Pada hakikatnya, saya kurang menggemari filem-filem bercorak legal, jenayah politik, skandal dan yang seangkatan dengannya, tapi oleh kerana filem Runaway Jury ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti John Cusack, Dustin Hoffman, Gene Hackman dan Rachael Weisz, saya pujuk hati saya untuk menontonnya juga.
John Grisham sememangnya pakar dalam konsep penulisan sebegini. Walaupun saya akui yang saya tidak pernah membaca novel-novel tulisannya, namun yang pasti apabila tulisannya di bawa ke layar perak, sememangnya menarik. Runaway Jury mengambil giliran menyusul, selepas novel-novelnya terdahulu seperti The Client, The Pelican Brief, dan yang terakhir iaitu The Firm yang difilemkan mendapat sambutan baik seluruh dunia.
Filem Runaway Jury mengisahkan suatu perbicaraan kes di antara syarikat pengeluar senjata dengan balu kepada seorang mangsa pembunuhan di sebuah pejabat. Apa yang menarik di bahagian awalnya, pemilihan juri dibuat dalam satu perancangan yang cukup teratur oleh sebelah pihak yang diketuai oleh Rankin Fitch lakonan mantap Gene Hackman. Satu persatu pihak juri cuba dipengaruhi dengan berbagai-bagai cara dilakukan. Ini kerana keputusan kes akan ditentukan 100% oleh juri.
Saya kira, filem ini agak mudah diikuti, tidak terlalu berat malah senang difahami tetapi bukan mudah untuk meramalkan plotnya. Bermula awal lagi, Grisham bijak memerangkap penontonnya. Kita dibawa dari satu babak ke satu babak yang digarapkan dengan aksi cemas serta membangkitkan perasan ingin tahu penonton.
Isu perbicaraan yang dikemukakan dalam filem ini pastinya tidak akan wujud di Malaysia. Malah saya percaya tidak dalam tempoh 20 tahun akan datang. Ia sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kesan yang berlaku ke atas sesebuah negara yang terlalu memberi kebebasan dalam pengeluaran dan penjualan senjata kepada orang awam khususnya.
Seperti tulisan Grisham sebelumnya, di akhir filem ini sekali lagi menjanjikan kejutan atau 'twist'. Jadi, saya boleh katakan bahawa filem ini tidak menghampakan saya.
Apapun, saya difahamkan filem Runaway Jury akan ditayangkan di pawagam bermula 29hb Januari 2004, ...nantikannya.
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)