Oleh Mahhass
Di suatu majlis makan malam amal yang berlangsung di kota London sekitar 1980an, tetamu yang terdiri dari golongan kaya yang sedang asyik beramah-mesra, berdansa dan bersuka-ria telah dikejutkan dengan kehadiran Dr. Nick Callahan (lakonan Clive Owen). Beliau membawa bersama seorang budak kurus kering akibat kebuluran (berbangsa Ethiopia). Tentunya tujuan beliau ialah untuk membuka mata golongan kaya di situ agar lebih peka akan keperitan hidup di negara tersebut. Beliau mengkontrakan dengan baik, kehidupan budak malang itu dengan golongan kaya yang tak pernah kenal erti lapar.
Ucapan serta kata-kata sinis beliau (walaupun disambut dengan gelak ketawa serta diperlekehkan oleh sebahagian besar tetamu majlis tersebut) penuh dramatik sehingga Sarah Jordan (lakonan Angelina Jolie) yang turut berada di majlis tersebut tersentuh. Mungkin di kala ini, kita sebagai penonton akan menyebelahi Sarah, turut merasai kesedihan yang beliau rasa.
Akhirnya, Sarah mengambil keputusan untuk menyertai Nick di benua kontang Afrika, sambil mengeluarkan kesemua wang simpanannya untuk disalurkan ke pihak yang berwajib dalam usaha membantu kesengsaraan hidup di Ethiopia (mungkin juga kerana hatinya yang seakan sudah terpaut dengan Dr. Nick walaupun Sarah sebenarnya baru sahaja mendirikan rumahtangga!)...
Itu merupakan babak awal untuk filem Beyond Borders hasil karya Caspian Tredwell-Owen. Beliau berjaya 'memerangkap' serta mewujudkan keterujaan filem ini pada awalnya. Martin Campbell yang bertindak sebagai pengarah yang menerajui filem ini saya lihat banyak memberi sentuhan 'James Bond' (Martin Campbell pernah mengarah filem James Bond 'Goldeneye'). Dr. Nick bukanlah seorang doktor yang benar-benar tipikal ‘watak kedoktoran’nya (walaupun dikaitkan dengan CIA).
Sifat ego yang ditonjolkan walaupun tegas namun tidak sesuai dengan caranya. Angelina Jolie pula saya kira terlalu tidak natural atau terlalu 'cantik' untuk membawakan watak Sarah walaupun beliau berjaya mengekspresikan wajahnya dalam bentuk kesedihan dan boleh membawakan watak agresif. Mungkin aktres seperti Cate Blanchett misalnya lebih sesuai.
Filem ini sebenarnya tidak berakhir di Ethiopia, tetapi kita dibawa pula ke Kemboja. Dr. Nick ditugaskan (atau dengan sukarelanya) membantu penduduk yang terhimpit di kancah peperangan di sana pula. Sarah Jordan secara fizikalnya pula kini seakan sudah ditransformasi menjadi ala Lara Croft dalam Tomb Raider (walaupun tiada sebarang aksi ditonjolkan).
Di Kemboja, mereka kehilangan rakan sekerja. Tiada rentetan kesedihan di situ. Sudahnya, filem ini menjadi hilang fokus. Dari kisah atau unsur kemanusiaan yang digarap dengan baik pada mulanya, kini ia bertukar kepada kisah cinta yang kehilangan punca arah. Hubungan Nick dan Sarah sepatutnya dijadikan 'latarbelakang' dalam filem ini dan bukannya fokus utama. Di Kemboja, Nick meluahkan pada Sarah bahawa hubungan mereka 'terlalu bahaya' untuk diteruskan. Nick meninggalkan Sarah...
Dari Kemboja, filem ini beralih ke Chechnya pula. Pergolakan serta krisis peperangan yang melanda di sana sekali lagi menjadi latarbelakang medan perjuangan Dr. Nick. Kali ini, Sarah ingin mencari Nick menggunakan tiket UNHCR setelah dikhabarkan bahawa Nick tertangkap oleh sekumpulan pemberontak militan.
Bagi saya, filem ini boleh dikatakan 'musnah-semusnahnya' di segmen ini. Persoalannya, mengapa harus militan Islam Chechen yang berjuang menuntut hak sebagai negara Islam (bebas dari cengkaman Russia) dilabelkan sebagai pengganas?
Ada beberapa watak 'pengganas' yang dilihat memakai Kalimah Allah di kepala. Terrorisme digambarkan melalui penculikan serta ada kedengaran dialog Nick yang menyuruh Sarah lari menyelamatkan diri jika tidak dia akan ditangkap dan dirogol.
Baiklah... mungkin ada beberapa filem yang menggambarkan keganasan rejim Serbia terhadap umat Islam (filem The Hunted sebagai satu contoh). Tetapi kenapa tidak difilemkan saja keganasan Israel di Palestine? (Huh... nama pun dah 'sekutu'nya).
Saya agak kesal kerana amerika masih lagi cuba menerapkan istilah terrorisme, sebagai satu sinonim dengan umat Islam. Jangan kita terlalu rapuh untuk diperdayakan dengan anasir sebegini rupa.
Oleh sebab filem ini bagi saya sudahpun 'musnah' rentetan dari segmen ketiga tersebut, ditambah pula dengan kerapuhan babak akhirnya (walaupun agak tragik), maka tiada impak yang boleh menjadikan filem ini wajar disanjungi malah krisis kemanusiaan global yang di'tangis'kan kita pada awalnya dibiarkan begitu sahaja…
Bagaimanapun Beyond Borders sedikit sebanyak telahpun menyedarkan kita, sewaktu kita hanya 'terasa' lapar sekarang, masih ramai insan kecil yang terdahulu lebih 'menderita' kelaparan bukan hanya sekadar 'terasa' macam kita.
SKRIN Rating : C-