17 March 2004

Ulasan Filem : Honey (2003)

Honey Bagi mereka yang masih ingat lagi dengan nama Irene Cara melalui lagu hits beliau What a Feeling dalam filem Flashdance suatu masa dahulu, filem Honey mungkin menjadi sebuah genre yang boleh mengembalikan nostalgia filem tersebut.

Namun, secara jujurnya saya katakan bahawa Honey begitu jauh ketinggalan dari segi mutu jika dibandingkan walaupun terdapat persamaan dari segi konsep.

Jessica Alba (Pelakon Siri TV Dark Angel) memperlihatkan bakat tariannya dalam filem ini. Koreografi yang ditonjolkan begitu memukau mengikut rentak alunan hip-hop serta muzik groove yang menjadi latar belakang filem ini.

Beliau membawa watak sebagai Honey Daniels, seorang gadis yang begitu meminati bidang tarian. Disamping menyara hidup sebagai bartender (waktu malam) dan di sebelah siang pula berkerja di kedai muzik (music store), beliau juga melatih komuniti (atau sebagai guru tarian) kawasan berdekatan rumahnya.

Sehinggalah bakat beliau diperhatikan dan akhirnya diambil sebagai koreografer untuk sebuah syarikat yang membikin muzik-video artis-artis terkenal. Honey seterusnya dikenali ramai.

Mujurlah filem ini dimuatkan dengan latar belakang muzik, kerana jika tidak, saya pasti akan mencampakkan keluar DVDnya tanpa perlu saya sentuh lagi. Idea atau konsep untuk mengembalikan kegemilangan dance-music ala 80an seperti Breakdance (haha saya suka yang ini), Beat Street atau Fame termasuk juga Flashdance agak menarik namun tidak digunakan peluang ini sebaiknya.

Plot yang digarap begitu membosankan malah kita hanya dihiburkan dengan rentak tarian atau muzik semata-mata (walaupun saya akui agak terhibur sambil menggoyangkan kaki mengikut alunan rentak hip-hopnya).

Sepatutnya, filem ini tidak hanya menampilkan Missy Elliot (saya percaya beliaulah penyelamat walaupun hanya muncul pada segmen terakhir, itupun tidak memberi impak besar ke atas filem ini).

Jika nama-nama besar seperti Ja Rule, Craig David, Sean Paul, P Diddy misalnya diundang, pasti sedikit sebanyak boleh menjayakan atau menterujakan filem ini. Setidak-tidaknya boleh menggantikan 'watak star' yang dicipta khusus untuk filem ini seperti 'Ginuwine' dan 'Jadakiss'.

Apapun, genre drama/muzikal yang ditulis oleh Alonzo Brown dan Kim Watson serta diarahkan oleh Bille Woodruff ini hanyalah sekadar filem santai hujung-hujung minggu tetapi agak berkesan juga dalam meredakan sebarang stress atau kekalutan fikiran!

Rating : C+