14 January 2004

Ulasan Filem (DVD) : Gerry (2003)

Skrin Top 10Oleh Mahhass

Berjaya juga akhirnya saya habiskan menonton filem Gerry ini walaupun dua kali percubaan saya sebelumnya gagal, hanya suku jalan. Jarang saya kecundang dalam menonton sesebuah filem. Biasanya, walaumacamana sekalipun keadaan filem itu, saya akan habiskan juga.

Tetapi filem ini sememangnya filem yang akan saya ingati walaupun sudah agak lama ditayangkan iaitu pada awal tahun 2003.

Arahan Gus Van Zant, filem Gerry sesungguhnya sebuah filem yang cukup-cukup lembab. Malah, hanya beberapa patah dialog sahaja kedengaran dan juga beberapa shot sahaja diambil. Ini kerana satu-satu shot tersebut dipertontonkan kepada kita secara puratanya lebih kurang 10 minit. Menontonnya harus disertakan dengan kesabaran yang maksimum.

Saya tidak hairan jika ada sesetengah yang akan berasa putus asa untuk meneruskan tontonan seawal 30 minit pertama kerana saya sendiri pun sudah mengalaminya. Bagaimanapun, perlu saya katakan di sini bahawa filem Gerry adalah sebuah filem yang cantik, unik dan memerlukan penghayatan emosi.

Ia mengisahkan dua sahabat baik yang kedua-duanya bernama Gerry lakonan Matt Damon dan Casey Affleck, sesat di kawasan padang kering kontang, seterusnya membawa mereka dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Mulanya, mereka hanya bertujuan untuk Dessert Hiking, tetapi akhirnya mereka tersesat sehingga tidak jumpa jalan pulang ke kenderaan mereka.

Justeru mereka terpaksa mengharungi gunung-ganang, padang pasir dan tempat-tempat lain selama tiga hari tiga malam yang cukup menyiksakan tanpa setitik air apatah lagi sesuap makanan.

Mereka berdua terpaksa berjuang antara hidup dan mati sambil berjalan dan terus berjalan tanpa mengetahui hala tuju sebenar mereka berbekalkan harapan tinggi agar dapat diselamatkan atau sekurang-kurangnya dapat berjumpa sebuah petempatan.

Namun, semakin jauh mereka berjalan sebenarnya semakin mereka sesat. Bagaimanapun, mereka masih tidak putus asa, gunung mereka daki dengan harapan untuk meluaskan pandangan dalam pencarian mereka, tetapi apa yang mereka lihat cumalah gunung-ganang.

Tiada satupun kelibat manusia kelihatan. Mereka juga cuba menjejaki kesan tapak kaki haiwan dengan harapan untuk bertemu sungai namun apa yang mereka jumpai ialah padang pasir yang lebih memeritkan keadaan. Begitulah seterusnya…

Filem ini kedengaran seperti filem biasa namun jika ditonton dan dihayati sememangnya penuh dengan jiwa dan emosi. Walaupun filem ini berbajet rendah, namun sinematografi yang cantik seakan menutup segala kelemahan dalam filem ini.

Apatah lagi pemilihan kedua-dua pelakonnya (Matt Damon dan Casey Affleck juga selaku penulis filem ini) dilihat gandingan yang sesuai sekali. Kedua-duanya menghayati watak dengan cukup baik.

Saya percaya bahawa pengarah langsung tidak mempedulikan perasaan jemu atau rasa letih penontonnya. Beliau saya kira bijak membawa penonton menghayati apa sebenar yang cuba disampaikan dalam filem ini.

Beliau mahu penontonnya merasai apa yang dialami oleh kedua-dua watak tersebut. Shot yang terlalu lama tersebut pastinya tak ramai yang boleh bertahan. Sempat rasanya dihabiskan sebatang rokok sebelum satu-satu shot 'bisu tanpa sebarang dialog' tersebut bertukar ke shot yang lain. Malah jika ke tandas pun saya memang sempat lagi. Kita akan kembali ke skrin seolah-olah tayangan di 'pause' sebentar.

Walaubagaimanapun, saya tertarik pada babak akhir sewaktu mereka berdua seakan telah putus asa atau mungkin sudah tidak berdaya lagi. Casey meluahkan bahawa "Dia akan pergi"… cukup tragis.

Saya pasti ramai yang mengatakan filem ini sebagai sebuah filem seni, tidak kurang juga yang tidak nampak akan keseniannya.

Namun apa yang pasti, berbaloi juga saya menghabiskan tontonan filem ini oleh kerana ia memaparkan satu kelainan yang jarang sekali dapat dipertontonkan lebih-lebih lagi kita terlalu banyak dibelenggu dengan filem-filem aksi Hollywood yang tak sudah-sudah.

SKRIN Rating : B (3/5)