Oleh Mahhass
"Is this your house?"... satu pertanyaan yang hanya terjawab oleh Kathy Nicolo (lakonan menyentuh Jeniffer Connelly) di akhir babak filem ini. Tampak 'gelap' pada mulanya tetapi satu persatu kita akan memahaminya. Itulah istimewanya genre drama House of Sand and Fog yang diadaptasikan dari novel Andre Dubus III oleh Vadim Perelman. Beliau juga bertindak selaku pengarah filem HOSAF ini yang boleh saja saya kategorikan 'underrated' (meminjam kata Nizam Zakaria).
Filem ini bermula tenang. Divisualkan di bahagian awalnya deruan ombak di pantai serta awan yang bergerak perlahan-lahan. Sinematografer Roger Deakins (A Beautiful Mind) sekali lagi memperlihatkan kehebatannya bermain dengan simbolisme serta metaforis yang mengundang kepelbagaian makna.
Sehinggalah Kathy Nicolo dikejutkan dengan satu panggilan telefon pada suatu pagi, seterusnya beliau didatangi pihak berkuasa daerah meminta beliau mengosongkan rumahnya untuk tujuan lelong atas alasan cukai lama yang tertunggak. Walaupun Kathy menafikan, namun beliau tiada pilihan selain terpaksa mengosongkan rumah tersebut. Beliau cuba mendapatkan kembali rumah tersebut melalui peguam. Namun, usahanya sia-sia kerana jual-beli telahpun dibuat oleh pembeli baru walaupun akhirnya pihak berkuasa mengakui kesilapan mereka untuk lelongan tersebut. Kini, ia bergantung sepenuhnya kepada 'tuan baru' itu samada sanggup 'memulangkan' kembali rumah tersebut atau tidak.
Hakikatnya, rumah itu hanya rumah biasa. Ia menjadi amat luarbiasa dalam filem ini. Bukan soal kabus yang datang menjengah dan menghilang atau panorama pantai yang mempesonakan, tapi ia soal hidup atau mati (mungkin kabus itu satu simbolisme mengatakan bahawa nasib manusia sentiasa berubah-ubah). Ia adalah perjuangan Behrani (lakonan amat cemerlang Ben Kingsley) untuk menyara keluarganya, khususnya dalam pendidikan anaknya, Esmail. Atau lebih tepat lagi, rumah itu dijadikan sebagai pelaburannya bagi mengubah taraf hidup mereka sekeluarga. Behrani selaku tuan baru rumah tersebut kini meletakkan tiga kali ganda dari nilai harga asalnya. Maka, episod drama tragis ini menyaksikan 'pertarungan' dari sudut emosi di antara kedua-dua pemiliknya dalam perjuangan hak ke atas rumah itu.
Rumah yang dipertarungkan ini seolah-olah menjadi satu 'karaktur' besar dalam HOSAF. Saya katakan demikian kerana ia seolah-olah 'perebutan untuk menjaga seorang anak bagi pasangan yang sudah bercerai' (walaupun masih tercetus sifat kasih sayang atau perikemanusiaan antara kedua-duanya). Tetapi sifat itu ada digambarkan juga melalui kasih sayang Behrani terhadap anaknya, Esmail. Rumah tersebut dengan Esmail dilihat seperti satu 'imej pembalikkan', kedua-duanya merupakan 'harta' yang bernilai untuk Behrani.
HOSAF bersandarkan kepada kekuatan lakonan Jeniffer Conelly dan Ben Kingsley yang begitu berusaha. Kedua-dua protagonis dalam filem ini berjaya menimbulkan 'keluhan' kita. Watak yang dibawakan begitu seimbang. Memang agak sukar bagi kita memberi tanggapan yang mana satu harus disebelahi kerana masing-masing menghidupkan karaktur tersendiri. Ben Kingsley, yang pernah menerima gelaran Pelakon Terbaik Oscar untuk filem Gandhi begitu karismatik. Saya cukup terpegun dengan lakonannya.
Agak mengecewakan juga kerana saya terlewat menonton filem ini. Beliau hanya dinominasikan dalam Oscar 2003 namun secara peribadinya, beliaulah wajar sekali lagi dinobatkan Pelakon Terbaik Oscar 2003 (anda boleh tonton dan nilaikannya sendiri).
Filem yang saya boleh letakkan antara 10 terbaik bagi tahun 2003 ini ada penamatnya. Tetapi, ia bukan semudah itu untuk ditamatkan kerana jika tanpa sentuhan emosi dan minda, filem ini pasti lesu. Dan kini, seakan menjadi satu 'trend', penonton diajak untuk menilai atau menjadi 'hakim'. Untuk itu, sekali lagi anda perlu bersedia.
Rating : A- (4/5)