19 January 2004

Testimoni Pengulas Cereka DVD Seram, Ganas dan Misteri : SPIRAL

oleh VAD

Saya mengenali Spiral (Mahhass) awalnya di blog sultanmuzaffar atas dasar peminat Akademi Fantasia (AF) dan juga pembaca hasil tulisan SultanMuzaffar. Ianya kemudian berkembang di tagboard dan akhirnya kami berpeluang bersua ketika perjumpaan Team PFS diadakan. Dari latar belakangnya dan pemerhatian saya ketika itu beliau sama seperti lain-lain lelaki yang telah berkeluarga; mempunyai isteri yang penyayang dan memahami, anak yang comel serta mempunyai halatuju yang jelas di dalam kerjaya beliau. Beliau juga sama seperti kebanyakan remaja sebelum berkahwin; meminati muzik underground selain mempunyai hobi berlumba kereta.

Satu kelainan yang ada pada beliau adalah kegemaran beliau mengulas mengenai cereka-cereka seram, ganas dan misteri melalui DVD yang telah disaksikannya. Daripada penulisan beliau, ulasan-ulasan tersebut kebiasaannya mengulas secara umum tentang perjalanan cerita serta pendapat peribadi sebagai panduan kepada bakal pembeli ataupun penonton cereka tersebut di pawagam.

Peluang bertemu beliau dan bercerita panjang lebar sehingga embun menitis mengukuhkan pendapat awal saya mengenai beliau. Atas sebab peribadi, beliau menyerahkan 10 daripada DVD yang telah beliau tonton untuk rujukan saya. Umumnya saya telahpun menonton Kill Bill, filem arahan Quentin Tarantino yang diakui sebagai yang terganas di US serta jalan cerita berbelit yang hanya difahami oleh segelintir penonton. Perasaan saya biasa sahaja, saya tidak akan menghadapi masalah untuk menonton DVD yang telah diberikan.

Tetapi akhirnya saya tersilap. Saya menonton Irreversible dahulu, dengan dipengaruhi oleh nama Monica Belluci. Perjalanan ceritanya yang mengundur, pergerakan kamera yang memeningkan serta keganasan adegan pergaduhan dan rogol yang keterlaluan membuatkan saya gementar, mual, pening dan tidak tenang. Saya cuba menonton filem kedua, lakonan Eminem, tetapi adegan keganasan yang keterlaluan sentiasa bermain di fikiran sehingga cerita road movie tersebut saya tonton secara fast forward. Akhirnya saya mengalah dan hanya meneliti kulit DVD yang lainnya sahaja.

Dari koleksi yang diberikan kepada saya, ternyata Spiral mempunyai kekuatan yang luar biasa. Sanggup menonton cerita-cerita tersebut sehingga habis sudah menjadi satu pencapaian, apatah lagi sanggup mengulang tayang sesetengah adegan untuk memahami ceritanya untuk dijadikan ulasan. Tidak semua orang boleh melakukan seperti mana beliau lakukan. Untuk perkara itu, saya perlu menghormati beliau.

Saya masih belum dapat menenangkan fikiran. Sebagai alternatif, saya cuba menonton lagu-lagu Hindustan supaya dapat melupakan adegan ganas tadi. Ternyata saya gagal sehinggalah membuat keputusan untuk menulis testimoni ini. Sekali lagi, Spiral telah membuatkan saya berjaga sehingga azan Subuh. Ketenangan itu hanya didapati setelah menunaikan solat, Alhamdulillah.

Sekali lagi ingin ditegaskan, hanya yang berani sahaja sanggup menonton filem-filem ulasan beliau sehingga habis. Sesiapa yang mempunyai perasaan takut, cepat jemu, ngeri, kurang berfikir baik lupakan sahaja niat anda untuk menontonnya. Maka tidak hairanlah saya, sekiranya beliau memang diiktiraf pengulas cereka-cereka seram, ganas dan misteri yang berkaliber. Juga yang menariknya, beliau masih mempunyai isteri yang penyayang dan anak yang comel seperti kebanyakan daripada kita, tiada yang berbeza. Kehidupan hariannya juga biasa tanpa diselubungi misteri dan kegelapan.

Keunikan yang ada pada beliau inilah yang membuatkan persahabatan baru ini menjadi lebih kukuh. Sama seperti SultanMuzaffar serta lain-lain rakan saya di dalam PFS dan di tagboard, walaupun mempunyai latarbelakang yang berbeza tetapi ianya menjadi tali yang kukuh dan kami semakin rapat. Kita hanya perlu sentiasa berkomunikasi, memberi pendapat dan mendengar dari yang lainnya. Akui juga kelemahan diri, dan sifat memerlukan antara satu sama lain. Setelah mengenali hati budi masing-masing, InsyaAllah kita boleh bertolak ansur dan menyedari akan kelemahan sendiri. Peluang mengenali Spiral dengan cara yang sebegini dan meluahkan pendapat mengenainya, semakin membuatkan saya lebih menghormati rakan-rakan dan berusaha mencari persamaan dan kebaikan mereka, bukan mencari perbezaan dan kebencian.

Spiral perlu menyiarkan artikel ini tanpa diedit dan sekiranya anda berbangga, anda memang patut merasakannya.

VAD 19-Jan-2004, 09.10am