Oleh Mahhass
Cold Mountain merupakan sebuah epik romantik berlatar belakangkan konsep sekitar 1800-an, diarahkan oleh Anthony Minghella yang sekali lagi turun padang setelah beberapa anugerah diperolehinya melalui filem The English Patient. Filem ini diadaptasikan dari sebuah novel romantik hasil tulisan Charles Frazier.
Filem ini merupakan sebuah imbasan. Ia diceritakan kembali oleh watak Ada Monroe yang dibawa oleh Nicole Kidman. Perjalanan filem ini dibahagikan kepada dua strukur plot iaitu perjuangan Inman (lakonan Jude Law) dalam mengharungi liku-liku perjalanan ke utara (tempat asalnya iaitu Cold Mountain) untuk pulang bertemu kekasihnya, Ada Monroe (lakonan Nicole Kidman), setelah terbabit dalam satu peperangan (Perang Saudara) di bahagian selatan Carolina.
Plot kedua pula menceritakan kisah Ada Monroe itu sendiri dalam meniti perjalanan hidup di Cold Mountain (sebuah tempat yang pada hakikatnya tidak bernama, hanya sekadar diberikan nama oleh penduduk tempatan) bersama-sama Ruby Thewes (lakonan Renee Zellweger) setelah kematian bapanya sambil dari sehari ke sehari menanti akan kepulangan Inman.
Filem ini dibuka tirai aksi peperangan yang penuh dengan keganasan. Maka tidak hairanlah filem ini diklasifikasikan "R". Perhatikan sahaja sewaktu adegan ledakan bom yang menyaksikan efek visual yang hebat serta canggih dipaparkan.
Teknik fotografi yang menarik disertakan dengan aksi pertempuran, tembak-menembak, tikam-menikam, pijak-memijak nyata mampu memberi kegerunan pada kita. Tetapi setelah berakhirnya adegan perang yang cukup klasik ini, filem ini kembali 'kedinginan'.
Kedua-dua struktur plot yang diselang-selikan tersebut lebih banyak menimbulkan kebosanan saya. Walaupun saya akui, ada unsur-unsur cemas digarap dengan begitu baik oleh penulis yang juga merangkap pengarah untuk filem ini, namun tidak banyak yang boleh saya banggakan.
Dari segi emosi, ianya tidak ubah seperti menonton sebuah filem hindi yang hebat (oleh sebab filem ini adalah filem romantik, saya merujuk kepada filem hindi Devdas). Saya katakan demikian oleh kerana watak Ada yang dibawa oleh Nicole Kidman tersebut, secara peribadinya, saya anggap gagal mewujudkan jiwa seorang kekasih yang setia menunggu sebuah kepulangan. Lihat saja di akhir babak filem ini, mereka bertemu kembali.
Tetapi sayang sekali, adegan sedih-pilu-menangis-kegembiraan jelas tidak dijiwai sewaktu pertemuan ini. Cuma dipaparkan kepada kita sewaktu adegan mereka 'bersama' di malam tersebut.
Maka sudah tentunya adegan ini akan ditapis, jadi di mana akan terbitnya rasa gembira berjumpa kembali setelah adegan ini tidak dipaparkan khususnya di panggung-panggung? Sudah pastinya pertemuan kembali mereka tersebut tidak akan menampakkan jiwanya disitu. (Bagi yang belum menonton, saya mohon maaf, saya cuma berniat untuk mengupas dan mengkritik bagi menggambarkan keseluruhan filem ini).
Saya tidak nampak apa yang boleh dibanggakan dengan lakonan Nicole Kidman dalam filem ini. Malah, sebenarnya, yang berjaya mencuri tumpuan saya ialah watak Ruby lakonan Renee Zellweger. Beliau dilihat lebih sempurna membawakan watak ala tomboy walaupun dalam filem ini beliau bersikap kurang ajar terhadap bapanya sendiri.
Tidak lupa juga watak seorang wanita yang menumpangkan Inman bermalam di rumahnya (saya tidak tahu nama watak tersebut) yang hanya tinggal bersama anak kecilnya setelah kehilangan suaminya. Lakonannya menyentuh perasaan.
Terdapat beberapa adegan yang saya berasa kurang selesa. Terus terang saya katakan bahawa saya amat tidak menyukai sesebuah adegan yang menonjolkan keganasan terhadap haiwan. Bukan satu malah terdapat tiga babak iaitu melibatkan seekor lembu yang mati terdampar di sebuah sungai, adegan sewaktu seekor anak kambing yang ditusukkan dengan sebilah pisau dilehernya dan juga seekor ayam jantan yang dicabut kepalanya.
Walaupun saya faham bahawa ianya hanyalah sebuah lakonan filem namun apa boleh buat, saya cuma ingin luahkan bahawa saya merasa tidak senang akan adegan-adegan tersebut.
Cold Mountain menghidangkan kepada kita sinematografi yang indah dan menarik. Apatah lagi kebanyakannya memperlihatkan latarbelakang gunung-ganang yang cantik serta menggambarkan suasana yang tenang tetapi bahaya. Begitu juga penggunaan kostum klasik yang memperlihatkan bajet yang agak tinggi untuk filem ini.
Saya tidak hairan jika filem ini membawa pulang satu anugerah Oscar dari lapan pencalonannya. Bagaimanapun, untuk menggondol anugerah Filem Terbaik, saya percaya tidak mampu. Anthony Minghella tidak harus hanya sekadar menjeling kesebelah kerana Peter Jackson masih mampu tersenyum lebar sambil 'menantikan Kepulangan Rajanya'.
SKRIN Rating : B- (2.5/5)
Ulasan rakan blog :
Nizam Zakaria : "Premis filem ini ringkas, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam..." - Rating 4/5 bintang
Fadz : "...watak-wataknya yang penuh manusia ... adalah antara filem terbaik tahun ini"