Oleh Mahhass
Saya mula meminati filem-filem asing khususnya keluaran Perancis. Kebanyakan filem keluaran mereka sebenarnya penuh dengan nilai kesenian.
Walaupun Hollywood lebih mendominasi pasaran filem ke serantau dunia namun kebanyakannya hanya berulang-alik pada benda yang sama. Jika filem aksi, maka aksilah yang ditonjolkan dan jika seram, maka seramlah. Tiada apa yang lebih atau kurang. Boleh dikatakan hampir setiap minggu kita dengar ada saja filem-filem baru dikeluarkan.
Filem-filem bermutu negara asing pula seolah-olah kelemasan walaupun sudah hampir setahun dikeluarkan, itupun kita mungkin hanya akan tahu tajuknya, apa cerita atau kisahnya langsung kita tak tahu!!
Respons yang biasa kedengaran ialah seperti keluaran terlalu terhad atau sukar diperolehi ditambah lagi dengan faktor kekurangan tayangan filem-filem asing di negara kita. Mungkin ada benarnya kerana filem-filem sebegini tidak langsung diketahui akan kewujudannya.
Terlalu banyak filem-filem tempatan dan Hollywood (malah Bollywood juga) bersarang di pawagam sekaligus menafikan filem-filem negara asing yang sebenarnya jika dikaji, ternyata lebih bermutu.
Man On The Train atau dalam bahasa Perancis berbunyi L'HOMME DU TRAIN arahan Patrice Leconte ini sebenarnya telahpun menggondol Audience Award di Venice Film Festival tahun 2002. Anugerah yang sama juga diberikan kepada pelakon dalam filem ini (Jean Rochefort yang memegang watak sebagai Manesquier) dalam kategori Pelakon Terbaik.
Ia berkisarkan tentang pertemuan dua dunia yang berbeza. Manesquier, seorang guru sastera bersara tinggal di sebuah pekan kecil sunyi dan tenang di Perancis, telah bertemu dengan Milan (lakonan Johnny Hallyday) yang berkunjung ke pekan tersebut atas rancangan untuk melakukan sebuah rompakan bank. Kedua-duanya menjalinkan satu persahabatan yang agak unik.
Mereka banyak menghabiskan masa berbual-bual kosong tetapi setiap patah yang dibualkan penuh bermakna. Kadangkala kedengaran kelakar, apatah lagi mereka seolah-olah mendalami jiwa antara satu sama lain sambil menyedari serta mengimbau semula laluan hidup masing-masing.
Saya tergelak tatkala Milan cuba mengingati sebuah sajak lama sambil membacakan sebaris dua lalu disambung penuh Manesquier. Begitu juga sebaliknya iaitu semasa beliau cuba mengenakan jaket hitam milik Milan sambil berangan dan menggayakan watak 'Wyatt Earp' – saat-saat riang yang mungkin beliau lepaskan sewaktu muda dahulu. Persahabatan inilah yang menjadikan filem ini begitu cantik sekali ditonton.
Filem ini bukan filem aksi, ia sekadar menampilkan satu drama yang jujur, visual yang tenang tetapi tidak membosankan. Elemen jiwa yang terbit dalam kedua-dua watak tersebut cukup bertenaga. Dialognya yang bersahaja beserta ringkas amat memudahkan kita menghayati jalan ceritanya.
Di akhir babak, Man on the Train meninggalkan kita samada kebingungan atau keceriaan. Ia cuba mengajak kita untuk memberi tafsiran sendiri. Apapun, saya berpuas hati dengan corak ending yang saya boleh katakan begitu adil dan jujur.
SKRIN Rating : A- 4/5