Blade.

Apa yang menarik tentang filem ini ialah dari segi karakter dan juga skripnya, walaupun saya kira terlalu banyak stereotaip. Setelah babak imbas kembali dipaparkan, maka secara tak langsung, watak Lucian (werewolf) berjaya meraih simpati oleh penonton. Malah, watak Viktor, Vampire paling kuat yang dihidupkan semula oleh Selene itulah sebenarnya merupakan kemuncak filem ini. Apatah lagi pada mulanya Viktor dianggap sebagai penyelamat puak Vampire sedangkan sejarah membuktikan yang beliaulah yang menjadi punca persengketaan 2 puak tersebut.

Filem Underworld ini tidak berakhir begitu sahaja. Di bahagian akhir filem ini sebenarnya menandakan satu permulaan. Jadi, sudah pasti filem ini akan bersambung kerana watak Marcus baru sahaja dihidupkan (secara tidak sengaja) dan Michael, watak manusia yang dijelmakan menjadi 'separuh Vampire - separuh Werewolf' tetapi lebih kuat dari kedua-duanya baru sahaja beraksi. Tidak mungkin pengarah akan membiarkan sahaja watak-watak ini berkubur.

Apapun, saya mengharapkan agar aksi bahagian keduanya lebih padat, hebat dan pengarah seharusnya menekankan aspek emosi, suspen dan juga cemas. Walaubagaimanapun, konsep gotik dalam filem ini sememangnya satu keaslian dan seharusnya dipuji.

SKRIN Rating : B (3/5)