11 March 2004

Ulasan Filem : 21 Grams (2003)

21 GramsOleh Mahhass

Tirai filem 21 Grams dibuka dengan memperlihatkan satu babak di mana seorang lelaki terbaring lesu di atas katil wad – menantikan satu pembedahan jantung. Beliau ialah Paul (lakonan cemerlang Sean Penn) dengan ditemani oleh Christina (Naomi Watts). Sejurus kemudian, kita dibawa menyingkap apa sebenar yang berlaku ke atasnya.

Filem ini dibahagikan kepada tiga struktur plot yang memfokuskan kepada ketiga-tiga watak utamanya. Naratifnya agak pelik tetapi bukanlah suatu yang baru dalam pembikinan filem. Kadang-kadang ke depan dan ke belakang semula. Perjalanan plotnya mundar-mandir bagaimanapun akan hanya bertemu pada babak akhir. Dari watak Paul yang sihat bertukar kepada seorang yang sedang sakit.

Begitu juga watak Jack (Benicio Del Toro) yang dilihat seketika di dalam penjara, gereja, di rumah bersama keluarga malah pada satu ketika divisualisasikan pada kita dalam pergelutan. Naratif yang berputar ini sebenarnya membuat kita lebih memberi fokus walaupun kadangkala boleh membingungkan. Jadi saya boleh katakan bahawa filem ini bukan filem sembarangan kerana walaupun kita dipertontonkan klimaksnya terlebih dahulu (atau dalam masa pertengahan filem ini), namun pada hakikatnya kita tidak boleh meramalkannya.

Alejandro Gonzalez Inarritu (Amores Perros), pengarah berketurunan Mexico diberi mandat untuk mengemudi filem 21 Grams ini hasil tulisan Guillermo Arriaga. Dari satu babak ke satu babak beliau cuba 'mempermainkan' audien dalam susunan plot yang saya boleh katakan 'berterabur' tetapi kemas dan padat!

Jika dinilai dari segi lakonan, ketiga-tiganya memberi lakonan yang begitu bertenaga. Benicio Del Toro, jika saya nilaikan lakonannya dalam The Hunted tampak begitu jauh sekali berbanding filem ini. Filem ini memberikan beliau satu tapak yang mengukuhkan lagi kariernya di Hollywood apatah lagi (untuk filem ini) telah merangkul Audience Award for Best Actor dalam Venice International Festival 2003, Screen Actors Guild 2003 – Outstanding Perfomance for Male Actor serta dinominasikan Pelakon Pembantu Terbaik untuk Oscar 2003.

Naomi Watts tidak perlu dipersoalkan lagi. Perhatikan babak sewaktu beliau menghalau Paul keluar dari rumah setelah mendapat tahu jantung milik mendiang suaminya kini 'digunakan' Paul.

Filem ini berteraskan dendam dan ini menjadikan ia sebuah filem gelap. Psikologi seorang yang terganggu akibat kecuaiannya telah meragut nyawa seorang suami serta bapa kepada dua orang anak perempuan, sehingga dirundung rasa bersalah. Begitu juga halnya dengan rasa kesal akibat terpaksa menggunakan organ orang lain bagi meneruskan hidup.

21 Grams walaupun memaparkan satu persembahan yang menarik bagaimanapun secara peribadinya saya tidak akan meletakkannya di kelompok lima 'filem paling hebat' untuk sepanjang tahun 2003. Maka benarlah alasan kenapa filem ini tidak dicalonkan dalam lima filem terbaik Oscar 2003 kerana Mystic River arahan Clint Eastwood lebih layak (walaupun pencalonan Aktor Terbaik - Sean Penn sepatutnya untuk filem ini!).

Rating : B+ (3.5/5)