22 April 2004

Ulasan Filem : Secret Window (2004)

Secret WindowOleh Mahhass


"Jendela Rahsia – Cemas lagi mencemaskan"

Melihatkan judul filem ini, terus terang saya katakan bahawa ia tidak menarik minat saya untuk menontonnya. Malah hati saya awal-awal lagi sudahpun berkata "Mesti bosan filem ni…". Namun, tanggapan saya silap kerana sememangnya saya 'terperangkap' dari awal hingga ke akhir babak. (dan tidaklah menjadi satu kerugian untuk saya lepaskan dulu filem Taking Lives untuk menonton filem ini).

Sinopsis
Mort Rainey (Johnny Depp) ialah seorang penulis novel terkenal. Suatu petang, beliau didatangi seorang yang tidak dikenali (memperkenalkan diri sebagai John Shooter). Lelaki misteri tersebut lantas menuduhnya 'mencuri' karya novelnya ("You stole my story", katanya).

Shooter menunjukkan bukti karya asalnya yang saling tak tumpah dengan apa yang Mort telah karangkan. Tambah Shooter lagi, sudah hampir tujuh tahun (1997) beliau menulis cerita tersebut. Walaubagaimanapun, novel karya Mort pula diterbitkan dua tahun sebelumnya (1995) di sebuah majalah. Justeru Mort diberi masa tiga hari untuk tampil dengan bukti-bukti tersebut, jika tidak, beliau akan menerima akibatnya.

Situasi ini begitu mengkalutkannya apatah lagi beliau berada dalam proses penceraian berikutan kecurangan isterinya, Amy. Amy ditangkap bersama-sama teman lelakinya oleh Mort di sebuah motel. Atas kejadian tersebut, Mort jadi tak tentu arah dan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri di sebuah kabin sambil meneruskan kerjayanya sebagai penulis.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Mort kerana rumah isterinya bersama teman lelaki baru itu telah dibakar. Satu-satunya bukti majalah yang tersimpan di rumah tersebut kini musnah. Mort kini dalam bahaya akibat ancaman Shooter tersebut. Satu-persatu peristiwa aneh mengganggu hidupnya bermula dari saat kematian anjingnya.

Johnny Depp sebagai Mort RaineyKonsep/Cerita/Arahan/Lakonan
Filem ini begitu cemas dan mendebarkan. Dari saat permulaan sehingga ke akhir babak, saya seolah-olah dipaku di tempat duduk saya. Ia mengingatkan saya kepada filem Identity tahun sudah, yang mengajak kita bermain teka-teki. Malah, elemen cemas yang digarap tampak lebih berkesan dalam mewujudkan sebuah kekalutan emosi. Ia sememangnya menjadi sandaran utama filem ini.

Kisah yang diadaptasikan dari novel Stephen King ini dilayarkan ke skrin dengan gaya tersendiri David Koepp (Masih ingat Panic Room atau Stir of Echoes?). Pastinya filem ini jauh lebih bermutu dari filem Dreamcatcher (filem penuh 'kegagalan') tahun lepas, yang juga berdasarkan novel King. Jadi, David Koepp yang juga selaku pengarah, begitu teliti dalam pengolahan sebuah adaptasi.

Apa yang nyata, Johnny Depp, pelakon yang mula-mula mencipta nama dalam siri television 21 Jump Street satu masa dulu, membuktikan sekali lagi selepas menerajui filem-filem hebat seperti Once Upon A Time In Mexico, Sleepy Hollow, Edward Scissorhands, dan juga watak 'lanun lembut' dalam Pirates of The Carribean, sememangnya beliau pelakon versatile.

Lakonan Depp (berimej kusut masai) dalam filem ini berjaya mewujudkan tempo dan mood serta konflik pergolakan jiwa seorang penulis yang dirundung masalah. Bagaimanapun, harus saya bangkitkan di sini bahawa lakonan dinamik John Turturro yang mendokong watak sebagai John Shooter, jelas memainkan peranan besar dalam menghidupkan unsur suspen dan keresahan dalam filem ini.

Sebenarnya, filem ini penuh dengan maksud serta tema 'gelap' yang 'tersembunyi'. Konsep 'krisis-identiti' serta unsur twist yang ditonjolkan menjadikan filem ini menarik sekali untuk ditonton. Ia bukan sekadar kisah cemas semata-mata, tetapi lebih memberi konteks yang luas kepada permasalahan rumahtangga dan yang penting ialah menyingkap puncanya.

"Jendela Rahsia" itu mengundang seribu misteri dan ia sebagai metafora filem ini. Justeru, tidak salah rasanya jika saya letakkan filem ini antara genre terbaik tahun ini (setakat April 2004).

Sutradara & Lakonlayar : David Koepp
Genre : Drama/Misteri/Cemas/Psiko
Pelakon : Johnny Depp, Maria Bello, John Turturro, Timothy Hutton, Len Cariou
Novel adaptasi : "Secret Window, Secret Garden" oleh Stephen King
Distributor : Columbia Pictures


SKRIN Rating : B+ (3.5/5)