Oleh Mahhass
Dia seorang jurnalis yang cekal, tabah, berhati waja serta berani. Liputan demi liputan dibuat oleh beliau mengenai kegiatan penyeludupan dadah terbesar di Ireland sekitar tahun 1994-1996 sehinggalah nyawanya sendiri menjadi korban pada 26hb Jun 1996.
Benar, kerana dalam filem ini, awal-awal lagi kita dipertontonkan satu adegan beliau ditembak sebanyak enam kali oleh seorang penunggang motosikal yang merapati keretanya. Jadi kita tahu watak utama dalam filem arahan Joel Schumacher (bersama penerbit Jerry Bruckheimer) berjudul Veronica Guerin akan berkubur sebaik awal babak dimulakan. Cuma dalam filem ini kita dipertontonkan semula dua tahun sebelum kejadian tersebut dalam bentuk imbasan.
Filem ini berdasarkan kejadian sebenar yang berlaku ke atas seorang jurnalis luarbiasa, Veronica Guerin. Beliau lebih gemar bersua-muka dan menemubual penjenayah-penjenayah untuk dijadikan bahan artikel sensasi akhbar Sunday Independent yang begitu hangat di pasaran ketika itu.
Begitu kuat pengaruh media tersebut kerana jurnalis-jurnalis lain dilihat tidak mempunyai keberanian sebagaimana yang dimiliki beliau. Bukan itu sahaja, kegiatan pengedaran dadah penjenayah yang bermaharajalela dibongkar dengan menyiarkan artikel temubual bersama penagih-penagih (yang kebanyakannya remaja belasan tahun).
Seringkali diugut, dibelasah teruk malah pernah ditembak di kaki sebagai tanda amaran keras namun masih tidak menghalang keghairahan beliau untuk terus menyiarkan artikel walaupun pihak polis lebih bersikap membutakan diri dari menyiasat serta mengenengahkan bukti kes-kes yang dipaparkan beliau.
Watak Veronica Guerin begitu sesuai sekali dibawa oleh Cate Blanchett (pelakon yang kini semakin meningkat popularitinya di persada Hollywood). Saya agak tertarik dengan lakonan yang begitu dinamik ditunjukkan beliau tatkala berdepan dengan bahaya ditambah dengan gaya percakapan serta ekspresi wajahnya. Potongan rambut pendek, lincah tetapi feminis menghidupkan gaya sebenar seorang jurnalis yang hebat.
Kematiannya telah membuka satu lembaran baru serta menyaksikan penurunan hampir 40% kadar jenayah di Ireland. Ini berikutan penduduk ketika itu melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas dalang yang bertanggungjawab serta memberi tekanan ke atas pihak berkuasa.
Saya agak tersentuh sewaktu upacara perarakan membawa mayatnya ke perkuburan. Ciuman ke dahi dari anaknya sungguh memilukan.
Filem ini bukan sekadar filem popcorn atau santai. Jika ditonton, perlu penghayatan khususnya pada watak-watak yang ditonjolkan. Kadang-kadang agak sedikit bercelaru kerana banyak watak-watak gelap yang ditonjolkan agak mengelirukan saya. Mungkin pada mulanya usaha Guerin menampakkan satu kesia-siaan apatah lagi nasihat-nasihat dari suaminya malah penerbitnya sendiri tidak diendahkannya.
Namun setelah kematiannya, (dan oleh kerana kedegilannya inilah) satu revolusi sejarah telah tercipta dan yang paling penting, usahanya dikenang dan disanjung tinggi.
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)