18 March 2004

Ulasan Filem : Ju On - The Grudge 2 (2003)

Ju On 2Ju On : The Grudge 2 (Final) secara peribadinya, tidaklah begitu seram jika dibandingkan dengan versi pertamanya. Walaupun elemen kejutan lebih banyak dihidangkan kali ini namun terus terang saya katakan bahawa saya agak kecewa lebih-lebih lagi adegan Kayako merangkak turun dari tangga tidak banyak ditampilkan. Malah, adegan suspen inilah sebenarnya merupakan kekuatan sekuel ini. Begitu juga kekurangan babak di dalam rumah puaka tersebut.

Sayang sekali oleh kerana terlalu banyak babak seram di luar rumah tersebut, bagi saya, filem ini tidak ubah seperti filem seram Jepun atau Korea yang lain. Jika kita kaji semula, fokus sebenar filem pertamanya ialah pada rumah tersebut iaitu sesiapa yang memasukinya akan mati atau hilang atau terperangkap di depan pintu. Untuk sekuel kedua ini pula tidak banyak memberi fokus ke arah itu, mungkin hanya satu atau dua babak sahaja. Itu pun dalam versi imbasan.

Sekali lagi, filem ini dibahagikan kepada enam segmen yang memberi fokus terhadap watak-watak yang bakal dimatikan. Namun kali ini, struktur plotnya agak senang difahami walaupun kita cuba dipermainkan melalui imbasan-imbasan yang berulang-alik.

Perhatikan adegan bunyi ketukan di dinding seterusnya menyaksikan gelas tumpah, dilihat begitu kreatif. Tidak terfikir oleh kita pada mulanya. Begitu juga sewaktu Tomoka masuk ke dalam rumahnya, divisualkan kepadanya terlebih dahulu sebelum kejadian itu sendiri menimpa ke atas beliau dan teman lelakinya.

Jika sebelumnya, adegan suspen lebih tergantung (audien sendiri memberikan persepsi atau berimaginasi dari segi bagaimana cara mangsa dibunuh), namun kali ini, kita diperlihatkan gaya Kayako membunuh mangsanya. Seharusnya konsep yang pertama dikekalkan.

Sebelum ini saya ada menonton Ju On 2 versi TV-Movie (yang diterhadkan pasaran di Jepun). Dalam versi tersebut, ada olahan tentang diari misteri yang menceritakan sejarah Kayako. Agak menghairankan kenapa tidak diwujudkan dalam filem ini.

Tompokan darah yang tertera di lantai agak mengelirukan kerana kita difahamkan mayat Kayako sepatutnya berada di atas siling. Kenapa diwujudkan pula kali ini?

Saya berpendapat, jika hantu Kayako keluar melalui siling adalah jauh lebih menyeramkan berbanding muncul dari tompokan darah tersebut. Bunyi bungkusan mayat itu jatuh ke lantai dari atas siling pun sudah tentu mendebarkan!

Begitu juga Toshio (kanak-kanak pucat ala toyol) yang tidak diperjelaskan dengan lebih lanjut apa sebenarnya yang pernah menimpa beliau. Bagaimanapun, babak akhir yang menyaksikan gadis kecil menolak ibunya (Kyoko) dari tangga memberikan satu interpretasi bahawa sumpahan tersebut seakan diwarisi.

Jadi saya begitu yakin bahawa akan muncul versi baru filem ini satu hari nanti malah sudah hampir pasti populariti pada nama 'Ju On' dipergunakan secukupnya.

Apapun, memang benar seperti yang diperkatakan ramai bahawa Ju On 2 gagal meninggalkan impak yang mendalam seperti yang diharap-harapkan.

Jadi benarlah juga ramalan saya sebelum ini iaitu sekuel Ju On tidak berupaya mengatasi keterujaan atau keseraman Ju On 1. Pun begitu, Ju On : The Grudge 2 masih lagi di tahap terbaik.

Rating : B+

Ulasan Ju On : The Grudge 1 oleh Spiral