Oleh Mahhass
Pengarah Gus Van Sant kembali lagi dengan filem terbaru berjudul Elephant terbitan HBO Films, diinspirasikan dari peristiwa berdarah Columbine tahun 1999, selepas 'dihentam' hebat melalui filem Gerry (2002) oleh sebahagian besar pengkritik filem.
Namun kali ini, pengarah filem 'indie' ini boleh tersenyum bangga kerana untuk filem Elephant ini sahaja, ia telah pun merangkul anugerah Cinema Prize of the French National Education System, Golden Palm Award dan Best Director di Cannes Film Festival 2003. Jadi filem ini bukan sembarangan filem.
Cuma saya boleh katakan di sini bahawa ada sesetengah penonton yang begitu menggemari karya serta corak arahannya dan sesetengahnya pula langsung tidak boleh terima (pendek kata 'benci' akan filemnya). Hakikatnya, saya amat meminati filem arahannya seperti Finding Forrester termasuk juga Gerry (walaupun begitu menyeksakan!).
Ungkapan 'jujur' begitu sesuai sekali untuk filem ini. Ia dipersembahkan dengan begitu 'jelas' atau saya boleh sebutkan 'simplicity' dalam bahasa inggerisnya. Paparan kehidupan remaja Amerika yang nyata dan tiada 'diselindungkan'. Bermula dengan satu visual yang cemerlang – Awan yang bergerak dari siang ke malam seolah menggambarkan normaliti kehidupan di amerika (atau mungkin suatu simbolism, mengatakan bahawa 'langit tidak akan sentiasa cerah' – suatu kegelapan atau 'tragedi' pasti akan mengundang)...
Sekali lagi Van Sant bukan sekadar mempertontonkan watak-wataknya, tetapi lebih memberikan 'penglihatan' lebih dekat terhadap setiap satu daripada watak-watak bagi menimbulkan keberkesanan dari sudut jiwa dan emosi. Sinematografer Harris Sevides masih mengekalkan teknik shot 'lama' seperti dalam Gerry. Beliau juga turut menerima anugerah sinematografi terbaik untuk filem ini. Sememangnya paparan dalam filem ini begitu cantik dan memang patut sekali beliau dinobatkan.
Stuktur naratifnya agak ringkas dan tidak 'terbelenggu' dengan apa jua subplot yang meleret. Namun agak berbeza dari filem Kids yang lebih memaparkan keruntuhan moral remaja dari sudut seks. Elephant lebih memberi ruang khusus kepada permasalahan normal remaja sekolah di Amerika.
John yang dihantar ayahnya yang mabuk ke sekolah, akhirnya terpaksa menghadap pengetua kerana seringkali lewat. Sejurus kemudian, Elias yang gemar mengambil foto, 'berkeliaran' ke sana-sini dengan kameranya, untuk dijadikan bahan assignmentnya. Begitu juga dengan watak pelajar lain seperti Michelle yang ada kisahnya tersendiri. Tiga sahabat iaitu Nicole, Brittany dan Acadia bergosip, menggilai Nathan, pemain football sekolah, yang begitu mencemburui Carrie, kekasihnya.
Rutin pelajar-pelajar ini seharian begitu 'jujur' dipersembahkan sehinggalah kita dikejutkan dengan watak Alex dan Eric. Dua pelajar ini membawa senjata api (disembunyikan), untuk merealisasikan suatu hajat mereka yang begitu mengejutkan seluruh Amerika seketika dahulu. Sejurus selepas mereka berdua menonton sebuah dokumentari Adolf Hitler, agak memeranjatkan kerana mereka bercumbuan sewaktu mandi bersama-sama. Bagaimanapun, sentimen 'Nazi' bukan menjadi punca berlakunya pembunuhan beramai-ramai ini seperti filem Higher Learning satu masa dahulu.
Filem ini sebenarnya harus ditonton dengan penuh pemerhatian. Jika tidak, ia akan jadi 'kosong' dan tidak bererti ataupun ketiadaan impak. Ia bukan sekadar menceritakan suatu pembunuhan, tetapi lebih bersifat 'pendedahan'. Bagaimanapun, tiada jawapan yang khusus bagi persoalan mengapa dan kenapa ia berlaku. Ia diakhiri dengan begitu sahaja.
Penonton sekali lagi harus memberi interpretasi sendiri. Malah, Gus Van Sant secara jujurnya mengaku bahawa beliau sendiri tidak tahu apa motif sebenar kedua-dua remaja tersebut melakukan pembunuhan dasyat itu, sewaktu ditanya pengkritik filem, Roger Ebert yang tersiar dalam ulasannya. Ini menjadikan metafora Elephant yang diungkapkan agak sukar bagi saya mencari pengertiannya.
Rating : B+ (3.5/5)