15 March 2004

Ulasan Filem : Scary Movie 3 (2003)

Scary Movie 3Oleh Mahhass

Untuk menjadikan Scary Movie 3 ini 'berkesan' dari segi komedi yang disampaikan, anda harus terlebih dahulu menonton filem-filem genre seram The Ring, The Signs, Sixth Sense serta filem genre musikal 8 Mile lakonan Eminem dan juga The Matrix bagi mengapresiasikan sekuel Scary Movie ke 3 arahan David Zucker ini. Jika tidak, anda pasti tercengang-cengang (atau mungkin menggaru-garu kepala yang sememangnya tidak gatal) sambil mencari apa sebenarnya lawak jenaka yang cuba mereka sampaikan.

Pokok utama filem ini ialah membikin semula atau mem'bodoh'kan adegan dalam versi originalnya menjadi sebuah genre komedi (atau kita kenali dengan perkataan 'spoof'). Scary Movie 3, pada hemat saya mungkin lebih 'menjadi' berbanding sekuel sebelumnya.

Awal babak kita digelakkan dengan aksi Pamela Anderson...(dipetik dari filem The Ring) iaitu sewaktu beliau bersama temannya berbual mengenai video yang mana jika ditonton, seseorang itu akan mati dalam masa tujuh hari.

Beberapa lawak berunsur seks yang ditonjolkan menjadikan ia kelakar (walaupun mungkin agak keterlaluan bagi sesetengah penonton). 'Blonde' sememangnya menjadi satu bahan jenaka seks!

Kemudian, kita di bawa ke sebuah ladang jagung seperti dalam filem The Signs lakonan asal Mel Gibson yang dijenakakan oleh Charlie Sheen. Telatah lucu berjaya mencuit hati.

Bagaimanapun, gabungan filem 8 Mile agak tidak bersesuaian kerana watak Eminem yang dibawakan saya kira tidak menjadi (maksud saya tidak kelakar) walaupun sewaktu pertandingan rap, tiba-tiba muncul Simon Fuller dalam American Idol memberikan komen lantas ditembak oleh penonton akibat tidak berpuashati dengan komen beliau!

Beberapa adegan yang dianggap kelakar sebenarnya membosankan. Lakonan Queen Latifah (Oracle dalam filem Matrix Reloaded) mungkin menjadi tetapi pergelutannya dengan 'hantu' The Ring tampak bodoh (bukan konsep 'bodoh' yang kita mahukan!).

Banyak adegan yang di'spoof'kan agak lari dari konsep atau tidak bersangkutan dari versi asal. Cuma adegan yang mungkin lebih relevan ialah untuk filem The Ring dan Sixth Sense. Tambahan lagi, saya tidak tahu dari mana watak presiden tersebut diambil.

Di Malaysia, sepanjang pengetahuan saya, kita belum lagi mengeluarkan filem sebegini. Jika kita masih ingat, sitkom 'Onde-Onde' satu masa dahulu melalui gandingan Jalil Hamid dan Harun Salim Bachik menampilkan konsep yang similar (adegan 'Pak Malau' yang begitu kelakar) tetapi saya tidak tahu pula kenapa ia tidak diadakan lagi kini.

Walaubagaimanapun, idea untuk 'spoof' filem-filem Malaysia khususnya, pada hemat saya mungkin tidak akan berjaya (dari segi lawak) kerana kebanyakan filem-filem tempatan (oleh kerana tidak ada kualiti jadi tidak perlu saya senaraikan di sini) samada sedar atau tidak, filem itu sendiri sudahpun 'semulajadi spoof'! Lebih-lebih lagi filem arahan... siapa ke nama 'prof' tu... (ahh tak kisahlah siapa). Tapi perhatikan betul-betul!

Rating : C+