Oleh Mahhass
Sebuah kereta wagon baru saja menyusuri laluan pemeriksaan kastam di sempadan Kanada-Amerika. Di dalamnya, satu keluarga berbangsa Irish yang dilihat begitu riang dan teruja setelah diucapkan dengan kata-kata "Welcome to America..!" oleh pegawai yang bertugas di pos sempadan tersebut.
Perjalanan mereka dari Ireland melalui Kanada berbekalkan seribu harapan agar sebuah kehidupan baru yang lebih ceria dapat dimulakan di kota Manhattan, New York. Juga harapan mereka agar peristiwa tragis kehilangan Frankie iaitu anak lelaki sulung dapat diluputkan dari minda untuk selama-lamanya. Akhirnya, sebuah apartment yang buruk di tengah-tengah kota menjadi tempat kediaman keluarga bahagia tersebut. Seterusnya, mereka memulakan sebuah kehidupan, sama seperti jutaan keluarga di amerika.
Si Ayah (lakonan Paddy Considine sebagai Johnny) yang berkeinginan untuk menjadi seorang aktor mencuba nasibnya di beberapa audisi namun menemui kegagalan. Mereka sekeluarga tidak punyai banyak wang. Jadi, si ibu (lakonan cemerlang Samantha Morton sebagai Sarah) pula terpaksa bekerja di kedai ais krim untuk sementara waktu bagi menyara kedua-dua anaknya iaitu Christy (lakonan Sarah Bolger) dan Ariel (Emma Bolger).
Ini adalah sebahagian dari paparan filem In America. Diinspirasikan dari separa-autobiografi pengarahnya, Jim Sheridan. Ia ditulis sendiri oleh beliau bersama dua anaknya (yang kini sudahpun dewasa iaitu Naomi Sheridan dan Kirsten Sheridan).
Filem ini begitu menyentuh perasaan. Naratifnya dalam bentuk penceritaan oleh Christy yang hampir setiap masa merakamkan perjalanan hidup keluarga dinamik ini melalui video kamera kesayangannya. Skor musik oleh Gavin Friday begitu 'kena' bagi menghasilkan sensibiliti filem ini. Emosi kedua-dua beradik ini begitu cemerlang ditonjolkan dan ada beberapa adegan cantik, cukup memberikan sentuhan yang begitu mendalam.
Saya begitu tertarik dengan satu babak ketika si ayah cuba mendapatkan patung E.T di sebuah pesta karnival. Begitu depresi sekali ketika ini, apatah lagi hanya kerana sebuah patung E.T yang hanya bernilai 30 dollar, si ayah berusaha mendapatkannya walaupun sanggup mempertaruhkan kesemua wang yang mereka ada ketika itu.
Bukan itu sahaja, si ayah yang dilihat begitu 'berusaha' cukup memberikan satu garapan emosi. Lihat saja kesanggupannya memanjat beratus anak tangga memikul alat penghawa dingin 'usang' bagi mewujudkan keselesaan di dalam rumahnya. Saya percaya 'Imej keBAPAan' ini pasti dirasai oleh mana-mana individu yang bernama lelaki.
Dari sebuah apartment yang tidak seperti 'sebuah rumah', mereka berjaya menukarkan ia menjadi sebuah 'syurga' walau bukan dalam bentuk 'kemewahan'. Namun, perasaan sedih kehilangan Frankie masih membelenggui kedua-dua pasangan ini tambahan pula si ibu kini sedang mengandung.
Kisah suka-duka keluarga ini sebenarnya diperhatikan jirannya Mateo, seorang lelaki kulit hitam yang misteri (menyepikan diri dalam rumahnya, kadang-kadang hanya kedengaran 'jeritan'nya sahaja). Watak Mateo (lakonan penuh karisma Djimon Hounsou) ini juga merupakan kekuatan filem ini. Mateo walaupun nampak Ć¢€˜bahayaĆ¢€™ pada mulanya, namun dialah 'pencetus semangat' untuk keluarga Irish ini.
Walaupun terdapat sedikit kekurangan dari segi perkembangan watak (yang minimalis), namun ia masih menghidangkan kita sebuah 'cerita' yang menarik dan saya amat menyukainya. Filem ini harus ditonton dan bagi mereka yang berjiwa sensitif terhadap drama bercorak kehidupan sebegini, saya percaya In America pastinya mampu mengundang airmata.
Klik untuk lihat senarai anugerah filem In America
Rating : B+ (3.5/5)