15 January 2004

Ulasan Filem : Monster (2003)

Oleh Mahhass

Nama 'Aileen Wuornos' sememangnya terlalu asing bagi kita. Apatah lagi beliau hanyalah merupakan seorang pelacur jalanan di Florida yang kini telahpun dijatuhkan hukuman mati setelah disabitkan kesalahan membunuh 6 orang lelaki pada tahun 2002.

Ya, ini adalah kisah benar. Bukan cerita dongeng. Biografi Aileen berjaya menarik perhatian Peter Jenkins, membawa kisahnya ke layar walaupun beliau belum pernah mengarah mana-mana filem sebelum ini.

Pun begitu, filem yang diberi judul Monster ini walaupun merupakan filem pertama arahannya, namun tidak banyak menampakkan kelemahan. Perancangan serta homework beliau yang dibuat dengan cukup rapi membuahkan hasil yang boleh dikagumi.

Dalam filem ini, watak Aileen Wuornos dibawa dengan amat cemerlang oleh Charlize Theron. Malah, saya kira beliau patut dinobatkan gelaran Pelakon Wanita Terbaik untuk tahun 2003 setelah dicalonkan dalam kategori tersebut. Kita boleh lupakan Nicole Kidman, kerana Charlize Theron jauh boleh dibanggakan dalam filem ini kerana dilihat sanggup menghodohkan rupa parasnya semata-mata untuk menghidupkan watak tipikal pelacur kulit putih murahan yang dipegangnya.

Bukan itu saja, karakter seorang pelacur, ekspresi wajah, gaya percakapan serta attitude yang dibawakannya melengkapkan lagi alasan untuk beliau diletakkan dalam kelompok terbaik.

Filem ini mengisahkan liku-liku hidup Aileen Wuornos. Ia diceritakan dalam bentuk imbasan bagaimana Aileen yang seakan-akan sudah putus asa untuk meneruskan hidup sebagai pelacur malah sudahpun merancang untuk membunuh diri.

Walaubagaimanapun, beliau ditakdirkan berjumpa dengan Selby (Christina Ricci) di sebuah bar. Dari titik pertemuan inilah bermulanya kisah tragis ini.

Filem ini dibahagikan kepada dua struktur plot yang menarik iaitu hubungan cinta (lesbian) antara Aileen dan Selby serta konflik perjalanan hidup Aileen sebagai pelacur jalanan.

Yang menariknya dalam filem ini ialah perjuangan hidup Aileen sebagai pelacur yang mencari pelanggan dengan cara hitchhiking yang akhirnya pada suatu malam beliau dibelasah serta dirogol oleh salah seorang pelanggannya sehingga memaksa beliau membunuh untuk mempertahankan diri (Hati-hati kerana adegan di sini menonjolkan keganasan ekstrem).

Selepas kejadian tersebut, Aileen telahpun berniat untuk tidak lagi melacur malah beliau cuba mencari kerja-kerja yang lebih sesuai. Namun, dengan tidak berbekalkan satupun sijil apatah lagi ijazah, beliau tidak diterima berkerja dimana-mana tempat pun.

Oleh sebab demikian, (juga atas desakan Selby) beliau kembali melacur. Walaubagaimanapun, peristiwa lalu tetap menghantuinya. Beliau seakan fobia lalu dengan tidak semena-mena telah mula membunuh pelanggan-pelanggannya.

Watak putih (walaupun sebagai seorang pelacur) yang pada mulanya dibawakan seakan bertukar ke watak hitam. Dari seorang pelacur yang dahagakan cinta, beliau bertukar menjadi seorang pembunuh bersiri.

Filem ini perlu ditonton dengan minda yang terbuka. Saya percaya ia akan menimbulkan dua reaksi yang berbeza samada bersimpati atau sebaliknya akan watak-watak yang ditonjolkan khususnya watak Aileen.

Filem ini sebenarnya mengajak kita berfikir untuk memahami secara menyeluruh, bukan hanya menuding ke sebelah pihak semata-mata. Ia juga seolah-olah mengajak kita memahami konflik sebenar yang membelenggu Aileen dari segi kenapa dan mengapa dari seorang ke seorang pelanggannya dibunuh.

Apa sekalipun, tajuk Monster yang simbolik itu sendiri seolah-olah cuba memberi ruang untuk kita mendefinasikannya. Siapa Monster yang sebenarnya?

SKRIN Rating :B+ (3.5/5)