29 March 2004

The Passion of The Christ (2004)

The Passion of The Christ"Rahmat Jesus Christ - Menyiksa & Menggoyah"
Oleh Fadz


Aku tidak akan guna nama Nabi Isa a.s. dalam perbualan ini kerana mengguna nama itu (atau Masihi Isa seperti dalam al-Qur'an) menggambarkan apa, siapa dan mengapa Nabi Isa a.s. sebenarnya pada aku. Jadi biarlah aku guna nama Jesus Christ kali ini, kerana sekurang-kurangnya ia terjemahan orang Nasrani (walaupun kita tahu, ia lebih ke arah ideologi Mel Gibson dan Benedict Fitzgerald) terhadap rasul, tuhan dan penyelamat mereka.

Menonton filem ini, dari satu babak ke satu babak, seakan-akan menelaah 'Pendidikan Asas Agama Nasrani' di sekolah. Mungkin bagi seorang Islam seperti aku, sebagai orang luar yang tidak faham akan signifikasi potret-potret yang dilukis oleh Mel Gibson dan Caleb Deschanel (dan aku kata, kanvas yang mereka lukis amat cantik, puitis dan telanjang), aku dapat juga mencerna 'kenapa Jesus Christ memilih untuk dirinya disalib walaupun umatnya tahu dia boleh memilih untuk selamatkan dirinya'.

Memang benarlah, ada beberapa babak yang aku takkan peduli, kenapa 'watak itu' mahu beri air pada Jesus, kenapa 'watak itu' pula menangis akan Jesus bila melihat Jesus menyeret salib, siapa itu yang sentiasa mengikut Mary dan Magdalene (sepertimana kalau orang Nasrani menonton The Message, tidak akan faham signifikasi kenapa Rasulullah s.a.w. tidak ditonjolkan) dan siksa Jesus sendiri kerana 'memaksa' dirinya mengambil 'beban' itu.

Oleh kerana itu juga, aku mendapat kelebihan kerana aku tidak perlu memiliki iman dan pengetahuan Nasrani tentang apa yang berlaku di depan aku, untuk merasa kekuasaan 'mis-en-scene'nya menyentuh aku. Maka orang akan tanya, adakah ia menyentuh? Aku akan berterus-terang, filem ini agak menyentuh (hiba sebenarnya) kerana penonjolan-penonjolan kesan yang dipaparkan. Apa yang kita lihat di depan kita adalah satu pengorbanan seseorang yang terpaksa diharunginya terhadap satu hukuman yang dia tidak lakukan (sekurang-kurangnya pada perspektif penulis skripnya), dan orang-orang yang berkait dengannya (yang mengikutinya juga membencinya).

Ia bermula dengan Jesus, di ceruk sebuah hutan, sedang ber'sembahyang', memohon pada Tuhannya, mencari persoalan dan petunjuk dariNya bagi menampung segala dosa yang manusia sudah dan akan lakukan di dunia ini. Kemudian, dari babak itu, selepas Judas bersongkol dengan para ketua agama dan undang-undang Yahudi, Jesus Christ ditangkap dan mula disiksa dan dicela. Mulai dari saat itu, filem ini seakan mengajak kita memakai destar berduri yang dipakai oleh Jesus dalam babak-babak yang akan menyusul. Cengkaman duri itu benar-benar mengganggu dan aku sedar, dan dapat rasa, itulah kekuatan efek Mel Gibson untuk membawa kita tersentuh dengan 'rahmat' yang dibawa Jesus Christ.

Kekejaman-kekejaman fizikal yang dilakukan terhadapa Jesus tersangatlah grafik (ironinya, kesan 'gore' ini lebih seram dari Dawn of the Dead sebenarnya!). Kau boleh muntah kerana menonton realistiknya cara pembikin filem ini mendekatinya.

The Passion of The ChristMungkin kadang-kadang Mel Gibson agak 'terlalu' (adakah Mel Gibson seorang yang suka sadis?), tetapi kerana gaya arahannya yang memasukkan 'cross-cut' (dan bukan kerana kesan teknik suntingan John Wright tetapi teknik yang pernah dilakukan Gibson dalam Braveheart pada adegan William Wallace dihukum yang bagi aku lebih berkesan dari segi kuasa sinematiknya) pada detik-detik yang lebih 'senyap' (cth: peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum Jesus ditangkap atau perkara-perkara kecil seperti burung merpati di langit, tangisan Mary, darah Jesus meleleh dari palang salib ke tanah, Jesus merenung sepatu askar Rom) pada setiap adegan 'chaos' dan Jesus disiksa- secara tidak sedar ia benar-benar membuat kita bergerak bersama dengan rintihan dan siksaan Jesus sebelum dia disalib pun. Kerana itu, mungkin aku agak 'melebih', tetapi kerana gaya ini yang dilakukan oleh Gibson, memancarkan kesan 'siksa itu seni'.

Kadang-kadang ada juga babak yang dibuat secara 'slow motion', menelanjangkan perasaan dan perilaku watak-watak dalam latar sejarah filem ini, penuh gambar manusianya (baik atau dikira jahat). Ada juga beberapa penggambaran 'slow motion' Jesus disalib, tersungkur dan diangkat, yang menampakkan, walaupun seru melihatnya: antara gambaran-gambaran paling indah pernah aku tonton dalam pemilihan perspektif, tata cahanya, ton dan warnanya.

Malah mata coklat James Caviezel yang berlakon sebagai Jesus (dia memakai 'contact lense' untuknya; yang dikatakan dalam sejarah, Jesus bermata coklat) dipersembahkan kepada kita dengan amat berkesan. Sudah tentu juga kerana integriti lakonan Caviezel dalam peranan ini, penggambaran mata ini menunjukkan betapa Jesus itu hidup (roh dan keimanannya) dan agung di sebalik mata itu, walaupun perasaan kita berbaur melihat kekejaman yang berlaku terhadapnya.

Secara tidak sedar, filem ini juga 'boleh' menimbulkan perasaan anti-yahudi jika ia tidak ditonton dengan berfikir dan berhati. Memang 'the bad guy' dalam filem ini yahudi (3 sebenarnya- para ketua agama, penduduk yahudi yang disogok untuk merusuh, polis 'zionis' khas yahudi).

Tetapi jangan lupa, pengikut dan Jesus sendiri datang dari umat Bani Israel. Memang boleh disangkal, cara Mel Gibson lakarkan 'bad guy'nya hingga ia tampak sungguh 'hitam' seperti stereotaip zaman Hollywood dulu (tanpa dinamik dan mengapa mereka membuat 'dajal' kerana ada sebab yang berjustifikasi).

Ini ditambah lagi dengan bapa segala 'bad guy' adalah Iblis (yang dilakonkan dengan melankoli dan cantik oleh Rosaliinda Celentano. Aku suka terjemahan Mel Gibson terhadap imej syaitannya. Syaitannya kelihatan moden, cantik, seksual, bermisteri, sofistikated dan dekaden. Ini berlawan dengan imej Jesus dalam filem ini yang amat sederhana.

Bukankah itu bermakna, senangnya syaitan menarik pengikut?). Iblis dalam filem ini sentiasa menggoda (Jesus juga) orang-orang jahat, dengan teknik yang sama dalam Braveheart bila Isteri William Wallace berjalan sayu melintas orang ramai. Simbolisme Iblis dalam filem ini penting, kerana 'godaanya' memberi alasan, kenapa manusia (seperti dalam filem ini) melakukan sesuatu yang tidak patut mereka lakukan terhadap manusia lain- bukan sahaja kerana psikologi, atau sejarah, tetapi kerana dengan ayat yang senang: kita sangat lemah.

Maka filem ini bukanlah mengutuk orang yahudi sebenarnya. Ia lebih mengutuk peperangan dan kebencian terhadap sesama manusia. Kerana jelas, antara mesej singkat tapi berkesan yang disampaikan oleh Jesus sewaktu detik-detik akhirnya bersama pengikutnya (seperti pentingnya pengertian mesej Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya) di meja makan. Jesus berkata: "Sayangilah kamu, antara satu sama lain, tidak kira siapa". Lalu adegan itu diselang-selikan dengan Jesus disalib tanpa 'melawan'.

The Passion of The ChristKelakar aku bandingkan 'graphic violence' Dawn of The Dead dengan The Passion. Kerana kalau aku bandingkan kedua-dua filem ini sekali lagi, Dawn merealisasikan satu 'pengakhiran' dalam permulaan peristiwa yang berlaku dalam filem itu, menterjemah 'kemurkaan Tuhan pada manusia'. Sedangkan The Passion merealisasikan satu 'permulaan' dalan pengakhiran satu peristiwa, menterjemah 'keRahmatan Tuhan'.

'Rahmat' ini berjaya menyentuh aku, memberi perasaan hormat terhadap tafsiran Nasrani tentang Jesus. Kesan 'rahmat' juga ini tidak akan berlaku jika tidak kerana kehebatan pelakon-pelakonnya. Malah lakonan-lakonan tanpa dialog mereka yang membuahkan 'humanity' dalam kecantikannya. Lebih-lebih lagi lakonan Maia Morgestern sebagai ibu Jesus. Lakonan awal hingga akhirnya sungguh cemerlang sebagai seorang ibu yang sanggup berkorban roh dan badannya untuk anaknya.

James Caviezel juga amat memeranjatkan. Dia dengan bersahaja, boleh menjadi sungguh lelaki, 'nabi', beradab, dan agung dalam satu masa, tanpa banyak perlakuan fizikal. Lakonan Hristo Shopov juga sungguh berkesan sebagai Pontius Pilate yang menghadapi konflik di dalam menanggung timbal ajal Jesus.

Ada pengkritik filem mengutuk Mel Gibson dalam melakarkan Raja Herod sebagai homoseksual. Bagi aku, Herod yang digambarkan bukanlah homoseksual tetapi seorang yang hedonis, di mana ia adalah sifat 'stereotaip' perangai raja-raja yang selalu digambarkan jika mereka 'korup' dan 'zalim'.

Antara babak yang membuat bulu roma aku menegak adalah sewaktu Jesus memberitahu pengikutnya bahawa akan datang selepas dia pergi, seorang yang bernama 'Si Penolong' yang akan membawa mereka ke arah kegemilangan. seperti yang sudah diketahui, bahasa yang digunakan dalam filem ini bukan Inggeris tetapi Aramik, Ibrani dan Latin. Maka apabila Jesus mengucap 'Si Penolong' dalam Ibrani, aku dengar semacam 'Ahmad'!

Perasaan mendengar itu sungguh baik untuk aku, kerana kita tahu, walaupun boleh didebatkan, perkara sebenar yang Jesus maksudkan. Sudah tentu Nasrani akan katakan, ini dikhaskan untuk Jesus selepas 'ressurection' (maka ia sama dengan makna 'Jesus The Saviour'). Ini amat menarik kerana kita sedar, inilah garis perbezaan yang dikatakan oleh Raja Basrah terhadap pengikut Rasulullah s.a.w. tentang Islam dan Nasrani.

Tentang 'saviour' itu pula, antara kepercayaan orang Nasrani (bahawa kematian Jesus adalah untuk membersihkan dosa umat manusia seluruhnya, maka dia sahaja yang boleh menyelamatkan roh kita sewaktu akhirat nanti), kita tahu bahawa ini bersamaan dengan kepercayaan kita terhadap tawassul Rasulullah s.a.w. (pemberian syafaat Rasulullah s.a.w. terhadap semua makhluk di dunia ini sewaktu akhirat nanti). Kerana itulah dalam filem The Message, seorang pengikutnya berkata: "Muhammad comes here, as the mercy for the world", atau hadis Nabi: "Allah berfirman- Tidak Kami ciptakan alam ini Ya Rasulullah selain untuk kamu".

Maka kamu akan tanya, adakah aku masih tersentuh dengan filem ini? Ya, aku sangat tersentuh. Tetapi aku tahu Iman aku tidak akan bergoyah, InsyaAllah (ada orang kata, menonton filem ini boleh membuat kita percaya ketuhanan Jesus lalu ingin masuk Kristian).

Dan aku percaya, kalau ia ditayangkan di Malaysia (yang setentunya tidak akan), ramai orang Islam tidak akan murtad selepas menontonnya. Bagi aku, aku masih berpegang pada persoalan rasional: kenapa filem ini berdasarkan pada injil yang ditulis beratus-ratus tahun selepas peristiwa 'salib' ini berlaku dan penulis-penulisnya pun bukan manusia-manusia yang pernah bersama dengan Nabi Isa a.s. secara terus.

Maka, aku tonton filem ini dengan persepsi bahawa Judaslah yang dihukum dan disiksa. Maka aku bersimpati dengan Judas kerana aku juga manusia. Aku menangis melihatkan, betapa kecilnya siksa yang aku dapat kerana dosa aku, tidak setimpal dengan beban yang dihadapi oleh Judas. Dan aku percaya dalam hati, dengan siksaan sebegitu yang ditayangkan dalam filem ini, sudah tentu Judas juga diampunkan dan mendapat keRahmatan Allah akhirnya. Dan bukankah itu lebih baik?