02 March 2004

Ulasan Filem : The Missing (2003)

The MissingOleh Mahhass

Tahun 1885 bertempat di New Mexico menjadi latarbelakang filem The Missing arahan Ron Howard (yang pernah menggondol Oscar bagi sutradara terbaik pada tahun 2001 untuk filem A Beautiful Mind).

Filem ini tampak hebat, apatah lagi dengan berbekalkan nama beliau yang sudahpun tertera sebaris dengan penerima Oscar yang lain. Namun, sedikit sebanyak agak mengecewakan saya.

Filem ini menampilkan sebuah kisah gelap, cemas dan kadangkala meresahkan. Cate Blanchett (selepas mebintangi filem The Lord of The Rings dan filem terbaru beliau Veronica Guerin) tampil memegang watak sebagai Maggie Gilkeson, berdarah Red-Indian, seorang yang cekal dan tabah dalam mengharungi hidup sebagai ibu tunggal kepada dua orang anak perempuannya.

Ditinggalkan bapanya sejak 20 tahun lalu, namun kini kedatangan bapanya (lakonan Tommy Lee Jones sebagai Red-Indian) semula amat tidak dialu-alukannya malah dihalaunya. Sehinggalah Lily (lakonan Evan Rachel Wood sebagai anak sulungnya) diculik sekumpulan kaum Red-Indian yang mengganas di kawasan tersebut.

Lantaran Maggie cuba meminta bantuan pihak berkuasa namun segala macam rayuannya tidak dipedulikan. Keadaan ini memaksa beliau bertindak secara bersendirian untuk mencari anaknya yang hilang itu. Akhirnya, beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain meminta pertolongan bapanya.

Ken Kaufman yang bertindak sebagai screenwriter banyak mengenengahkan unsur spiritualis serta keganasan dalam filem ini. Watak brajo yang kejam turut memberi kesan yang baik untuk filem ini walaupun kadangkala ada menampakkan ketidaklogikan. Sinematografi yang dipaparkan saya tidak boleh nafikan memang cantik dan menarik. Ia mengingatkan saya pada filem Cold Mountain tatkala ia dilitupi salji yang nipis.

Lakonan Tommy Lee Jones (banyak bertutur dalam dialek Indian) saya kira hebat namun wataknya agak tidak berkembang. Ron Howard lebih cuba menumpukan pada Blanchett sedangkan hubungan emosi kedua-dua beranak tersebut dibiarkan.

Walaupun filem ini saya agak boleh menyentuh perasaan sesetengah penontonnya, namun ia tidak berupaya memberi impak seperti yang diharap-harapkan. Apatah lagi masa tayangan selama hampir dua jam 15 minit sepatutnya dipergunakan sebaik mungkin.

Apa sekalipun, jika tidak kerana elemen cemas dan suspen yang dipaparkan, filem The Missing pasti kosong dan lesu. Ron Howard seharusnya lebih berhati-hati untuk filem terbarunya nanti (filem Cinderella Man yang dijangka keluar tahun ini) agar Oscar yang digondolnya dua tahun lalu tidak hanya menjadi yang pertama dan terakhir untuk beliau.

SKRIN Rating : B- (2.5/5)