Oleh Mahhass
"Seriau penuh dengan babak seram dan mencemaskan! Ekspresi wajah yang begitu menakutkan. Olahan cerita serta plot yang cemerlang. Skor muzik yang menarik. Impak yang begitu mendalam. Twist yang memeningkan dan seringkali mempedayakan penontonnya. Teknik fotografi yang hebat malah semuanya hebat. Sebuah telefilem seram yang ditunggu-tunggu keluarannya tambahan lagi siapa yang tidak kenal dengan pelakon hebat ini yang kini mencuba nasib dalam bidang arahan...."
(Sambil tergelak) Aha! Itu semua jangkaan awal saya terhadap filem ini. Semuanya tu gimik saya semata-mata. Hahaha! Errr.. OK baiklah, saya serius kembali….
Secara ringkas, kisahnya bermula dengan paparan imbasan 50 tahun sebelumnya, iaitu Murni yang sudahpun mempunyai suami dan seorang seorang anak yang digilai seorang lelaki bernama Sahak. Oleh sebab terlalu takut akan Sahak, beliau melarikan diri bersama suami dan anaknya. Akhirnya mereka tertangkap dan suaminya dibunuh. Nasib Murni pula sengaja di’misteri’kan kepada kita sehingga terjawab di akhir babak. Sejurus kemudian, paparan KLCC muncul di skrin menandakan filem ini kembali ke zaman sekarang. Ellie Suriaty kini berperanan pula sebagai Anita, seorang penulis novel yang ingin mencari ilham di kediaman yang baru didirikannya yang berkebetulan di tempat keluarga tersebut dibunuh. Seterusnya beliau yang ditemani rakan-rakannya lakonan Serina Redzuan dan Elyana mengalami pelbagai kejadian aneh di sana.
Arahan sulung Ellie Suriaty yang turut memegang watak utama telefilem ini ternyata mengecewakan. Tajuk 'Seriau' yang diberikan saya kira tidak berjaya menyeriaukan. Jika perancangan yang lebih sempurna dibuat, saya kira boleh meminimumkan kelemahan yang banyak boleh dicatatkan untuk filem ini. Ellie sepatutnya mengambil iktibar misalnya filem Mistik, walaupun berjaya dari segi kutipan box-office, namun terlalu rendah jika dinilai dari segi kualiti. Secara peribadi, saya lebih suka menonton telefilem seram arahan Silver (pengarah Blok 404, Kem 505) dari konteks 'cerita' yang disampaikan atau 'twist' yang ditonjolkan. Ini termasuk juga elemen seram ataupun cemas yang biasa dipaparkan.
Lazimnya jika ada orang berpendapat bahawa arahan pertama 'tak apalah' tapi sebenarnya inilah titik-tolak ataupun 'peluang besar' untuk beliau menonjolkan bakat dalam bidang arahan. Sejauh mana penerimaan masyarakat (yang meminati filem khususnya) menilai bakat yang dimilikinya. Saya rasa, kesilapan Ellie Suriaty sebenarnya ialah mengarah sambil memegang watak utama apatah lagi untuk filem sulung. Saya percaya jika beliau boleh menumpukan 100% untuk arahan, filem ini saya pasti tidak akan jadi seburuk ini. Maafkan saya.
Dari awal babak sehinggalah ke penamatnya, tiada apa yang boleh dibanggakan. Ellie Suriaty sepatutnya tidak terlalu terburu-buru. Suntingan juga sepatutnya lebih kemas. Banyak adegan yang boleh dipersoalkan. Sebagai contoh, adalah mustahil sungai tersebut boleh hilang dalam masa 50 tahun sedangkan mayat suami Murni ditanam di tepi sungai. Tidak mungkin juga seorang bapa lebih mementingkan nyawa sendiri sehingga membiarkan anaknya hanyut di sungai.
Sebahagian watak juga tidak dikembangkan sebaiknya. Zamarul Hisham (Rizal) tidak memberikan lakonannya yang terbaik. Adegan beliau dirasuk tetapi berkeadaan sedar begitu mencacatkan ditambah lagi dengan ekspresi muka yang kelakar. Serina Redzuan (Lyn) pula perlu lebih banyak belajar (berlakon) lagi. Penampilan Corrie (bakal koreografer AF) yang memegang watak sebagai Roket agak baik cuma penekanan harus diberikan pada tutur dialognya yang terlalu mengikut butir-butir skrip (mungkin gandingan beliau bersama Zamarul agak janggal).
VCD Seriau keluaran FMC Music Sdn Bhd bagi saya agak mahal dijual. Pun begitu, saya sebenarnya tak berapa kisah sangat selagi harganya tidak mencecah puluhan ringgit atau sekurang-kurangnya kita rasa puas menonton (sehingga tidak timbul rasa kesal membelinya). Rasanya perlu saya katakan di sini bahawa perasaan kesal itu akhirnya timbul juga.
Seharusnya, dari masa ke semasa, filem Melayu sepatutnya memperlihatkan peningkatan kualiti, bukannya diukur dari sudut kutipan tiket atau jumlah VCD yang terjual. Kalau beginilah keadaannya, sampai bilapun filem Malaysia tak akan wujud di peta global.
Apapun, syabas kepada Ellie Suriati kerana mencuba nasib (untuk pertama kalinya) walaupun filem ini merupakan filem seram/hantu (yang agak mistik saya kira) namun Ellie kena yakin dan Ellie kena realistik juga.
Rating : 1/5 bintang - Sekali lagi maafkanlah…
Nota : Di dalam MASTIKA keluaran terbaru (April), ada diterbitkan satu artikel yang menyingkap kejadian-kejadian aneh sewaktu penggambaran VCD Seriau di beberapa kawasan seperti di jirat cina dan sebagainya. Kejadian-kejadian aneh ini dirakamkan oleh Lando (selaku ketua sebuah kumpulan yang diberi nama 'ENTITI') yang akan menerbitkan VCD berjudul ENTITI tentang fenomena aneh serta 'entiti' yang dirakamkan secara eksklusif yang belum pernah diterbitkan lagi oleh mana-mana individu atau kumpulan sebelum ini khususnya di Malaysia. Sama-sama kita nantikan keluarannya!