28 January 2004

Ulasan Filem : Gothika (2003)




Gothika Selepas The Ring dicedok dengan begitu sempurna oleh pengeluar filem Hollywood, filem Korea - A Tale of Two Sisters versi inggeris pula kini sedang dalam proses pembikinan, manakala filem Jepun Dark Water juga dalam proses yang sama, kini pengarah-pengarah Hollywood cuba mengintai-intai peluang untuk menghasilkan sendiri filem genre horror ala Jepun/Korea dalam versi Hollywood.

Jadi sahlah kini filem seram versi Korea/Jepun sememangnya mendapat tempat di hati penggemar filem genre ini khususnya di barat. Kalau tidak masakan mereka berebut-rebut untuk membikin semula filem-filem tersebut. Walaubagaimanapun, filem Gothika tidak ada kena-mengena dalam hal ini.

Cuma kalau dilihat dari segi konsep hantu atau roh yang tidak tenteram yang ditampilkan sememangnya satu stereotaip walaupun sebelum ini kita telahpun dipertontonkan dengan filem-filem Hollywood seperti Sixth Sense, Stir of Echoes dan juga What Lies Beneath.

Gothika menampilkan pemenang Oscar - Halle Berry sebagai Dr. Miranda Grey, seorang pakar psikologi di sebuah hospital penjara yang menempatkan pesakit mental khususnya yang terlibat dalam kes-kes jenayah berat. Suaminya, Douglas merupakan pemilik hospital penjara tersebut.

Seperti biasa, di bahagian awal sesebuah filem, kita dibawa mengenali satu persatu watak-wataknya. Lihatlah saja kemesraan hubungan Miranda dan suaminya, disamping Dr. Peter Graham yang seakan menyembunyikan perasaan terhadap Miranda. Juga kita dibawa untuk mengenali watak Chloe (lakonan baik Penelope Cruz), pesakit jiwa yang dirawat oleh Miranda.

Suatu malam, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya, setelah terpaksa melalui jalan alternatif akibat kerosakan jalan utama, beliau terlibat dalam satu kemalangan kerana cuba mengelak seorang wanita yang tiba-tiba muncul berdiri di tengah-tengah jalan tersebut. Dalam suasana panik tersebut, beliau bergegas keluar dari keretanya untuk mendapatkan wanita tersebut yang berkelakuan agak aneh.

Namun, apa yang berlaku seterusnya, beliau tersedar dari pengsan dan mendapati bahawa beliau telah menjadi salah seorang pesakit mental di hospital penjara tersebut tanpa berbekalkan sebarang memori atas apa yang terjadi. Bukan itu sahaja, yang menariknya di sini ialah beliau dituduh membunuh suaminya dengan kejam. Apatah lagi segala bukti jelas tertuding ke arah beliau.

Apa yang cuba dipaparkan dalam filem ini ialah perjuangan Miranda untuk menjelaskan kepada mereka bahawa dia TIDAK GILA malah cuba menafikan pertuduhan tersebut. Tetapi dalam masa yang sama, beliau sendiri cuba mencari kepastian pada dirinya sendiri samada benarkah dia sudah gila. Konflik dalaman ini pastinya dirasai penonton.

Bukan itu sahaja, roh wanita yang sentiasa membayangi Miranda seolah-olah cuba membongkar misteri disebalik kematian beliau. Bunyinya seakan mirip dengan filem What Lies Beneath lakonan Michelle Pfeiffer beberapa tahun yang lepas. Cuma kali ini, elemen cemas lebih banyak dihidangkan.

Halle Berry saya kira amat sesuai membawakan watak ini. Ekspresi wajah, ketegangan serta mood depresi yang ditonjolkan berjaya menerbitkan kesan emosi khususnya rasa simpati terhadap apa yang dialami beliau. Saya percaya, Halle Berrylah yang bertanggungjawab menyelamatkan filem ini dari dilabelkan sebagai filem buruk oleh kerana banyak unsur ketidaklogikan dipaparkan.

Walaubagaimanapun, saya tertarik pada teknik fotografinya yang cantik. Pelbagai sudut diambil dalam satu-satu babak berjaya menghidupkan rasa cemas seram. Di bahagian akhir filem ini, agak kurang menarik bagi saya. Sayang sekali, pengarah seolah-olah tangkap muat dalam mempertontonkan klimaks dalam filem ini. Terlalu banyak plot yang sekadar cuba disumbat-sumbat untuk menghasilkan satu ending sememangnya satu kesilapan. Jika disusun atur secara rapi pastinya membuahkan hasil yang baik.

Jika ada orang bertanyakan saya : "Apa jadahnya maksud Gothika tu?" Apa yang boleh saya jawab hanyalah : "Entah, sampai habis menonton pun saya tak tahu apa maksudnya". Mungkin juga satu simbolik dari perkataan Gotik… tapi apa kena mengena dengan filem ini? Atau mungkin juga tajuk Gothika sekadar cuba menampakkan imej seram dalam usaha menarik minat untuk menontonnya.

Apapun, masing-masing punya persepsi sendiri. Bagi saya, Gothika hanya sekadar filem seram biasa sahaja.

SKRIN Rating : B- (2.5/5)