12 January 2004

Ulasan Filem : The Texas Chainsaw Massacre (2003)

Oleh Mahhass

Sebuah lagi filem genre seram/slasher yang pastinya 'jangan harap' akan tayangannya di Malaysia. Apalagi kalau bukan alasan 'terlalu ganas' yang diberikan.

The Texas Chainsaw Massacre saya kira mempunyai persamaan dengan filem-filem slasher lain seperti House of 1000 Corpses dan juga Wrong Turn. Tetapi yang peliknya, filem Wrong Turn boleh pula meloloskan diri dari digam pihak berwajib, walhal konsep keganasan dan kanibalisme yang ditampilkan saling tak tumpah kalau dibandingkan dengan filem ini. (atau mungkin juga filem-filem tersebut sebenarnya terlebih dahulu 'meniru' versi original Texas Chainsaw 1974)

The Texas Chainsaw Massacre sebenarnya merupakan 'remake' daripada filem keluaran tahun 1974. Filem ini diinspirasikan dari sebuah kisah benar yang terjadi di sebuah kawasan terpencil sekitar Texas. Apa yang saya faham, mereka menjumpai mayat lima remaja di kawasan kejadian jenayah tersebut serta berpuluh-puluh lagi mayat reput yang tidak dapat dikenal pasti lagi.

Oleh sebab filem ini diinspirasikan dari kejadian tersebut, maka saya akui, filem ini sememangnya menimbulkan rasa trauma saya apatah lagi sewaktu menonton, fikiran saya asyik melayang serta membayangkan kejadian sebenar yang menimpa ke atas lima remaja tersebut. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang kisah sebenar yang terjadi oleh kerana kekurangan maklumat tentang pembunuh yang diberi jolokan 'Leatherface' ini.

Apa yang pasti, kes ini telah diklasifikasikan 'Cold-Files' oleh kerana pihak penyiasat menemui jalan buntu dalam membongkar serta mencari jalan penyelesaiannya.

The Texas Chainsaw Massacre saya akui sememangnya filem kotor, penuh dengan adegan penyiksaan, cincang-mencincang, potong-memotong, tetak-menetak, darah terpercik sana-sini, penyalahgunaan dadah, dialog-dialog yang agak kasar kedengaran tetapi tiada adegan ranjang ditampilkan.

Ia mengisahkan sekumpulan remaja menaiki sebuah van menuju ke satu tempat yang saya sendiri tidak pasti arah halanya. Tapi yang pasti tujuan mereka hanya satu, seperti kebanyakan anak-anak muda warga amerika khususnya, iaitu mencari hiburan. Seperti kebanyakan klise filem genre seram yang lain, hiburan yang dicari, nasib malang pula yang menimpa mereka.

Sewaktu dalam perjalanan, mereka nyaris terlanggar seorang wanita yang berjalan kaki di tengah-tengah jalanraya tersebut. Atas dasar prihatin, mereka menumpangkan wanita tersebut yang dilihat tak tentu arah tujuannya.

Wanita tersebut kelihatan dalam ketakutan yang amat sangat dan seringkali merintih dan merayu-rayu agar mereka tidak kembali melalui kawasan tersebut. Setelah rayuannya tidak diendahkan, akibatnya wanita tersebut mengeluarkan sepucuk pistol (saya pasti beliau mengeluarkannya dari tempat sulitnya!) lalu menembak dirinya sendiri. Maka berderailah isi otak di sana sini di dalam van tersebut.

Terperanjat dengan tindakan nekad tersebut mereka seterusnya mencari bantuan untuk menguruskan mayat wanita tersebut sambil bingung memikirkan motif sebenar serta apa yang ditakutinya sangat sehingga sanggup membunuh diri dari berpatah balik ke kawasan tersebut.

Akibatnya, mereka terperangkap dalam dua situasi yang mencemaskan, iaitu takutkan pembunuh kejam tersebut dan juga syerif yang alih-alih telah menuduh mereka yang bertanggungjawab membunuh wanita itu.

Pembunuh dipercayai menghidap penyakit kulit yang serius, sehingga mendorongnya membunuh seterusnya menggunakan kulit muka mangsanya untuk dipakai. Beliau juga tidak terus membunuh mangsanya, seperti watak Andy yang diseksa dengan cara digantung setelah ditusukkan cangkuk tajam di belakang badannya sambil menunggu detik-detik kematiannya.

Perhatikan juga koreografi cemas yang cukup menarik sewaktu pembunuh tersebut mengejar Andy sehingga terputus kakinya akibat dicantas menggunakan 'chainsaw'nya.

Efek visual yang agak menarik ditonjolkan. Ini ditambah pula dengan teknik warna yang digunakan seolah-olah pengarah cuba menghidupkan suasana 70an dalam filem ini.

Keseluruhannya, kalau dinilai dari segi seram dan cemas, saya percaya, filem The Texas Chainsaw Massacre berjaya memberi impak yang cukup berkesan dalam sesebuah penghasilan filem genre ini. Malah saya katakan filem ini mungkin lebih baik berbanding filem-filem stereotaip seram seperti yang telah saya nyatakan di atas.



SKRIN Rating : B+ (3.5/5)

TERKINI : Ulasan DVD Texas Chainsaw Massacre versi 1974